Aku tahu lelaki itu bukan bodoh. Aku juga bukan sembarangan. Apa yang terkandung dalam beg bimbit aku tidak semata-mata wang. Malahan tersimpan maklumat penting yang jika dijual kepada pihak berkepentingan, nilainya infiniti berbanding harga pemacu pena paling dikehendaki itu.

Selepas mencukur misai dan membersihkan diri, aku menelefon agensi pelancongan. Aku menetapkan destinasi. Pergi jauh ke hujung alam semesta dan membina identiti baharu. Mayat lelaki itu digulingkan ke bawah katil. Selimut berdarah aku sumbatkan dalam beg sampah. Kesan-kesan bukti dilenyapkan. Aku membayangkan untuk melemparkan mayat bedebah itu ke sungai atau ke dalam hutan seperti filem The Women in the Window. Tetapi kesuntukan masa.

Keesokan hari, aku segera menguruskan hal visa dan tiket penerbangan. Semakin lama di sini, potensi diberkas polis semakin tinggi. Aku telah terlibat dengan jenayah pembunuhan pertama di muka bumi. Hotel penginapan murah itu rupa-rupanya lembah neraka. Sebaik-baik sahaja memasuki perut pesawat, aku mencapai lima akhbar berbeza sekali gus. Mencermati laporan kes semalam. Sah, tiada. Aku tertidur dengan senyuman bersama-sama beg sandang untuk ke syurga. Aku ingin pergi ke tempat tanpa dihuni manusia.

Jika kau singgah di bandar raya kami, sebaik-baik sahaja turun dari pesawat, beritahu pemandu Grab ke destinasi Hub Sentral. Dari situ kembara kau bermula ke bandar raya kami. Mohon maaf. Kita belum berada dalam adegan filem Star Wars. Televisyen kerap membohong. Kereta terbang dirancang sebelum tahun 2020 dalam peringkat percubaan. Fasiliti pengangkutan awam kami terbaik. Pemandu Grab mahir laluan alternatif. Selepas banjir besar, trafik kerap mencetuskan histeria. Ada beberapa jalan utama dalam pembaikan dan ada beberapa simpang dengan jejambat berbelit-belit seperti ucapan tokoh demagog. Dalam sejam Grab dijangka berhenti di pintu utama Hub Sentral. Mohon maaf kami tidak menggunakan mata wang konvensional. Apakah kau bebas daripada sebarang penyakit kronik?

Hub Sentral dibina di jantung ibu negara. Asalnya sebuah kampung peneroka generasi pertama bandar raya. Sekarang kau tentu tidak berasa janggal melihat robot-robot beroperasi di setiap sektor. Bandar raya kami bukan lagi didiami sepenuhnya oleh manusia. Ke mana mereka dilemparkan? Sebahagiannya dipupuskan dengan pelbagai kaedah terancang. Melalui pembakaran besar-besaran, cegahan berzuriat, penularan penyakit, dadah, hiburan atau peperangan. Sedikit bilangan spesies manusia, itu lebih ideal. Makhluk mamalia berkaki dua yang bengkeng dan paranoid. Berlagak dengan kelebihan akal dan mengakui diri Tuhan, ketara sukar dikendalikan sistem demokrasi atau perintah agama. Sejak dari awal sejarah kewujudan mereka lagi. Aku alergi bertemu komuniti manusia.

Berpuluh-puluh tahun dahulu kau boleh menyaksikan bangunan warisan, kanak-kanak berkejaran di padang, pokok bunga sepanjang jalan, iklan patriotisme dan alam sekitar menghijau seperti terpamer di galeri fotografi. Kini segala-galanya dijahanamkan syaitan kapitalis. Stadium bola sepak dirobohkan untuk hotel pelacuran, arkib sejarah diubah suai menempatkan kafe hipster. Pelakon menjadi politikus dan politikus menjadi selebriti. Bahkan rumah-rumah ibadat dan patung berwajah pemimpin disingkirkan ke tempat terpencil. Semua yang tumbuh di sini adalah digital dan hologram. Tanpa jiwa. Urusan keimanan isu peribadi. Bukan keutamaan nasional. Plural kerohanian disahkan undang-undang. Perkahwinan sejenis diluluskan sebagai memulihara kestabilan emosi spesies manusia. Inilah kemenangan komuniti pejuang hak kemanusiaan dan emansipasi wanita. Percayalah, label negara ketiga yang dimomokkan negara empat musim ke atas kami sekadar strategi imperialisme.

Sekarang kau menuju ke Lembah Lumpur yang kononnya pusat kecanggihan tamadun. Tiada lagi pendatang haram berkeliaran dan berniaga. Terdapat sebuah gudang mega diberi nama Dewan Kesenian Kontemporari. Dicat putih dan biru. Gudang raksasa itu bertingkat sepuluh. Sebagaimana tuntutan komersial, kau dikenakan bayaran pas masuk. Tulis nama, nombor kad pengenalan, akaun bank di atas borang disediakan pegawai di kaunter. Robot, ya, dikendalikan robot. Pakaian khas dan alat penutup mulut wajib dipakai. Kemudian kau perlu mendaftar sekali lagi di kaunter pengawal keselamatan. Selepas itu tekan butang lif tingkat teratas sekali. Jangan lupa kuncikan semula pintu. Di tingkat itulah aku dan pelbagai spesies dan makhluk ganjil dikuarantinkan. Mari berkenalan.

Di sini, sahabat. Pintu kurungan aku bernombor 57. Berdiri dengan tenang di luar dinding kaca. Ya, cuma kurungan aku sahaja digenangi air. Aku bukan spesies dua alam. Lihat objek terapung dibina dengan plastik itu. Aku berada di atas rakit seperti Tom Hank dalam filem Cast Away. Berkhayal seperti orang gila jika tiada pengunjung. Jangan takut. Aku tidak menggigit. Aku tidak pernah mengamuk. Dan jangan ambil gambar aku dalam keadaan begini. Bagaimana menurut kau? Apakah aku menyerupai bayi dalam filem Eraserhead? Rapat sedikit ke sini. Aku ingin melihat kau dengan jelas. Dari negara mana asal kau? Mengapa kau keresahan? Apakah rupa aku menakutkan kau atau tiada perbezaan antara kita? Apakah kau manusia atau mutant?

Sejak disumbat dalam kurungan ini, tubuhku sering gatal. Semakin digaru malahan merebak setiap anggota tubuh. Mula-mula aku diberi beras, aku menolak, aku diberi pula buah-buahan busuk, aku memalingkan muka. Kemudian aku diberi makan anak berudu. Pertama kali mengunyah dan menelannya, aku muntah berkali-kali. Apabila kaki tangan di kurungan ini melontarkan ratusan anak berudu dari baldi ke akuarium, aku tidak berganjak dari atas rakit. Aku mogok lapar.

Seminggu menanggung perut kosong, tiada pilihan lain. Menu anak berudu makanan kesukaan aku sehingga kini. Adakah pegawai di kaunter tidak memaklumkan hal itu kepada kau? Aku berharap kau membawa sebaldi anak berudu. Tetapi tidak mengapa. Aku sudah tua. Aku tidak seghairah masa muda dulu. Aku dimarahi pihak atasan andai bersifat pasif dengan pengunjung. Sering aku dipukul, dilempar dengan batu oleh pengawal kerana sudah tidak memulangkan keuntungan. Apakah kau ada kaedah untuk membunuh diri?

Maka, mohon maaf, ketika berhubungan dengan kau ketika ini, aku terus menggaru. Lihat, kulit tubuh aku kini bersisik. Darah tubuhku berwarna kuning. Seperti nanah. Berbau busuk. Apakah kau berasa jijik? Disebabkan itu kau dikenakan pakaian khas untuk mengelak sebaran jangkitan. Aku tiada tahu nama sendiri. Usia aku kini empat puluh lapan tahun. Mungkin. Kedua-dua mataku semakin kabur. Selama dikandang dalam akuarium, aku seolah-olah dianggap hidupan akuatik. Adakah kau melihat ekorku?

Aku berfikir siapa sesungguhnya aku pada masa dahulu dan sekarang. Mengapa kuku kaki dan tangan aku meruncing dan kemerahan? Apakah aku boleh bertelur? Aku ada sepasang tanduk? Mungkinkah aku mamalia langka atau ikan duyung? Apakah aku lahir dari perut binatang?

Bagaimana dengan keadaan di luar, kenalan? Siapa pemilik negara kami? Masih luaskah hamparan rumput? Yahudi dan Muslim kekal berseteru? Adakah falsafah berfungsi lagi? Apakah dunia sentiasa dikabusi asap, udara kimia dan wujud lagikah spesies manusia? Aku tahu robot-robot mengendalikan hampir 90 peratus pentadbiran negara kami.

Sejak itu, seperti yang kau sedar, tiada lagi gejala rasuah, pelaburan haram, pemborosan nasional dan apa-apa kejahatan bersumberkan duit. Sebab, ketika ini, kami dimaklumkan operasi kilang percetakan duit sudah lama diberhentikan.

Adakah syaitan kembali ke neraka? Masihkah golongan seniman menulis cerita dan dibayar? Apakah kau tidak berusaha untuk menyeludup aku keluar dari kotak kaca ini? Atau sekurang-kurang kau menyelitkan kapsul masa dalam poket seluar. Aku percaya nilai pasaran spesies seperti aku lebih mahal daripada lukisan Vincent van Gogh.

Kisah ini sepatutnya kau tulis selepas sahaja seluruh warga di dunia terpupus oleh wabak penyakit ciptaan spesies manusia. AIDS? Kimia? Entahlah. Dunia penuh dengan manusia sakit jiwa. Mereka enggan bertanggungjawab. Itulah sebabnya aku diselamatkan. Aku dijaga dengan teliti dan dirawat supaya kekal hidup. Sama ada untuk ujian makmal, diklonkan atau sebagai daya tarikan untuk meraih pendapatan.

Lihatlah rupa aku yang hodoh dan menyeramkan ini. Sehinggalah aku mereput dan dibaluti fosil dalam kurungan celaka ini. Semakin kaya dan berkuasa, mereka lebih kejam berbanding Firaun. Apa yang jelas dunia belum kiamat. Entah sampai bila aku ditahan di sini. Tiada sesiapa pun tahu. Sungguh benci mengaku bahawa aku dahulu spesies yang dipanggil manusia. Tularkan kata-kata aku ini ke seluruh dunia.

Manusialah yang disebut-sebut dalam kitab suci sebagai durjana yang merosak ekosistem semula jadi dari generasi ke generasi. Binatang sosial paling licik di muka bumi. Tetapi lihatlah aku di sini. Apakah kau menganggap aku objek seni? Jika sesungguhnya manusia, mengapa fizikal aku menyerupai binatang yang tidak jelas daripada spesies apa. Kau tengok kandang berlumut ini. Airnya keruh kesan dari pembuangan najis sendiri.

Di sinilah aku terpaksa hidup dari hari ke hari untuk memuaskan hati pemilik dan tetamu seperti kau. Dahulu aku berjalan dengan dua kaki, sekarang aku merangkak dan berenang apabila bergerak. Aku dikejutkan jika tertidur. Pengunjung perlu diberi keutamaan. Siang atau malam. Pernahkah kau menyaksikan mahluk buruk seperti aku sebagai tarikan sarkas?

Loceng dibunyikan. Tandanya waktu melawat sudah berakhir. Aku membuka kunci peti yang menempatkan beg sandangku. Dalam apartmen mewah menghadap laut, aku duduk di sofa sambil meneguk minuman berperisa buah-buah yang aku tidak pernah dirasai sebelum ini. Aku akan mengunjungi pameran spesies langka itu semula. Aku menyelidik maklumat tentang spesies terkurung dengan wajah serta fizikalnya berbentuk seakan-akan manusia itu. Malangnya, tiada sebarang keterangan terperinci berhubung makhluk-makhluk pameran itu dilampirkan. Nama, asal-usul dan jenisnya, tidak dimaklumkan kepada pelawat.

Apakah ia spesies beruk? Mustahil teori Darwin benar. Aneh sungguh negara yang aku diami ini. Sebelum bercadang untuk ke bilik tidur, aku meneguk minuman yang rasanya agak berbeza itu. Aku mencurahkan minuman dari juga ke dalam gelas demi gelas. Apakah minuman itu mengandungi alkohol atau dadah? Mengapa rasanya begitu enak sehingga tubuhku seperti terapung-apung? Aku bermimpi berjalan di taman berbunga emas.

Berapa lama aku terlena di atas sofa? Pada pukul 4.00 pagi, ketukan deras bertalu-talu menggegar pintu apartmen. Aku berjalan pantas ke dalam bilik dan mengeluarkan pistol. Jika berlaku sekali lagi pembunuhan, aku pindah ke negara lain. Tuah tidak memihak kepada aku kali ini. Seteru dihadapi bukan sahaja lebih bertenaga dan pintar, malah bukan manusia.

Aku menembak beberapa kali, ternyata tidak mendatangkan impak. Sehabis daya, aku cuba melarikan diri ke setiap arah dan usaha itu langsung menambahkan kemarahan robot itu. Ternyata aku diekori sebaik-baik sahaja keluar dari Dewan Kesenian Kontemporari. Spesies pelik yang aku seludup dalam beg sandang dikesan robot serba canggih itu. Aku bercadang untuk membawa keluar spesies aneh itu. Menjualnya kepada pengumpul benda-benda pelik. Tetapi ia tidak semudah itu. Robot setinggi enam kaki itu tidak melepaskan aku begitu sahaja. Ia milik pemerintah. Aku dilempar ke kiri dan ke kanan seperti bantal.

Apabila tersedar, aku berada dalam sebuah kurungan atau sebuah ilusi maya. Pandangan kabur dan seluruh tubuh terasa begitu ngilu. Aku cuba bangkit tetapi, rebah semula ke atas lantai berbau busuk. Keesokan hari aku diangkut beberapa lelaki berpakaian serba putih.

Aku diletakkan di meja makmal sebelum disuntik pelali. Diteliti untuk mengklasifikasikan spesies manusia atau kacukan binatang. Alat sulit aku diselidik. Perut dan kepala dibelah. Beberapa organ dalaman dicabut keluar. Otak aku dibekukan dalam peti ais. Tinggal cuma jantung. Darah berwarna biru dan putih memancut dari tubuhku. Tidak disangka ramainya spesies seperti aku menghuni di sini.

Demikianlah. Di depan pintu bernombor 61, kami dinamakan Mamalisia. Silalah kunjungi kami dalam kurungan ini, sahabat. Tempatnya masih sama dengan harga berpatutan. Jangan bawa anak berudu. Kami sudah jemu. Barangkali biskut bermentega kacang dan permainan terbaharu di telefon pintar. Di sini disediakan wifi percuma.