“Kita tak patut biarkan tanah seluas itu digunakan sewenang-wenangnya” bentak ketua kumpulan yang menyelia kerja-kerja menyediakan kain rentang dan sepanduk bagi melancarkan demonstrasi membantah pengambilan tanah di hujung negeri.

Orangnya nampak ada tokoh sebagai seorang pemimpin berwibawa, kerana bila diajak berdemonstrasi, ramai yang ikut sama.

Ada yang sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk membuat sepanduk dan kain rentang.

“Pokok kayu kayan akan ditebang, flora dan fauna akan musnah, alam sekitar akan rosak” ketua kumpulan yang menyelia kerja-kerja menyediakan kain rentang dan sepanduk bagi melancarkan demonstrasi membantah pengambilan tanah di hujung negeri.

“Ia boleh mendatangkan bahaya bila kawasan tadahan hujan dipunah-ranahkan” rengus ketua kumpulan yang menyelia kerja-kerja menyediakan kain rentang dan sepanduk bagi melancarkan demonstrasi membantah pengambilan tanah di hujung negeri lagi.

“Apa pun kita kena tahu dengan pasti, untuk apa tanah seluas itu diambil” getus seorang anak muda yang baru balik belajar dari luar negara dan menunggu waktu untuk mula bekerja.

“Bukan tak boleh bantah tetapi jangan tahu nak bantah sahaja” tambahnya. Tegas nada suaranya.

“Tetapi tidak tahu sebab dan kerananya kenapa kita perlu bantah,” tambahnya lagi. Nada suaranya masih tegas.

Walaupun masih muda tetapi sudah memegang PhD.

Dia adalah antara produk program Permata Pintar idea isteri kepada seorang bekas pemimpin utama negara yang kini cuba dinafi dan dilupuskan bakti murninya.

Permata Pintar diwujudkan bagi mengumpul warganegara pintar ketika masih pada peringkat prasekolah lagi.

Anak-anak cilik yang terpilih diberi segala kemudahan dan keperluan supaya luang dan peluang belajar ke peringkat setinggi yang mungkin tidak terbantut.

“Khabarnya tanah tu nak dibuat Koridor Sains,” celah satu suara.

“Pulak dah?” Rengus ketua kumpulan yang menyelia kerja-kerja menyediakan kain rentang dan sepanduk bagi melancarkan demonstrasi membantah pengambilan tanah di hujung negeri.

“Dulu dengan Koridor Ekonomi Pantai Timurnya” ketua kumpulan yang menyelia kerja-kerja menyediakan kain rentang dan sepanduk bagi melancarkan demonstrasi membantah pengambilan tanah di hujung negeri menambah rengusannya.

“ECER ke?” tanya satu suara.

“Sebutan penuhnya East Coast Economic Region ke?” celah anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara.

“Ha ah,” sahut satu suara.

“Kemudian menyusul Koridor Depu,” kata ketua kumpulan yang menyelia kerja-kerja menyediakan kain rentang dan sepanduk bagi melancarkan demonstrasi membantah pengambilan tanah di hujung negeri, diiringi dengan deraian ketawa sebahagian dari kumpulan bakal berdemonstrasi.

“Kenapa semuanya ketawa?” tanya anak muda yang baru balik belajar dari luar negara.

Setahunya pokok depu mempunyai nilai pasaran yang tinggi kerana ia boleh dijadikan bahan komponen penghasilan bau-bauan utama.

“Kenapa semua orang ketawa?” ulang tanya anak muda yang baru pulang dari luar negara apabila tidak ada yang menjawab pertanyaannya.

“Koridor hanya bersifat tong kosong, bunyi kuat tapi isinya tak ada,” jelas ketua kumpulan yang menyelia kerja-kerja menyediakan kain rentang dan sepanduk bagi melancarkan demonstrasi membantah pengambilan tanah di hujung negeri.

“Maksud abang?” soalnya. Serius nada pertanyaannya.

“Segala peralatan untuk pemprosesannya yang berharga ratusan ribu ringgit hilang”

“Dicuri, bang?”

“Tidak”

“Dah tu macam mana boleh hilang, bang?”

“Pekerja pusat pemprosesan jual”

“Jahat”

“Terpaksa jadi jahat”

“Terpaksa jadi jahat?”

“Ha ah”

“Maksud abang?”

“Gaji tak dibayar”

“Oh!”

“Nak beli beras pun tak ada duit, jual peralatan tulah”

“Kenapa tak dibayar gaji, bang?”

“Itu kena tanya pihak yang mewujudkan koridor tulah”

“Tapi ECER bukan koridor yang gagal, kan?”

“Khabarnya macam tulah”

“Bukan khabar, bang. Tapi itu hakikat dan natijahnya”

“Yang rancang dan laksanakannya barangkali membuat kajian dan penyelidikan yang rapi dan profesional sebelum melaksanakannya”

“Saya yakin, bang”

“Yakin apanya?”

“Koridor Sains juga dikaji, diselidik, dirancang, dirangka dan dikerangkakan dengan rapi dan profesional oleh para profesional sebelum mahu diwujudkan.”

“Macam mana awak boleh yakin?”

“Di luar negara saya belajar dalam bidang sains, bang”

ketua kumpulan yang menyelia kerja-kerja menyediakan kain rentang dan sepanduk bagi melancarkan demonstrasi membantah pengambilan tanah di hujung negeri dan anak buahnya terlopong.

Anak muda yang baru pulang belajar dari negeri berlalu pergi atas alasan ada sedikit urusan yang perlu diselesaikan.

II

Ketua kumpulan yang menyelia kerja-kerja menyediakan kain rentang dan sepanduk bagi melancarkan demonstrasi membantah pengambilan tanah di hujung negeri dan kumpulannya kehairanan apabila anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara kembali semula ke tempat menyediakan kain rentang, pemidang dan sepanduk untuk demonstrasi.

“Ada apa-apa yang tertinggal?” tanya ketua kumpulan yang menyelia kerja-kerja menyediakan kain rentang dan sepanduk bagi melancarkan demonstrasi membantah pengambilan tanah di hujung negeri.

“Ha ah”

“Barang apa yang tertinggal?”

“Bukan barang, bang”

“Dah tu?”

“Saya lupa untuk jelaskan”

“Lupa jelaskan apa?

“Tentang bahaya virus dan penglibatan para saintis mengenal pastinya serta penemuan untuk mencegah dan nyahkannya”

“Ada kaitan dengan Koridor Sains yang dicadang kewujudannya?”

“Tentulah”

“Virus itu apa benda sebenarnya?” soal satu suara.

“Itu yang saya tertinggal nak jelaskan”

Menurut anak muda yang baru pulang belajar dari negara itu, virus adalah agen kecil berjangkit yang hanya boleh berkembang biak di dalam sel organisma hidup.

Virus boleh menjangkiti semua jenis organisma, dari haiwan, tumbuh-tumbuhan, bakteria dan arkea.

“Virus juga merupakan sejenis parasit intrasel obligat, yang membiak dengan cara menawan sel-sel lain kerana mereka tidak berupaya untuk membiak sendiri”

Berkerut dahi ketua kumpulan yang menyelia kerja-kerja menyediakan kain rentang dan sepanduk bagi melancarkan demonstrasi membantah pengambilan tanah di hujung negeri mendengar penjelasan anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara.

“Istilah virus biasanya merujuk kepada zarah-zarah yang menjangkiti eukariot atau organisma multisel dan organisma unisel” jelas penjelasan anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara.

“Manakala istilah faj digunakan untuk zarah-zarah yang menyerang prokariot, yakni bakteria dan organisma seperti bakteria” jelas anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara itu lagi

“Kebiasaannya, zarah-zarah ini membawa asid nukleik sama ada DNA atau RNA yang dilindungi dengan lapisan pelindung daripada protein atau protein-lipid,” tambah anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara.

“Dalam sains komputer, istilah virus juga digunakan bagi mewakili atur cara yang menjangkiti atur cara lain” tambahnya.

Katanya, istilah virus datangnya daripada bahasa Latin yang bermaksud racun.

Pada era sekarang ini, virus digunakan untuk merujuk kepada virus biologi dan juga sebagai metafora untuk perkara yang terhasil seperti parasit, contohnya idea.

Selain dari itu, virus juga digunakan dalam dunia komputer. Perkataan virion atau viron digunakan untuk zarah virus berjangkit tunggal. Virus diklasifikasikan kepada beberapa kelas.

Misalnya kelas I DNA berbenang berkembar atau Double stranded DNA , kelas II DNA berbenang tunggal atau Single stranded DNA , kelas III RNA berbenang berkembar atau Double stranded RNA.

Kelas IV RNA berbenang tunggal positif, bertindak sebagai mRNA, kelas V RNA berbenang tunggal negatif, bertindak sebagai templat untuk sintesis mRNA, kelas VI RNA berbenang tunggal positif dengan DNA sebagai perantara atau retro-virus.

Kelas VII DNA berbenang ganda dua dengan RNA sebagai perantara semasa proses replikasi.

“Kelas yang disebutkan tu bukan klasifikasi filogenetik kerana virus-virus mungkin tidak berkongsi asal yang sama” kata anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara.

Katanya, virus kebiasaannya terdiri daripada lapisan protein sebagai pelindung atau sampul, teras protein yang menyimpan gen virus dan gen virus itu sendiri.

Sampul yang selalunya dihasilkan daripada membran sel perumah, melindungi genom virus yang memberikan mekanisme bebas dan tindak balas konsisten terhadap rangsangan luar kepada virus berkaitan.

“Virus tu benda hidup ke?” soal satu suara.

“Awak rasa?” anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara menyoal kembali yang bertanya.

“Tak tahu”

Anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara menjelaskan virus menawan sel perumah untuk memenuhi pusingan hidupnya iaitu menghasilkan lebih banyak zarah virus.

Virus berada di antara kumpulan benda hidup dan benda bukan hidup dan boleh membiak dan mewarisi sifat generasi sebelumnya.

Bagaimanapun ia bergantung kepada enzim perumah dan boleh dikendalikan seperti molekul biasa

Contohnya boleh menghablurkan zarahnya dan berada dalam keadaan dorman.

Sama ada virus hidup atau tidak, ia merupakan parasit obligat dan tidak mempunyai kemampuan untuk membiak sendiri.

Seperti kebanyakan parasit, ia memerlukan perumah yang tertentu, misalnya sesetengah virus hanya boleh membiak dalam spesies tertentu tetapi sesetengah yang lain boleh membiak dalam pelbagai jenis spesies.

“Ada virus raksasa” kata anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara

“Besar?” soal ketua kumpulan yang menyelia kerja-kerja menyediakan kain rentang dan sepanduk bagi melancarkan demonstrasi.

“Sesetengah virus sangat besar terutama sekali virus yang menjadi parasit metabolisme dalam sel perumah” jawab anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara.

“Sejenis virus intra-sel, Mimivirus namanya mempunyai lapan ratus pasangan genom DNA, lebih besar daripada sesetengah bakteria” jelas anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara.

“Mimivirus hidup di dalam ameba di menara penyejuk” tambah anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara.

Dijelaskan juga bawa virus melalui proses replikasi yang mana sekurang-kurang ada enam peringkat dalam proses replikasinya”

“Boleh sebutkan peringkat-peringkat replikasinya?” pinta satu suara.

“Penyerapan, melekat pada sel perumah atau adsorption, penusukan atau penetration, nyahlapisan atau uncoating, replikasi genom, pematangan atau maturation dan pembebasan atau release” jelas anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara.

Katanya proses replikasi antara RNA dan DNA adalah berbeza.

“Virus berasal dari mana, daripada apa sebenarnya” soal satu suara.

Menurut anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara, asal usul virus tidak jelas.

Sehingga ke saat ini, virus dipercayai terhasil di dalam organisma perumah dan berasal daripada unsur seperti plasmid dan transposon.

Ada juga yang berpendapat virus merupakan mikrob yang muncul secara berasingan dalam sup primordium.

“Bukankah virus boleh sebabkan penyakit pada manusia?” tanya satu suara.

“Betul. Contoh penyakit yang paling biasa ialah selesema, yang disebabkan oleh pelbagai jenis virus” jawab anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara

“Selain itu, demam campak, AIDS. Kudis selesema juga disebabkan virus” tambah anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara.

“Kajian terbaharu menyaksikan kanser serviks adalah disebabkan separuhnya oleh papiloma virus” tambah anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara.

“Ini menunjukkan perkaitan pertama antara kanser dan agen penjangkit” tokoknya.

“ Selain dari itu, virus borna yang sebelum ini dipercayai menyebabkan penyakit neuron pada kuda, mungkin bertanggungjawab terhadap penyakit psikiatri pada manusia” tokoknya lagi.

Katanya, keupayaan virus untuk menyebabkan penyakit dipanggil kevirulenan.

“Virus tak boleh dicegah?” soal ketua kumpulan yang merancang demonstrasi menentang kewujudan koridor sains.

“Boleh ke penyakit yang berpunca dari virus dirawat” satu suara lagi bertanya sebelum anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara sempat menjawab apa yang ketuanya tanya.

Anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara menjelaskan, disebabkan virus menggunakan sel perumah, virus sukar dibunuh.

Cara yang terbaik ialah pencegahan melalui penvaksinan dan penggunaan dadah untuk merawat simptom penyakit.

Kebanyakan pesakit meminta antibiotik tetapi sebenarnya antibiotik tidak mampu melawan virus, penyalahgunaannya akan menyebabkan ketahanan antibiotik dalam bakteria.

Sungguhpun begitu, kadangkala, cara yang selamat adalah memulakan rawatan menggunakan antibiotik semasa menunggu keputusan sama ada simptom pesakit adalah disebabkan virus atau bakteria.

“Saya yakin Koridor Sains yang dirancang kewujudannya, antara lain adalah untuk menempatkan ahli-ahli sains yang pakar dalam hal-hal yang berkaitan dengan virus” kata anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara.

“Mereka akan membuat kaji-selidik mengenal pasti, mencegah merebaknya virus” kata anak muda yang baru pulang belajar dari luar negara yang sekali lagi bermohon diri selepas menegaskan bahawa pengajian, pembelajaran tentang sains, kajian dan penyelidikan ahli sains pelbagai cabang tidak akan terkoma dan ternoktah hingga kiamat kerana kajian dan penyelidikan adalah merupakan satu keperluan.