Di luar jendela, kelihatan rintik-rintik hujan mula membasahi bumi. Seolah-olah menggambarkan kesayuan di hatiku tatkala itu. Beberapa kali juga aku menghamburkan nafas seolah-olah memberitahu betapa aku kelelahan dalam menghadapi pelbagai dugaan yang mendatang. Sebagai hamba-Nya, aku sedar bahawa setiap dugaan dan ujian yang diperturunkan itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Pun aku lebih sedar, selagi aku bergelar insan maka aku tidak akan terlepas daripada diuji dan terus diuji kerana ujian demi ujian itu menandakan bahawa Allah masih sayangkan aku sebagai hamba-Nya.

Kemudiannya, mataku tertancap kepada seorang pesakit yang duduk di atas kerusi roda. Wajahnya kelihatan pucat. Pesakit lelaki yang berumur lebih kurang 60 tahun itu hanya duduk seperti patung cendana tanpa menghiraukan kehadiran aku di situ. Barangkali sedang berjuang dan berhempas-pulas melawan kesakitan yang dialaminya. Kedut-kedut pada wajahnya menyimpan pelbagai cerita suka dan duka. Betapa dalam usia sebegitu, dia terpaksa menahan kesakitan. Ternyata tubuh yang serba kurus itu akan cepat lemah dan sakit tatkala menghadapi ujian kesihatan daripada Allah jua.

Abah...Getusku di dalam hati.

Namun, panggilan keramat itu hanya kaku di lubuk jiwaku tanpa abah mendengarnya. Aku juga tidak tahu mengapa secara tiba-tiba aku menyebutnya. Barangkali kerana teringatkan abah yang terbaring di wad hospital itu menyebabkan fikiranku menerawang mencari kelibat abah tanpa kusedari.

Teringatkan abah membuatkan hatiku terasa sebak. Sudah seminggu abah dimasukkan ke wad kerana masalah kencing manis dan buah pinggang. Sudah seminggu jugalah mak menjaga abah tanpa ruang untuk berenggang. Semua adik-beradikku telah menziarahi abah melainkan aku yang terlalu sibuk dengan kerja-kerja di pejabat yang tidak pernah habis. Kerana tuntutan kerja yang menimbun tinggi itu menyebabkan aku alpa dan membiarkan abah menunggu lama di wad itu. Kasihan abah!

“Kak, kenapa duduk di luar? Marilah masuk ke dalam. Abah panggil kakak.” Ujar Alang sambil melihat wajahku.

“Kenapa kak? Kakak menangis?” soal Alang membuatkan aku cepat-cepat mengelap air mata yang semakin bertakung di kelopak mata.

“Tak ada apa-apa.” Jawabku ringkas. Cuba menyakinkan Alang.

Aku tidak mahu Alang sedih apabila melihat perlakuanku. Sungguh, dalam setiap detik, aku menyesal kerana mengabaikan abah dan mak. Aku lebih mengutamakan pekerjaanku daripada menjenguk mak dan abah di kampung. Kerana kesibukan yang semakin bermaharajalela di hati menyebabkan hubungan kasih sayangku terungkai dan hambar dengan adik-beradik yang lain.

Namun, keluhanku itu hanya berlegar-legar di dalam hati dan terhenti lalu terkulai di lubuk jiwaku. Entahlah...

Aku melangkah lesu menuju ke wad yang menempatkan abah. Pada waktu itu, aku bertemu dengan wajah-wajah yang tidak ku kenali. Maklumlah, waktu itu merupakan masa untuk melawat pesakit. Kemudiannya, aku menuju ke sebuah bilik yang bernombor 2A. Di dalam bilik itu, terdapat empat buah katil yang menempatkan empat orang pesakit. Setiap katil hanya dipisahkan oleh tirai putih sebagai sempadan. Di suatu sudut, aku melihat wajah mak yang sedang tersenyum apabila melihat kehadiranku di situ.

Ah, mak. Dalam kepayahan masih lagi tersenyum menyambut kehadiran anaknya, sedangkan aku sebagai seorang anak, sering melukakan hati mak dan abah dengan ketidakhadiranku untuk menjenguk mereka. Aku bermonolog sendirian. Ternyata, perasaan kesalku semakin mencengkam ke seluruh urat jantungku.

“Mak...” panggilku mesra sambil memeluk tubuh tua itu dengan erat.

Aku mahu mak tahu bahawa aku terlalu bersalah kerana mengabaikan kasih sayangku terhadap mak dan abah. Namun, mak dengan segera membalas pelukanku lebih erat dan hangat dengan rimbunan kasih sayang yang mendamaikan. Aku terharu diperlakukan sedemikian. Kemudiannya, aku melihat wajah abah. Wajah tua itu kutatapi sedalam-dalamnya. Ada kolam-kolam derita yang semakin surut pada wajah itu. Pada wajah tua itu kutemui garis-garis kehidupan yang semakin terbenam di ufuk senja. Terlalu banyak pelabuhan yang disinggahi, namun selangkah lagi ke pelabuhan abadi. Aku terkedu apabila memikirkan tentang ketentuan Ilahi. Wayar yang berselirat di dada abah itu membuatkan air mataku merembes keluar. Kasihan abah!

Lantas terlintas di fikiranku tentang abah pada masa yang lalu. Abah adalah nadi kehidupan kami sekeluarga. Pada waktu mudanya, abah banyak menghabiskan masa dengan bekerja menyara kehidupan kami. Ketika itu, adik-adikku masih kecil. Hanya aku dan Angah sahaja yang bersekolah rendah pada waktu itu. Aku melihat kesusahan yang dihadapi oleh abah. Abah mengerahkan tulang empat keratnya untuk melakukan pelbagai pekerjaan untuk membesarkan kami adik-beradik. Abah memandu lori menghantar muatan barangan tanpa mengira detik masa. Siang dan malam berhujan dan berembun demi membesarkan anak-anak yang masih kecil. Tangan abah dari lembut bertukar menjadi kasar kerana terpaksa mengangkat barang. Tubuh abah dari sehari ke sehari menjadi sasa dan tegap. Seteguh cita-cita abah untuk melihat anak-anak berjaya hingga ke menara gading. Abah langsung tidak pernah merungut dengan kepayahan hidup yang dirasainya. Bagi abah, tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga menyingkirkan segala perasaan ingin hidup mewah sebagaimana insan yang lain. Abah pasrah dan redha menerima segala-galanya.

Aku masih lagi teringat tentang abah. Jika abah bercuti, abah akan menggoreng sayur kangkung kegemaran aku dan Alang. Biarpun masakan abah tidaklah sehebat chef terkemuka, namun kami dapat merasakan kelazatan kangkung goreng abah. Barangkali, air tangan abah menjadikan hubungan kami adik-beradik begitu rapat dan dipenuhi dengan kasih sayang yang abadi. Barangkali juga, abah menggoreng sayur kangkung dengan menambah ramuan cinta abadi di hati kami.

Ah, abah. Jasa dan pengorbananmu tidak dapat dibalas dengan kata-kata. Malah, sebesar kuman sekalipun, aku pasti tidak akan dapat membahagiakan diri abah sebagaimana yang pernah dilakukan oleh abah kepada anak-anaknya.

“Kakak...” panggil abah dengan suara yang perlahan menyebabkan aku tersentak dari lamunan.

Aku menghampiri abah lalu kucium tangan abah. Tangan abah yang berkedut dan sejuk itu membuatkan aku tersentak. Baru kusedar abah yang dahulunya muda kini sudah semakin pudar usianya. Abah yang dahulunya bertubuh sasa dan tegap sudah semakin kurus hingga menampakkan tulang-temulangnya. Kini, rambut abah semakin putih membayangkan betapa abah sudah semakin jauh meninggalkan kenangan silam pada masa nan lalu.

“Abah...” panggilku sayu.

“Kakak...abah kini bukan seperti abah yang kuat dan sihat. Abah sudah semakin tua. Anak-anak abah semuanya sudah besar dan ada keluarga sendiri. Kalau dulu, rumah abah dan mak sentiasa riuh dengan kakak dan adik-adik yang lain tetapi kini rumah itu semakin sunyi dan sepi. Tetapi abah masih redha menerimanya.” Luah abah dengan air mata yang semakin bertakung di kelopak matanya.

“Kakak...abah tahu anak-anak abah sentiasa sibuk bekerja siang dan malam. Abah langsung tidak pernah marah kalau anak-anak abah sentiasa sibuk mencari rezeki untuk kelangsungan hidup. Abah mengerti dan redha. Kerana tuntutan hidup pada zaman ini menyebabkan penghuninya terpaksa berhempas-pulas mengejar hakikat kehidupan yang serba mencabar.” Ujar abah dengan linangan air mata.

Aku hanya tunduk memandang permukaan simen yang menggerutu dan berbalam-balam. Selama ini, abah langsung tidak pernah berfalsafah tentang kehidupan. Apa yang sebenarnya ingin abah sampaikan kepada diriku? Aku bermonolog.

“Abah...”panggilku dengan sayu. Aku mahu tahu apa yang bersarang di hati abah.

“Abah dan mak tak mahu apa-apa. Jauh sekali wang ringgit dan kemewahan harta. Sudah lama kami kehilangan anak-anak kami. Rumah itu sudah semakin sunyi. Semakin sepi. Hanya tinggal mak dan abah sahaja yang melayani hari tua kami tanpa anak-anak di sisi. Justeru, kami mahu anak-anak kami kembali bersatu seperti dahulu yang semasa kecilnya bersama-sama membahagiakan hati mak dan abah. Itu sahaja yang abah ingin.” Ujar abah hiba.

Aku tersentak. Permintaan abah itu benar-benar meruntun hatiku. Kata-kata abah membuatkan diriku tertikam dengan serpihan kaca yang jatuh berderai. Sakit dan pedih dengan kalimat yang kudengar sebentar tadi. Selama ini, abah dan mak kesepian walaupun dalam dakapan anak dan cucu-cucunya. Kami membiarkan abah dan mak menghabiskan sisa-sisa kehidupan mereka tanpa anak-anak di sisi. Untuk sekian kalinya, aku menghamburkan nafas yang panjang seperti baru tersedar dari lena yang panjang. Kini, tekadku hanya satu, aku akan menjaga mak dan abah seperti mana mak dan abah pernah menjaga kami adik-beradik seperti masa nan lalu.