“Macam jubur ayam…” kata Ramli Mat Akib, musuh politik nombor satunya.

Jubur ayam atau jubur itik pun tak mengapalah. Kalau tidak mahu bercakap, elok tinggalkan gelanggang politik, fikirnya.

Sejak pilihan raya umum lalu berlaku lagi penjenamaan semula gelaran Leman. Kini beliau dikenali sebagai Leman Lompat. Dia tidak marah dengan gelaran baharu itu. Setidak-tidaknya Kiah Laser, jurucakap parti Untung Nasib Orang Melayu, atau kependekannya UNOM sudah ada pasangan.

Kiah Laser selalu menguar-uarkan partinya sebagai parti azimat. Dulu, Leman Lompat pun tulang belakang parti itu di peringkat bahagian. Dia berharap sangat dipilih sebagai calon. Sayang, calon payung terjun bergelar Tan Sri mendarat di kawasannya. Dia bekas duta dan dijangka menang mudah. Benar, dia anak jati Kampung Tengah. Tetapi dia sudah terpisah daripada masyarakat desa. Dia juga jarang pulang ke kampung. Rumah arwah orang tuanya sudah dipanjat ulan.

Calon payung terjun itu akhirnya mangkor. Leman tidak dapat memaafkan Dr. Mahat kerana pada ketika itu beliau adalah presiden UNOM.

“Balik berkempen bawa Porsche Cayene dan lima enam orang pengawal peribadi. Kemudian tunjuk pistol di warung dan di kedai kopi…” rungut Leman Lompat yang naik angin sebaik sahaja nama calon payung terjun itu diumumkan.

“Otak letak di kepala lutut…” hamput Ya Lemuju.

“Ce bawa kain pelekat ke, hamper ke…” Anuar Turki mencelah.

“Tiket ke Medan pun OK …” sampuk Geruges.

Habis satu meja meletup ketawa dengan telatah Geruges.

“Kamu pasport pun tak ade…” cuit Ya Lemuju.

“Kalau aku ada pasport, dah lama balik Bawean…”

Geruges anak Pulau Bawean. Dia berpetualang ke Singapura dan bekerja sebagai sais kuda lumba di Bukit Timah. Kemudian dia berhijrah pula ke Ipoh bekerja dalam bidang yang sama sebagai riding boy. Tetapi sejak tulang pinggulnya patah akibat ditendang seekor kuda jantan, dia meninggalkan bidang tersebut sama sekali. Sekarang dia menoreh di kebun getah milik Leman Lompat. Di kebun itu ada sebuah rumah kampung yang sederhana saiznya. Di situlah Geruges bermukim.

“Calon payung terjun pun mike kena sokong…” pujuk Geruges.

“Sokong taik kucing,” gerutu Leman Lompat. “Mulai hari ini teman keluor parti…”

Seperti Dr. Mahat, Leman Lompat sudah berpatah arang dengan UNOM.

Leman Lompat juga marah terhadap Ramli Mat Akib, bekas bendahari bahagian, UNOM, pemuda segak yang bertugas sebagai kerani bank. Leman tahu Ramli Mat Akib bercinta dengan anak gadisnya, Kamalia. Tetapi bila pecah cerita bahawa kedatangan calon payung terjun dari Kuala Lumpur adalah usaha Ramli Mat Akib, Leman naik berang. Kamalia merajuk dan lari ke ibu kota tinggal bersama abangnya, Lokman. Ramli Mat Akib berpindah ke cawangan bank yang sama jauh di utara.

“Biar dia hincit!” tempik Leman.

“Dalam politik tepi sungai Perak ni, teman masih pekak…” Dia selalu mengumumkan begitu di warung milik Ya Lemuju atau di gerai mi kicap Di Ah Pee yang terletak di pangkal pokok rambung di tebing sungai. Semua mengakui kehandalan Leman Lompat berhujah, walaupun dia tidak bersekolah tinggi. Hal inilah yang menyebabkan dia laku.

“Aku tak sior bersekongkol dengan Parti Aksi Demokratik atau Parti Aman Nasional… parti kuali,” ujar Leman Lompat.

“Kenapa pulak?” tanya Anuar Turki.

“Ate, bukan ke “pan” tu cakap orang putihnya kuali?” jelas Leman Lompat.

“PAD tu apa pulak Geruges?” celah Ya Lemuju.

Belum sempat Geruges menjawab, Anuar Turki sudah menyampuk.

“Itu kena tanya orang betine…”

Berderai lagi ketawa di warung Tempoyak Raja Musang.

Berwajah mirip orang Timur Tengah, Anuar Turki suka berterus terang. Kulitnya putih kemerah-merahan dan ragah. Kadang-kadang dia berjambang, ada kalanya dia bercukur licin. Datuknya berasal dari Anatolia dan berkhidmat sebagai kolonel dalam kor perubatan tentera Turki. Selepas Perang Dunia II dia dan beberapa orang pegawai tentera lain lari ke Tanah Melayu. Datuknya berkahwin dengan anak ketua kampung Ekor Lambat. Dia membuat dan menjual ubat bersalin ke akhir hayatnya. Usaha itu diteruskan oleh anaknya Yahaya Turki, dan sekarang oleh cucunya, Anuar Turki.

Sejak zaman datuknya keluarga Anuar Turki menjadi penyokong tegar Sejahtera Amalan Perdana, atau kependekannya SAP, yang menggunakan lambang bulan sabit dan sebutir bintang berlatarbelakangkan warna hijau daun.

“Kincing pun hijau wo…” usik Di Ah Pee. Usikan itu nyaris menyebabkan tauke mi kicap itu dilatam oleh Anuar Turki.

“Hijau tengkorak ayah kamu!” tengkingnya.

Warung Tempoyak Raja Musang turut menjadi medan yang serius dan jenaka.

Walaupun Parti Aksi Demokratik, atau PAD, merupakan sebuah parti Cina, tetapi ia selalu menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu. Komen-komen presidennya, Lim Lo Tong yang celupar sering mengguris hati mereka.

“Parti gampang!” tengking Leman Lompat.

“Ngape?” pintas Geruges.

“Ate, deme nyorok dalam kain PAN. Kalau dah gemor sangat, kahwin le betul-betul…”

Geruges mengangguk-angguk, macam kerbau penarik.

“Sesuai le dengan lambangnya, asyik nak nembak orang…”

Semua faham apa yang dimaksudkan oleh Anuar Turki iaitu torpedo mendongak ke langit yang menjadi lambang PAD.

Kebiadaban Lim Lo Tong menganjurkan tunjuk perasaan menentang RUU553 menyirapkan darah Leman Lompat. RUU itu dibentangkan bagi memudah dan menyeragamkan poligami di semua negeri.

“Tak ada kena mengena dengan deme. Nak masuk campur, boleh, tapi dengan bersyarat!” Dia separuh bertempik.

“Apa?” terpacul soalan Geruges, macam lampam menyambar tahi.

“Benor kata mike,” celah Geruges. Pelat Baweannya masih pekat.

Habis semua yang berada di warung Tempoyak Raja Musang menggelekek.

“Satu Islam, satu kapio, boleh ke kahwin?” tanya Anuar Turki.

Semua yang duduk semeja dengan Leman Lompat ketawa menggelegak.

Ada juga yang berpendapat Leman Lompat masuk Parti Aman Nasional. Namun Leman menafikannya dengan keras.

“Jauh pemanggang dari api!” Dia memengkih.

Sudah hampir sebulan Leman Lompat tidak kelihatan. Selama itu pulalah kereta Hillman Hunter miliknya tersadai di bawah sepohon manggis tidak jauh dari warung makan Tempoyak Raja Musang. Kenapa dia sayang sangat kereta pusaka orang tuanya itu, tiada siapa yang tahu. Dia ada sebuah kereta Wira, tetapi jarang digunakannya, kecuali bila dia keluar kota.

Seorang peniaga besi buruk menawarkan RM100. Leman Lompat marah.

“Kalau rega itu, bior teman tereban ke dalam sungai Perak aje!” jeritnya. “Lagipun not for sale…” tambahnya.

Menurut Geruges, yang menoreh di kebun getah Leman, beliau ke Kuala Lumpur ke rumah anaknya, Lokman. Ada hal penting, pesannya.

Cerita tentang tiga PRK berturut-turut yang bakal diadakan sudah pepak. Habanya sudah meruap di mana-mana. Di warung, di jeti bot penambang, di kebun getah, di kebun kelapa sawit, di surau, di masjid dan di pasar, orang bercakap tentang PRK tersebut dan bakal-bakal calon.

“Aku berkenan calon muda tu…” ujar Anjang Ayub.

“Muda benor mana ada santan!” celah Geruges.

Jenaka Geruges membuat semua yang berada di meja makan tidak kering gusi.

Datuk Anjang Ayub pernah jadi ahli dewan undangan negeri selama dua penggal. Ayahnya dan dia sendiri tidak berminat menjadi wakil rakyat. Sekarang anaknya, seorang ustaz, disebut-sebut sebagai calon SAP dalam salah satu PRK.

Sudah sebulan Leman Lompat tidak hadir bersidang. Tetapi sehari sebelum penamaan calon PRK pertama berlangsung semua terlopong apabila sebuah Vellfire putih tiba-tiba berhenti di depan warung. Lebih mengejutkan lagi yang keluar dari tempat duduk pemandu ialah Leman Lompat!

“Carik plastik ni Leman…” usik Ya Lemuju.

Leman Lompat tersenyum.

“Rezeki…” jawabnya.

“Kenape ambil warna putih, senang kotor…” tanya Geruges.

“Nak cepat, itu aje warna yang ada. Kalau ikut hati teman, nak warna hijau…”

“Ai, lain macam je warna tu…” Anjang Ayub tumpang sekaki.

“Tak le sampai ke situ pulak yop…”

Leman Lompat memberitahu sidang parlimen warung Tempoyak Raja Musang bahawa Kamalia sudah ditunangkan. Dia tidak menjemput orang luar. Buat kenduri ala kadar saja, katanya. Hanya anak beranak dan keluarga terdekat saja yang hadir. Dia tidak mahu hal itu dihebahkan. Lebih mengejutkan Kamalia bertunang dengan anak Dr. Mahat, pengerusi Parti Aman Nasional.

Berita Leman Lompat pulang dengan Vellfire baharu selepas hilang selama sebulan merebak dengan cepat, bagai api membakar jerami padi. Rata-rata ahli sidang parlimen warung Tempoyak Raja Musang dan warga mi kicap Di Ah Pee berpendapat ia tentu ada kaitan dengan PRK yang menjelang tiba.

“Patut ini kali Leman tanding….tentu minang…” usik Di Ah Pee, pemilik gerai mi kicap, ketika Leman Lompat singgah di gerainya suatu pagi.

“Teman mana ada parti…” jawab Leman Lompat bersahaja.

“Tanding cap kunci pun Leman boleh minang…”

Jawapan Di Ah Pee menyebabkan Leman Lompat tersengih panjang. Memang ada juga dia terfikir begitu. Tetapi dia sedar bahawa peratus untuk menang sebagai calon bebas adalah terlalu tipis.

“Kamu dapat agak tak apa ada dalam kepala aku tentang Leman Lompat…?” Tiba-tiba terpancut pertanyaan Ya Lemuju di warung, suatu pagi.

“Tentang Vellfire putih tu?” sambut Anuar Turki.

“Haah…”

Vellfire putih Leman Lompat menjadi misteri nombor satu dan buah mulut.

“Aku rasa ada kena mengena dengan PRK…” ujar Ya Lemuju

“Leman Lompat dah kena beli!” Getus Kiah Laser yang baru sampai di warung.

“Hmm, pertunangan Kamalia dengan anak Dr. Mahat hanya show…” Anuar Turki menyempil.

“Benor kata mike, kalau tak begitu, takkan dapat pegang title Leman Lompat!”

Celah Kiah Laser yang singgah membeli gulai tempoyak. Habis diborongnya baung dan bujuk hitam. “Kite tunggu aje le, takor tempoyak getang macam mane pun, keluor juge baunya…” sambungnya lagi.

Kiah Laser juga memborong pekasam ikan terbul dan ikan biji nangka.

“Banyak mentokar di laman yong pagi ni…” Ya Lemuju mengorek.

Rumah Kiah Laser hanya sepelaung dari warung Ya Lemuju. Tunjuk langit yang terpacak di timba layar rumah tradisional pusaka orang tuanya nampak jelas dari warung.

“Ate, musim kempen bukan ke dah start…?” Kiah Laser membalas pertanyaan Ya Lemuju dengan semacam pertanyaan juga.

“Orang kuat parti azimat le katakan…” sampuk Anuar Turki.

“Tau tak ape…” Kiah Laser mengherotkan bibir kanan yang sudah menjadi trade marknya sejak lama. “Tak heran Pak Ya, zaman sekarang musang pun dah ada raja…”

“Benor kata yong…” selak Anjang Ayub.

Kiah Laser kincap meninggalkan warung Tempoyak Raja Musang diikuti oleh dua orang anak gadisnya yang menggendong mangkuk tingkat berisi gulai tempoyak, jeruk maman, tapah bemban bakar dan pekasam. Perutnya kelihatan berembik-embik bila dia melajukan langkah.

Pagi esoknya Leman Lompat sarapan di warung Tempoyak Raja Musang. Hampir semua ahli parlimen warung bersidang. Ramli Mat Akib juga ada bersama. Ternyata dia dan Leman Lompat sudah berbaik-baik semula.

Semua terpempan seketika apabila sebuah kereta Mercedes berwarna hitam berhenti di depan warung. Dr. Mahat yang berkaca mata hitam muncul dari tempat duduk belakang. Dia memberi salam dan masuk ke warung. Semua mata tertumpu ke arah Leman Lompat yang kelihatan sedikit pucat.

“Singgah sat…jumpa besan,..dia bakal calon…” ujarnya tanpa ditanya.

Terpinga-pinga, Leman Lompat sempat juga tersenyum. Dr. Mahat langsung tidak memberitahu tentang kedatangannya pagi itu. Memang sudah tiga kali Dr. Mahat memujuknya untuk bertanding di atas tiket PAN, tetapi dia menolaknya dengan berhemah.

Semalaman Leman berperang dengan hatinya. Baginya Dr. Mahat sudah melepasi garis merah. Lusa dia akan minta Lokman hantar Vellfire ke rumah Dr. Mahat di Shah Alam. Cukuplah dia bertuankannya selama dua minggu. Harga dirinya jauh lebih tinggi daripada MPV itu. Dia juga akan minta Geruges belikan sebiji bateri buat Hillman Hunternya. Dia tidak mahu kereta kesayangan arwah ayahnya lahak di bawah pokok manggis. Kesian Kamalia. Dia tidak dapat menduga sama ada pertunangan anak kesayangannya itu dengan anak Dr. Mahat akan bertahan. Ah, betapa benarnya telahan Anuar Turki.

Tiba-tiba mahu saja rasanya dia pencen daripada politik.

Daftar kata:

Lancap: tidak terkawal
Getang: ikat
Tak sior: tak mahu
Tereban: campak
Pekak: hebat
Kincap: berjalan pantas
Sais: penjaga kuda lumba
Dilatam: dipukul
Hincit: nyah
Berembik-embik: bergoyang
Lahak: terbiar
RUU: Rang Undang-undang
SAP: Sejahtera Amalan Perdana
PAN: Parti Aman Nasional
PAD: Parti Aksi Demokratik
UNOM: Untung Nasib Orang Melayu

  • Cerpen yang disiarkan adalah rekaan semata-mata. Setiap watak, tempat dan masa tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau meninggal dunia. Sekiranya ada persamaan itu hanyalah kebetulan.