Dengan bersumpah atas nama dirinya, makpaknya, tokcik dan mokwenya serta atas nama tokoh yang kononnya maha agung dan diberhalakannya, dia benar-benar naik syeikh.

“Sepuluh minit...saya ulang sepuluh minit...bukan sepuluh tahun selepas diumumkan kerajaan yang ada sekarang digantikan dengan kerajaan berdominasikan parti kita, parti ambo dan parti adik kakok yang ambo kasihi, adik kakok boleh berhimpun di lapangan terbang untuk sama-sama mengusung cek royalti minyak yang jumlahnya bukan berbilion tetapi bertrilion banyakmya”

Takbirrrrrrrrrrrr!

Bila Deromen Lokok Break melaungkan meminta para hadirin bertakbir bagi menyahut butiran ceramah YB Kopiah Temunjut Ekor Serban Berjuntai, ramai yang terpaksa menahan muntah kerana makahnya bau mulut Deromen: Lokoh Break yang hanya terbuka selera makan nasi kalau berulamkan petai, kerdas dan jering relung cecah budu bersama secekak lada taik tikus.

Satu lagi tabiat Deromen Lokoh Break ialah tidak suka gosok gigi, kononnya kerana waswas dengan komponen pembuatan berus gigi dan juga bahan yang digunakan dalam penghasilan ubat gigi.

Hanya sekali sekala giginya ditenyeh dengan batang pokok senduduk, bagi membuang tahi gigi yang berkerak-kerak.

Nuar Kawoh pun ada tabiatnya yang tersendiri, bila membuat laungan, dia akan terkentut.

Bukan sekali tetapi keberkesinambungan berkali-kali.

Secara kebetulan pula dia hanya akan berselera makan bila ada ikan atau daging pekasam bakar atau goreng separuh masak.

Lagi kohong pekasamnya lagi menyelerakannya.

Tidak peliklah kalau maha makah lepasan anginnya boleh menyebabkan satu dewan yang memuatkan seribu hingga lima ribu orang terpaksa menahan muntah dan tersekat pernafasan kerana tidak tahan dengan baunya.

YB Kopiah Temunjut Ekor Serban Berjuntai akan terkoma seketika daripada berucap bahana angin yang Nuar Kawoh lepas.

Kalau yang berdentum kuat agak kurang makah baunya tetapi yang dilepas tanpa bunyi, huh makahnya meh-meh bangkai seekor gajah.

Deromen Lokoh Break nama sebenarnya adalah Deromen bin Dolloh manakala nama sebenar Nuar Kawoh adalah Nik Nuar bin Nik Po.

Walaupun berasal dari kampung, mukim, daerah dan jajahan berlainan, Deromen Lokoh Break dan Nuar Kawoh bersahabat baik, malah antara dua watak yang kena ada pada setiap ceramah YB Kopiah Temunjut Ekor Serban Berjuntai dan rakan-rakan separti dan parti sekomponen, bagi menerajui seruan bertakbir.

Selesai majlis Deromen Lokoh Break dan Nuar Kawoh akan dapat upah sepuluh ringgit seorang yang dicabut hasil daripada derma para hadirin sebagaimana YB Kopiah Temunjut yang berceramah akan diberi bayaran daripada sumber yang sama tetapi jumlahnya akan hanya sama dengan upah Deromen Lokoh Break dan Nuar Kawoh selama lima tahun.

Dermonen Lokoh Break mendapat gelaran ‘Lokoh Break’ dan Nuar Kawoh mendapat gelaran ‘Kawoh’ kerana bila bercakap kedua-duanya tidak ada koma, payah nak berhenti di samping mendakwa para YB bersaudara dengannya.

Nuar pun sama dan diberi gelaran ‘Kawoh’ kerana bila bercakap suaranya kuat, tidak perlu menggunakan alat pembesar suara kalau untuk didengar oleh mereka yang berada dalam dewan yang boleh menampung seribu hingga lima ribu hadirin.

“Royalti minyak hak kita”

Takbirrrrrrr!

“Tidak memberi royalti bermakna hak kita dirampas”

Takbirrrrrr!

“Hak kita dirompak dan dicuri”

Takbirrrrrr!

“Bayangkan kalau satu trilion hasil royalti sebulan dibahagi sama rata kepada kita semua, setiap di antara kita bukan sahaja boleh pakai kereta mewah paling tidak pun sebuah seorang, tetapi kita mampu paling debek pun memiliki sebuah helikopter setiap satu keluarga”

Takbirrrrr!

“Adik kakok yang menoreh getah tak perlu menoreh getah lagi”

Takbirrrrr!

“Yang tanam padi tak payah tanam padi lagi”

Takbirrrr!

“Yang jadi nelayan tak payah lagi jadi nelayan”

Takbirrrrr!

“YB pun tak payah jadi YB lagi?” laung Mat Jin yang kerjanya mengambil upah menampal poster bila ada pilihan raya umum atau pilihanraya kecil atau pun bila diadakan ceramah.

Takbirrrr!

“Oi janganlah asyik suruh takbir” herdik YB Kopiah Temunjut Ekor Serban Berjuntai membuatkan Deromen Lokoh Break, Nuar Kawoh dan para hadirin tersentak dan tergamam.

“YB kena terus jadi YB” tegas YB Kopiah Temunjut Temunjut Ekor Serban Berjuntai.

“Kesnya?” soal Mat Jin.

Ada beberapa orang petugas kawalan keselamatan parti cuba tarik Mat Jin, tapi tiga daripadanya rebah terguling-batin kena penyendeh Mat Jin.

Walaupun sebelah kakinya kewek, Mat Jin adalah daripada titih pendekar tersohor, malah moyangnya adalah ketua hulubalang istana.

“Kesnya? Kenapa orang lain semua tak payah jadi sekian-sekian tapi YB kena terus jadi YB?” ulang Mat Jin yang melompat naik ke atas pentas dan berdiri bersebelahan YB Kopiah Temunjut Temunjut Ekor Serban Berjuntai apabila pertanyaannya tidak dijawab.

YB Kopiah Temunjut Temunjut Ekor Serban Berjuntai terundur beberapa jakoh kerana menyangka Mat Jin akan apa-apakannya tetapi Mat Jin menariknya supaya terus berada di corong pembesar suara.

“Awak sapo?” soal YB Kopiah Temunjut. Tergagap.

“Nama ana, saya, myself ialah Mat Jin Mat Jali, penampal poster profesional. Kalau wakil rakyat dan orang politik daripada mana-mana parti politik tak kenal diri ni, elok buat pemeriksaan mata. Yang dah bercermin mata kena tambah power. Saya orang tengah yang tidak jadi ahli mana-mana parti”

“Kenapa kacau saya?”

“Fardu kifayah bagi saya”

“Fardu kifayah?”

“Ha ah”

“Fardu kifayah apanya?”

“Fardu kifayah maknanya bukan Fardu ainlah”

“Tau”

“Dah tau kenapa masih bertanya?”

“Kenapa fardu kifayah bagi awak kacau saya?”

“Kerana untuk selamatkan YB dan yang dengar ceramah YB daripada dosa”

“Saya tak faham”

“Bukan tak faham tapi buat-buat tak faham kerana kepentingan politik kepartian”

Diam.

“Kalau lambat faham, maknanya tidak berapa cerdik. Orang yang tidak cerdik tak layak jadi wakil rakyat kerana untuk mewakili rakyat, wakilnya kena lebih cerdik daripada rakyat”

Diam.

“Sepuluh minit, kalau YB naik kereta dengan kelajuan empat ratus kilometer sejam dari tempat YB berceramah di Kampung Kutan ni, ustaz boleh sampai di mana?”

“Gila!”

“Siapa gila?”

Diam.

“Saya takdok baka gilo. Kalau YB saya tak taulah”

“Mana ada kereta boleh bergerak selaju empat ratus kilometer sejam?”

“Andai ada kereta selaju itu?”

“Memang tak ada kereta yang digunakan di jalan raya selaju tu”

“Yang adanya?”

“Had kelajuan yang dibenarkan rasanya tidak sampai dua ratus kilometer sejam”

“Kalau dengan kelajuan seratus enam puluh kilo sejamlah, agaknya dalam tempoh sepuluh minit YB boleh sampai kat mana?

“Mungkin sampai Kuala Krai”

“Ertinya dari negeri kita ni ke ibu negara dengan memandu kereta pada kelajuan seratus enam puluh kilometer sejam, kena ambil masa dua belas atau enam belas jam untuk pergi dan balik”

Diam.

“Untuk sampai di pusat pentadbiran kerajaan pula kena ambil masa lima puluh atau enam puluh minit dan sejumlah masa yang sama diperlukan untuk berpatah balik semula dari ibu negara ke negeri kita ni”

“Jadinya?”

“Maknanya bila YB kata sepuluh minit selepas kerajaan yang ada berjaya ditumbangkan, rakyat jelata boleh berhimpun menunggu untuk mengusung cek royalti minyak adalah satu pembohongan yang sangat akbar”

“Saya suruh tunggu di lapangan terbang”

“Dengan kapal terbang dari ibu begara ke ibu negeri kita ambil masa empat puluh lima minit”

Diam.

“Nak keluarkan cek kerajaan bukannya mudah, kena melalui pelbagai proses tapisan dan prosedur”

Diam.

“Atas fakta mana, maka YB boleh kata jumlah royalti bagi negeri kita bertrilion?”

Diam.

“Daripada sumber mana yang meyakinkan YB sehingga YB boleh mendakwa royalti minyak itu milik rakyat dan negeri ini?”

“Apakah YB pakar dalam bidang petroleum dan cari gali?”

Diam.

“Kenapa YB diam?”

Diam.

“YB tau bahawa YB telah membohongi para hadirin dan menggunakan Deromen Lokoh Break dan Nuar Kawoh menyalahgunakan takbir bagi mengeliru dan meyakinkan hadirin bahawa apa yang YB cakap adalah benar sedangkan YB berbohong dan menabur janji palsu yang akbar, YB memberi mimpi royalti yang tidak mungkin jadi realiti kepada mereka yang mendengar ceramah YB”

Diam.

“Saya tidak memiliki ilmu seperti YB. Saya bukan lepasan universiti di negara-negara Arab. Saya sekadar lulusan empat thanawi, bukan kerana saya bodoh walaupun saya bukan cerdik sangat. Saya tak sambung belajar kerana saya tidak mahu bebankan keluarga yang hanya kais pagi makan pagi, kais petang mnakan petang”

Diam.

“Tapi sepanjang yang saya mengaji dan hasil daripada pembacaan pelbagai kitab agama, berbohong dan menipu adalah satu dosa. Lagi pula dosa yang dilakukan oleh orang yang tahu bahawa apa yang dilakukan itu berdosa tetapi dilakukan juga, dosanya lebih besar”

Diam.

“Atas nama saudara seagama, walaupun saya daripada kelas marhaen dan YB daripada kelas VIP, ingin saya nasihatkan YB, berhentilah untuk menjahilkan diri dalam keadaan berilmu, berhentilah untuk lakukan dosa dalam keadaan tahu”

Diam.

“Berhentilah membina mimpi royalti yang tak mungkin jadi realiti kepada mereka yang hadir pada ceramah-ceramah YB. Biarlah kalangan yang pakar mengenai minyak yang memainkan peranan berkaitan minyak dan royaltinya”

Diam.

“Kalau YB dan sesiapa yang bukan pakar dalam sesuatu bidang tetapi bercakap untuk cuba lebih pakar daripada pakar, banyak kemusnahan dan kerosakan fikiran dan kefahaman akan berlaku”

Diam.

“Sepatutnya YB pastikan penoreh dan pekebun getah terbela dengan harga getah dinaikkan. Daripada apa yang saya dapat maklum.YB pun anak kepada penoreh getah”

Diam.

“YB kena pastikan nasib peladang, petani dan nelayan terbela dengan buah-buahan dijamin ada pasaran pada setiap musim buah, bukannya hanya luruh jadi baja tanah”

Diam.

“YB kena suarakan kepada pihak berkenaan supaya hasil-hasil pertanian mempunyai nilai pasaran, bukannya sayur-sayuran terpaksa dibuang kerana tidak ada pembeli”

Diam.

“Kalau YB tidak terus buang masa memainkan isu royalti bersifat membina mimpi yang tak mungkin jadi realiti, bukan sahaja kumpulan sasaran akan mendapat faedah, tetapi YB akan juga akan dapat faedah”

“Apa faedah yang akan saya dapat?”

“Pahala”

Diam.

“Kalau YB main isu royalti YB akan dapat dosa”

“Sebabnya?”

“Kerana YB berbohong dan memberi janji-janji palsu yang akbar”

YB Kopiah Temunjut Temunjut Ekor Serban Berjuntai merasakan leteran Mat Jin yang memang dia kenal sebagai seorang yang serba selekeh bagaikan ketulan batu bergolek dari atas puncak gunung menimpa kepalanya.

Kerananya dia lebih banyak berdiam diri mendengar kuliah Mat Jin seperti mana dia banyak berdiam diri masa dalam persidangan dewan, malah kerap kali dia tertidur, malah pernah ditegur oleh speaker kerana berdengkur.

Dalam dewan dia tidak sehebat di pentas ceramah kerana dalam dewan dia adalah antara YB-YB spesies kalah roma kepada YB-YB daripada parti lawan.