Baru sahaja beliau mahu mendendangkan kata-kata rahsia yang menjadi ‘kata laluan’ pintu gua itu, beliau ternampak Ali Baba, lakonan Aziz Satar sedang memerhati gelagatnya dari atas pokok.

Mengikut logik, sepatutnya Ali Baba ditangkap atau dibunuh kerana mengintip mereka, namun kerana Ali Baba mengatakan bahawa beliau adalah ‘reporter’, maka si ketua penyamun membiarkan beliau.

Meskipun kisah itu hanyalah fiksyen dan jenaka semata-mata, sedikit sebanyak babak itu menunjukkan bahawa kerjaya wartawan sebagai ‘tiket’ yang besar. Wartawan boleh berada di mana sahaja, malah bukanlah sesuatu yang menghairankan jika wartawan berada di tempat-tempat pelik seperti di tengah hutan.

Kerjaya sebagai wartawan memang menarik dan boleh membawa seseorang itu ke banyak tempat selain berjumpa ramai personaliti unik dari pelbagai lapisan masyarakat. Malah, wartawan juga memainkan peranan penting dalam pembangunan dan hala tuju sesebuah negara.

Bidang kewartawanan telah bertapak di negara ini sejak 203 tahun lepas iaitu sejak penerbitan akhbar berbahasa Inggeris The Prince of Wales Island Gazzete di Pulau Pinang pada 1806.

Antara penerbitan lain yang muncul pada era itu adalah Singapore Chronicle pada 1824, Singapore Free Press (1835), The Straits Times (1845), The Malay Mail (1896), The Straits Echo (1903) dan The Malay Tribute (1918). Sementara itu, Jawi Peranakan adalah akhbar bahasa Melayu pertama diterbitkan pada 1876 dalam tulisan jawi.

Laporan-laporan akhbar pada ketika itu berciri tempatan iaitu berkisar perkembangan semasa negeri masing-masing sahaja.

Dengan menempatkan wartawan di setiap negeri, Utusan Melayu yang diterbitkan pada 1939 muncul akhbar pertama berciri nasional yang melaporkan berita-berita dari seluruh negara.

Kewartawanan radio bermula pada 1946 apabila berita radio mula diterbitkan oleh Radio Malaya di Singapura, yang kemudiannya ditukar kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), selepas penubuhan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya memberitahu bahawa kelompok wartawan pada zaman sebelum merdeka jelas menonjolkan semangat perjuangan.

Dalam usaha membebaskan tanah air daripada penjajah, mereka mendukung dan menyebar luas aspirasi nasionalisme kepada seluruh masyarakat menerusi penulisan, bukan sahaja melalui laporan berita malah karya-karya fiksyen seperti novel, cerpen dan puisi. Justeru, tidak hairanlah, apabila ramai tokoh wartawan pada zaman itu turut menempa nama dalam bidang kesusasteraan negara.

“Pada masa inilah lahir tokoh-tokoh wartawan seperti Abdul Rahim Kajai, Melan Abdullah (Pak Melan), Ishak Muhammad (Pak Sako) dan A. Samad Ismail (Pak Samad) serta ramai lagi,” jelas beliau.

Pascakemerdekaan menyaksikan lebih banyak akhbar diterbitkan seperti Berita Harian pada 1957 dan akhbar berbahasa Inggeris The Star (1971). Kemunculan kewartawanan penyiaran dengan penerbitan berita televisyen oleh RTM pada 1963 dan TV3 pada 1984, menyemarakkan lagi dunia kewartawanan negara.

Turut berkembang adalah penerbitan beberapa tabloid seperti Minggu Perdana (Januari 1982), Mingguan Wanita (Ogos 1982) dan Bacaria (November 1982). Selain itu, beberapa majalah yang popular ketika itu adalah Wanita mula diterbitkan pada Ogos 1969 dan majalah khas hiburan, Utusan Radio & Televisyen (URTV), pada Januari 1970.

Kelahiran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bermama) pada 1968 juga melakar sejarah sebagai agensi tunggal yang menyalurkan berita kepada organisasi media tempatan dan antarabangsa.

Terkini bidang kewartawan melalui fasa alam maya dengan kebangkitan pelbagai media sosial yang tidak terbilang jumlahnya.

Malah, kini kebanyakan akhbar mempunyai laman web masing-masing dan boleh diakses melalui Internet. Kemunculan portal berita dalam talian seperti Malaysiakini, Malaysian Digest dan Free Malaysia Today, telah mengubah landskap kewartawanan negara dengan menuntut laporan berita yang lebih pantas dan terkini.

Selain itu, peningkatan teknologi digital dan penggunaan luas media sosial menyebabkan profesion kewartawanan berhadapan pelbagai cabaran, berikutan kewujudan pelapor-pelapor daripada kalangan orang awam yang menyampaikan berita secara langsung.

Chamil menggariskan tiga nilai kewartawanan yang diamalkan iaitu kewartawanan perjuangan, kewartawanan perkhidmatan awam dan kewartawanan komersial.

Kewartawanan perjuangan menyaksikan wartawan menggunakan profesionnya untuk memperjuang sesuatu ideologi yang dipercayainya.

Jelas beliau, konteks perjuangan wartawan pramerdeka adalah untuk menuntut pembebasan daripada British. Mutakhir, wartawan berjuang untuk menentang rasuah, membongkar skandal dan penyelewengan pemimpin yang bersifat ‘musang berbulu ayam’ atau pengkhianat bangsa.

“Mereka mahu membetulkan apa dilihat sebagai silap, selain membaiki pelaksanaan dasar kerajaan yang kelihatan pincang,” katanya.

Dalam perspektif kewartawanan perkhidmatan awam pula, wartawan menganggap diri mereka sebagai ‘the fourth estate’ yang memainkan peranan penting dalam sesebuah negara selepas tiga institusi utama iaitu penggubal undang-undang, pelaksana dan kehakiman.

Menurut Chamil, golongan berkenaan selalunya lebih beretika dalam membuat laporan dan mengutamakan kepentingan awam.

“Dalam konteks negara ini, ramai wartawan mengambil pendekatan ini dan bertugas dengan berhemah. Laporan menegur kerajaan atau pihak berkuasa disampaikan dengan nada sinis dan sindiran,” ujar beliau.

Selain itu, kewartawanan komersial pula mengetengahkan nilai berita yang boleh dijual dan menarik perhatian khalayak, seperti berita berunsur human interest (kemanusiaan), sukan dan hiburan, bagi meraih keuntungan kewangan.

Chamil, yang menceburi bidang kewartawanan pada usia 19 tahun, berkata, mereka yang menjadi wartawan pada waktu itu memilih kerjaya berkenaan atas minat yang mendalam. Berbanding generasi wartawan kini yang mempunyai pendidikan tinggi, wartawan terdahulu memasuki bidang itu tanpa memiliki ijazah, malah ada yang hanya berkelulusan Darjah Enam.

Walaupun tanpa latihan di universiti, tambah Chamil, generasi wartawan dahulu cepat belajar selok-belok kewartawanan dan sanggup berkorban masa serta tenaga dalam menjalankan tugas.

"Wartawan generasi sekarang adalah wartawan terlatih dan mempunyai pendidikan yang baik, mereka adalah golongan profesional. Oleh itu, mereka sepatutnya boleh pergi lebih jauh dan boleh menghasilkan karya-karya yang lebih baik,” katanya.

Sempena menghargai profesion kewartawanan, sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) bakal berlangsung pada 11 April ini sebagai satu langkah mengangkat martabat wartawan ke tahap sewajarnya.

Sambutan yang julung kali diadakan ini bertema “Wartawan Membela Bangsa, Membina Negara” akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dihadiri barisan wartawan negara. - BERNAMA