Majlis anugerah itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar; Pengarah Yayasan Warisan Johor, Mohd. Ekmaluddin Datuk Ishak dan Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Mohd. Ali Hanafiah.

Osman dalam ucapannya berkata, kerajaan Johor akan sentiasa memberi sokongan serta dorongan khasnya melalui pengiktirafan yang diadakan setiap dua tahun sekali ini. Baginya penganjuran Anugerah Sastera Johor (ASJ) secara konsisten akan memberi kesan mendalam kepada penulis-penulis pelapis untuk terus berkarya dengan lebih giat lagi. Sehubungan itu tidak hairanlah jika ASJ menjadi satu acara yang amat dinanti-nantikan oleh penulis Johor selain menjadi tanda aras dalam bidang kesusasteraan tanah air.

Sememangnya ASJ mampu menyuntik semangat, mempamer tekad dan menyerlah bakat penulis untuk terus berkarya dan menghasilkan karya-karya bermutu. Jika disorot dari sudut sambutan, ASJ amat dinanti-nantikan oleh pencinta bahasa dan sastera, penulis, karyawan dan anak jati Johor yang berada dalam lingkungan ranah penulisan tanah air. ASJ juga dilihat oleh pengkaji dan sarjana sebagai penanda aras kualiti penulisan serta perkembangan kesusasteraan negeri Johor. Melalui wahana inilah, golongan penulis dirai dan dihargai dengan penghasilan karya-karya berkualiti.

PEMENANG ANUGERAH

Kali ini, ASJ ke-11 meraikan 28 orang penerima anugerah dalam 18 kategori. Kategori pertama, Kumpulan Puisi dimenangi oleh Mohd. Rosli Bakir, Khabar dari Mimbar (ITBM, 2017). Kategori kedua, Puisi Eceran di menangi oleh enam peserta, Dari Mimbar Masjidil Haram (Syafiq Zulakifli), Dosa Pandai Bahasa (Ramlee Wahab), Kandil Kerdil (Nazim Mohd Subari), Mengingati Pesan Murabi Pada Lewat Angin Menjadi Taufan (Shamsudin Othman), Mentafsir Keberanian (Efandi Yusof) dan Stesen Terakhir (Johari Jonet).

Kategori ketiga, Sastera Siber (Puisi) dimenangi oleh tiga peserta, Sebatang Pohon (Shapiai Mohd Ramly), Sendirian (Shapiai Mohd Ramly) dan Surat Untuk Cikgu (Salleh Dermawan). Kategori keempat, Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun dimenangi oleh dua peserta, Secangkir Kopi Bersama seorang Tua (Alia Liyana Natasha Sugendi) dan Perbukitan Daksina (Nur Syadza Mohd Rosli). Kategori kelima, Cerpen Eceran dimenangi oleh enam peserta, Tujuh Cerita Kecil Tentang Gagak, Hering, Duri dan Lain-lain (Wahyu Budiwa A.Wahid), Maharani 1938 (Maslina Ngadiman), Taubat Al-Munawwarah (Zulkifli Khair), Misdiagnosis (Ashraf Adrutdin), Bagai Terkurung Dalam Perut Paus (Maskiah Hj. Masrom), Yalah Mak (Rar RB). Kategori keenam, Kumpulan Cerpen dimenangi hanya seorang peserta, Sehelai Daun Dari Pokok Sidrah (Rozninah Abdul Azib).

Kategori ketujuh, Kumpulan Cerpen Remaja dimenangi hanya seorang peserta, Saya Ingin Terbang Bersama Hudhud (Nur Suhada). Kategori kelapan, Novel Dewasa hanya dimenangi seorang peserta, Sekali Melangkah (Rozninah Abd Azib). Kategori kesembilan, Novel Remaja juga dimenangi hanya seorang peserta, Genetik Kamilah (Aminah Mokhtar). Kategori ke-10, Drama Pentas pemenangnya ialah Menara Jiwa. Kategori ke-11, Drama Radio pemenangnya, Qayuum. Kategori ke-12, Drama Televisyen pemenangnya, Ke Pintu Kaabah.

Kategori ke-13, Buku Sastera dimenangi oleh Irwan Abu Bakar dengan bukunya , E-Sastera-Teori dan Aplikasi. Kategori ke-14, Esei dan Kritikan Sastera dimenangi dua peserta, Mandala Dunia Kedua Azizi Haji Abdullah (Ashraf Adrutdin) dan Komunikasi Tradisi dalam Kepengarangan Hikayat Pelanduk Jenaka (Roslina Abu Bakar). Kategori ke-15, Kumpulan Cerpen Kanak-Kanak tiada pemenang. Kategori ke-16, Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun (Cerpen) tiada pemenang. Kategori ke-17, Novel Kanak-Kanak, tiada pemenang. Akhir sekali Kategori ke-18, Rencana Pembangunan Johor juga tiada pemenang.

Seperti yang diduga, Penerima Anugerah Sasterawan Johor kali ini dimenangi oleh Md. Ismail Zamzam (Zam Ismail) penerima S.E.A Write Award 2014. Manakala Penerima Anugerah Penulis Muda Johor pula dimenangi oleh Zulfazlan Jumrah, merupakan seorang guru di Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Enstek, Negeri Sembilan. Bagaimana pun, tiada pemenang bagi Anugerah Penulis Bukan Melayu Johor kali ini.

Melalui penganjuran ASJ ini, sebahagian karya-karya penerima ASJ akan diterbitkan dalam sebuah antologi. PPJ mengambil langkah proaktif dengan menerbitkan antologi ini sejak Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) kesembilan. Penerbitan antologi ini juga menjadi dokumentasi penting karya-karya penerima anugerah. Debaran sudah berakhir. Teka-teki siapakah pemenang-pemenang pelbagai kategori karya telah terjawab. Dipetik pula saranan panel hakim menyatakan, secara keseluruhan perkembangan sastera Johor masih memperlihatkan kemajuan atau sekurang-kurangnya tekal berdasarkan pencapaian sebelumnya. Masih ada karya untuk khalayak dewasa dan remaja diterbitkan. Ini bermakna, penulis Johor masih berada di litar sastera kebangsaan melalui penerbit kerajaan mahupun swasta. Genre puisi, cerpen dan novel memperlihatkan pencapaian yang menjanjikan masa depan cerah tetapi mesti disokong oleh penerbitan yang sempurna dan sistematik. Perhatian perlu diberikan kepada genre sastera kanak-kanak dan rencana pembangunan kerana jumlah penyertaan tidak memuaskan, apatah lagi jika disentuh aspek mutunya. Justeru, pihak PPJ wajar mengorak langkah sederap mengumpul tekad berusaha untuk turun padang mengisi beberapa lompang yang dilihat bukan sebagai kelemahan tetapi cabaran untuk bergiat lebih aktif dan progresif. Semoga ASJ akan datang lebih bersemarak lagi.