Dia berhenti mengalun bait-bait ayun (syair dalam bahasa Bidayuh) buat sementara. Suara lunaknya melafazkan ayun yang sungguh indah dan berlapis makna itu berhenti mengitari seisi ruang tamu rumah. Dahulu, ayun merupakan salah satu bentuk hiburan yang paling popular. Sesiapa yang berkebolehan mengalunkan ayun, dia dipandang tinggi dalam masyarakat. Tayung Sadon melepaskan satu keluhan berat. Dia membungkam barang sejenak.

Memori silam muncul kembali di kotak fikiran. Sewaktu masih berusia remaja, dia merupakan satu-satunya individu yang sering dijemput ke majlis-majlis rasmi untuk birayun. Ketika itu, ayun mendapat tempat yang cukup istimewa dalam hati masyarakat Bidayuh. Tetapi sekarang, kedudukannya dalam masyarakat semakin terpinggir. Andai suatu ketika dulu, tidak lengkap hari tanpa mendengar alunan ayun yang sungguh indah dan mengasyikkan.

Daun pintu dikuak perlahan. Dia menoleh mencari punca suara tadi. Di luar rumah, tiada siapapun yang mundar-mandir. Hanya kelihatan beberapa wanita yang seusia sedang menjemur padi di balkoni rumah panjang. Mereka duduk di atas bangku. Buluh panjang tidak lekang dari tangan. Berguna untuk mengusir burung pipit yang mencuri makan.

Tayung Sadon menapak tertatih-tatih menghala ke arah segerombolan kanak-kanak yang berkumpul di anjung rumah panjang Kudak. Suara bingit tadi datang dari anjung sebelah kanan rumah panjang. Gelak tawanya masih berkumandang. Entah apa yang digelakkan.

Suasana pagi itu sungguh indah. Udara segar yang berpuput laju dari kawasan perbukitan di belakang rumah panjang itu menyapa tubuh culasnya dengan rakus. Rambut putihnya meliuk-lintuk dipukul angin. Sesekali dia mengusap kedua-dua tangannya akibat digigit angin. Menggigil kesejukan. Maklum, rumah panjang mereka terletak di kaki bukit.

Dia semakin mendekati kanak-kanak itu. Gema suara mereka semakin nyaring. Menerpa masuk ke dalam telinga. Gegendang telinga ditendang dengan kuat. Dia menghela nafas panjang. Berusaha untuk menyingkirkan rasa walang yang kian bermaharajalela di hati. Dampaknya bukan alang kepalang.

“Sungkuh (cucu) tengah buat apa tu?” tegur Tayung Sadon dengan lembut. Dia mengambil tempat duduk bersebelahan seorang kanak-kanak yang agak tembun gedebuk. Ada empat orang kanak-kanak lelaki yang berkumpul disitu.

“Kami tengah main game,” balas seorang kanak-kanak lelaki yang berambut kerinting. Dia memandang ke arah Tayung Sadon buat seketika. Usai itu dia mengalihkan tumpuan kepada tablet jenama Samsung yang dipegang erat.

“Oh…seronok ke?” tanya Tayung Sadon pula. Dia asyik memerhatikan kanak-kanak generasi baru yang amat menggilai permainan alaf baru itu. “Sudah tentu seronok, Tayung. Seharian main pun tak bosan”. Jawab kanak-kanak lelaki yang comel mukanya.

“Tayung pernah main ke?”. Tanya salah seorang daripada mereka bertanya.

“Tak pernah, sungkuh. Tayung tak tahu menahu akan permainan sebegitu”.

“Jadi…permainan apa yang Tayung kenal?”.

“Tayung hanya tahu birayun saja, sungkuh”. Ujarnya sambil meleretkan senyuman.

“Birayun tu apa, Tayung?”. Kanak-kanak lelaki bertahi lalat besar di hidung pula bertanya.

“Birayun itu macam syair yang diucapkan dalam bahasa Bidayuh. Sungkuh nak dengar tak?”. Cadang Tayung Sadon.

“Tak nak! Bosan”. Bentak kanak-kanak lelaki yang bertubuh tembun gedebuk tadi.

Suara yang mencanak tinggi dengan mendadak itu membuatkan Tayung Sadon terkejut. Dia membisu barang sejenak. Bagaikan orang kehilangan lidah. Jantungnya terasa bisa. Dia menekan dada dengan kuat. Seperti dicucuk-cucuk dengan jarum. Dia tertunduk. Dengusan kencang pun kedengaran.

Tayung Sadon tidak mempedulikan kata kanak-kanak lelaki tadi. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian, dihembus dengan perlahan. Otaknya ligat menyusun rangkai-rangkai kata ayun. Dia pun membuka mulut. Tayung Sadon melafazkan beberapa bait ayun pada kanak-kanak yang masih asyik dibuai dengan permainan video game itu.

Kelunakan suaranya bergema di sekitar anjung rumah panjang. Kanak-kanak lelaki berempat itu tersentak. Cuping telinga disumbat dengan jari telunjuk. Kelantangan suara Tayung Sadon berhasil menenggelamkan suara kicauan burung terkukur yang bertenggek di atas dahan pokok mangga di depan rumah panjang.

“Sudah! Kami tak mahu dengar!”. Jerit kanak-kanak lelaki itu serentak. Tayung Sadon berhenti berayun. Kesakitan yang menerpa dadanya tadi, kembali menyerang. Semakin membisa denyutnya.

“Dengar dulu, sungkuh. Pasti sungkuh akan suka nanti,” rayu Tayung Sadon. Riak mukanya macam orang meneran kesakitan. Niatnya untuk memperkenalkan seni birayun kepada anak-anak muda itu. Nampaknya usaha itu menemui jalan buntu.

“Kawan-kawan…jom kita main di sebelah sana.” Ajak salah seorang daripada mereka. Mereka berempat bangkit. Langsung pergi tanpa mengucapkan salam. Mereka berperilaku kurang sopan di depan orang tua.

Tayung Sadon terkebil-kebil. Terasa satu tamparan padu menyasar di wajahnya yang berkedut dimamah usia senja. Perasaan beransur-ansur menyirap dalam dirinya. Ia datang dengan tiba-tiba. Tanpa diundang.

“Sabarlah, Tayung Sadon. Kanak-kanak zaman sekarang memang begitu,” suara parau itu menegurnya dari belakang. Bahunya dipegang dengan erat. Kewalangan yang menyerang kalbunya beransur kebah.

“Saya tak ambil hati, Mak Suwi”. Balas Tayung Sadon. Wajahnya redup. Dia menyembunyikan rasa perit dalam hatinya. Enggan ditonjolkan hal itu di hadapan Mak Suwi.

“Jangan bohong, Tayung Sadon. Riak wajah Tayung Sadon menceritakan segala-galanya kepada saya”. Mak Suwi berjaya menangkap reaksi wajah Tayung Sadon yang berubah. Sekilas ikan di air, sudah dia tahu jantan betinanya.

“Sejujurnya, saya kecewa. Penerimaan generasi muda akan seni birayun semakin pudar ditelan arus pembangunan teknologi masa kini. Kalau ini dibiarkan berterusan. Kita akan hilang identiti bangsa yang sangat bernilai tinggi. Saya takut. Usia saya tidak panjang”. Keluh Tayung Sadon. Air mata kelihatan bergenang di hujung mata. Ia kemudian menguncur deras menuruni pipi pikunnya tanpa diduga.

Mak Suwi menggelengkan kepala. Dia mengusap belakang Tayung Sadon dengan lembut. Beberapa hari selepas itu, Tayung Sadon disahkan meninggal dunia akibat penyakit jantung yang kronik. Dia pergi membawa bersama ilmu birayun.

Tiada siapapun yang mewarisi seni birayun tersebut daripada seniwati itu. Ia hilang begitu sahaja dimamah dek kemajuan. Kini, usaha untuk melestarikan seni birayun giat dijalankan. Malangnya, usaha tersebut menemui jalan buntu kerana tiada seorangpun dalam kalangan generasi muda yang berkebolehan.