Celaka! Baru dia teringat. Dia kini tanpa rela sudah bertuankan manusia yang baharu. Dia cuba menyondol-nyondol dinding balang namun, tiada ada apa-apa perubahan. Dia cuba bertempik, mustahil untuk sesiapa juga mendengar frekuensinya dalam balang plastik itu. Dia membuka luas-luas sirip tepinya yang berwarna biru. Melebarkan pula ekornya lalu cuba juga sekali lagi bertempik. Hanya sia-sia. Memang sia-sia apabila tinggal keseorangan.

Barangkali inilah natijahnya apabila hidup tidak bermasyarakat, tidak berkawan dengan yang lain. Bukan dia tidak tahu bangsanya memang jenis yang tidak suka berkawan. Tidak suka bersahabat. Tidak suka hidup bermasyarakat. Jauh sekali mencuba untuk merapatkan silaturahim sesama bangsa. Paling tidakpun hanya bertemu jantina lain semata-mata untuk membiak. Andai bertembung dengan sama spesies alamatnya berkocaklah air sebagai saksi pertarungan sesama bangsa. Mereka bukannya jenis yang suka berfikir panjang. Tidak kira di mana juga tempat perbalahan pasti akan terjadi waima apa juga situasipun. Mereka tidak fikir yang mereka bergaduh dan berbalah itu merupakan sama bangsa. Tidakkah mereka mahu melihat bangsa mereka sendiri berpopulasi dengan lebih banyak?

Dia melihat di luar balang. Keadaan seperti berada di dalam bilik manusia. Tuannya yang terdahulu juga mempunyai bilik seperti ini. Namun, dalam bilik tuannya yang dahulu mempunyai banyak balang-balang kecil yang berisi bangsa sepertinya juga. Meskipun berada dalam balang yang berbeza, mereka sering menyondol-nyondol dinding balang seolah-olah bertempur. Namun, dinding balang menjadi penghalang. Bodoh juga mereka.

Namun, tidak lama satu persatu jumlah balang merosot. Dia masih tidak mengerti waktu itu. Sehinggalah dia turut merasainya sendiri. Rupanya dia dijual kepada tuan yang baharu. Dia masih ingat waktu itu dia diletakkan di belakang bonet kenderaan yang terbuka. Satu persatu balang yang mengandungi bangsa sepertinya disusun cantik untuk paparan manusia lain. Seorang demi seorang manusia datang menghampiri balang mereka.

Dia mendengar proses tawar menawar berlaku dan beberapa balang telah bertukar tuan. Dia masih meliuk-liuk dalam balang, mempamerkan sisik dan siripnya yang menawan. Setiap bangsanya mempunyai corak dan warna yang berlainan. Seakan identiti masing-masing maka kerana itu juga punca bangsanya sering sahaja berlawanan. Masing-masing mahu menegakkan hak yang mana paling lawa, yang mana paling menawan. Hanya kerana itu. Sememangnya bangsanya jenis suka menunjuk-nunjuk dan kemudiannya bergaduh pula kerana masing-masing mempertahankan kesempurnaan yang kononnya hanya milik mereka sahaja.

Dia sebenarnya sudah bosan begitu. Dia bukannya tidak pernah bertempur sesama mereka. Dia bosan kerana asyik dia sahaja yang memenangi pertarungan. Dia masih ingat antara salah satu pertarungan dalam tali air yang didiaminya. Sedang enak menikmati rumput-rumput di celah batu dia didatangi seekor ikan laga tua. Sudahlah tua, datang dengan marah-marah pula. Kata laga tua tempat yang dia meragut rumput itu adalah tempat jajahannya. Dia pantang dibebel, terus sahaja dia menerkam laga tua yang sudah sedia tercarik sedikit sisiknya. Laga tua itu cuba melarikan diri namun dikejar olehnya tanpa belas. Diterpa pula berkali-kali sehingga sisik si laga tua tercabut sana sini. Badan si laga tua juga sudah luka-luka akibat terpaan bertubi-tubi. Dia melakukannya tanpa belas tanpa mengira usia. Sehinggalah si laga tua menyerah kalah dan beredar dari kawasannya. Dia gembira kerana kawasan jajahannya kini telah meluas dengan beredarnya si laga tua.

Dia masih ingat waktu itu jugalah dia rupa-rupanya diperhatikan oleh si laga betina yang berada tidak jauh dengan kawasan pertempuran. Si laga betina mendekatinya. Di situ bermula titik pertemuan dia bersama bininya. Dijaganya si bini dengan sempurna. Pantang ada jenis laga yang melintasi sarang pasti akan diserang olehnya. Cuma jika ikan lain yang melalui jajahannya dia hanya mampu menyorok bersembunyi dalam sarang sahaja. Gila apa hendak bertarung dengan haruan, dengan sepat, dengan keli. Itu hanya mendatangkan maut sahaja. Dengan bangsanya sendiri dia beranilah.

Dia juga masih teringat sewaktu dia tertangkap dengan manusia. Tengah enak menikmati pucuk-pucuk rumput jugalah waktunya. Waktu itu bininya sedang sarat membuncit hendak bertelur dan tidak larat untuk keluar sarang. Hanya dia seekor yang perlu mencari pucuk-pucuk rumput untuk dibawa pulang ke sarang. Begitulah kehendak Tuhan. Sudah menjadi ketentuan-Nya menyaksikan dirinya tertangkap oleh manusia. Dia cuba meronta-ronta dan melompat setelah terperangkap dalam satu penapis jarang. Berkali-kali cubaan namun masih tetap tidak berjaya. Dia mulai hampa dan menuruti sahaja dirinya dibawa pergi.

Baginya manusia ini cukup celaka. Tidak pernah puas menjarah untuk menjajah. Mereka sepatutnya menggunakan kelebihan akal mereka untuk lebih berperikemanusiaan. Jika difikirkan berulang-ulang kali kenapa mereka kejam. Sekejam-kejam bangsanya yang suka berkelahi dan bergaduh, bangsanya tidaklah pula mengusik spesies yang berlainan. Lebih kejam manusia sanggup memisahkan dia dengan bininya. Apalah nasib bininya. Apalah nasib anak-anaknya yang bakal menetas itu nanti. Cukup makankah bininya nanti? Untuk bininya mencari sendiri pucuk-pucuk rumput yang berkhasiat sangatlah sukar. Keadaannya yang sarat mahu bertelur bila-bila masa sahaja. Manusia kejam. Manusia celaka.

Itulah perkara terakhir yang diingatinya, selepas itu dia hanya sedar dirinya sudah berada dalam balang kecil. Sekelilingnya penuh balang-balang terisi bangsanya. Dia masih lagi mamai. Cuba menyesuaikan diri dalam ruang balang kecil yang menjadi rumahnya kini. Suka ataupun tidak inilah nasib yang perlu dia tempuhi sekarang.

Malam itu tidurnya tidak lena. Beberapa kali dia digertak oleh bangsanya yang berhampiran. Ugutan demi ugutan diterima. Mujur juga dia berada berlainan balang. Dia perlu menenangkan dirinya untuk menyesuaikan diri dalam balang tersebut terlebih dahulu.

Dirinya kembali ke dalam bilik tuannya yang baharu. Dia keseorangan. Malam menjelma barulah tuan baharu menghampiri dirinya. Manusia itu menuang beberapa ketulan kecil makanan. Dia menjamah namun hanya sedikit yang memasuki perutnya. Lain betul rasa makanan kali ini. Dia cuba menyesuaikan diri dengan makanan tersebut. Lama kelamaan dia pasti terbiasa juga.

Detik demi detik. Hari berganti hari. Suatu hari manusia yang digelarkan sebagai tuan itu membawa balang bekas yang berisi ikan laga yang baharu. Lebih muda usia darinya.

“Hari ini aku bawakan kau teman. Tapi ini bukan sebarang teman, ini teman untuk kau beradu kekuatan.”

Dia gelisah, sudah lama dia tidak bertarung dengan bangsanya sendiri. Lebih-lebih lagi laga yang baru tiba ini lebih muda darinya. Sudah tentu lebih kuat darinya. Dia sedikit gelabah. Namun dia punya kelebihan. Laga muda itu sudah tentu masih lagi dalam keadaan mamai. Ikan mana yang tidak mamai setelah bergoncang-goncang lama dalam kenderaan untuk tiba di rumah tuannya ini. Dia sendiri sudah merasai pengalaman sebegitu. Itu sahaja kelebihan yang dia ada.

Tidak lama selepas itu, tuannya meletakkan mereka berdua ekor dalam suatu balang yang lebih besar persis gelanggang pertarungan. Lantas dia tidak menunggu lama. Dia terus sahaja menerpa ke arah laga muda. Dirempuhnya bertubi-tubi. Ikan laga muda itu seakan tidak melawan. Untuk mempertahankan diri apakan lagi. Dia sedar, dia perlu segera menamatkan pertarungan ini. Peduli apa dia berkenaan bangsa. Sudah lumrah bangsanya berlawan sesama sendiri. Itu yang manusia gemarkan. Dijaga, dibela, diberi makan dan seterusnya dilagakan untuk beradu kekuatan.

Ikan laga muda itu tewas mudah. Langsung tidak melawan. Manusia itu menangguk si ikan laga muda untuk dibawa keluar. Penapis jarang digunakan untuk menangguk si laga muda. Entah ke mana di bawa, dia pun tidak tahu. Dia kemudiannya diisi kembali dalam balang asalnya. Dia bangga kerana menewaskan laga muda yang tidak mengerti apa-apa itu. Baru sahaja tiba dan kemudiannya disuruh bertarung. Memanglah akan tewas.

Keadaan begitu berulang kali berlaku. Manusia yang bergelar tuan itu membawa beberapa ekor ikan laga lagi untuk bertarung dengan dia. Dengan mudah juga dia memenangi setiap pertarungan. Setiap ekor laga yang tewas dibawa pergi dengan penapis jarang. Dia tidak lagi memikirkan hal masa lalu. Hal bininya. Hal anak-anaknya jika telah menetas. Ada berapa belas ekorkah yang menetas, atau mungkin boleh mencecah angka puluhan. Dia sudah tidak peduli.

Namun, entah bagai mana lama kelamaan hatinya tiba-tiba terdetik ingin tahu ke mana ikan-ikan yang kalah pertarungan dengannya itu dibawa pergi. Adakah dilepaskan kembali ke habitat asal? Sebabnya selepas dibawa pergi dengan penapis jarang itu, ikan-ikan laga terbabit tidak lagi kembali terisi dalam balang.

Perasaan ingin tahu kini makin membuak. Dia hanya perlu kalah untuk mengetahuinya. Dia hanya perlu bersabar untuk pertarungan seterusnya. Dia yakin dengan keputusannya. Sampai bila lagi dia harus berada dalam balang kecil tersebut. Sudah sampai masanya untuk dia kembali mencari keluarganya terdahulu. Apalah erti kemasyhuran tanpa keluarga di sisi.

Suatu hari, tuannya membawa sebuah balang berisi ikan laga yang baharu. Merah jingga warnanya. Masih tidak boleh menandingi kecantikan warna biru dirinya. Memang dia punyai kelebihan yang sama seperti sebelumnya. Dia kini telah bersedia. Bersedia untuk mengetahui keadaan di luar sana. Dia impikan kehidupan bebas seperti dahulu.

Dia kini dicampurkan dengan satu balang lain bersama laga merah jingga. Seperti telahannya selalu, laga merah jingga itu masih lagi mamai. Dia boleh sahaja memenangi pertarungan ini dengan mudah. Namun, kali ini berbeza.

Ikan laga merah jingga masih tidak bergerak. Begitu juga dengannya, dia tidak mahu menyerang laga merah jingga terbabit dan masih menunggu serangan. Detik demi detik berlalu. Manusia yang bergelar tuan itu mulai mendengus kemarahan. Balang itu diketuk berkali-kali agar pertempuran dapat dilaksanakan.

“Aduh… Takkanlah aku tersalah beli jantina pula.”

Dia rasakan dia perlu mengacah laga merah jingga itu terlebih dahulu. Jika terus membatu sahaja takkan selesai. Dia terus meluru ke arah laga merah jingga namun dia sengaja melanggar sipi untuk menyedarkan kawan sebangsanya itu. Beberapa kali dia melakukan perkara tersebut sehinggalah laga merah jingga berkenaan seakan bangkit daripada lamunannya. Kini dia pula dirempuh kuat.

Sakit. Hanya itu yang dia rasakan. Mungkin itu juga yang dirasakan oleh laga-laga lain yang pernah ditewaskannya. Dia perlu bertahan. Beberapa kali juga laga merah jingga itu menyerangnya kembali. Dia sengaja membiarkan laga merah jingga itu mencalarkan badannya, membiarkan sirip dan ekornya tercarik sedikit. Sakit sekali rasanya dan kali ini dia rasa sudah tidak mampu untuk bertahan. Dia memutuskan untuk melarikan diri. Berdesup sana sini sekeliling balang. Dengan yang demikian dia berharap laga merah jingga itu memahami dan mengerti. Namun, laga merah jingga sudah tidak peduli. Dia berterusan diburu kawan sebangsa yang durjana.

“Hoi, lawanlah. Bacul punya ikan.”

Dirinya kini semakin lemah. Tenaganya juga kian merudum. Dia berterusan juga diburu. Tatkala dirinya sudah tiada lagi daya, dia dirempuh kuat oleh laga merah jingga sehingga sirip kanannya tercabut. Badannya juga kini terpelanting lalu menyebabkan dirinya terapung di permukaan. Insangnya juga sudah lemah untuk berfungsi. Dia kini sudah nyawa-nyawa ikan.

“Lembik punya ikan. Ingatkan handal sangat.”

Serentak itu dari hujung mata, dia melihat penapis jarang menghampiri dirinya. Bagaikan mendapat satu nyawa baharu, dia mulai berasa seperti ada satu pengharapan baharu. Dia sudah tidak kisah mengenai kecederaan yang teruk dialaminya itu. Lambat laun akan sembuh juga.

Muka penapis jarang sudah mengenai dirinya. Lantas dirinya diangkat perlahan, dia menggerak-gerakkan sedikit ekornya untuk membuktikan dirinya masih lagi bernyawa.

“Hidup lagi rupanya, ingatkan sudah habis nyawa tadi.”

Itu kata-kata yang didengari dari mulut manusia yang menangguknya. Dia yang sudah terisi dalam penapis jarang dibawa ke pergi keluar bilik. Haluannya kini seperti terarah ke ruang dapur.

Pintu dapur terbuka. Ketika itu dia melihat beberapa ekor makhluk berbulu berkaki empat meluru kepadanya. Mungkin dua, mungkin tiga. Semuanya berlari menuju ke arah dirinya dan manusia terbabit. Hatinya mula gundah gulana. Bukan ke sini tempatnya. Tempatnya seharuslah dalam air. Penapis jarang itu diterbalikkan lalu dirinya tercampak keluar ke bawah.

Seekor makhluk berbulu yang paling hampir dengan dia telah berjaya menerkam. Dengan kuku dan gigi yang tajam, dia dimasukkan ke dalam mulut makhluk berbulu tersebut.

Manusia kejam! Manusia celaka!