Permulaan hidup dan jatuh bangunkau, telah tersusun rapi kronologinya di dalam kepalaku. Engkau tentu ingat apabila kau diumumkan sebagai pelajar kedua terbaik pada majlis graduasi akademi seni persembahan kau. Kau memakai jubah yang megah dan topi mortar dengan rambu berambal ditiup angin.

Langkah kau rapi dan menghampiri pengarah akademi, menunduk sedikit untuk menerima segulung sijil dan bila kau berpaling terlihat jelas sebuah ukiran senyum yang tidak ikhlas. Aku boleh membaca dengan baik raut wajah kau. Kau telah tewas kepada pesaing utama kau, Rusdi.

Saat kau muncul kali pertama selepas graduat daripada akademi seni persembahan itu aku menjadi hairan bagaimana kau boleh bersama Rusdi di dalam satu kumpulan seni persembahan. Kau masih ingat debut kumpulan Le Selebritan (wah nama kumpulan engkau pun sangat unik) itu?

Kemunculan kumpulan kau telah membawa satu revolusi persembahan di tanah air kita. Tidak pernah-pernah selama ini ada kumpulan persembahan yang semua ahlinya memakai pakaian yang seragam, solekan yang feminis dan penampilan yang mendatangkan aura dari jauh. Aku di hadapan televisyen ketika itu apabila pengacara rancangan konsert khas kebangsaan mengumumkan dengan tempikan ‘Terimalah Le Selebritan!!’

Dan apabila Le Selebritan muncul seluruh penonton (terutamanya gadis-gadis) meloncat-loncat kegembiraan, menjerit-jerit histeria dan bercerit-cerit membingitkan. Kamu semua beratur sebaris dan menundukkan kepala dengan sopan diiringi senyuman menawan.

Rambut kamu, solekan kamu dan pakaian kamu semuanya sempurna. Rusdi mencapai mikrofon, memperkenalkan diri, memberikan kata-kata aluan lalu kemudian seorang demi seorang temasuklah kau memperkenalkan diri juga. Sudah tentu setiap kali ahli Le Selebritan memperkenalkan diri, iringan jeritan gadis-gadis (aku perasan ada juga jejaka-jejaka yang terselit di antara mereka) bergema, menggegarkan bumi sehingga aku turut merasakan gema itu pada peti televisyen rumahku.

Tika muzik latar dimainkan semua mata terpaku. Suara-suara kamu, Le Selebritan tersangatlah merdu, nyaring dan adakalanya mendayu harmoni. Seleksi lagunya kedengaran segar dan pelbagai genre. Ada yang rancak, ada yang ketuhanan dan ada yang lembut. Di manakah kalian belajar itu semua dengan sejajar?

Sungguh hebat dan memukau hinggakan aku juga bertepuk tangan, menggoyangkan badan dan mengangguk-ngangguk. Gerak tari kamu lincah dan aku sungguh kagum, aku kira semua yang menontonnya ketika itu kekaguman kerana inilah buat pertamakalinya negara kita disajikan dengan persembahan berkelas antarabangsa sebegitu rupa. Kamu semua juga sangat pandai berinteraksi. Tiap kali habis satu lagu ada saja hal-hal yang kamu candakan bersama penonton. Senyuman kamu membikin gadis-gadis terloncat-loncat kegembiraan.

Malam itu telah menjadi satu malam yang bersejarah. Stesen televisyen yang menayangkan konsert itu telah mencatatkan rating paling tinggi di negara kita. Sesiapa yang berniaga di luar tapak konsert mencatatkan keuntungan kerana semua barang jualan mereka laku habis. Malah aku yang di rumah juga telah merakamkan rancangan itu dan kadang-kadang aku akan memainkannya pada waktu senggang.

Aku merasa cemburu dengan sesiapa sahaja yang menghadiri konsert malam itu. Mereka pada suatu hari nanti akan berbangga dengan cerita yang mereka ada pada malam itu. Mereka suatu hari nanti akan menceritakan detik-detik kerseronokan itu pada anak-anak mereka dan cucu-cicit mereka. Itulah tanggapan aku pada kumpulan Le Selebritan.

Wajah-wajah

Kau masih ingat beberapa bulan selepas itu? Wah semua ahli Le Selebritan telah menjadi model pula. Kalau sesiapa membeli surat khabar, majalah atau melayari laman sesawang pasti ketemu wajah-wajah kau dan ahli yang lain. Ada yang berposisi memegang setin air berkarbonat, ada yang menjadi model iklan pakaian berjenama dan ada yang berlakon dalam drama tempatan.

Kau? Ya aku masih ingat drama pertama yang kau lakonkan itu. Kau membawa watak lelaki jahat yang menggoda isteri watak utama. Walaupun lakonan kau sederhana sahaja tetapi di laman sosial setiap orang memperkatakan tentang kekacakan kau dan ketegapan tubuh badan kau.

Aku syak tentu kau kembang hidung setiap kali kau membaca pujian melambung-lambung itu. Apakah tiap kali sebelum tidur, sambil berbaring kau akan menatal lalu skrin telefon pintar kau itu dan tersenyum sendirian membaca komen-komen di laman sosial? Seingat aku kau jarang sekali membalas komen peminat kau. Malah aku juga kerap berkomen di laman sosial kau. Menyukai hantaran kau dan gambar-gambar kau.

Ada juga aku nampak beberapa individu yang tidak sukakan kau menghamburkan komen jahat dan kata-kata kesat. Apakah kau ada membuat akaun lain dengan menggunakan identiti tersembunyi dan membalas komen itu? Aku 
tak fikir kau akan lakukan sejauh itu.

Perjalanan Le Selebritan dalam dunia hiburan tampaknya tidak kekal lama. Kemuncak kumpulan kau tentulah bila menerima anugerah popular itu dan kau pula menerima anugerah pelakon baru terbaik walaupun masih ramai yang berpotensi daripada kau. Selepas menerima anugerah itu mulalah beredar gosip-gosip mengatakan yang kau berselisih faham dengan Rusdi. Apa yang aku baca Rusdi selaku ketua kumpulan merasakan tidak wajar apabila salah seorang ahlinya lebih menonjol berbanding yang lain.

Katanya lagi jika panas pun tidak sampai ke tengah hari apakah kita boleh menahan hujan yang turun mencurah? Aku sebenarnya sudah lama dapat menghidu hal ini. Tentulah bibit perpecahan ini tidak siapa yang dapat menghidunya. Di hadapan televisyen dan wartawan Le Selebritan muncul sebagai perkumpulan anak muda yang ideal. Malah ada yang menjadikan kau dan ahli-ahli Le Selebritan yang lain sebagai suri teladan. Di rumahku sahaja ada tiga poster besar; satu poster kau yang tertampal di dalam bilik adikku dan dua lagi poster Le Selebritan.

Perpecahan itu menjadi nyata bila jelajah konsert yang dirancang tiba-tiba dibatalkan. Habis heboh media tempatan memberitakan yang engkau bergaduh teruk dengan Rusdi. Malah ada satu video berdurasi pendek tular di laman sosial. Dalam video itu kelihatan kau memegang sebilah parang kontot. Aku dapat dengar suara Rusdi yang menjerit ‘Perempuan! Itu perempuan!’ Keesokan harinya selepas kejadian itu Rusdi dan anggota Le Selebritan yang lain membuat sidang akhbar. Rusdi menjelaskan yang kau telah dibuang kerana membawa pulang seorang perempuan ke rumah kau.

Aku tahu yang Le Selebritan tidak dibenarkan bercinta apatah lagi membawa pulang perempuan. Ia isu yang besar dan sudah tentu akan mengecewakan peminat.

Tiap ahli Le Selebritan harus kekal bujang kerana dengan cara itu saja untuk mengekalkan sokongan peminat. Dengan cara itu sahaja memberikan setiap peminat mempunyai rasa yang Le Selebritan adalah hak masing-masing. Pendapat ini aku kutip daripada Gina Rahim, seorang bekas pengurus sebuah kumpulan nyanyian yang pernah popular suatu ketika dahulu.

Keesokan harinya selepas sidang akhbar Rusdi itu, kau pula membuat sidang akhbar balas. Apa yang mengejutkan sesi wartawan dan peminat yang menghadiri sidang akhbar itu ialah bila kau mengeluarkan sebilah parang kontot. Parang itu bersarung kayu yang bervarnis dan berkilau bila ketikan-ketikan kamera menyimbahkan cahayanya.

Parang itu kontot sahaja tetapi hulunya sangat cantik. Terdapat ukiran yang bermotifkan tumbuhan. Kata kau, pada malam itu kau tidak membawa pulang sesiapa pun tetapi kau cuma baru membeli parang kontot itu. Kau kata lagi kau cuma mahu menyorokkan kewujudan parang itu tetapi Rusdi terlalu inginkan parang itu sebenarnya. Hal ini kerana parang itu mempunyai daya penarik yang sukar digambarkan.

Parang itu parang legenda yang digunakan oleh seorang pahlawan ketika perang sabil melawan penjajah dahulu. Sudah banyak leher penjajah yang tewas di mata parang ini. Sudah banyak darah 
yang mengalir ditetak parang legenda ini. Kata kau lagi menguatkan hujah.

Kau menarik keluar parang itu dan terlihatlah bilahnya yang tajam. Wartawan-wartawan tidak putus-putus mengetik kamera mereka dan dengan pantasnya sidang akhbar kau itu tular di laman sosial. Maka peminat-peminat yang menyokong kau berasa lega kerana bukanlah seorang perempuan yang kau bawa pulang. Bukanlah kau menyorokkan percintaan daripada mereka.

Kau mula bertambah terkenal selepas kejadian itu. Rezeki kau melimpah ruah. Tawaran filem, iklan dan persembahan malah kau melancarkan buku sendiri yang mengandungi petikan-petikan penting kau. Sebaliknya pula yang menimpa Rusdi dan Le Selebritan. Mereka telah dituduh sebagai pemfitnah dan kerjaya mereka mula merudum.

Tawaran persembahan dan iklan mula berkurang. Mereka cuba melebarkan sayap mereka di luar negara tetapi tidak mendapat sambutan. Aku ada terbaca satu berita di sebuah portal negara jiran. Sungguh kasihan bila melihat video yang dipaut pada berita itu memaparkan Le Selebritan diboo oleh penonton yang sedikit dan nama kau pula yang dialung-laungkan. Kau ingat? Ah, aku rasa kau tersenyum puas menonton video itu.

Dari sehari ke sehari nama kau semakin harum dan meniti di bibir peminat. Apa rahsianya? Tanya ramai orang. Beli buku saya. Balas kau dengan senyuman manis. Apakah ciri-ciri idaman pasangan anda? Tanya salah satu soalan wawancara majalah hiburan. Dia mestilah seorang yang solehah, 
balas kau lalu tersenyum juga. Menawan sekali senyuman kau itu sehingga adikku juga menjadi peminat fanatik kau. Ayah dan ibuku juga tidak terlepas memperkatakan tentang kau, kau tahu?

Namun yang lebih menjadikan kau sensasi dan relevan adalah parang kontot kau itu. Kau nampaknya tahu bagaimana mahu kekal dalam industri hiburan ini. Keunikan adalah nama tengah kau. Tiap kali muncul di mana-mana kau pasti menyisipkan parang kau di pinggang. Sebelum bermulanya satu-satu persembahan kau (kau ada keluar dua buah album solo dan adikku membeli kedua-duanya) kau akan mengeluarkan parang itu dan mengucupnya seolah-olah memberi penghormatan kepada pemilik parang itu sebelum ini.

Senjata

Menurut kau jika zaman dahulu setiap lelaki membawa senjata ke mana-mana. Kalau tanpa senjata pasti tidak lengkap. Hanya apabila penjajah datang mereka menghapuskan amalan membawa senjata. Mereka penjajah ini mahu menghapuskan identiti kita, kata kau lagi. Jadi kerana itu semua peminat kau tediri daripada pelbagai lapisan sosial masyarakat. Ada yang meminati kau kerana bakat kau, ramai yang meminati kau kerana ketampanan kau dan ada yang menyukai kau kerana keunikan parang kau.

Kau mula menubuhkan syarikat kau sendiri, memperkenalkan artis-artis terbaharu di bawah pengurusan kau dan mereka semua kelihatan jauh lebih berjaya daripada Le Selebritan yang kini lenyap entah kemana. Tahun demi tahun karier kau semakin melebar. Kekayaan kau semakin bertambah. Sememangnya kau bukan sekadar selebriti malah usahawan yang berjaya.

Masyarakat kita kebanyakannya berkongsi stigma yang sama lebih-lebih lagi jika kau selebriti ternama. Ramai yang mula mempersoalkan bila lagi kau akan mendirikan rumah tangga. Kalau dahulu semuanya tidak mahu kau memiliki teman wanita kini mereka pula yang beria-ia mahu kau mencari isteri. Aneh bukan? Lebih menggerunkan lagi apabila mula terdengar gosip-gosip mengatakan yang kau sebenarnya tidak menyukai wanita.

Gosip itu cuba dimatikan oleh sekumpulan peminat kau, dengan dungunya membangkitkan perihal ruduhan Rusdi dulu. Walau kau tidak suka dengan tuduhan Rusdi itu kau lega kerana masih ada yang berdiri untuk mempertahankan kau.

Tapi nanti dulu. Mulut orang tidak boleh ditutup kan? Pembantu peribadi kau pula mengkhianati kau dengan memecahkan cerita kononnya kau pernah mengaku 
yang kau tidak mahu berkahwin. Kau cuba diamkannya dengan menghantar surat saman bernilai jutaan ringgit. Memang dia diam tetapi kesan cerita itu menyebabkan orang tidak berhenti bergosip mengenainya.

Kehilangan kau selama beberapa bulan mendatangkan keresahan kepada sesetengah masyarakat dan menimbulkan spekulasi oleh wartawan-wartawan. Kecohlah rancangan televisyen hujung minggu yang memberikan liputan khas tentang kau seorang sahaja. Majalah-majalah yang memuatkan kisah kau habis terjual.

Orang menyangkakan kau menghadapi tekanan. Tidak kurang juga menuduh kau menghidapi penyakit mental dan sedang mendapatkan rawatan di luar negara. Paling melucukan bila ada yang menuduh kau terkena buatan orang dan sedang berubat dengan pawang negara jiran.

Akhirnya kau muncul kembali. Tiba-tiba sahaja dengan seorang perempuan muda berlitup dan kau katakan pada media bahawa perempuan itu merupakan tunang kau. Gosip-gosip tentang kau mati betul bila kau umumkan akan berkahwin di sebuah hotel.

Aku masih ingat majlis perkahwinan kau berlangsung dengan meriah sekali. Malah hampir kesemua kelengkapan perkahwinan itu ditaja dan bernilai jutaan ringgit. Semua tetamu kau datang mengucapkan tahniah. Daripada orang kenamaan sehinggalah peminat biasa semuanya kelihatan gembira bila melihat kau bersanding di atas pelamin. Majlis perkahwinan kau akan diingati sebagai majlis paling mega. Aku tahu kerana aku ada di majlis itu.

Memang hidup kau penuh warna-warni kan? Sebulan selepas perkahwinan entah mengapa tiba-tiba sahaja kau menceraikan isteri kau talak tiga. Terpinga-pinga kami semua. Mengapa? Kata isteri kau, 
kau tidak langsung mempedulikannya. Kau membuatnya seperti tunggul kayu di dalam rumah agammu itu. Katanya lagi kau terlalu asyik dengan parang kontot kau itu. Ke tandas pun kau bawa parang itu, di dalam bilik mandi pun kau bawa parang malah di meja makan pun kau bawa parang kau itu.

Teresak-esak isteri kau menangis di depan wartawan meluahkan semua yang terbuku selama ini. Wah, sebulan sahaja kan? Sebenarnya kau berkahwin dengan manusia atau dengan parang itu?

Kau terkejut. Hayunan parang kau terhenti. Aku dapat lihat dengan jelas parang kau itu perlahan-lahan berubah menjadi seorang pemuda. Jadi segalanya terjawab.

“Bagaimana kau boleh tahu semua ini?” tanya kau padaku.

“Kerana aku juga sebilah parang kontot,” balasku selamba sebelum dengan pantasnya menukarkan diri menjadi sebilah parang dan melayangkan tubuhku ke arah leher kau. Kepala kau yang memancutkan darah merah seperti paip bocor itu tergolek ke tanah. Parang kau pun melarikan diri ketakutan.

“Sss... siapa kau?” Aku terkejut kerana kau belum mati.

“Akulah parang kontot milik isteri kau,” balasku. Aku tidak tahu kau sempat mendengar atau tidak jawapanku itu.