Orang Melayu dahulu melihat alam sebagai ruang lingkup yang penting sebagai tempat kediaman dan alam dijadikan guru serta pengalaman untuk generasi yang terkemudian. Mereka mencipta peribahasa dengan menggunakan perbandingan alam, benda, haiwan dan pengalaman kehidupan sekitarnya sebagai pengalaman dan peringatan hidup yang berguna.

Fenomena pada masa kini dalam kalangan generasi muda yang menolak peribahasa ini mengatakan ia tidak sesuai dengan zaman. Sebagai contoh kata mereka peribahasa, “mendukung biawak hidup” tidak sesuai lagi pada zaman sekarang kerana biawak boleh dipelihara dan didukung. Sedangkan maksud sebenar peribahasa tersebut adalah kesusahan menjaga seorang yang malas bekerja.

Kekayaan peribahasa terdapat pada nilai tersiratnya yang mengandungi falsafah hidup orang Melayu. Ia menjadi petunjuk, pendidikan, pengajaran dan juga petua yang amat berguna. Sebagai contoh, kata-kata “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunannya” membawa makna pengajaran dan peringatan dengan falsafah hidup yang berguna.

Peribahasa Melayu adalah gambaran bahasa dan fikiran bangsa Melayu yang juga terangkum bawahnya simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan, kiasan dan kata-kata hikmat dicipta oleh kalangan bijaksana bahasa mengikut zamannya dan diuji oleh zaman kini mampu memberikan didikan dan pengajaran berguna kepada generasi muda.

Pendeta Za’ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu (2002:157) mengatakan, peribahasa atau simpulan bahasa juga disebut ungkapan iaitu rangkaian perkataan yang tetap tersimpul dengan susunan yang khas dipakai dengan erti yang khas berlainan daripada asalnya.

Ribuan peribahasa Melayu yang dicipta merujuk kepada alam, kehidupan, haiwan, binatang yang dijadikan perbandingan dalam kehidupan. Semua peribahasa ini mempunyai nilai falsafah yang tinggi, indah dan estetiknya dari segi bentuk luaran dan dalamannya.

Memahami setiap asal usul peribahasa dan maknanya menjadikan kita faham akan kehidupan masa lampau yang penuh dengan ujian, cubaan dan kepayahan hidup. Seperti kata peribahasa Melayu, “susah dahulu, senang kemudian.” Hal ini mengingatkan generasi muda supaya berhati-hati dalam melayari kehidupan.

Lantaran itu, generasi muda yang memahami bagaimana peribahasa itu dicipta dan memahami maknannya menjadikan mereka cinta terhadap sesuatu dengan penuh kebijaksanaan dan mendalaminya dengan ilmu pengetahuan yang dapat dikaitkan dengan kehidupan.

Peribahasa Melayu sarat dengan falsafah iaitu pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang berguna dan tinggi serta menjadi dasar kepada ilmu-ilmu lain terutama berkaitan dengan kehidupan. Alam benda, haiwan, peralatan zaman dahulu mendekatkan kita kepada warisan dan budaya bangsa.

Falsafah dalam peribahasa Melayu juga merujuk kepada bidang bahasa yang mencabar intelektual pemikiran manusia khususnya generasi muda Melayu. Ia merupakan satu usaha pembentukan daya pemikiran yang kritis dan kreatif dengan ilmu antara objektif dan subjektif tentang kehidupan.

Pengkajian tentang falsafah dalam peribahasa Melayu lebih menjurus kepada pemahaman tentang kejadian sesuatu objek dan peristiwa dari sudut kejadiannya yang mutlak dan dikiaskan dengan kehidupan manusia yang sebenar. Sebagai contoh peribahasa “seperti anjing dengan bayang-bayang.” Iaitu menjurus kepada sifat tamak manusia yang akhirnya membawa rugi. Iaitu berpandukan dan menggunakan watak anjing yang melihat bayang-bayangnya membawa tulang di bayang air lalu melepaskan tulang tersebut.

Keindahan peribahasa Melayu terletak pada keindahan bunyi dan gaya bahasanya yang bertimbal balik, seimbang dan mempunyai makna yang mendalam. Sebagai contoh, “lain dulang lain kaki, lain orang lain hati, mahal tak dapat dibeli, murah tak dapat diminta, laut mana tidak berombak, bumi mana tidak ditimpa hujan, sekali jalan terkena, dua kali jalan tahu, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.”

Peribahasa yang menggunakan tamsilan/perbandingan haiwan juga banyak antaranya, “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak, naik seperti semut, turun seperti rebut, seperti cacing kepanasan, seperti cicak makan kapur, seperti anai-anai makan kayu, seperti ayam berak kapur, seperti kera mendapat bunga”. Semuanya dicipta melalui pemerhatian dan kajian yang teliti dengan makna dan falsafah yang tersirat.

Alam kehidupan dan persekitaran generasi muda terutama di bandar dan kota kini sudah banyak berubah. Mereka jarang melihat binatang seperti kerbau, kambing, lembu, kera, ayam dan ketam yang tiada di persekitaran kehidupan mereka. Lantaran itu, hanya melalui peribahasa generasi muda dapat belajar akan tabiat binatang, haiwan dan manusia serta kehidupannya.

Apa yang penting kalangan guru bahasa Melayu mestilah bijak mengajar peribahasa Melayu. Kemudahan Internet membolehkan mereka melihat melalui Google seperti bentuk tumbuhan, haiwan, peralatan menangkap ikan dan pertanian dan sebagainya dengan senang yang boleh dihubungkaitkan dengan peribahasa dan kehidupan masa kini. Generasi muda juga disaran mencipta peribahasa baharu yang sesuai dengan zaman dan mampu menjadi pengajaran kepada generasi akan datang dan seterusnya.