Ya, semua orang sedang berseronok dan bersukaria kerana hari Gawai Dayak bakal dirayakan tidak lama lagi. Tambahan pula, cuti sekolah di Sarawak tahun ini hampir sebulan. Mana tidaknya, cuti sempena Gawai Dayak dicampur dengan cuti pertengahan dan cuti Hari Raya Aidilfitri.

Masing-masing, tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambutnya bersama ahli keluarga dan rakan taulan. Namun, sebaliknya tidak bagi aku. Aku lebih rela tinggal di bandar berbanding pulang ke kampung untuk bercuti.

“Jerry, pergi kemas barang kamu. Cepat! Kita akan pulang ke kampung petang ini,” kata ibu dengan tegas sambil mencekak pinggang. Ibu mengarahkan aku agar segera mengemaskan barang untuk dibawa pulang ke kampung. Aku pula sibuk bermain permainan mobile legends di dalam telefon bimbit

Setiap kali apabila ayah dan ibu mengajak aku pulang ke kampung. Aku pasti akan memberikan seribu macam alasan untuk mengelak. Aku lebih rela tinggal berseorangan di rumah daripada mengikut mereka ke kampung. Aku bukannya sengaja tidak mahu pulang ke kampung. Akan tetapi, di kampung tiada liputan internet.

Berbanding di bandar, liputan internetnya sangat baik. Oleh itu, aku boleh bermain permainan mobile legends bila-bila masa tanpa sekatan dan gangguan liputan internet. Jika aku tinggal di kampung bersama ayah dan ibu, sudah pasti cuti aku selama sebulan itu akan membosankan dan melemaskan.

“Tak nak! Jerry tak nak balik kampung. Jerry nak duduk di rumah”. Aku bertegas enggan pulang ke kampung. Keputusan aku muktamad dan tidak dapat diganggu gugat.

“Kali ini, kamu kena balik juga ke kampung bersama ibu dan ayah. Ini perintah! Kalau kamu berdegil juga. Ibu akan hentikan langganan internet buat selama-lamanya. Kamu nak begitu?”. Ibu mengugut aku.

Aku dilema. Sempat aku merasa bahawa diri aku kini bagaikan diluah mati emak, ditelan mati bapa. Dalam keadaan terpaksa, aku mengiyakan. Aku akur pada perintah ibu. Aku sedar akan akibatnya kalau membantah. Tidak dapat aku bayangkan hidup ini tanpa internet walaupun sesaat. Kacau-bilau dibuatnya.

Tanpa berlengah lagi, aku segera bangkit daripada sofa. Telefon bimbit, aku letak di atas meja. Dengan pantas, aku menapak ke bilik tidur untuk mengemas pakaian. Ibu juga begitu. Kami akan bertolak ke kampung sebaik sahaja ayah pulang dari pejabat.

Aku menyelak daun pintu rumah secara koi-koi. Tanpa diduga, angin bersepuh dingin, datang menerpa tubuh gendutku sebaik sahaja daun pintu dikuak. Bayu yang datang dari kawasan perbukitan menerobos masuk ke beranda rumah panjang.

Syamsu semakin meninggi di langit lazuardi. Bahangnya galak membusur dengan rakus dari langit. Tampak garang lagaknya. Awan-awan putih kapas yang melimpas, memegat buat seketika panahan cahaya ke bumi. Kemudian, diusir pula oleh pawana yang bergerak laju di jumantara. Seakan-akan bersekongkol dengan mentari.

Ayam kampung kelihatan berkejar-kejaran di bawah kolong rumah. Tiada lagi suara mereka berkeruyuk. Dua tiga ekor ayam kampung pula sedang asyik mencakar tanah, mencari cacing untuk dimakan. Burung-burung pula berkicauan dari atas dahan pohon rambutan yang tumbuh di tepi rumah panjang. Seolah-olah mengucapkan salam pagi buat aku.

Aku menapak ke arah bangku panjang yang berada di tepi pintu. Punggung dilabuhkan pada dada bangku dari papan kayu berlian yang terhampar luas. Aku segera menyeluk kocek seluar, lalu mengeluarkan telefon bimbit.

“Aduh! Tiada langsung liputan internet di sini. Bagaimana aku nak main mobile legends. Jika ibu tak ugut, sudah tentu aku tidak ke mari,” gumamku seorang diri di anjung rumah panjang. Aku mengeluh panjang. Tidak berpuas hati. Kebosanan pasti mencengkam diriku selama bercuti di kampung.

“Cucu... tengah buat apa tu?”. Aki menyergah aku secara tiba-tiba dari belakang. Tangan kanannya hinggap di atas bahuku.

“Sedang mencari liputan internet. Malangnya, tiada. Beberapa kali Jerry mencuba,” balasku.

“Di kampung ini, memang tiada liputan internet. Tambahan, kampung ini terletak di kawasan pedalaman yang jauh dari bandar. Sudah tentu masih ketinggalan dari segi capaian internet. Cucu nak buat apa dengan internet?”. Aki menyoal aku.

“Jerry mahu bermain permainan mobile legends”.

Aki kelihatan menggaru-garu kepala. Aku rasa Aki tidak faham dengan apa yang aku katakan tadi. Andai aku jelaskan padanya, mungkin juga dia tidak memahaminya. Baik aku berdiam diri saja.

“Aki tentu tak tahu perkara ini. Maklumlah, Aki... orang kampung yang hanya tahu kehidupan bertani dan sara diri. Nak ikut Aki tak?”. Aki mempelawa.

“Ke mana?”. Aku bertanya.

“Cari pokok di hutan belakang rumah panjang untuk dibuat ranyai. Marilah ikut Aki”.

Tanpa berfikir panjang, aku terus mengangguk. Daripada duduk melayan bosan tanpa internet. Lebih baik aku ikut Aki. Boleh juga aku hirup udara segar. Asyik-asyik hirup udara di bandar yang semakin hari semakin kotor.

Malam itu adalah malam 31 Mei. Sambutan ambang hari Gawai akan dijalankan di ruai rumah panjang. Aku, Ibu, Ayah, Inik dan Aki telah bersiap sedia untuk menyambut kedatangan tahun baharu bersama penghuni rumah panjang yang lain. Ibu dan Inik mengenakan pakaian tradisional masyarakat Iban iaitu ngepan Iban. Tali pinggang yang diperbuat daripada duit syiling melilit kemas pinggang mereka, bergoncang-goncang sehingga menjelmakan bunyi bagaikan hujan menimpa atap rumah. Bukan mereka berdua sahaja, beberapa wanita lain turut mengenakan pakaian yang sama.

Kami semua duduk bersila mengelilingi pohon ranyai yang berdiri di tengah ruai rumah panjang. Sejujurnya, aku masih tertanya-tanya akan hal ini. Mengapa semua penghuni rumah panjang yang siap berpakaian tradisional, tidak kira tua atau muda, mengerumuni sebatang pokok yang dihias dan digantung dengan makanan, minuman, mainan dan sebagainya pada dahan-dahannya.

Namun, penjelasan Aki petang tadi telah menyedarkan aku akan segala-galanya. Pokok yang tumbuh di tengah ruai itu bukan sembarangan pokok. Ia adalah simbol kepada bermulanya pesta Gawai. Lambang perpaduan dalam kalangan penghuni rumah panjang.

“Aki nak buat apa dengan pokok ni?”. Tanya aku sebaik sahaja kami sampai di tengah ruai rumah panjang bersama pokok untuk dibuat ranyai.

Kata Aki, “Pokok ini akan dijadikan ranyai. Kita akan dirikan ia di tengah rumah panjang. Lepas itu, pokok ini akan kita hias untuk acara malam ini”.

Alunan suara gong tawak, bebendai, gendang, ketebung dan engkurumong yang secara tiba-tiba bangkit daripada tidur itu berjaya menghapuskan lamunanku sejenak. Itu petanda jelas bahawa sebentar lagi, acara sambutan akan bermula. Kelihatan salah seorang daripada lelaki dewasa yang lengkap dengan pakaian tradisional, menyerupai pahlawan Iban sedang bergerak ke hadapan pohon ranyai sambil menarikan tarian ngajat.

Di tangannya, kelihatan sebilah parang panjang yang berkilat. Aku lihat dengan jelas kelincahan lelaki itu menari mengikut rentak dan irama alat muzik tradisional yang dimainkan oleh sekumpulan warga emas di pojok kanan pohon ranyai.

“Siap sedia untuk tarian ngajat,” bisik ayah di telingaku.

Seperti yang aku duga, selepas sahaja pemuda tadi menghabiskan tariannya. Dia memanggil aku untuk meneruskan tarian ngajat mengelilingi pohon ranyai sambil memotong barangan yang tergantung pada dahan. Aku sebaliknya tidak melepaskan peluang ini. Malu aku tolak tepi. Aku harus cuba.

Sesungguhnya, acara sebegini sebenarnya tidak membosankan tapi mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama penghuni rumah panjang. Ia lebih menyeronokkan daripada permainan mobile legends yang aku banggakan. Patutlah, kawan-kawanku tidak sabar untuk pulang merayakan Hari Gawai. Acara tersebut tamat sebaik sahaja pohon ranyai itu ditumbangkan.