Dalam memperkata bidang penulisan sastera, setiap karya-karya yang dihasilkan itu mempunyai tema dan juga pengajaran yang berguna dan boleh dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan sekiranya karya itu diolah menjadi drama TV.

Peranan dan sumbangan yang diberikan oleh penulis mapan atau penulis veteran perlulah diberikan perhatian ke arah menjadikan karya sastera sebagai wahana yang terbaik untuk khalayak masyarakat agar lebih mencintai dunia sastera.

Sebagai contoh, supertelefilem Srengenge yang pernah disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) 1 sebelum ini, merupakan adaptasi novel Srengenge, karya Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Profesor Emeritus Shahnon Ahmad ke layar supertelefilem bagi merealisasikan salah satu objektif penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu memperkembang bakat sastera khususnya dalam bahasa kebangsaan.

Supertelefilem Srengenge itu diarahkan oleh Mahuddin Ibrahim. Antara barisan pelakon adalah Eman Manan, Shahronizam, Datin Fadilah Mansor, Jasmin Hamid dan Fathil Dani.

Projek pelesenan kandungan mengadaptasi novel Srengenge itu terletak bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Harta Intelek dengan kerjasama RTM dan Syarikat Arca Creative Sdn Bhd.

Srengenge yang merupakan salah satu novel yang dihasilkan oleh Allahyarham Shahnon adalah antara karya sastera yang terbaik yang diadaptasikan ke drama TV dan menjadi sebutan ramai sehingga kini.

Tidak dinafikan bahawa karya-karya sastera yang dihasilkan itu mampu menjadi bahan terbaik sekiranya pelbagai pihak memandang serius dalam usaha menjadikan karya-karya sastera sebagai medium yang berguna serta mampu menarik minat masyarakat untuk mendekati bidang sastera.

Untuk menjadikan bidang sastera sebagai antara bidang yang mampu memberikan sesuatu yang berfaedah kepada penulis sastera, kerjasama daripada semua pihak terutama DBP, pengarah drama dan stesyen TV amat diperlukan dalam usaha mengangkat kembali tentang betapa pentingnya bidang sastera pada masa kini.

Di samping itu, sebuah cerpen karya Allahyarham Azizi Abdullah yang berjudul ‘Tulang Pekasam Ikan Puyu’ turut diadaptasikan ke drama TV dan disiarkan di RTM 1 di mana barisan pelakonnya ialah Azlinda Rafar, Shukery Hashim, Noraini Hashim dan Taman Idris.

Cerpen ‘Tulang Pekasam Ikan Puyu’ ini ditulis dan diolah dengan baik sekali oleh Allahyarham Azizi bagi memberikan gambaran yang terbaik kepada khalayak pembaca, di samping mendidik masyarakat untuk menyayangi diri sendiri dan juga keluarga.

Novel ‘Imam’ karya Allahyarham Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain adalah antara karya sastera yang boleh diketengahkan kepada khalayak masyarakat dengan mengadaptasikan karya berkenaan ke drama TV.

Sumbangan yang diberikan oleh Allahyarham Abdullah dalam bidang sastera amat besar sekali dengan terhasilnya novel terbaik beliau iaitu ‘Imam’ yang cuba dikupas dan diolah dengan sempurna dalam memberi pengajaran yang berguna kepada masyarakat hari ini.

Novel ‘Anak Awang Toksan’ hasil karya Md Noor Salleh atau lebih dikenali sebagai Noorjaya merupakan sebuah novel yang dihasilkan dengan begitu teliti sekali bagi menjadikan novel berkenaan begitu segar untuk difahami dan direnungi bersama.

Novel ini juga boleh diadaptasikan ke drama TV seandainya ada pihak yang berminat untuk menjadikan novel berkenaan sebagai salah satu novel yang mampu memberikan pengajaran yang berguna kepada masyarakat sekiranya diolah dengan baik menjadi skrip drama TV.

Apa yang penting, karya-karya sastera yang dihasilkan oleh penulis mapan atau penulis veteran diharap mampu menjadi contoh terbaik kepada penulis muda untuk terus berkecimpung dalam dunia Kesusasteraan Melayu, di samping menghasilkan karya-karya sastera yang bermutu serta terbaik. - WADIASSOFI JAAFAR