Sepanjang pengetahuan saya, kementerian yang berkaitan dengan hal berkenaan kerap bertukar nama dan menteri. Pada 1970-an, ada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia (KKBS).

Antara yang pernah menjadi menteri KKBS ialah Allahyarham Tan Sri A. Samad Idris (1970-an), dan mantan Timbalan Perdana Menteri yang kini Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat/Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (1983).

Seingat saya, KKBS bertukar kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) dengan menterinya, Tan Sri Dr. Rais Yatim (2004-2008), diikuti Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal / 2008-2009).

Antara agensi kerajaan yang berada di bawahnya termasuklah Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan Arkib Negara, Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia, Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Warisan Negara Malaysia, Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Kemajuan Kraftangan Malaysia, dan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.

Kemudian namanya berubah menjadi Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan dengan Dr. Rais Yatim (2009-2013) sebagai menteri yang turut ‘menjaga’ Radio Televisyen Malaysia (RTM), dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Terakhir, sebelum pentadbiran kerajaan pusat beralih daripada Barisan Nasional (BN) kepada PH, nama kementerian bertukar menjadi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK).

Menterinya ialah Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (2013-2018). KPK masih mengendalikan agensi-agensi berkaitan sedia ada (Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara bertukar menjadi Lembaga Pembangunan Seni Negara, ditambah dengan Tourism Malaysia, Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia, serta Pusat Pelancongan Islam Malaysia, kecuali RTM, dan FINAS).

Ada seniman/budayawan yang berharap pendidikan digabungkan dengan kebudayaan menjadi Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan. Walau bagaimanapun, harapan tinggal harapan kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menubuhkan Kementerian Pendidikan (yang menggabungkan sekali pengajian tinggi tanpa menyertakan nama itu) dengan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik dipilih sebagai menterinya.

Ada penulis terkenal/veteran bukan Melayu mencadangkan penubuhan Kementerian Kebudayaan, Pelancongan, dan Perpaduan Malaysia. Ertinya, Jabatan Perpaduan Negara diambil tahu sekali lagi.

Sementara itu, sekumpulan aktivis kesenian menggesa kerajaan PH mengembalikan semula KeKKWa dalam kabinet kerajaan baharu. Kata mereka yang menggelarkan diri sebagai Komuniti dan Penggerak Seni dan Budaya Malaysia, di bawah kementerian kerajaan terdahulu, portfolio warisan daripada kementerian berkenaan digugurkan pada 2009, manakala kesenian disingkirkan empat tahun kemudian.

Dengan kementerian khusus tersebut, mereka berharap ia dapat memastikan sektor kesenian, kebudayaan dan warisan memain fungsi unik dan kritikal terhadap transformasi negara.

Kata komuniti itu, Malaysia memerlukan komuniti seni dan budaya terutamanya pada waktu yang dihadapi sekarang akibat penyalahgunaan kuasa, kecuaian dan ketirisan sehingga menimbulkan kesangsian.

Selain itu, kepelbagaian budaya perlu subur dalam kerangka demokrasi. Tegas komuniti itu, sikap saling menghormati demi keamanan, keperibadian dan pembangunan menyeluruh – meliputi pengetahuan dan amalan turun-temurun dalam masyarakat setempat, pada peringkat nasional dan antarabangsa perlu diamalkan.

Komuniti itu turut menganjurkan sebuah petisyen bagi menggesa kerajaan PH mengembalikan kementerian KeKKWa. Sebanyak 3,400 tanda tangan telah diterima dalam tempoh 36 jam. Antara yang menandatangani petisyen itu termasuklah individu dari institusi awam dan swasta, persatuan formal dan bebas, pengamal, pendidik, aktivis dan pencinta seni.

Malang sekali selepas sekian lama dengan nama yang bertukar ganti, taraf sastera budaya negara masih menyedihkan. Tafsiran yang tidak tepat terhadap sastera budaya mengakibatkan pelaksanaan, dan pengisiannya turut salah.

Tafsiran dan anggapan negatif itu berterusan sekian lama. Kesusasteraan dan kebudayaan bukan hanya tertumpu pada karya di atas kertas dan di pentas seperti sajak, cerpen, skrip teater, pendeklamasian sajak, pementasan teater, permainan alat muzik tradisional, nyanyian lagu/tarian tradisional/Melayu asli, demonstrasi seni mempertahankan diri pelbagai kaum dan sebagainya.

Oleh sebab itulah apabila disebut persembahan budaya dalam tentatif program tertentu (selalunya ia hanya sekadar selingan atau penyeri), yang ditampilkan tarian dan nyanyian lagu asli (biasanya Melayu, atau demonstrasi seni mempertahankan diri).

Penampilan

Mengapa pihak yang berkenaan enggan membuka minda dan mengkaji bahawa sastera budaya tidak sekadar itu? Sebenarnya, seni sastera budaya tidak hanya penampilan karya di atas kertas dan di pentas semata-mata. Sastera dan budaya ialah cara hidup – cara berfikir, menulis dan bertutur.

Unsur lain yang penting termasuklah perlakuan diri sendiri dan rutin harian, adab dan tertib ketika berhadapan dengan orang yang lebih tua seperti abang, kakak, ibu bapa serta datuk nenek; pergaulan dengan masyarakat, serta rukun hidup berjiran merangkumi saling menghormati, dan membantu. Unsur tersebut perlu turut dikemukakan, diperjelas dan diterapkan sewajarnya.

Menyingkap semula KPK, banyak sasterawan/budayawan membantah pelancongan dan kebudayaan digabungkan dalam sebuah kementerian. Apatah lagi perkataan ‘pelancongan’ mendahului ‘kebudayaan’ membawa maksud pelancongan lebih penting. Mereka bimbang kebudayaan tertindih. Apa yang berlaku, memang kebudayaan tidak seperti sewajarnya.

Selepas 50 hari selepas PRU-14, kerajaan PH berkuasa dan ketika artikel ini ditulis, akhirnya nama kementerian yang berkaitan dengan sastera budaya diketahui, iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (KPSB). Pun begitu, harapan/permintaan agar KeKKWa diwujudkan kembali, atau pelancongan diasingkan tidak kesampaian.

Walau bagaimanapun, saya berharap Menteri KPSB yang baharu, Datuk Mohamed Din Ketapi dan timbalan beliau, Bakhtiar Wan Chik sedia bekerjasama dengan beberapa tokoh sastera budaya tanah air ‘tidak didendang’ seperti Dinsman, Dr. Siti Zainon Ismail, Raja Ahmad Aminullah, Yassin Salleh, Roslan Madun, Tan Sri Dr. Nordin Kardi, Hassan Muthalib, Nasir Jani, Yusof Gajah, Aris Aziz dan lain-lain serta semua Sasterawan Negara yang masih hidup dan aktif.

Banyak kerja perlu dibuat untuk membetulkan semula tafsiran, serta pelaksanaan sastera dan budaya negara. Soal berbahasa juga menyedihkan. Bahasa merupakan alat karya sastera dan budaya. Kita semua juga sedia maklum bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan yang tentunya perlu diangkat, dan dihormati.

Tidak wajar menggunakan bahasa rojak atau ‘sekerat ular, sekerat belut’ – bahasa Melayu bercampur bahasa Inggeris atau bahasa asing lain dalam karya, dan pertuturan. Oleh sebab pendidikan dan bahasa tidak dapat dipisahkan, tentu juga pendidikan kebangsaan negara kita relevan dengan bahasa Melayu.

Malang sekali, bahasa Melayu tidak dihargai dan dihormati orang Melayu sendiri! Kalau ingin bertutur dalam bahasa Melayu, bertuturlah dalam bahasa itu sepenuhnya. Demikian juga kalau mahu bercakap dalam bahasa Inggeris dan lain-lain bahasa.

Menyebut Nazri, banyak yang berpendapat Ahli Parlimen Padang Rengas itu tidak layak menjadi menteri yang ‘menjaga’ kebudayaan Malaysia. Bukan sahaja disebabkan oleh kelulusan akademik atau kelayakan profesional yang dimilikinya, tetapi kerana beliau kurang (keterlaluan pula kalau dikatakan tidak) berbudi bahasa.

Nazri dikenali sebagai menteri yang ‘cakap lepas’ tanpa mengira kepada siapa pun pemimpin pembangkang ketika BN masih berkuasa. Beliau dianggap langsung tidak memiliki ciri-ciri seorang pemimpin yang ‘menjaga’ budaya tanah air.