Selama enam tahun aku menekuni dan berdamping dengan ilmu-ilmu perubatan, gelojak perasaan untuk mengetahui sisi lain kehidupan semakin membuak. Dan untuk kesekian kalinya, sistem tidak lagi mendustaiku. Aku tamat latihan dan bergelar doktor perubatan dengan jayanya. Namun, perasaanku kian ghairah untuk terus meneladani hidup, bagai Ballerina yang rakus bercinta pada pangkah-pangkah cahaya sehingga setiap yang bernama bayang itu dipeluknya. Aku percaya kehidupan adalah universiti pertama untuk selamanya, membuatkan aku setuju untuk menyiram ilmu di kawasan pedalaman ini setelah mendaftar sebagai salah seorang peserta Teach For The Needs (TFTN).

Masih segar ingatan saat pertama kali aku tiba di kawasan pergunungan ini. Aku disambut dengan sorakan girang enam orang kanak-kanak, atau sekarang dikenali sebagai pelajarku. Namun, pada naskhah ini, aku akan ceritakan tentang dua daripada mereka. Yang sejak kali pertama perkenalan, aku sudah jatuh cinta.

Usun.

Susuk dara yang paling rendah antara mereka berenam. Ketika aku tiba, dialah kanak-kanak yang paling lucu pada pandangan mata. Dia memakai baju dua kali ganda besar daripada tubuhnya yang rendah dan genit. Selipar yang dipakai bersaiz lain, corak pun lain. Sebelah kiri, warna merah muleta dan sebahagian besar selipar ada kesan terbakar seperti kena cucuh api. Sebelah kanan pula warna kuning langsat yang sudah lusuh dan hanya menampakkan tompok-tompok selut. Rambutnya yang kerinting sehingga paras dagu diikat tocang ke atas pasti sekali menggamit tawa kerana juntaian rambut yang kerinting itu kalau dipegang, kerasnya seperti dawai mencucuk-cucuk kening dan mata. Usun akan menguis juntaian rambut sehingga lelah. Dan kemudian, dia akan terus membiarkan sahaja.

Kedua, Agan.

Budak lelaki dengan kacukan tempatan dan England. Bagaimana dia mendapat genetik itu, tidaklah aku bertanya lebih lanjut. Nyata sekali penampilannya membuatkan aku senang hati. Ketika aku keluar dari perut kereta pacuan empat roda, dia yang paling akhir memeluk kakiku. Dia terkocoh-kocoh berlari dengan sebelah tangannya longlai ke bawah. Kata Nenek Agan, semasa mengandungkan Agan, ibunya masuk ke hutan mencari cendawan liar. Ketika itulah semangat hutan menegur sehingga menyebabkan kecacatan kekal pada Agan. Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Dan senyumanku kian melebar apabila Agan dengan ramah bersila di sebelahku sambil cuba mengambil coklat yang terjulur keluar dari poket seluar.

Usun dan Agan berusia empat belas tahun. Dan anak-anak kecil yang selebihnya berusia di antara tujuh hingga lima belas tahun. Sejak minit pertama pandanganku diterpa kenakalan mereka, aku yakin, perjuangan hidupku baru sahaja bermula.

Subuh di pergunungan adalah suatu nikmat yang mengasyikkan. Rumah yang dibina dari buluh beratap rumbia tidak memerlukan kipas mahupun pendingin hawa. Rasa sejuk menular sehingga ke tulang sumsum, sehingga aku merasakan perlu untuk aku membeli gebar yang lebih lebar, tebal dan besar secara dalam talian (sambil membayangkan kalau-kalau ada perkhidmatan pos melalui helikopter ke sini). Itu semua hanya ilusi kerana sesungguhnya perjalanan ke sini mengambil masa selama dua jam melalui sungai serta enam jam menaiki kereta pacuan empat roda. Aku menumpang rumah bersama guru yang sudah setahun ditempatkan di sini; Jui Long. Seorang guru berbangsa Cina Foo Chow dari tanah besar Semenanjung Malaysia. Rumah penempatan untuk para pendidik disediakan sebaris. Inilah koleksi rumah yang boleh dikatakan paling lawa di kampung tersebut. Bangunan berdindingkan buluh bersulam daun mengkuang menampakkan nilai estetika dan usaha yang tinggi. Setiap rumah hanya mempunyai satu bilik. Kami tidur di atas katil buluh serta berkongsi perigi yang sama. Guru besar, Cikgu Rahmat atau lebih mesra dengan panggilan Cik Mat duduk di rumah paling hujung sebelah kanan. Usai solat Subuh, aku berlama-lama di atas sejadah. Sengaja aku membiarkan Jui Long memerhatikanku menyudahi bacaan al-Quran dengan pandangan yang tak lekang-lekang sehingga dia mengibas-ngibas jari kerana kebas.

“Farhan, kenapa kau memilih untuk mengikuti program ini? Seronok-seronok kerja doktor, mengapa perlu ke sini?” Jui Long merapati sejadah seraya duduk di atas katil berhadapanku. Aku membiarkan soalannya berjeda seketika. Penuh santai, persis seekor kera sedang mencari kutu di atas kepala kekasihnya, aku bersuara. “Doktor adalah cita-cita yang paling istimewa yang aku simpan sejak akalku matang untuk menimbal buruk dan baik perbuatan. Dan, kehadiranku di sini adalah untuk mempelajari luasnya ilmu kehidupan.”

“Kau tidak menyesal?”

“Maksud kau?”

“Meninggalkan jarum, darah dan kot putih selama dua tahun untuk menatang anak-anak pedalaman serta menghentam keselesaan hidup yang mendadak?”

“Dua tahun adalah tempoh yang singkat. Dan, ya, inilah perubahan yang aku rasakan seperti roket naik ke angkasa tetapi aku cuba untuk menyantuninya. Perlahan-lahan dan dalam-dalam.”

Perbualan kami terhenti apabila pintu rumah diketuk bertalu-talu.

“Cikgu, Agan jatuh dari pokok duku.”

“Di mana dia sekarang?” soalku tergesa-gesa.

“Di bawah pokok duku. Tidak boleh berjalan.”

Aku dan Jui Long berlari ke arah pohon duku yang letaknya di utara rumah Cik Mat. Kira-kira seratus meter dari rumah kami. Untuk kesekian kalinya, nafasku seakan bersembur tawa apabila melihat Agan yang terlentang dengan kaki kirinya masih terpasak pada perdu duku. Dan rasa geli hati kian pudar apabila melihat Agan cuba menepis kerengga yang melata di atas muka.

“Cepat, kita dukung dia ke rumah.”

Jui Long mengangguk.

Kecederaan Agan tidak teruk. Aku kira hanya kaki kirinya sahaja yang terseliuh dan menyukarkan dia untuk berjalan. Aku ambil kain anduh lalu balutkan kakinya supaya lebih tegap untuk menapak. Dan, lupa untuk aku kisahkan bahawa Agan adalah satu-satunya anak istimewa; Lembam.

“Terima kasih, Cikgu.” Suara nenek Agan, Nek Julum tidak habis-habis bertandang di timpanum telinga. “Dalam dunia ini, selain Tuhan, aku hanya yakin pada dua jenis manusia.”

Aku terus memandang Nek Julum, (yang aku kira seorang yang sudah menerima suntikan kemodenan gara-gara keadaan cucunya yang serba kekurangan) membiarkan dia menghabiskan kata-kata sebelum beransur ke kelas.

“Aku yakin pada guru dan doktor. Dan, bila dia (Agan) besar, aku mahu dia jadi antara dua pekerjaan itu.” Nek Julum menepuk-nepuk bahuku seraya beransur pergi meninggalkan aku tersenyum sendiri.

Kelas pertama.

Sungguh aku tidak percaya. Kekuatan IQ Usun sama sekali menjangkau batas. Dan aku boleh bayangkan kedua-dua hemisfera otaknya berhubung dengan kuat kerana ketebalan corpus collosum yang terdiri daripada tiga bahagian iaitu prefontal cortex (mengawal pemikiran abstrak dan membuat keputusan), lobus parietal (deria dan fungsi motor) dan korteks visual (visualiti), mempunyai ketebalan yang luar biasa. Saat aku bertanyakan tentang sifir dua digit kali tiga digit, anak-anak lain kebanyakan hanya bermenung, tetapi tidak Usun. Dia pantas mencongak hasil darab sehingga membuahkan jawapan. Dan, sebagai seorang pengamal perubatan yang bertauliah, aku tidak kering menggalas buku-buku medikal. Keterujaan Usun kian terpancar apabila melihat sebuah buku setebal Kamus Dewan Edisi Keempat diletakkan di atas meja. Dia terus menghampiriku dengan senyuman yang melebar.

“Buku ini milik cikgu?”

Aku mengangguk. Semestinya akan aku ceritakan perihal perubatan kepada mereka. Kerana itulah jantung serta darahku dan mereka adalah adrenalin yang mengalir terus melalui urat-urat saraf.

“Ini buku Matematik kah, cikgu?” Jari jemarinya yang kecil mulus membelek helaian demi helaian buku tersebut.

“Tidak, buku ini tentang tulang manusia.”

“Tulang manusia?” Sampuk Agan dengan lelehan air liur sehingga lencun kolar bajunya.

“Ya, manusia mempunyai dua ratus enam batang tulang yang membentuk tubuh manusia dewasa, seperti saya. Yang memegang kepala kamu dikenali sebagai tengkorak.”

“Kalau kepala lutut?”

Aku mengambil masa hampir sepuluh minit untuk menggumam tawa yang hampir berderai. Dan jelas sekali air mataku juga bergenang kerana terlalu lucu dengan tujahan soalan yang bukan-bukan.

Sama sekali aku tidak menyangka bahawa peneranganku tentang tulang membuatkan Usun diam. Lama dia termangu sendiri sehingga menggamit rasa kurang senang.

“Kenapa Usun?” Aku terus menatap anak kecil yang selalu duduk berbanding berdiri. Dan bajunya yang lebar-lebar sehingga meleret ke buku lali.

“Tulang saya, cikgu.”

“Mengapa dengan tulang kamu?”

“Belakangnya kena sumpah dengan semangat Bunian Gunung,” ujar Agan.

Keningku seakan bertaut. Tidak pernah aku nampak kelainan pada tubuh Usun.

“Cikgu lihatlah.”

Aku meneliti susuk Usun apabila lebihan baju ditarik rapat-rapat ke badan. Dan, untuk kali pertama aku rasakan seolah-olah dunia akan terbalik sebelum kiamat menjelma. Allahuakbar!

Skoliosis. Nama saintifik bagi keadaan tulang belakang yang membengkok ke kiri atau kanan dan adakalanya berpusing, seperti S atau C. Menurut satu kajian, kaum Hawa lebih terdedah kepada penyakit ini sebanyak satu perpuluhan lima peratus berbanding kaum Adam. Aku sendiri tidak dapat memastikan skoliosis jenis apa yang dihidapi oleh Usun kerana perlu melaksanakan ujian X-Ray. Tidak hairanlah Usun kerapkali berhenti apabila berlari kerana kurang nafas dan selalu mengadu sakit di dalam badan. Kelibat Usun mengingatkan aku kepada Varshantini. Teman sekelas ketika di kolej perubatan. Ya, penghidap Adolescent Idiopathic Scoliosis (AIS) yang mempunyai magnitud lengkungan cukup besar sehingga mengganggu fungsi jantung dan hati. Kedudukan Apeksnya (tulang belakang yang paling bengkok) kian tenat sehingga mencapai magnitud melebihi empat puluh darjah. Kesudahannya, dia habis nyawa dia unit rawatan rapi. Itulah kehilangan besar permata negara kerana dia menggondol anugerah dekan berturut-turut bagi semua semester.

“Cik Mat, saya fikir kita harus ketengahkan hal kebajikan dari sudut kesihatan anak-anak ini kepada pihak berwajib.”

Malam menyingsing tiba. Aku sengaja lama-lama di atas tangga kayu rumah Cikgu Rahmat kerana hal Usun dan Agan bersawang dalam fikiran.

“Farhan, selama tiga belas tahun saya mengajar di sini, saban tahun pihak berkuasa tempatan cuba untuk menyediakan bantuan kesihatan yang semampunya. Segala rancangan tergendala kerana ekonomi negara kian meruncing. Kau tidak dengar nilai mata wang negara kian susut?”

Aku membiarkan soalan Cikgu Rahmat kosong jawapan.

“Sebelum ini, ada juga pelajar kita yang meninggal dunia kerana demam panas sehingga menyebabkan sawan. Ini adalah sesuatu di luar kemampuan kita, Farhan. Dan saya fikir, kerana itulah kau dihantar ke sini. Untuk menjadi doktor dan guru bagi masyarakat di sini.”

Aku terkesima.

Aku hadam kehidupan ini setelah dua minggu bersama mereka. Aku hanyut dalam pondok yang sudah miring ke kanan, serta warna-warni tawa dan tangis mereka. Aku lihat mereka sebagai Albert Einstein dalam sisi yang lebih genius; menghargai hutan dan alam. Bersama mereka, aku menjadi lebih bijaksana untuk terus hidup dan bersemangat seperti perjuangan Nabi Muhammad di Perang Badar. Namun kini, tika wajah Usun dan Agan berlapis tiba, aku nampak, kunang-kunang yang dicemuh malam; dan aku adalah purnama yang meminjamkan cahaya.