Lalu kita menyoal, kenapa takdir menemukan kita walhal takdir itu juga yang tidak membenarkan kita bersama?”

Sembilan malam.

Aku duduk di bibir pantai, merenung sekumpulan bintang-bintang dari hamparan langit yang hitam dan gelap. Sesekali aku dibuai oleh perasaan melankolik yang ditiup melalui not-not jaz daripada saksofon . Neon kuning dari deretan kafe di sepanjang pantai meminjamkan samar-samar cahayanya kepada pasangan pasir dan laut.

Tiada apa yang istimewanya apabila malam menjengah, hanya gelap dan kesunyian menghadirkan diri mereka setelah matahari menutup tirai hari. Aku menyelak rambutku yang terbang ditiup angin yang tiba-tiba menyapa aku dari belakang. Sesekali aku menguis-nguis pasir pantai yang lembut dan bersih itu dengan jari kaki. Terasa selesa dan hangat apabila pasir-pasir itu menyentuh kulit.

“Hai, tak habis lagi berangan?”

Lamunanku terhenti. Pandangan teralih ke arah suara yang tiba-tiba menyinggah ke daun telinga. Segaris senyuman dihadiahkan untukku dan senyuman itu seolah melepaskan sekumpulan kupu-kupu lantas membuatkan dadaku berombak perlahan kemudian berdikit-dikit menongkah senyuman balas dari bibirku.

Dia menanggalkan selipar berwarna hitam dan perlahan-lahan melabuhkan punggung di sebelahku. Kami hanya diam seolah orang asing yang baru bertemu. Janggal dan kaku. Hanya kedengaran sayup-sayup suara melodi yang berkumandang dari kafe melagukan kesunyian dengan nada yang sungguh merdu.

“Kenapa Canopus?” Dia memecahkan jeda dengan soalan.

Aku memandangnya sekilas, kemudian kembali memandang langit dan balas, “kerana Canopus itu adalah bintang yang paling terang di antara bintang-bintang yang lain.”

Suasana kembali sunyi. Dia turut membuang pandangan ke dada langit sambil memeluk tubuhnya sendiri yang kesejukan digigit angin laut yang datang secara tiba-tiba. Aku menyisir rambut yang jatuh ke dahi dengan jari kemudian meneruskan perbualan, “ ya, mungkin bintang Canopus itu sudah pun mati. Jadi, yang kita lihat sekarang ini hanya cahaya masa lalunya.”

Sebaik saja aku menutur baris ayat terakhir dia membalas, “ seperti apa yang kita rasa sekarang, ‘sesuatu’ itu telah pun hilang. Jadi kita hanya menikmati keindahan masa lalu yang tiada ‘kita’ lagi di dalamnya.”

Sebaris ayat yang dia tuturkan tadi menghasilkan satu lagi retakan baharu dalam hati aku. Kekecewaan dan ucapan maaf yang tidak terluah itu, aku sembunyikan di balik segaris senyuman manis pada bibir. Dia bangun daripada duduknya dan mengibas-ngibas pasir yang melekat pada bahagian punggung seluar. Kemudian menghulurkan tangannya ke arah aku.

“Jom.”

“Sorry I can’t.” Balasku ringkas

“ But, why? I have no time for your game, honey.” Raut wajahnya bertukar tegang.

“ Your hand is so precious. I can’t hold it until I hold your heart.” Balasku dengan riak nakal pada wajah.

Mulutnya yang terkunci dengan persoalan kini terbuka lapang dengan senyuman. “Ah! Sudahlah. Jom teman saya jalan-jalan tepi pantai.” Dia masih menghulurkan tangannya. Aku memandang terus ke arah anak matanya. Walaupun dalam keadaan yang samar-samar, anak mata itu tetap kelihatan cantik. Aku ketawa kecil kemudian mencapai tangannya itu. Kami berjalan beriringan tanpa sepatah kata. Muzik yang berkumandang dari kafe-kafe dan bunyi tolak ombak di pesisiran pantai menjadi satu alasan yang kukuh untuk kami menyambung diam.

“ Sejujurnya, saya rindukan awak yang dahulu. Kita sudah terlalu jauh, bukan?” Aku menyoal, cuba memecahkan jeda di antara kami.

“Ya, ini bukan salah awak ataupun saya. Takdir kita sudah tertulis jalan ceritanya dan berakhir dengan cara begini.” Balasnya bersahaja, kemudian melepaskan jari-jarinya daripada gengaman tanganku dan menyisir anak rambut yang jatuh ke pipi.

“Saya tak pernah menyangka akan bertemu awak sekali lagi. Mungkinkah ini juga takdir kita? ” Soal aku lagi. Kali ini aku berjaya menghentikan langkahnya.

Dia membalas pandanganku dengan riak wajah yang keras tanpa apa-apa garis emosi. Dia menarik lembut tanganku dan perlahan mendekati pesisiran pantai. Aku tersentak dan berlari menjauhi bibir pantai apabila gulungan ombak kecil menyentuh jemari kaki. Dia kaut air laut dengan tangannya kemudian merenjis air laut tadi ke arah aku. “ Ini takdir untuk awak!” Balasnya sambil mengekek ketawa apabila melihat baju yang aku pakai bertompok-tompok dengan air laut.

Aku mencebik, geram dengan tingkah lakunya yang tidak pernah serius dengan setiap pertanyaan yang aku lontarkan. Aku melipat kaki seluar sehingga paras lutut kemudian mengejarnya sepanjang pesisiran pantai. Dia berlari seperti seorang anak kecil yang kegirangan bermain kejar-kejar. Belum sempat aku mendapatkan dirinya, dia membaringkan tubuhnya di atas pasir pantai sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya.

Dengan spontan aku tersenyum. Hati aku sedikit terusik indah dengan perangai nakalnya itu. Dia seseorang yang sangat berbakat melukiskan lekuk senyuman di wajah aku. Perlahan-lahan aku berjalan ke arahnya kemudian, berbaring di sebelahnya. Untuk seketika kami hanya berdiam dan hanya berbicara dengan bisu-bisu perasaan yang kami tahan.

“ Bintang pandai menipu bukan? Cahayanya membuatkan mata kita merasa dia tersangat dekat. Namun hakikatnya dia tersangat jauh dan tak mungkin tercapai dengan jangkauan tangan kita yang pendek.” Katanya tanpa menoleh ke arah aku. Dia mengangkat tangan kirinya, menghalakan jari telunjuk ke arah sekumpulan bintang yang bertaburan di langit .

“Macam itu juga dengan awak. Awak sangat dekat dengan saya, berbaring di sebelah sambil berkongsi pemandangan yang sama. Tapi hakikatnya awak tersangat jauh. Jauh untuk dicapai dengan harapan saya yang terlalu pendek.” Dia menghembuskan perasaan hatinya.

Lidahku bisu, tiada kata-kata yang sebetulnya untuk ditutur bagi membalas kenyataan yang dia ucapkan itu. Lebih baik diam daripada mengeluarkan percakapan yang mungkin membangkitkan pergaduhan. Dengan suara yang perlahan dia menyambung bicaranya, “ seperti jauhnya awak bersembunyi di dalam diri awak sendiri.” Dia cuba mengawal intonasi bicaranya supaya tidak kedengaran melankolis.

Dia mengiringkan badannya ke arah aku, kemudian memegang kedua-dua belah pipi aku dengan tangannya. Sambil melihat jauh dari dalam mataku, dia berbisik. “ Kenapa awak bersembunyi? Apa yang awak takutkan?”

Aku tidak mampu membalas pandangannya, anak matanya seolah memandang terus ke dalam hati aku dan aku dapat rasakan tatapan penuh cinta itu bukan untuk aku. Dan aku yakin, aku yang dahulu mendengar setiap butir kata daripada dia. ‘ Dia sangat rindukan kau’. Aku berbisik sendiri.

“ Saya takutkan realiti. Realiti ini yang pisahkan kita. Saya terpaksa berpura-pura menjadi seseorang yang lain dan menyimpan kenangan jauh daripada pegangan tangan saya sendiri.”

Dia membelai rambutku dengan lembut kemudian menganggukkan kepalanya beberapa kali sebelum mengalihkan pandangannya semula ke atas, melihat pemandangan yang dihiasi sekumpulan bintang-bintang yang bergantungan pada kanvas langit yang hitam dan luas.

Mungkin aku tersalah lihat atau hati aku yang salah mentafsir atau apa, tetapi cahaya Canopus yang terang itu seakan menyinggah ke bahagian pipinya. Membuatkan mataku tidak berganjak daripada memandang wajahnya dan perlahan-lahan kelopak mata tertutup. Duniaku kembali gelap dan kosong. Mungkin ini adalah sebab kenapa dia muncul sekali lagi selepas beberapa tahun.

Berjuta bintang tidak mampu menandingimu, walaupun mereka mengembara beberapa tahun cahaya untuk sampai ke dada langit dan membuatkan manusia berbicara tentang sesuatu yang mereka bawa ; tentang gelap,tentang kehilangan dan tentang sesuatu yang dinamakan kenangan. Tenang saja di sisi aku, mataku tetap akan memilihmu.

Tujuh pagi.

“ Amir bangun... bangun, jom kita balik.” Seorang perempuan berkot putih yang cukup aku kenal membangunkan aku daripada lena. Perlahan aku membuka mata dan segera menoleh ke kanan, “ dia sudah pergi, sekali lagi dia pergi tinggalkan aku?” Aku bersoal jawab sendiri. Aku segera bangun dan berjalan tidak tentu arah. Mata ini masih mahu mencari keberadaan dia yang tiba-tiba lesap.

“ Doktor tolong cari dia! Semalam dia dekat sini dengan saya! Tolong doktor saya perlukan dia!” Aku merayu. Perempuan berkot putih itu hanya berdiri kaku tanpa melakukan apa-apa. Kepala aku seperti ditendang puluhan kaki, sangat sakit dan aku jatuh terduduk di tanah.

“ Dia sudah pergi Amir. Terimalah kenyataan itu. Lepaskan dia, dia datang menemui awak mungkin untuk meminta awak lepaskan dia pergi dengan aman, Amir. Dia inginkan awak hidup dengan masa hadapan bukan kenangan.” Kata-kata daripada seorang doktor perempuan itu seperti peluru yang menembak tepat ke arah hati aku yang sudah lama mati.

“ Amir, mari ikut saya balik. Selepas ini saya janji, saya akan tolong awak cari cinta awak yang dah lama hilang.” Perempuan itu cuba memujuk.

“ Betul ni doktor?” Aku meminta kepastian.

Dia menguntumkan senyuman dan mengangguk kepalanya beberapa kali. Tidak jauh dari titik aku berdiri, ada kelibat beberapa orang sedang berborak di antara satu sama lain sambil memandang ke arah aku dengan wajah yang bimbang.

“ Terima kasih kerana menghubungi pihak kami. Dia hilang dari hospital sejak dua hari yang lalu.” Doktor perempuan itu mengucapkan penghargaan kepada seorang lelaki.

“ Sama-sama puan. Saya nampak dia bercakap seorang diri semalam dan cuba menegur tapi tidak diendahkan. Saya nampak logo hospital di poket baju yang dia pakai tu, sebab itu saya hubungi pihak hospital.” Terang lelaki itu.

Mendengar perbualan itu, membuatkan aku resah. “ Doktor, kita akan balik ke hospital?”

Dengan wajah yang tenang, doktor perempuan itu membalas, “ tidak Amir, kita akan balik ke realiti.”

PEMBACA dipelawa menghantar cerpen dan puisi untuk disiarkan pada setiap Sabtu. Tema adalah bebas selagi tidak melanggar tata susila dan undang-undang negara. Panjang cerpen adalah maksimum 1,800 patah perkataan. Setiap cerpen dan puisi yang disiarkan layak dicalonkan untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU). E-melkan cerpen dan puisi beserta biodata dan gambar penulis ke [email protected] – PENGARANG