Mimik muka Nafisa kelihatan marah, namun yang kedengaran cuma bunyi seakan erangan. “Huhh. Huhh,” tangan diangkat menghalau anak-anak nakal yang mengerumuninya.

Nafisa bukan budak bisu, pertuturan yang tidak jelas dan fizikal yang berbeza daripada kanak-kanak seusia punca dia dipinggirkan masyarakat kampung.

“Kau orang tengoklah, muka Nafisa sudahlah hodoh, dengan lidah terjelir lagi. Aku yakin memang dia anak hantu. Anak syirik!” Ditunjal-tunjalnya kepala leper Nafisa. Semakin Nafisa marah, semakin mereka suka. Riang benar menghukum kejadian Tuhan.

“Nafisa anak hantu! Jangan kawan dengan Nafisa!”

Setelah puas mengusik dan mengganggu Nafisa, mereka beredar meninggalkan Nafisa sendirian. Bahu Nafisa terhinggut, menahan tangis.

***

“Seha, mak rasa anak kau ini kena sampuk dengan semangat hutan.”

“Mak masih percaya benda-benda karut tu? Semua itu syirik. Ini kerja Tuhan. Takkan mak nak mempersoalkan pula? Berdosa besar.”

“Bukan aku percaya, tapi kau tengoklah sendiri. Semua jari kaki dan tangan Nafisa ini pendek, muka leper, batang hidungnya kemek, lidah pula tebal. Ni kau lihat, belakang kepala budak ini, rata sahaja! Ada kau nampak iras anak ini dengan muka anak aku atau muka engkau?”

Mulut nenek Nafisa ini memang celupar! Anak yang tidak berdosa dikata dan dikejinya macam-macam, sedangkan anak itu ciptaan Tuhan! Bukannya dia tidak tahu!
“Nanti mak panggilkan Mak Esah datang ke sini. Kau ini kena berubat cepat-cepat, takut mudarat nanti.” Mak Seha diam, malas mahu bertengkar dengan ibu mentuanya.

Manusia sibuk dengan kerja menghukum, hatta anak sekecil itu turut menjadi mangsa.

Berpegang pada unsur kepercayaan karut; percaya pada semangat ghaib, pertolongan jin dan syaitan serta amalan-amalan lain yang memuja selain daripada Yang Maha Kuasa. Sedangkan mereka itu agamanya Islam! Islam yang cuma ada pada nama yang berbinti dan bin, tetapi bukan pada amalan dan kepercayaan.

Selepas seminggu kelahiran Nafisa, Mak Esah datang ke rumah atas ajakan Nek Esom.

“Anak kau ini sudah terkena sampuk semangat hutan, Seha.”

“Buat apa Mak Esah. Anak saya ini bukannya macam yang Mak Esah katakan itu.

Sudah ketentuan Tuhan jadi begini.”

“Kau jangan degil, Seha. Ikut sahaja cakap Mak Esah kau itu!” Memetir suara Nek Esom mendengar bantahan dari menantunya. Degil sungguh!

“Tapi mak...”

“Aku tak kira, jangan sampai anak kau aku tinggalkan di hutan. Buat malu keturunan aku sahaja ada anak sebegini! Memang dasar anak hantu!” Semakin tinggi suara Nek Esom menjerkah menyebabkan Mak Seha cuma tunduk menekur lantai.

“Sudahlah Seha, jangan kau bantah cakap aku. Aku dengan mak mentua kau ini bukannya nak susahkan kau lagi, tapi kami mahu tolong.”

Mak Seha cuma mengangguk, hilang sudah seri di wajahnya. Dia harus akur pada kehendak ibu mentuanya, mahu dibantah, risau ibu mentuanya bersungguh mengotakan apa yang dikata.
“Jangan mengganggu sepanjang rawatan berjalan.” Nek Esom menjeling Mak Seha, memberi amaran tanpa suara.

Batang padi dilurut lembut sambil mulut terkumat-kamit membaca sesuatu yang tidak jelas di pendengaran. Kemudian dicelupnya beberapa kali ke dalam mangkuk air yang telah diperah buah limau dan dikibas-kibas melawan arus angin. Bunyi kibasan yang terhasil menyebabkan Nafisa tidak selesa lalu menangis.

“Semangat hutan ini tidak mahu tinggalkan tubuh anak engkau Seha. Perjanjian apa yang kau buat di hutan itu sampai begini sekali jadinya?”

Sebenarnya tiada apa yang berlaku. Tetapi entah mengapa dirasakan bahawa tiada gunanya dia membuka mulut menjawab pertanyaan Mak Esah. Orang kampung pasti tidak percaya, lebih-lebih lagi apabila melihat keadaan fizikal Nafisa.

“Macam inilah Seha, aku cuma beri kau jalan supaya kau ikhtiarkan untuk kesembuhan tapi bukan salah aku kalau anak kau tak sembuh sepenuhnya. Ini cuma cara supaya semangat hutan itu tinggalkan tubuh anak kau ini saja.”

Ah, bomoh tua itu! Masih lagi menipu, sedangkan memang dia ketahui bahawa fizikal Nafisa tak akan kembali seperti manusia normal!

“Tahulah aku mahu bagaimana nanti Esah. Jangan kau risau.” Aku lihat Mak Esah hanya senyum tanpa rasa pada kedua wanita tua itu.

***

“Mandi pun perlu bersuruh, Nafisa? Engkau tu sudah besar, sepatutnya ke sekolah. Tapi disebabkan fizikal kau, kawan-kawan kau pun takut. Sudahlah tidak bantu aku buat kerja rumah, semua aku kena uruskan.” Lengkingan suara Mak Seha mematikan langkah Nafisa. Kemarahan Mak Esah dibalas dengan tutur suara yang tak jelas. “Kau marahkan aku, Nafisa? Berhenti di situ!” mendengarkan suara Mak Seha yang kuat, laju Nafisa melarikan diri ke dalam bilik. Takut badannya menerima tamparan tangan Mak Seha!

“Kenapalah dulu aku tak letak kau dalam hutan, biar mati dimakan harimau. Hidup pun menyusahkan aku!”

“Kenapa kau marah-marah, Seha? Apa salah budak itu?”

“Eh, mak jangan buat-buat lupa. Dulu mak yang bencikan Nafisa, bukan? Salah Seha ke kalau nak marah budak hantu itu?”

“Itu dulu, Seha. Semua itu kan takdir Tuhan.”

“Masa Seha kata semua itu takdir Tuhan, ada mak ambil peduli? Mak percayakan kata-kata Mak Esah tu.”

“Jadi, sekarang ini kau mahu jadi macam aku yang dulu, Seha? Aku yang bodoh sebab tidak percaya takdir Tuhan? Begitu? Sudah- sudahlah.”

“Kalau dia mati pun eloklah mak. Hidup pun asyik menyusahkan aku. Baik aku hidup seorang.”

Nek Esom menggeleng kesal. Jangan nanti apa yang menantunya itu katakan menjadi kenyataan, baru mahu terngadah sudahlah.

***

Mak Esah kata, ada yang ‘menumpang’ di kaki Nafisa menyebabkan Nafisa masih tidak boleh berjalan pada umur enam tahun. Mak Seha sudah habis ikhtiar, malas mahu peduli.

Nafisa memang pembawa malang. Mak Esah melibas kuat tapak kaki Nafisa menggunakan 
tangkai padi. Kemudian ditekannya kuat tanduk tersebut ke tapak kaki Nafisa menyebabkan Nafisa meraung kuat.

“Esah kau buat apa ini? Kau sudah gila?!” Jeritan Nek Esom menghentikan perbuatan Mak Esah.

“Aku buat cara aku, ikhtiar supaya budak ini boleh berjalan. Kau atau aku yang bomoh?

Pandai-pandai sahaja mahu mengajar aku! Kalau rasa tak mahu ikut cara aku, kau bawa menantu sama cucu kau ini balik, keluar dari rumah aku! Dasar anak hantu!”

“Buta agaknya kau ini Seha. Kau tak nampak Nafisa sakit?”

“Bukan mak yang mahukan semua ini? Berubat katanya?” Sinis jawapan Mak Seha.

Nek Esom menggeleng kesal. “Tapi tak sampai menyakitkan tubuh anak kau ini, Seha.”

“Mak kan yang mahukan semua ini. Berapa kali Seha cakap pada mak tak perlu semua ini. Nafisa bukan disampuk penunggu hutan. Ada mak ambil peduli? Malah dari Nafisa lahir dahulu, Seha cakap perkara yang sama. Kenapa lepas enam tahun baru mak nak sedar?”

“Aku buta, Seha! Aku buta melihat takdir Tuhan!”

***

“Nek Esom! Nafisa, nek! Nafisa terjatuh dalam tali air!”

Terasa gelap dunianya mendengar perkhabaran dari Kasim. Digenggam lengan Kasim erat. “Sudah kau beritahu pada Seha?”

“Sudah, Pak Tam pergi beritahu Seha. Mari nek, ikut saya ke tali air.”

***

“Nafisa anak hantu! Anak syirik! Budak buruk! Muka leper, hidung penyek, lidah terjelir!”
“Argh. Argh.” Tangan Nafisa menghalau anak-anak nakal yang berpusing mengerumuninya. Kepala dan kakinya terasa sakit.

“Tolak dia. Tolak anak hantu itu.”

Nafisa cuba melarikan diri, namun langkah yang tidak seimbang itu menyebabkan dia terjatuh ke dalam tali air besar di kampung tersebut. Anak-anak nakal sudah ketakutan melihat Nafisa yang terjatuh ke dalam tali air pantas melarikan diri.

Nafisa sudah tercungap-cungap mencari nafas, tenggelam dan timbul. Tidak berapa lama kemudian, kelibatnya sudah tidak kelihatan.

***

“Nafisa, anak aku!” Tubuh itu dipeluk erat. Sejuk! Mana nafas anaknya?!

“Bukan ini yang kau mahukan Seha?” Perlahan kedengaran suara dari bibir ibu mentuanya. “Puas hati kau, Seha?”

Mak Seha meraung kuat. Tidak menyangka ucapan tanpa niat itu sudah Allah kabulkan.

Senangkah hatinya kini?