Ini kerana anugerah tersebut boleh dianggap sebagai kemuncak dalam kegiatan sastera dan persuratan Melayu di negara ini.

Tanpa mempertikaikan siapa jua pencalonan yang dinamakan, sebaliknya saya ingin mengemukakan beberapa cadangan untuk perhatian dan pertimbangan kepada Urusetia Pemilihan Sasterawan Negara di bawah Kementerian Pendidikan.

Memandangkan Anugerah Sasterawan Negara ke-13 diberikan kepada penulis atau sasterawan wanita, Datuk Zurina Hassan dua tahun lalu yang merupakan Sasterawan Negara Wanita pertama menerimanya sejak penganugerahan tersebut diperkenalkan lama dulu.

Pemilihan wanita menjadi Sasterawan Negara pertama itu dilihat amat wajar kerana sebelumnya seramai 12 orang yang dipilih sejak Sasterawan Negara pertama, Keris Mas (Allahyarham)kesemuanya terdiri dalam kalangan kaum lelaki termasuk yang telah meninggal dunia antaranya, Usman Awang (Tongkat Waran), Arenawati, S. Othman Kelantan, Abdullah Husin dan Shahnon Ahmad yang baharu meninggal dunia.

Sasterawan Negara yang masih ada bersama kita ialah Mohamad Haji Salleh, A. Samad Said, Nordin Hassan, Anuar Ridhuan, Kemala dan Baharudin Zainal (Baha Zain).

Memandangkan pemilihan pertama Sasterawan Negara Wanita itu telah terlaksana, saya ingin mencadangkan kemungkinan Sasterawan Negara ke-14 kali ini dipilih atau diberikan pertimbangan kepada penulis atau sasterawan bukan Melayu yang bergiat dan menyumbang bagi menegak dan memperjuangkan sastera dan bahasa Melayu yang diiktiraf menjadi bahasa kebangsaan rasmi negara ini.

Pemilihan Sasterawan Negara bukan Melayu itu juga boleh dan wajar diberikan pertimbangan jika ada calon-calon daripada Sabah dan Sarawak yang wajar diberikan perhatian sepenuhnya kerana setakat ini belum ada nama dari negeri tersebut yang tersenarai sebagai Sasterawan Negara.

Sebagai contoh, beberapa nama penulis atau sasterawan bukan Melayu yang dirasakan layak malah tidak asing lagi kepada peminat-peminat sastera tanah air termasuklah tokoh penyair dan pemuisi, Dr. Lim Swee Tin serta Dr. Raja Rajeswari Raman.

Kedua-duanya lebih menonjol sebagai penyair juga deklamator yang sering kita ketemui hasil karyanya dalam pelbagai genre dan media sambil menyaksikan kelibat penampilan mereka dipentas kegiatan sastera tanah air waima di luar negara.

Mereka juga sering memberikan wacana dan pendapat dalam berbagai forum di dalam dan luar negara di samping menghasilkan beberapa buku sastera termasuk antologi hasil karya masing-masing.

Malah mungkin juga ada nama-nama dari Sabah dan Sarawak yang difikirkan layak dan boleh dicalonkan?

Cadangan yang dikemukakan ini mungkin selari atau kena pada masa dan tempatnya bersempena PRU-14 yang sedang hangat diperkatakan ramai rakyat terutama bakal para pengundi sekarang.

Namun ia juga tidak semestinya berlaku hanya kerana tarikh pilihan raya kerana kebanyakan calon yang disebut sememangnya sesuai dan layak memenangi gelaran Sasterawan Negara.

Seperkara lagi juga mungkin perlu diberikan perhatian bukan sahaja oleh Sekretariat Penilai Sasterawan Negara yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)Kuala Lumpur waima kerajaan, betapa anugerah tersebut yang memberikan hadiah wang tunai sebanyak RM60,000 agar dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM100,000 atau jumlah yang difikirkan lebih sesuai dengan keadaan sekarang berikutan dengan kenaikan kos sara hidup.

Saya sendiri pernah mencadangkan hadiah anugerah ini dinaikkan yang tersiar dalam akhbar mingguan Jawi, Utusan Zaman beberapa tahun dahulu sebelum ia dinaikan dari awalnya hanya RM30,000 kepada RM60,000 sekarang, dan beberapa kemudahan yang lain termasuk untuk berkarya dan rawatan perubatan percuma Kelas 1 di hospital kerajaan.

Kenaikan ini dirasakan amat wajar untuk dinikmati oleh para penulis dan kaum sasterawan tanah air. Ini memandangkan imbuhan dan anugerah yang diberikan kepada bidang sukan melibatkan olahragawan atau olahragawati negara dengan jumlah bonus yang agak tinggi, mencecah ratusan ribu ringgit di samping dibayar pencen bulanan yang agak lumayan.

Sebagai contoh, setiap olahragawan yang mendapat pingat emas dalam Sukan Olimpik misalnya diberikan ganjaran bonus ratusan ribu ringgit mengikut kategori pencapaian dan bayaran persaraan bulanan hingga RM5,000 tiap bulan.

Mungkin tidak keterlalaun andainya kerajaan juga boleh menimbangkan pemberian bonus dan bentuk ganjaran yang serupa kepada para sasterawan dan kaum penulis.

Ini kerana merekalah juga yang sedikit sebanyak menyumbang ke arah kedaulatan bahasa persuratan dan pembangunan negara tercinta yang terdiri daripada berbagai suku kamu, bangsa dan agama ini.