Aktivis, penari dan koreografer seni tarian klasik India terkenal tanah air, Datuk Ramli Ibrahim berkata, jika tidak ditangani segera tidak mustahil seni-seni tarian tradisional ini akan pupus pada masa depan.

Oleh itu, senario yang sedang berlaku itu telah mencetuskan inspirasi buat tokoh seni berusia 65 tahun ini untuk terus gigih memperjuangkan seni-seni tarian klasik menerusi Sutra Foundation.

Menerusi yayasan yang ditubuhkannya itu, pelbagai aktiviti dilakukan termasuk membimbing ramai anak generasi baharu agar mempelajari tarian-tarian yang sarat dengan nilai seni dan budaya itu.

“Sekarang susah untuk kita membentuk generasi muda menceburi bidang ini kerana adanya banyak halangan, antaranya tarikan dan pengaruh yang ada di laman sosial seperti Facebook.

“Ini tidak seharusnya berlaku. Sebabnya, kalau mereka tidak kenal seni tradisional ini, maka mereka tidak akan mencintainya. Seni-seni kita kurang mendapat perhatian berbanding publisiti artis-artis Barat.

“Seni-seni kita juga kurang mendapat pendedahan berbanding publisiti artis-artis pop Barat seperti Lady Gaga atau artis-artis dari Bollywood yang lebih popular dan diminati ramai anak muda.

“Ternyata seni-seni moden ini mudah untuk menarik perhatian ramai terutamanya generasi muda. Kita perlu mempergiatkan lagi aktiviti dan promosi agar tarian tradisional tidak pupus,” katanya.

Dalam isu itu katanya, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya harus meningkatkan kesedaran akan peri pentingnya sumbangan seni dan budaya dalam masyarakat.

Menurutnya, bukan setakat tarian klasik India yang diperjuangkannya sejak 40 tahun lalu, malah seni-seni tarian kaum Melayu, Cina dan etnik-etnik lain juga sewajarnya diberi perhatian lebih luas.

“Kerajaan harus mencetuskan semula tentang betapa pentingnya seni dalam masyarakat. Bukan hanya tarian India, malah seni-seni Melayu, Cina dan lain-lain bangsa perlu juga diketengahkan.

“Contohnya, seni persembahan makyung dan wayang kulit yang dilihat semakin terhakis di negara ini. Nilai-nilai seni estetika dalaman yang ada dalam tarian-tarian klasik itu perlu dipertahankan.

“Ia memerlukan anak-anak muda kita menghambakan diri atau mempelajarinya secara lebih dalam lagi, sedangkan mendalami seni-seni klasik seperti tarian memerlukan masa dan dedikasi.

“Ramai anak muda generasi baharu yang mahukan sesuatu hasil daripada karya-karya seni yang dihasilkan itu secara segera dan ia berlainan dengan seni klasik yang halus nilainya,” ujarnya.

Bagi meningkatkan lagi apresiasi dan pengembangan seni-seni tarian klasik India, beliau kini tidak hanya bertindak selaku penari semata-mata, sebaliknya lebih banyak aktif di belakang tabir.

Katanya, banyak pihak yang memandang penari sebagai sumber kreatif penting sedangkan hakikatnya pengarah artistik itu menyandang peranan yang lebih mustahak daripada penari.

“Sebenarnya kita sebagai pengarah artistik atau koreografer yang memberikan idea, mengarah dan membentuk sesuatu persembahan dalam konsep yang lebih luas. Ramai audiens tidak tahu hal ini.

Kerjasama

“Kalau kita berada dalam sesebuah pementasan itu kita tidak boleh betul-betul imbangkan apa estetika yang mahu ditonjolkan dan sebab itu saya kini lebih banyak kerja di belakang tabir.

“Hakikatnya, seseorang artis atau penari itu hanyalah disebut sebagai penyampai dan bukannya pencipta seni. Saya harap peranan saya ini akan dapat membantu menangani isu itu,” jelasnya.

Sepatutnya kata Ramli, bidang seni tarian klasik tempatan boleh dikembangkan lagi dan dijadikan sebagai tarikan kepada para pelancong asing yang mahu melihat keunikan seni tersebut.

Sutra Foundation di bawah kendaliannya telah mengadakan pelbagai aktiviti termasuk di dalam dan luar negara sehingga mendapat sambutan amat luar biasa setiap kali mereka muncul di atas pentas.

Sebab itu, tidak hairanlah Ramli telah dianugerahkan Anugerah Padma Shri sempena Hari Republik India baru-baru ini kerana minat, bakat serta komitmennya dalam seni tarian klasik India selama ini.

“Memang sambutan yang saya terima bagus di semua tempat terutamanya di India, dan puncanya kerana mereka kagum dengan bakat dalam persembahan yang kami telah adakan.

“Kalau tidak bagus buat persembahan di mana-mana pun orang akan baling kasut. Di bawah yayasan saya itu ada lebih 100 orang dan beberapa orang yang terbaik saya serapkan dalam Program Sutra.

“Sebagai artis kita tidak boleh mengadakan persembahan sekali setahun. Kita mesti buat selalu bagi mengasah bakat. Ini kerana, kalau bakat itu tidak selalu digunakan ia akan berkarat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga menekankan tentang perlunya keseimbangan antara bidang seni, budaya dan ekonomi dalam sesebuah negara agar masyarakatnya kreatif, berdaya maju dan ceria selalu.

Beliau misalnya, tidak setakat menumpukan kepada bidang seni tarian klasik sahaja, sebaliknya banyak bekerjasama dengan ramai karyawan dalam bidang-bidang seni yang berlainan.

Ramli antaranya banyak berkolaborasi dengan para penggiat seni seperti penulisan, muzik dan lukisan termasuk berkawan rapat dengan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang.

“Golongan ini mempunyai pemikiran terbuka dan sering juga melihat persembahan saya. Sebagai kota besar seperti Kuala Lumpur perlu ada aktiviti-aktiviti seni yang luas.

“Kota metropolis di mana sekali pun kalau tiada budaya maka ia tidak akan ke mana. Boleh dikatakan semua kota metropolis di dunia mempunyai pusat budaya sendiri dan mereka amat aktif.

“Sebab itu, nilai seni dan budaya mesti ada dalam ‘roh’ kehidupan seharian kita. Ibaratnya kalau kita ada rumah besar tetapi kalau tiada nilai seni dalam kualiti kehidupan kita, maka ia akan menjadi ‘kosong’,” ujarnya.