Dekad 1970-an adalah zaman kesedarannya, dianjurkan pelbagai persidangan dan pertemuan, melaungkan gagasan ke arah menghidupkan sastera Islam.Saranan bersastera mengikut perspektif Islam bergema setelah sekian lama sastera Melayu karam dalam fahaman Barat dan sekular.

Ada pandangan supaya meninggalkan terus pengaruh Barat, tetapi majoritinya setuju melakukan penyesuaian dan penyaringan seperti yang dilakukan dalam tradisi sastera Islam era pemerintahan Abbasiyah. Perdebatan dan perwacanaan banyak tertumpu kepada penetapan definisi, konsep dan prinsip sastera Islam.

Pada umumnya, bersetuju dengan definisi sastera Islam sebagai pengabdian yang memancarkan sikap hidup bertakwa, sambil menekankan kepada kebaikan amalan masyarakat, yang segalanya berlandaskan al-Quran dan sunnah nabi.

Konsep sasteranya ialah ditetapkan untuk kembali kepada fitrah kejadian manusia yang menyerah dan sujud ke hadrat Allah Azza wa Jalla. Pengabdian juga bererti kewajipan beriman dan menguatkan akidah, dan taat kepada syariat serta meninggikan akhlak demi darjat insaniah. Dengan itu, penulisannya ialah ibadat untuk menghasilkan karya yang menggambarkan roh dan nilai-nilai hidup Islam dan menjadikan sastera sebagai pembina peradaban manusia.Sastera Islam mengungkap kehidupan dan masyarakat, yang selari dengan tuntutan Islam, dan mempunyai tujuan untuk menginterpretasikannya dengan memberi makna dan signifikasinya.

Antara kriteria umum sastera Islam ialah subjek dikupas menurut ajaran agama dan permasalahan diselesaikan menurut tasyrik Islami. Amal maaruf dan nahi mungkar menjadi pegangan dan kehidupan akhirat menjadi matlamat, dengan tidak menafikan nasib dan takdir di dunia. Kesemuanya itu dijadikan landasan bagi membina prinsip-prinsip sastera Islam untuk menunjukkan nilai dan neraca pengkaryaan. Berdasarkan prinsip-prinsip itu diformulasikan kaedah penulisan teks sastera Islam dan metodologi kajian serta kritikan bagi penilaiannya.

Dekad 1980-an adalah zaman penghasilan karya dengan kemunculan ramai penulis. Kesedaran tentang sastera Islam, telah menjadi alternatif kepada sebahagian pengarang negara. Banyak teks kreatif dalam pelbagai genre puisi, cerpen, novel drama yang telah dihasilkan. Khalayak pun mendapat pengalaman baru untuk menyelesaikan pelbagai masalah hidup melalui teks-teks sastera Islam itu.

Sesungguhnya, sastera Melayu telah mencapai pelbagai kemajuan dalam aspek penulisan dan sangat pragmatik kepada khalayak. Nama-nama seperti Shahnon Ahmad, Hassan Ali, Kemala, Shafie Abu Bakar, Norhisham Mustafa, Abdullah Hussain, Noordin Hassan dan A. Rahim Abdullah adalah antara yang menjadi sebutan.

Dua jenis pencorakan penulisan yang diaplikasikan ialah al-awami dan al-khassi. Al-awami ialah penulis yang berkarya secara umum, dengan membawa subjek-subjek tentang kehidupan beragama baik daripada sudut akidah, syariat dan akhlak. Biasanya bermula dengan akidah, bergerak kepada syariat dan berhijrah kepada akhlak. Sentuhan dan penghayatannya secara konfrehensif dan eklektik.

Penulis al-khassi menghasilkan karya Islam secara khusus, seperti bercorak tasawuf, yang merujuk hubungan manusia dengan Pencipta, dan hubungan manusia sesama manusia, seperti yang dicitrakan oleh baginda Rasulullah bagi menyempurnakan akhlak. Dokongan pelbagai sifat mulia, melahirkan manusia yang kaya jiwanya, reda dan menuju ke arah kesempurnaan sebagai insan al-kamil.

Dengan perkataan lain, pertama, sastera yang hanya memperlihatkan beberapa ciri atau unsur sastera Islam, yang dikatakan sastera Islam secara umumnya. Kedua, sastera yang benar-benar memenuhi konsep sastera yang dikehendaki oleh 
Islam. Kedua-duanya disebut juga sebagai sastera al-daruri dan al-israri.

Penulis al-Awami, sekali-sekala terpanggil menulis sastera 
Islam seperti Shahnon Ahmad 
dengan al-Syiqaq, Tuk Guru dan Mahabbah; Hassan Ali, Fajar di Hujung Malam dan Nur Hidayah; Abdullah Hussain dengan Imam; Hasanuddin Mat Isa Mereka Yang Tertewas dan A. Rahim Abdullah dengan Sebelum Asar.

Penulis al-khassi pula seperti Kemala, Suhaimi Haji Muhammad, Shafie Abu Bakar dan Noordin Hassan yang sastera Islam menjadi manhaj utama penulisan mereka. Kemala menghasilkan Meditasi, Ayn, Pelabuhan Putih, Titir Zikir, Mim, Ziarah Tanah Kudup, Syurga Ke Sembilan, dan Menyirat Cinta Haqiqi adalah terdiri puisi tasawuf. Suhaimi Hj Muhammad melahirkan Alam Anggur, Nyanyian Undan, Wujud dan Cintamu Umi. Gaya dan istiarah kedua-duanya mendekati penulisan Jalaluddin al-Rumi, Yassin al-Bustani, Mansor al-Hallaj, Al-Junaid, Amir Hamzah dan Iqbal. Malah kedudukan Kemala adalah selepas Iqbal.

Dengan banyaknya penulisan teks sastera Islam, usaha penyuburannya dilakukan terus menerus dari masa ke masa.Persidangan yang berbentuk seminar, pertemuan, kolokium, malah simposium dan kongres sastera Islam diadakan silih berganti. Pelbagai persoalan, subjek dan permasalahan diwacanakan, termasuklah cara penilaiannya. Suasana itu semakin meriah dengan banyaknya siri sayembara dan pertandingan penulisan karya baik untuk novel, cerpen, puisi, drama dan kritikan diadakan, implikasinya melahirkan banyak teks sastera Islami.

Kesemuanya itu dituntut pula mewujudkan teori sastera Islam. Bukan senang mengikis teori Barat yang telah mendarah daging dalam urat saraf sastera Melayu. Sempadan yang memisahkan di antara yang sakral dan profan saling berbaur dan kabur. Namun akhirnya, kita berjaya membina teori sastera Islam sendiri seperti taabudiyah, pengkaedahan Melayu dan takmilah.

Sebagai teori sastera, ia memiliki falsafah dan metodologi untuk menghasilkan karya Islam dan mengaplikasikan untuk kritikan dan kajian. Dalam konteks memperkasa penulisan sastera Islam ini, pengarang di negara ini terutama yang muda, harus mendekati teori sastera Islam tempatan.

Setelah menikmati zaman kecemerlangan sastera Islam di Malaysia yang mengalami zaman ketandusan, tabir milenium baru menyaksikan ia bagaikan dunia yang sepi, rumah yang tidak berpenghuni dan membawa diri. Sedikit benar karya Islam dihasilkan, bahkan ia hampir dilupakan. Kita merindui zaman kegemilangan sastera Islam itu.

Amat cenderung

Petanda positifnya sudah berbunga, sebarisan pengarang muda kita melakukan sinambungan menggunakan unsur Islam sebagai dasar penulisan karya. Sejumlah nama yang penting seperti Salina Ibrahim, A.Halim Ali, Ghazali Din, Rosli K Matari, Shamsuddin Othman, Nisah Haron, Zaid Akhtar, Zana Zanzaly, Siti Hajar Mohd Zaki, Amiza Khusairi dan Salman Sulaiman, amat cenderung mengangkat subjek keislaman.

Dalam konteks memperkasakan sastera Islam ini, kedua-dua jenis al-daruri dan al-israri adalah diperlukan. Menjadi pengarang berklasifikasi al-awami atau al-daruri, akhirnya dengan kesungguhan akan menjadi pengarang al-khassi seperti Kemala dan Suhaimi Haji Muhammad. Di Indonesia Habiburrahman El-Shirazy, mencipta nama dan membina fenomena sastera Islam, berjaya melentur karya feministikdan seksualiti yang mendominasi di Indoensia.

Pendalaman ilmu akidah, syariah dan tasawuf dapat membantu memperteguh kreativiti penulis muda tanah air. Akidah tegak atas kepercayaan kepada Allah, Rasulullah, kitab-kitab, malaikat, kiamat dan qadak dan qadar. Syariah ialah hukum dan aturan beragama yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang sewajibnya ditaati oleh hamba-Nya. Ibadat ialah amalan-amalan dalam manifestasi akidah dan syariah seperti solat, puasa, zakat dan haji, berserta segala penyelesaian permasalahan kehidupan dan seluruh sendi agama dalam semua keadaan dan tempat. Penguasaannya secara mendalam melahirkan karya yang relevan dan fungsional.

Belajarlah juga daripada kejayaan sejarah, contohnya sastera Islam zaman Abbasiyah yang mencatat 44 pengarang ternama dan 13 orang adalah yang dinobatkan sebagai agung dan unggul, antaranya ialah Fardausi, Rumi, Sa’adi, Nizami, Jami, Anwari, Hafiz, Attar, Abi Hanifah, Ibnu al-Muqaffa, Basyar dan Abu Nawas.

Suasana meriah, subur, gemilang dan istqamah dalam penulisan teks Islami haruslah digembleng dan dijadikan arus perdana. Siri sayembara penulisan karya harus dihidupkan semula. Persidangan dan pertemuan, yang sudah lama tidak dianjurkan perlu diadakan untuk berwacana.

Maqam sastera Islam yang menjadi jasad, roh dan primordial images sastera Melayu disinggahsanakan semula. Sejarah telah dibuktikan, yang mengubah sastera Melayu daripada kaya dengan mitos, dongeng dan tahyul kepada yang dinamik, rasional dan akhlaqiah adalah Islam. Islam itu adalah tempat asal kita. Dan Sastera Islam mendapat sanjungan daripada Junjungan.

Bersyukur kita, tokoh-tokoh sastera Islam seperti Kemala dan Noordin Hassan diangkat menjadi Sasterawan Negara. Sudah ada penghargaan. Ada baiknya, kita merangka pula sebuah anugerah sastera Islam untuk peringkat Nusantara, Asia Tenggara atau negara-negara Islam, bagi memilih tokoh sasterawan.

Jika ada kemahuan dan usaha di situ ada jalan. Cuba bayangkan saban tahun kita berkumpul untuk menobatkan sasterawan kita bergelar Sasterawan Islam Nusantara atau Dunia. Penganugerahan ini telah menjadi amalam negara-negara Islam, terutamanya di zaman Abbasiyah. Insya-Allah sastera Islam akan dapat diperkasakan dan mendapat tempat terhormat dan berkat.