Sarat dengan unsur Melayu klasik, terdapat beberapa siratan walaupun pengulangan, tetapi masih relevan, dan perlu dipaparkan lagi kerana manusia mudah lupa.

Antaranya, orang yang suka bercakap besar dan berlagak, iaitu Encik Solihin (Zul Ariffin), pengamal perubatan tradisional dan guru silat muda yang kacak.

Solihin terlalu yakin mampu menewaskan hantu Kak Limah dengan mudah. Dia juga menunjuk-nunjuk kebolehan bersilat kepada Husin (Awie), Yeh Sekupang (Rab Khalid) dan Wani (Sharwani NS) ketika tiga sekawan itu menemuinya di rumah. Sebaliknya, dia yang ditewaskan dengan mudah (dua kali) oleh hantu Kak Limah.

Banyak orang kita (terpaksa atau suka) yang melakukan perkara ‘asing’ untuk menyara hidup. Selain merawat orang ramai, Solihin juga menyediakan perkhidmatan membaharui cukai jalan dan lesen memandu walaupun tidak menetap di sesuatu tempat.

Ada yang gagal/kecewa, tetapi enggan bertungkus-lumus untuk hidup selesa sambil mengumpulkan harta.

Hasil kerja bergaji lumayan di Singapura, Husin mampu memiliki motosikal berkuasa tinggi, tetapi setelah terpaksa pulang ke Kampung Pisang, kenderaannya itu hanya menjadi prop sampan.

Dia bekerja di kilang arang bersama-sama Yeh Sekupang, dan Wani.

Melobi

HKL turut mengecam anak yang melupakan ibu kandung (walaupun marah ibu dihina), serta difitnah, dan orang Melayu suka berpolitik. Kecaman itu disampaikan menerusi dialog Wani terhadap Musalman (Pekin Ibrahim), dan Abe Yie (Sabri Yunus).

Kerjaya sebagai pengarah filem menuntut banyak masa, tetapi bukan alasan untuk melupakan ibu kandung. Musalman jarang menziarahi ibunya, Kak Limah (Delimawati).

Berpolitik berlebih-lebihan dan menolak perubahan dijelmakan menerusi watak Abe Yie, bekas pemimpin Kampung Pisang yang masih mahu kembali berkuasa walaupun ditolak. Dia cuba melobi Bapak Bunian (Mus May) agar orang bunian boleh mengundinya apabila bertanding nanti.

HKL turut menyentuh isu berkahwin lebih daripada seorang tanpa melihat kemampuan diri. Lebih menarik dalam HKL ialah manusia berkahwin dengan orang bunian. Khuda memperisterikan gadis bunian, Noraini (Vea Kisil) sebelum mengahwini Kak Limah.

Noraini yang biasa hidup mewah sebagaimana kata ayahnya, Bapak Bunian, marah dan cemburu sehingga mengakibat kematian Kak Limah dan memurungkan Khuda.

Walau bagaimanapun, kematian Kak Limah, dan kehilangan Noraini yang dipaksa pulang oleh Bapak Bunian, tidak menginsafkan Khuda. Dia memanggil empat gadis bunian lain untuk diri sendiri (serta Husin, Yeh Sekupang, dan Wani).

Memang ada orang yang selalu bercakap lunak seolah-olah dirinya baik, warak, dan tidak suka mengarut, tetapi sebenarnya menyukai seks dan mudah ghairah. Yeh Sekupang yang sentiasa merokok, mudah terangsang walaupun hanya melihat jenazah Kak Limah di Klinik Desa Kampung Pisang, dan Datuk Seri Vida semasa ‘bertapa’ untuk menentang hantu Kak Limah.

Dialek

Ada yang berpendapat ‘penciptaan semula’ adegan Ramlee, lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menghadapi hantu Jepun dan konco-konconya dalam filem Pendekar Bujang Lapok (1959) untuk HKL ialah pernyataan Mamat Khalid bahawa filem-filem komedi seram arahannya meneruskan legasi Seniman Agung tersebut.

Hantu Jepun memberitahu Husin bahawa hantu Kak Limah ialah cucunya. Adakah itu simbolik atau sekadar menimbulkan kelucuan?

Jika simbolik, memang mengagumkan. Namun, siapakah anaknya? Hantu manakah yang amat membekas di hati penonton filem Melayu sebelum era HKL?

Sikap suka menuduh secara melulu turut disanggah oleh HKL. Kelibat menakutkan yang menyerupai Kak Limah dengan cepat disangka sebagai hantu Kak Limah oleh orang kampung. Sebenarnya, ia jelmaan Noraini yang mengganggu penduduk Kampung Pisang.

Mamat yang juga penulis asal bukan sahaja menegaskan manusia tidak boleh menikahi makhluk halus, tetapi turut membongkar misteri hantu Kak Limah. Menyentuh watak/lakonan, Yeh Sekupang kelihatan lebih berkesan berbanding Husin.

Rab begitu bersahaja membawa wataknya dengan dialek utara (Kedah) yang memikat. Walau bagaimanapun, saya belum berpuas hati dengan dialek Husin, yang tidak berbunyi dialek Kuala Kangsar sepenuhnya, kerana kadang-kadang kedengaran seperti dialek Parit, Lambor, dan/atau Bota.

Nayan (Ropie) yang bertugas di Klinik Desa Kampung Pisang boleh dianggap sebagai watak komik dengan aksi, dan dialog lucu bersahaja. Dia boleh dikira menggantikan Abi Hurairah (Johan Raja Lawak), dan Usop Wilca (Shy8) dalam HKLBR.

Misteri/kekalutan filem komedi seram berklasifikasi P13, dan berdurasi 110 minit itu bermula apabila Kak Limah yang baru berkahwin dengan Khuda yang jauh lebih muda kerana cinta sejati.

Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian, Kak Limah mati mengejut. Ketika itu, Husin, Wani dan Khuda memikat burung di hutan.

Husin turut mengambil peluang menemui gadis bunian, Zaitun (Uqasha Senrose – mereka hanya bertemu di hutan). Dia mencintai Zaitun, tetapi hanya bertepuk sebelah tangan pada awalnya.

Sepulangnya Khuda ke rumah bersama-sama Husin dan Wani, Kak Limah menjamu mereka bubur keladi yang sangat lazat.Yeh Sekupang sebagai Ketua Biro Penerangan Kampung Pisang yang mengurus jenazah Kak Limah, meminta Nayan menjaga jenazah itu sehingga Musalman sampai dari Kuala Lumpur.

Nayan bingung kerana dia baru sahaja bertemu dengan Kak Limah di tebing sungai sebelum ke klinik.Yeh Sekupang mahu memberitahu Khuda kematian Kak Limah.

Dalam perjalanannya, Yeh Sekupang terserempak dengan Husin, dan Wani, yang tidak percaya Kak Limah telah mati kerana baru menikmati bubur keladi masakan isteri Khuda itu.

Untuk memastikan kesahihan cerita Yeh Sekupang, mereka bertiga dan Nayan kembali ke rumah Khuda. Ketika kaki Kak Limah kelihatan tidak menjejak tanah, mereka termasuk Khuda terus melarikan diri.

Solihin diharapkan membantu mereka berdepan dengan hantu Kak Limah. Namun demikian, dia tumpas. Keadaan dipulihkan oleh Bapak Bunian yang telah berjanji kepada Husin akan membantu ketika dalam kesusahan.