Berdasarkan statistik kita pada tahun 2017, Malaysia belum mencapai 20,000 judul berdasarkan populasi. Kita perlu menerbitkan sekitar 30,000 hingga 40,000 judul setahun.

Ini mencerminkan taraf kehidupan dan pendidikan rakyat di negara ini belum mencapai KPI yang telah ditetapkan UNESCO.

Benarlah sedemikan kehendaknya untuk membangunkan industri buku di Malaysia perlu mengambil masa panjang. Didokong dengan beberapa kerangka utama yang dicipta oleh pemerintah mahupun pemain industri buku.

Yang ingin kita melihat di sini bagaimana sebuah negara itu membangunkan industri ini.

Begitu juga peranan aktivis sastera yang memainkan peranan untuk menggiatkan masyarakat untuk menyukai buku bukan sekadar suka sahaja, mereka harus menyegarkan minat ingin membeli, Itu perkara yang utama untuk menyokong pertumbuhan ilmu yang segar pada hati rakyat negara ini.

Industri buku akan hidup dan berkembang baik bila ada yang menyukai dan membelinya. Tanpa pembeli bagaimana industri ini akan hidup subur dan mencapai kehendak UNESCO itu sendiri.

Aktivis sastera perlu mendapat suntikan dana daripada kerajaan untuk menggerakkan aktiviti membaca dalam kalangan masyarakat.


Persatuan penulis

Dana wajar diberikan kepada persatuan-persatuan penulis yang berdaftar dan yang bergerak aktif, kepada universiti-universiti ditingkatkan lagi dana yang sedia ada untuk menerbitkan buku-buku ilmiah.

Kepada badan penulis berskala kecil yang bergerak sendirian melalui kumpulan-kumpulan kecil sastera tapi amat giat dalam aktiviti gerakan sastera dan budaya juga mempunyai peranan amat besar dan perlu juga diberi perhatian.

Selain daripada usaha agensi kerajaan yang keterlibatan (engagement) penuh dengan dasar buku negara bawah Kementerian Pendidikan seperti Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) dan Institiut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), kerajaan harus mencari jalan untuk memberi bantuan kepada usaha pengusaha industri buku ini bagi memastikan negara mencapai hala tuju dalam hal-hal penerbitan buku.

Selain itu, usaha yang sama perlu dibuat agar dapat melahirkan tulang belakang kuat kepada masyarakat pembaca untuk menyokong industri buku.

Kemajuan akyat dalam industri perbukuan negara adalah agenda besar yang harus dilihat semula oleh semua pihak dengan sikap jangan mengambil mudah.

Pihak Perpustakan Negara Malaysia (PNM) telah mengadakan pelbagai usaha kempen dengan slogan kempen membaca yang dihasilkan dari tahun 1995 hingga ke tahun 2008 secara berterusan.

Sejajar dengan matlamat Dasar Galakan Membaca PNM, mengikut Akta Perpustakan Negara 1972 yang menjadi kerangka utama sehingga tahun 2020. dasar telah ditinta pada pada 14 Mac 2013 dengan 7 kerangka aktiviti utamanya.

Dasar ini juga menjadi sokongan kepada Dasar Buku Negara iaitu “memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti.

Slogan “Bangsa membaca, Bangsa berjaya“ telah digunakan dari 2005-2008 secara berturut-turut. Namun usaha itu masih lagi belum mampu untuk melahirkan rakyat negara sebagai pembaca tegar.

Dasar ini juga menyahut cabaran dan menyokong matlamat Wawasan 2020 iaitu untuk melahirkan masyarakat yang kaya ilmu dan bermaklumat.

Kempen kesedaran peri penting membaca kepada masyarakat yang berterusan harus berlaku serentak dengan usaha penerbitan buku fizikal mahupun buku elektronik yang boleh berinteraksi secara aktif dengan pembaca.

Kita jangan rasa kecewa atau gagal dengan perubahan, kehadiran teknologi telah menjadi cabaran utama industri buku cetak.

Menguruskan minda

Apa pun tabiat membaca perlukan perubahan minda daripada masyarakat itu sendiri, Masyarakat yang bijak perlu mencakna untuk menguruskan minda mereka untuk berubah.

Jika tidak sampai bila pun kita tak akan dapat melihat perubahan kepada rakyat Malaysia, Jika membaca hanya ketika waktu kempen diadakan sahaja. Tidak menjadi sesuatu aktivti kekal.

Seperti apa berlaku kepada kepada Kampung Buku di Ulu Melaka, Langkawi. Selepas hampir 20 tahun diwujudkan, ia mengalami zaman suram bertahun-tahun lamanya, ahkirnya lenyap begitu sahaja. Walaupun cuba dipulihkan semula pada tahun 2012.

Satu langkah lebih proaktif bagi memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia wajib diusahakan oleh kementerian buat secara berterusan sampai rakyat menjadi hamba buku.

Penulis-penulis masih yakin, ramai lagi masyarakat pembaca yang lebih gemar membaca buku-buku cetak. Mereka lebih suka mendakap dan menghidu wangi bauan helaian kertas yang dicetak.

Buku cetak lebih mendamaikan jiwa pembaca sebenarnya berbanding penerbitan platform media baharu hanya boleh disentuh tanpa bau.

Namun kehadiran teknologi baharu juga mampu menjadikan penulis lebih bijak untuk mengambil kesempatan untuk meneroka ilmu baharu, bukan dianggap sebagai halangan.

Seperti mana yang banyak diperkata oleh penulis sebelum ini juga pemain industri buku yang tak putus-putus berusaha, Malaysia harus mencari idea-idea baharu untuk membangunkan industri buku negara.

Kerajaan, penerbit, penulis dan masyarakat adalah umpama wayar-wayar hidup yang harus mengecaskan arusnya untuk menghidupkan lampu yang memberikan cahaya yang terang benderang kepada rumah ekonomi yang telah lama suram.

Bagaimana nanti pada tahun 2050 potensi buku-buku cetak masihkah mampu bertahan? Masihkah ada pembacanya?

Persoalan ini harus dijawab dengan segera, sesiapa pun mereka dan di manapun mereka berada dalam industri ini, dalam usaha dan kerja tuntas.

Kesiapsiagaan menghadapi iklim perubahan perlu ada pada kotak pemikiran masing-masing, terutama kerajaan Malaysia.