Turut hilang, telefon pintar dan komputer riba masing-masing.

Suara pembaca berita mengisi ruang pejabat. Setiap pegawai menjedakan tugas. Yang mundar-mandir segera berhenti. Jari-jemari yang sedang menaip serta merta kaku. Yang sedang mesyuarat cekatan menerpa ke ruang tamu. Pandangan setiap pegawai teralih ke arah pemberita dalam kaca televisyen.

Aku bersandar di pojok ruang pejabat, sekadar mendengar tutur kata pemberita dari jauh. Kureguk secawan kopi panas. Sepatutnya manis, tetapi pahit kelat pula mendarat pada lidah hari ini.

Setiap kali waktu siaran berita terkini menjelang, isi dada para pegawai akan bergoncang. Jantung ada kalanya semacam terlepas satu degupan.

Kali pertama berita ini menanam resah dalam kalangan rakyat jelata, aku terus teringatkan kau, Fir.

Benarkah kau sudah mati?

“Nampaknya ini isu peringkat nasional, bukan semata-mata di daerah kita,” ujar Tuan, merangkap ketua unit siasatan dengan nada mendatar. Sekali-sekala dia batuk kecil untuk melenyapkan getar suara. Aku tahu dia manusia paling runsing di pejabat ini. Daerah ini telah mencatatkan kehilangan tertinggi di seluruh negara.

Kali terakhir ahli pejabat ini dilanda gempa gelisah adalah sewaktu siri pembunuh upahan beberapa tahun lalu. Penjenayah akhirnya ditangkap dan dihukum gantung sehingga mati. Mandatori. Kes itu jauh lebih mudah. Pembunuh tidak membingungkan pihak berkuasa. Mayat mangsa diikat pemberat lalu ditenggelamkan di sungai. Terdapat tompok-tompok darah di tempat pembunuhan. Motif tindakan pula seputar isu perebutan kawasan pengedaran dadah. Berbeza kali ini, punca kehilangan tidak jelas. Mangsa mungkin berpakat dan menghilangkan diri sendiri (tetapi atas dasar apa?).

Jika benar ini kes jenayah, apakah motif utama?

Pelbagai spekulasi tular, bertebaran merata-rata dalam media sosial dan arus perdana. Pihak penyiasat kes ini kabur dengan nasib mangsa dan motif kehilangan. Sementelahan pilihanraya beberapa bulan lagi, mungkin ini khianat pengganas antarabangsa untuk menggoncang kestabilan negara. Apa mungkin perogol bersiri? Tapi, mangsa hilang bercampur-aduk jantina. Mana mungkin jenayah seksual.

Mangsa-mangsa tiada persamaan latar belakang. Berbeza umur, profesion, tempat tinggal dan bangsa. Cuma satu sahaja yang kujumpa setelah membuat carian rawak dan analisis data di alam siber – kesemua mangsa adalah pengguna aktif media sosial (digelar netizen). Ada mangsa menggunakan nama sendiri untuk akaun media sosial. Tetapi tidak kurang juga berselindung di sebalik nama-nama samaran tertentu. Kebanyakan mangsa mempunyai pengikut ramai (ada seorang mangsa mempunyai pengikut hampir 50,000). Komentar-komentar mangsa acap kali muncul dalam sesuatu hantaran atau tulisan kerana sering mendapat bilangan ‘suka’tertinggi.

“Bukan kes orang hilang tetapi ini kes culik, atau, kes bunuh.” Aku bersuara setelah semua ahli mesyuarat menjedakan percakapan dengan agak lama.

Apakah Fir sanggup berbuat begitu? Ah, tidak mustahil!

Ada anggota yang menjuih bibir. Hujahku dibiarkan melintas ruang bilik mesyuarat begitu sahaja sebelum terbang keluar melalui tingkap, sebelum siri-siri bangkangan dimulakan.

“Kalau benar kes culik, masakan penculik berdiam diri begitu lama?”

“Tidak ada sebarang tuntutan wang tebusan? Adakah penculik itu dungu?”

Kes ini membuatkan kami diserkup rasa bingung. Mengapa telefon bimbit dan komputer riba mangsa dilarikan? Jam tangan bersadur emas, wang tunai di dalam laci tidak pula diusik. Kebanyakan lokasi tidak ada kesan pergelutan atau pecah rumah. Lagipun, kes culik apa sampai 30 orang secara bersiri dan mangsa tidak mempunyai apa-apa perkaitan seperti menyertai skim pelaburan atas talian?

Bertubi-tubi tutur kata balas. Aku nihil jawapan.

Adakah Fir di sebalik semua ini?

****

Sunyi mengapung di ruang pejabat. Para pegawai bingkas bangkit, menuju ke kantin atau pantri untuk makan tengah hari. Fir tidak berganjak sedikit pun daripada kerusi. Skrin komputer masih menyala. Fir sedang menelaah sesuatu pada telefon bimbitnya dengan begitu tekun. Jari-jemarinya ditolak atas dan bawah berulang-ulang kali. Sekali-sekala terhenti memikirkan sesuatu. Lagaknya memang sesuai dengan pakar teknologi maklumat (kadang-kala kami panggilnya Mat Godam) di jabatan ini.

Makan, jom! Aku menepuk lembut pundaknya. Fir menunjukkan reaksi tidak berminat dengan ajakanku

“Satu soalan untuk kau.”

Aku mengangkat kening.

“Apakah pembunuh nombor satu negara?”

“Apa atau siapa?”

“Apa.”

“Hmm... serangan jantung? Aku terfikirkan serangan jerung tetapi negara kita bukan ada jerung sangat.” Aku cuba berseloroh sambil menahan lapar.

Wajah Fir tiba-tiba begitu serius, sehingga aku terasa sedikit ralat kerana menyelit lelucon sebegitu. Bibirnya muncung ke arah telefon pintar.

“Fitnah dalam media sosial.”

“Maksudnya?”

“Lihat satu hantaran ini....”

Aku membongkokkan tubuh untuk mengamati skrin telefon pintar Fir.

Rasa laparku seperti telah lenyap.

“Jelas gambar yang dimuat naik ini telah disunting. Gambar asli ahli politik ini adalah gambar beliau melawat ke pusat konvensyen di ibu negara. Tetapi disunting, kononnya dia sedang melangkah masuk ke sebuah kelab malam! Gambar ini pula disunting seolah-olah seorang ulama terkemuka negara sedang berfoya-foya di luar negara.”

Aku mengamati skrin telefon pintarnya langsung bersetuju. Gambar-gambar itu telah disunting. Aku pernah melihat gambar asal di dalam halaman sebuah akhbar tempatan.

“Ini perkara biasa untuk seorang ahli politik, bukan? Mana-mana selebriti juga tidak akan terlepas dengan salah sangka. Setiap seorang tentunya ada pembenci tersendiri.” Ujarku.

Fir membuka ruangan komen pada hantaran gambar tersebut, “nah, kau lihat sendiri apa reaksi netizen.”

Riak wajah Fir begitu keras sehingga membuatkan ketakutan menyergap diriku.

Rata-rata komen bersifat membunuh perwatakan tanpa ada sebarang usul periksa. Penyunting gambar, penulis hantaran dan penulis komen tersebut, entah siapa. Kebanyakan akaun media sosial berkenaan tiada maklumat profil yang jelas. Fir mengesyaki itu akaun-akaun palsu bertujuan untuk melancarkan serangan siber kepada pihak-pihak tertentu.

Fir menunjukkan simpanan syot layar dalam telefon bimbitnya. Salah satunya adalah tulisan tentang suasana harmoni kepelbagaian bangsa di negara ini yang dimuat naik di satu portal. Malangnya, komen-komen negatif berbaur hasutan oleh akaun-akaun palsu telah menyalakan api perbalahan dengan begitu dahsyat.

“Manusia di sebalik profil-profil palsu ini, pengecut!”

Air wajah Fir semakin keruh.

“Beginilah yang aku katakan – pembunuh nombor satu negara adalah fitnah dalam media sosial. Pemfitnah dalam media sosial ini perlu diperangi sehabis-habisnya.”

Aku sekadar berdehem. Tidak tahu bagaimana untuk mencelah walau sepotong ayat.

“Masyarakat kita senang diracuni fikiran dan terperangkap dengan persepsi. Media sosial telah menjadi medan kebencian. Kebencian yang dibina atas paksi maklumat palsu yang akhirnya membawa kepada kemusnahan yang lebih besar.” Kedengaran Fir mendengus kuat.

Nampaknya ada gelodak api yang sedang menyala di lubuk hati Fir.

****

“Tuan, saya fikir kes ini ada kaitan dengan Fir.”

Dahi Tuan berkerut serta-merta. Anggota lain menggeleng-geleng kepala dan terkerising sedikit.

“Fir, anggota kita yang mati sewaktu operasi memburu pengganas di sempadan utara negara, tahun lepas?”

Aku mengangguk.

“Mustahil, dia sudah lama mati!” Tuan lekas menyanggah sangkaanku seperti selalu. Dia bangkit daripada kerusi pengerusi mesyuarat ke rak simpanan fail. Dia mengeluarkan sehelai keratan akhbar dari dalam salah sebuah fail, lalu melemparkan keratan tersebut di hadapanku. Keratan itu berkenaan berita kematian Fir. Lihat ini, katanya. Aku memandang dengan wajah tidak berminat. Sahabat karibku lenyap tanpa berita ketika dalam tugas. Masakan aku lupa berita yang kerap mengganggu hidupku ini.

“Dia hilang, Tuan. Bukan mati. Kita sendiri tak menjumpai mayatnya”

Tuan hanya mampu mengurut-urut leher. Riak wajah menampakkan dia skeptikal dengan hujahku. Tentunya dia sedang berfikir – apa motif pengguna aktif media sosial diculik (atau mungkin dibunuh, tetapi tiada pula sebarang mayat ditemukan) secara beramai-ramai oleh Fir, seorang bekas pakar teknologi maklumat di jabatan ini.

Dia menarik nafas dengan dalam “jadi katamu, mangsa-mangsa semuanya aktif menulis komentar atau hantaran berbaur fitnah dalam media sosial?”

Selepas rakyat jelata tahu akan kes kehilangan pengguna media sosial terkenal, suasana di dunia siber berubah. Semakin jarang pengguna menulis apa-apa dalam media sosial, terutamanya yang berbentuk spekulasi dan makian. Kecut perut memikirkan mereka menjadi mangsa seterusnya. Telah tular nasihat seorang pakar teknologi maklumat tanah air, menyarankan agar pengguna media sosial untuk tidak ligat menyampaikan pendapat di alam siber sehinggalah misteri kes orang hilang ini dapat dirungkaikan.

Bukankah ini impian kau, Fir? Manusia berdamai dalam media sosial, tidak mencanang apa-apa persepsi yang boleh mencetus kebencian lalu meruntuhkan institusi masyarakat dan negara.

“Fir faham setiap inci modus operandi kita. Tentu juga dia boleh menggodam sistem maklumat kita dan tahu segala tindak-tanduk kita dalam menyelesaikan kes orang hilang ini.”

Hujah meluncur daripada mulutku untuk meyakinkan semua.

“Orang-orang hilang ini kebanyakannya memakai akaun media sosial palsu. Tiada siapa melainkan manusia sehebat Fir yang mampu mengesan lokasi mereka, memecah masuk dan menangkap mangsa tanpa meninggalkan sebarang bukti yang boleh dikesan pihak berkuasa.”

Tuan mengurut-mengurut bawah dagu, memikirkan kenyataan-kenyataan aku sebagai salah satu penunjuk bukti. Dia menarik nafas lalu menghembusnya dengan perlahan-lahan. Keluh-kesah dapat kubaca daripada hembusannya itu. Juga ada nada bisik berlegar-legar di sekitar bilik mesyuarat. Setiap anggota teringatkan kepakaran Fir dalam operasi menggodam, di samping ketangkasan aspek fizikal. Masing-masing kemudiannya mengangguk gontai. Perwatakan Fir sememangnya cocok dengan suspek kes orang hilang ini.

“Baiklah, jadi apa rancangan awak?”

Aku memandang wajah Tuan dengan penuh pengharapan. Tuan tampaknya mula menanam akar keyakinan pada hujah-hujahku.

****

Aku menyewa sebuah bilik flat di pinggir kota. Akaun media sosial palsu direka. Satu demi satu tulisan aku karang untuk dimuat naik ke dalam media sosial menggunakan akaun tersebut. Ada kala aku menyerang tulisan dalam portal berita dengan komentar tidak masuk akal. Komentar yang disemat bersama kebencian dan prasangka. Untuk tulisan berkaitan politik, aku akan melaga-lagakan penyokong parti-parti politik di negara ini. Tindakanku sengaja dimiripkan dengan tindakan mangsa-mangsa yang dilaporkan hilang, dalam usahaku untuk memancing Fir.

Aku benar-benar berdebar untuk bertemu semula dengan Fir.

Sepanjang aku menginap di situ, aku merasakan gerak-geri aku diperhatikan. Daripada bukaan langsir, dapat kulihat seorang lelaki bertopi yang mengenakan jaket kulit kerap sekali berlegar-legar di sekitar kawasan flat. Apabila berjalan di koridor (dalam keadaan berwaspada tentunya), lelaki yang selalu tunduk dan menyembunyikan wajah itu ada di kawasan berdekatan. Kadang-kala di tempat parkir kereta, di bilik cucian dan di tempat pembuangan sampah.

Berdasarkan ketinggian dan sosok tubuh, ternyata itu adalah Fir.

Menghampiri tengah malam, sengaja aku menyarung sepatu dan baju dengan penutup kepala, menuju ke ruang bawah flat. Aku berpura-pura hendak merokok. Suasana samar-samar, sedikit gelap. Ada lampu kalimantang koridor yang tidak menyala. Aku dapat mengesan lelaki tersebut sedang bersandar di tepi mesin automatik menjual minuman. Dia lekas memasukkan syiling ke dalam mesin setelah menyedari kehadiranku.

Aku mula menyusun akal sambil berlagak ralit membelek telefon pintar. Fir akan menyerang bila-bila masa. Apa mungkin dia akan menutup mulutku dengan sapu tangan berkloroform? Atau menghentak belakang kepalaku dengan sebatang kayu? Atau, apa lagi ya?

Debar sedang cuba menguasaiku namun aku perlu kekal tenang.

Daripada ekor mata, aku perhatian Fir menghampiri. Di tangannya semacam ada senjata.

Pistol elektrik!

Fir meluru pantas ke arahku. Belum sempat Fir merenjat aku dengan senjata, aku lekas berpaling, menepis tangannya sebelum aku bergelut menyembamkan mukanya ke lantai.

“Rasy.... Rasy.. Rasydan?”

****

Kesemua 30 orang mangsa hilang telah dijumpai. Telefon pintar dan komputer riba milik mangsa turut ditemui. Ketika pasukan kami menggeledah lokasi rahsia (Fir memberitahu lokasi ini tanpa perlu kami memeras ugut), mangsa bukan dalam keadaan yang kami sangkakan. Fir seorang penculik yang budiman, kata salah seorang mangsa. Kata seorang mangsa lain, Fir menangkap mereka atas tujuan untuk mengajar, bukan niat untuk mengapa-apakan. Malah, mangsa-mangsa turut merayu agar Fir tidak dikenakan hukuman berat atas kesalahannya.

Perkara ini benar-benar membingungkan semua pihak.

Semenjak kejadian menggemparkan negara itu, caci-maki dan hantaran berunsur fitnah dalam media sosial semakin berkurangan, sekurang-kurangnya daripada pengamatan pengguna biasa sepertiku. Rakyat jelata khuatir jika masih ada manusia-manusia psiko seperti Fir yang bersembunyi di luar sana.

Sejujurnya, aku tidak tahu hendak berterima kasih, atau tidak kepada Fir.