Kini Facebook diakui menjadi salah satu media sosial paling popular di dunia. Ciptaan Mark Zuckerberg dan kawan-kawannya pada Februari 2004, ternyata menjadi media unggul.

Facebook berfungsi sebagai perantara manusia di dunia. Pengguna tertarik kerana maklumat terkini boleh diperoleh dengan mudah, pantas dan percuma. Selain bidang-bidang seperti agama, pendidikan, politik, ekonomi, sukan dan perdagangan, bidang kesenian tidak terkecuali.

Berdasarkan pengamatan penulis, Facebook turut dimuatkan dengan karya-karya kesenian seperti teater, nyanyian, filem dan kesusasteraan. Di negara ini. terdapat beberapa individu memilih Facebook untuk perkongsian karya dan salah seorangnya ialah Abdullah Hasan. Beliau ialah seorang Profesor Emeritus, pensyarah universiti yang bersara dan tinggal di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang. Beliau memilih sastera aliran realisme sosial. Lazimnya, beliau memuat naik cerita kemasyarakatannya dalam Facebook melalui watak kanak-kanak iaitu Safiah, watak imam, mata-mata pencen, tukang gunting, profesor emeritus Mashudi Kader dan para tamu.

Ada sahaja kisah yang mengandungi nilai edukatif dan inspiratif yang diyakini peminatnya tidak kurang daripada 5,000 orang. Mereka menggemari cerita berlandaskan kejujuran dan kemelayuan. Ciri kemelayuan ketara pada justifikasi. Dr. Aminuddin Mansor atau Ami Masra, seorang pendidik yang sudah bersara gemar mengarang karya berbentuk bahasa berirama dalam bahasa Melayu.

Dalam tempoh sebulan, jumlah karya beliau dalam Facebook ada sekurang-kurangnya 30 buah. Beliau begitu prolifik menghasilkan karya kesenian Melayu yang puitis, sopan nilainya dan bijaksana. Tidak ketinggalan Irwan Abu Bakar, profesor yang mencipta saluran sastera siber Melayu serta Dr. Wanrazuhar, peguam ulung di Malaysia yang berwibawa dalam puisi.

Foto seni

Wan A.Rafar acap memuat naik esei berupa periwayatan sasterawan Eropah dan Amerika Syarikat (AS), diikuti paparan foto muka kulit buku pengarang berkaitan. Dalam tahun 2018 sahaja, terdapat berpuluh-puluh buah eseinya. Seorang lagi, tokoh teater Dinsman yang turut mengambil bahagian dalam Facebook. Beliau acap mengemukakan karya berupa penyoalan kemasyarakatan.

Anbakri Haroun, bekas setiausaha Menteri Besar Kelantan ketika Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Allahyarham) menerajui negeri, kerap kemukakan karya berupa video lagu puisinya yang kaya nilai filsuf yang disertai foto seni. Editor Dewan Sastera, Zaharahanum Kamaruddin juga gemar memilih Facebook sebagai media karyanya dalam genre puisi dan cerpen.

Sahabat facebook

Demikian jugalah Mahaya Mohd.Yassin, pensyarah maktab yang bersara yang acap mengemukakan bentuk karya kebahasaan agar karya sastera Melayu bersih kesalahan asas.

Selain itu, Salleh Hamzah, bekas eksekutif TNB kini kian mahir mencipta puluhan puisi filsuf yang ada ketikanya kelihatan lucu kerana isunya tetapi nilai keberaniannya wajar dipuji. Belau kerap memuat naik karya puisinya yang berpemikiran tajam, seni kreatif yang ‘hidup’ dan bermutu.

M.Noor Othman memilih Facebook untuk menyebarkan esei keseniannya kerana baginya bacaan karya sedemikian penting untuk pengguna bahasa Melayu. Benarlah bahawa bahan bacaan kesenian laras tinggi dalam bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Cina, Jepun, Korea malah bahasa Indonesia (Melayu) begitu banyak tetapi mencarinya dalam bahasa Melayu amat sukar.

Paparan karya sastera Melayu tetap terjadi dalam Facebook hingga ke hari ini. Sememangnyalah ada pro dan kontradik. Masing-masing ada alasan baik bersifat peribadi mahupun umum atau saintifik. Penulis pernah hadapi cemuhan dua tiga tahun lalu, bernada kemarahan, antaranya daripada penulis popular dan dua orang bekas profesor madya dengan alasan Facebook bukan medan esei, cerpen mahupun puisi lengkap.

Namun, setahu penulis, sesudah kira-kira 100 buah esei kritik kesenian dipaparkan dalam Facebook, terdapat setidak-tidaknya enam orang pelukis mengikutinya selama tiga tahun dalam bentuk terjemahan ke dalam bahasa masing-masing. Mereka memberikan reaksi pemelajaran antaranya, Amy Chen (Taiwan), Fuh King-fu (Taiwan), Dang Chan (Vietnam), Artiste (Poland), Yasutomo Oka (Jepun) dan An Jung-hwan (Korea). Kami bersahabat menerusi Facebook, Instagram dan e-mel hingga kini dan penulis terus mengemukakan kritik kesenian merujuk karya yang dipaparkannya.

Berhujah tentang kualiti karya kesusasteraan Melayu dalam Facebook hingga kini, penulis berpendirian bahawa sememangnya hampir kesemua karya ada kualiti. Mutunya berada pada tahap laras ilmu dalam karya. Ertinya, pengguna Facebook yang membaca karya berkaitan peroleh ilmu tertentu, setidak-tidaknya ilmu ejaan dalam bahasa Melayu.

Kualiti kedua berkaitan pengalaman kreatif sasterawan Melayu yang bermanfaat kepada pengarang generasi baharu. Paling asas pastilah pengecaman ejaan perkataan yang betul, ayat gramatis dan diksi atau pilihan kata yang benar. Perlu disedari bahawa sehingga kini, majoriti sasterawan Melayu lemah berbahasa ibunda, baik penulisan mahupun pengucapan.

Berdasarkan pengamatan penulis, Facebook turut dimuatkan dengan karya-karya kesenian seperti teater, nyanyian, filem dan kesusasteraan.