tadi, hari sudah senja dan matahari sudah condong ke ufuk barat. Warna langit yang kelam semakin terlindung dengan rimbunan daun-daun kehijauan di dalam hutan itu.

Siulan burung yang pulang semakin sepi dan sunyi. Ianya saling berganti dengan bunyi sang cangkerik.

Setelah hampir satu jam meneruskan perjalanannya, Jiman meletakkan bekalan nasi,ubi rebus dan air panas mati yang dibekalkan oleh Simah ke banir kayu yang pohonnya rendang.Jiman duduk melepaskan lelah. Jiman membuka bekalannya.

Jiman mengeluarkan sebatang rokok dari saku bajunya.Rokok itu dinyalakan dan asap berkepul-kepul memenuhi hutan itu.Asap rokok yang berterbangan ke udara menenggelamkan dirinya dengan khayalannya.

Sebelum meninggalkan rumah senja tadi, Jiman sempat melihat perut Simah yang semakin membesar.Sudah masuk tujuh bulan kandungan Simah.Itu adalah bakal cahaya mata pertama setelah lapan tahun mendirikan rumah tangga.Jiman memanjatkan doa kepada Tuhan tanda kesyukuran dengan anugerah-Nya itu.

Sepanjang tempoh perkahwinan, itulah saat yang bahagia dirasakannya. Setelah kandungannya semakin membesar, suatu malam, Simah membisikkan rasa mengidam ke cuping telinganya.

“Boleh tak abang dapatkan Simah daging kijang berbulu emas itu?” bisik Simah ke cuping telinga Jiman. Mata Jiman melangut ke muka isterinya. Keinginan Simah mendorongnya ke hutan memburu kijang. Ia adalah idaman Simah. Simah memaut bahu Jiman.

“Tolonglah,bang...dapat sekelumit daging kijang tu pun jadilah,bang...bukan Simah nak banyak sangat pun,tapi anak kita yang dalam kandungan Simah mahukannya,”ujar Simah sambil menuding jari kelingkingnya ke bahagian perutnya yang sedang membesar itu. Bahagian kepalanya dilentukkan ke bahu Jiman. Jiman melangut ke wajah Simah.

“Pandai pulak anak kita bercakap minta daging kijang yer,” usik Jiman. Simah mencubit tangan Jiman seolah-olah mahu mempermainkannya. Jiman menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Simah...walaupun Simah nak jamah waima sikit sekali pun, abang perlu dapat seekor kijang itu...abang perlu ke hutan memburunya,” tegas Jiman. Simah merapatkan tubuhnya kepada Jiman.

“Abang mesti dapatkan kijang yang berbulu emas, bang,” ucap Simah.

“Kijang berbulu emas?” balas Jiman sambil membeliakkan matanya. Simah melangut ke wajah Jiman bagaikan menagih kepastian.

“Kenapa...ada beza ker antara kijang yang berbulu emas dengan tidak berbulu emas?” tanya Jiman lagi.Simah tidak menjawab pertanyaan dari suaminya.

“Tapi, ada ker kijang yang berbulu emas?” soal Jiman lagi setelah berasa pelik dengan permintaan Simah.

“Baiklah, akan abang usahakan demi,Simah,” janji Jiman sambil membelai rambut Simah. Simah mengambil tangan Jiman ke dadanya dan mencium kura-kura pada tangan Jiman. Sebelum meninggalkan rumah, Jiman sempat mendapatkan Mak Juriah, emak mertuanya tentang keinginan Simah itu.

“Simah sedang mengidam tu, Jiman...apa yang Simah idamkan itu...untuk anak kau juga yang dikandungnya tu....kalau tidak..., apabila anak kau lahir nanti...,meleleh air liurnya, sebab isteri kau kempunan nak makan daging kijang,” ujar Mak Juriah.

“Macam mana nak saya tentukan kijang yang berbulu emas...mungkin kijang yang berbulu biasa yang ada,” ujar Jiman yang berasa ragu dengan keinginan isterinya itu.Rezeki kijang berbulu emas itu datangnya dari Tuhan.

“Nanti kalau saya pergi ke hutan ...mak tolonglah tenguk-tengukkan Simah. Mak temankan Simah...takut apa-apa berlaku ke atas dirinya,” pinta Jiman.

“Perkara itu, usahlah kau risaukan Jiman...tahulah mak uruskan nanti,” balas Mak Juriah.

Memang Jiman biasa berburu ke dalam hutan itu. Apabila hujan malam menerjah di kawasan ladang getah dan pohon getah tidak boleh ditoreh, Jiman akan membawa senapang dua larasnya ke dalam hutan untuk berburu ayam hutan, pelanduk dan napoh.

Jiman terus melangkah lebih jauh menempuh belukar dan hutan mengharapkan kijang berbulu emas melintasi depannya bagi memudahkannya membidik senapang patah dua laras kepada haiwan itu.Kijang berbulu emas itu yang diidam-idamkan oleh Simah, isterinya.

“Abang jangan lupa, abang dapatkanlah kijang berbulu emas itu,” pesanan dari Simah sentiasa hidup dalam ingatannya.

“Kijang berbulu emas!” pesanan dari Simah kembali mengetuk kotak fikirannya.

Ingatan itu menjadikan tekadnya memburu haiwan idaman isterinya semakin jitu.

“Abang tidak akan pulang dengan tangan kosong, Simah,” janji Jiman pada Simah. Tiba-tiba Jiman terdengar ranting patah. Dari banir kayu yang besar itu, Jiman cuba mengintip dari mana bunyi itu jatuh.Dalam malam yang kelam itu, Jiman ternampak seekor kijang sedang meratah pucuk kayu.

Mata Jiman memberikan tumpuan tentang warna bulu kijang yang disapa oleh cahaya bulan dari celahan daun-daun kayu yang merimbun itu.Tiba-tiba ada kilauan cahaya bagaikan emas menusuk pandangannya.

“Kijang berbulu emas kali ini,” doa Jiman dalam sanubarinya dalam nada yang mengharap.Jiman bersembunyi di belakang pohon secara berhati-hati supaya kehadirannya tidak dikesan oleh kijang itu.

Secara perlahan-lahan, Jiman mengangkat senapang patah dua laras itu lalu menekan picu dengan kejab dan membidik kijang itu. Dentuman dari mulut senapang memecahkan kesunyian malam di dalam hutan. Tembakan Jiman mengena sasarannya.

Jiman melihat tubuh kijang itu menggelupur beberapa kali dan dan rebah ke tanah.

Jiman mengeluarkan lampu picit dari beg sandang yang dibawa.

“Alhamdulillah...kijang berbulu emas,” ucap Jiman. Kedua belah tangan Jiman mendepang ke atas bagi mengucapkan tanda kesyukuran kepada Tuhan.Jiman mencapai golok yang dibawa dari rumah, lantas menyembelih binatang itu.

Setelah menggelupur beberapa kali,kijang itu sudah tidak bergerak lagi. Jiman memasukkan kijang ke dalam guni kain yang dibawanya dari rumah.

“Akhirnya,abang dapat juga kijang berbulu emas untuk kau Simah dan anak kita,” ujar Jiman sambil berehat di banir pokok bagi melepaskan rasa penatnya itu.

“Aku mahu segera pulang,” bisik Jiman yang berbaur dengan rasa gembira yang teramat.

Jiman mempercepatkan langkahnya. Suara burung taktibau berkumandang ke udara pada pohon yang rendang dan diikuti dengan deruan angin yang kuat. Tiba-tiba dada Jiman bergetar dan bagaikan ada lembaga yang mengekorinya.

Lembaga itu cuba merampas kijang berbulu emas yang berada di bahunya.

Jiman menolak lembaga itu dan mulutnya kumat-kamit membaca ayat suci.

“Kenapa kau nak ganggu aku,hah...nyah kau dari sini,...jangan kau ganggu aku,” tengking Jiman pada lembaga itu.Tiba-tiba guni yang dipikul dirasakan semakin ringan.

Akhirnya, Jiman sampai ke rumah lewat dinihari. Tapi, alangkah terkejutnya Simah sewaktu membuka guni tersebut, tidak ada kijang yang berbulu emas. Apa yang ada di dalam guni itu adalah daun kering sahaja.

“Mana kijang berbulu emas tu,bang....abang tipu Simah,” ujar Simah dalam tangisan yang teresak-esak. Jiman segera mendapatkan Simah.

“Abang tak tipu, Simah...memang apa yang abang tembak dalam hutan tu ialah kijang berbulu emas,” jelas Jiman.Tapi, apa yang ada di depan matanya adalah daun-daun kering yang bertaburan.

“Sudahlah, bang...abang bohong pada Simah....Simah tidak mahu percayakan cakap abang lagi,” ujar Simah sambil tangannya memegang kandungannya dan meninggalkan Jiman dengan perasaan sebak. Simah melepaskan kesedihannya di dalam biliknya.

Jiman teringatkan lembaga hitam yang merampas kijang berbulu emas itu. Jiman syak lembaga itu telah mencuri kijang emas daripadanya.

“Abang akan ke hutan pagi ini. Abang nak berjumpa lembaga yang mencuri kijang berbulu emas dari padaabang itu,” ucap Jiman memujuk Simah. Jiman tersandar ke dinding rumah bagi melepaskan lelahnya. Tiba-tiba, lembaga itu datang dalam mimpi Jiman.

“Aku sanggup menyerahkan kijang berbulu emas dengan bersyarat,” ucap lembaga itu.

“Apa syaratnya?” soal Jiman kembali.

“Apabila anakmu telah lahir dan pandai jalan-jalan jatuh, hendaklah kau membawa anakmu itu kepada aku...aku mahu mewariskan ilmu aku kepadanya,” balas lembaga itu. Atas dorongan tidak mahu menghampakan Simah dan menjaga egonya sebagai seorang suami,Jiman bersetuju dengan cadangan lembaga tersebut.

“Aku setuju dengan cadangan kau itu,asalkan kau serahkan semula kijang berbulu emas itu kepada aku,” tambah Jiman.