Sesiapa sahaja akan teruja, termasuklah Wahida. Berada di kampung bermakna bebas daripada tugasan pejabat. Telefon bimbit akan serta-merta dimatikan sejurus ayah ibu muncul di muka pintu, tersengih menyambut kepulangan si anak. Pada waktu ini, tidak ada apa-apa yang lebih penting melainkan garis-garis senyum pada wajah rontok orang tuanya.

Masalah Wahida cuma satu, berhadapan dengan seorang jiran tetangga sekampung bernama Kak Nor, seorang wanita lewat 50-an. Kak Nor juga merupakan ibu kepada sahabat karib sejak kecil, Zaimah.

“Balik seorang sahajakah kali ini?” Begitulah kerap Kak Nor bertanya (atau lebih tepat, mengusik) di hadapan khalayak ramai, contohnya sewaktu majlis bacaan doa selamat atau ada orang bertunang. Wahida kerap kali cuba mengelak, tetap gagal. Kak Nor begitu tangkas memastikan Wahida tidak terlepas daripada melayan soalan-soalan usikannya.

Sejurus soalan Kak Nor mengisi ruang, puluhan mata sanak saudara dan jiran tertangga akan beralih kepadaWahida.Ada nada-nada bisik sedang terapung.Masing-masing memandang dengan penuh tanda tanya. Wahida belum ada teman? Bukankah dia sebaya dengan Zaimah, anak Kak Nor yang sudah beranak dua? Wahida bukannya tidak menawan.Ramai jejaka di kampung ini pernah cuba memikatnya sewaktu zaman persekolahan. Mengapa masih berseorangan sehingga kini? Terlalu memilih?Mungkin juga pangkatnya sebagai seorang ketua jabatan di universiti terkemuka negara menyebabkan jejaka-jejaka kampung membatalkan hasrat untuk memperisterikannya. Ego tercalar. Tidak sekufu. Malu isteri lebih berkerjaya, bergaji tinggi.Rencam alasan telah membantutkan hasrat murni jejaka-jejaka ini.

“Anak sulung Zaimah sudah masuk tadika! Awak tu bila lagi nak bersuami? Jangan tunggu lama-lama.”

“Kasihan. Meroyanlah seorang diri jadi anak dara tua! Sibuk sangat dengan kerja kononnya.”

“Kita orang perempuan, bekerja tinggi sampai langit tujuh lapis pun, akhirnya ke dapur jua.”

“Takkan tak ada seorang lelaki pun yang berkenan? Mesti terlalu memilih.”

Serangan Kak Nor dengan suara nyaring sentiasa berbaur sinis. Bahkan Kak Nor menggelar Wahida sebagai Wahida Meroyan. Bagi Kak Nor, tidak mempunyai pasangan sewaktu usia sudah lanjut merupakan satu kesengsaraan buat kaum wanita.

Apakah kebahagiaan itu hanya ditafsir melalui perkahwinan atau percintaan semata-mata?

Wahida atau lebih tepat, Dr Wahida merupakan seorang graduan jurusan mikrobiologi dari universiti terkenal di Eropah.Sesudah tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda, dia ditawarkan biasiswa penuh oleh kerajaan di sana untuk menyambung pengajian. Dengan keputusan cemerlang kelas pertama, dia telah diizinkan pihak universiti untuk tidak menduduki kursus ijazah sarjana, sebaliknya terus ke peringkat doktor falsafah.

Wahida tidak menang tangan, kerana dia seorang pelajar luar biasa.Siang menghabiskan masa di makmal.Malam pula tekun di bilik tidur untuk mengarang kertas jurnal.Dalam masa dua tahun, Wahida berjaya menghasilkan banyak penerbitan di jurnal kuartil pertama – sehinggakan dia dicalonkan untuk anugerah saintis muda peringkat nasional.Dia menjadi orang Asia pertama berjaya merangkul anugerah tersebut, yang selalunya diterima oleh orang-orang Eropah sahaja.Pulang ke tanah air, beliau menjadi pensyarah kanan selama dua tahun sebelum dinaikkan pangkat menjadi ketua jabatan salah satu divisyen utama pengurusan universiti.Dr. Wahida Sakinah – wanita besi kebanggaan universiti. Begitulah kata-kata Naib Canselor sewaktu ucaptama tahunan.

Atas dasar kesibukan, jarang terlintas dalam diri Wahida untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki.Ada sesuatu yang jauh lebih penting untuk difikirkan.Kalau ada jodoh, maka ada.Dia berpegang kuat dengan ketentuan Ilahi.Jodoh setiap orang bukannya terus tiba apabila mencapai umur tertentu.

Bagi wanita sebaya Wahida, melayari laman media sosial boleh menghadirkan tekanan.Saban hari disajikan dengan gambar rakan sebaya melangsungkan perkahwinan.Tidak kurang yang memuat naik gambar melancong bersama suami dan anak-anak kecil.Sekali-sekala terbit ucapan syukur dari katil wad hospital setelah selesai melahirkan anak.

Belum tiba masa untukku. Wahida memujuk diri.

“Setiap kita mempunyai cara bahagia tersendiri. Tidak semestinya kalau kita masih belum dikurniakan teman hidup atau cahaya mata, kita perlu terus berduka.Rezeki Allah hadir melalui pelbagai cara.Allah masih belum mengizinkan kita untuk berkeluarga, tetapi Allah memberikan kita nikmat masa muda untuk mencari ilmu di bumi Eropah ini. Allah itu Maha Adil.” Wahida menyuntik kata-kata semangat kepada wanita seangkatan dengannya.

Adakah Kak Nor faham hakikat rezeki Allah ini?

Jika ya, mengapa dia terus menerus mempersoalkan kekuranganku?

Hari ini, Wahida akan pulang ke kampung halaman sekali lagi. Kali ini untuk menghadiri kenduri adik perempuan bongsu. Hati bergalau memikirkan serangan jenis apa pula perlu ditepis kali ini. Dengan kelahiran cahaya mata ketiga Zaimah bulan lepas, tentunya bilah kata-kata Kak Nor kali ini lebih tajam.

Saat kereta Wahida meluncur keluar dari ibu kota, bayangan Kak Nor mula menerawang minda. Suara juruhebah radio berceloteh pun dirasakan seperti suara Kak Nor sedang membebel kepadanya.

Sejurus tiba di perkarangan rumah orang tuanya, orang kampung sudah ramai hadir untuk membantu persiapan kenduri. Kelihatan Kak Nor sedang menghias di salah sebuah khemah jamuan. Dada Wahida mulai bergemuruh.Wahida menonong, membawa bagasi pakaian ke muka pintu rumah.Dengan harapan, Kak Nor tidak menyedari kemunculannya.

“Ha, dah balik Wahida Meroyan kita ni. Adiknya sepuluh tahun lebih muda pun dah nak berkahwin esok. Dia tu nak tunggu sampai bila, entahlah! Tak faham aku dengan orang zaman sekarang.” Kak Nor separa menempik, sambil bantu mengenakan pelapik untuk meja pengantin.

Seperti biasa, Wahida cuma mampu tersenyum tawar.Dia pilih untuk membisu.Tidak mahu bertegang urat, lebih-lebih dengan orang yang berumur.

“Kak Nor tak patut cakap begitu!”

Suara Che Nah yang muncul entah dari mana membuatkan langkah Wahida tiba-tiba menjadi perlahan.

“Kita yang sepatutnya cemburu dengan Wahida. Dapat peluang melanjutkan pelajaran, mengembara melihat alam seluruh dunia. Kita ni, sudahlah belajar pun tak tinggi, keluar dari kampung pun sekali-sekala. Kalau keluar sekalipun, hanya untuk pergi kenduri di kampung seberang.”

“Err.” Hanya bunyi getar terpacul dari kerongkong Kak Nor.

“Memang betul, wanita lain mendapat rezeki untuk bersuami, beranak-pinak. Rezeki Wahida adalah peluang untuk mendalami ilmu pengetahuan. Bukan semua orang dapat peluang yang sama.Wahida telah mengangkat martabat kita sebagai wanita Melayu ke tahap yang tinggi. Kalau nak harapkan wanita macam kita berdua, sampai bila pun tak ke mana-mana!”

Kak Nor terpinga-pinga. Resah mulai tumbuh pada wajahnya.Segera dia beredar untuk meneruskan tugasan lain.

Terima kasih, makcik Che Nah!

“Wahida, jangan ambil hati dengan kata-kata makcik Nor tu, ya?”

Air wajah Wahida mulai jernih.

“Mmmm, makcik sebenarnya nak bercakap sedikit dengan awak.” Che Nah menarik lembut lengan Wahida ke sudut yang lebih senyap.

Wahida mengangkat kening. “Ada apa, makcik?”

“Masih ingat anak saudara makcik, Fadhil?”

Wahida mengangguk laju. Masakan tidak ingat.Fadhil sahabat sepermainan sejak kecil.Tetapi, lama terputus hubungan. Fadhil melanjutkan pengajian ke Jepun sebelum bekerja sebentar di sana. Wahida pula ke England, menghabiskan pengajian sarjana muda dan doktor falsafah lebih tujuh tahun sebelum kembali ke Malaysia.Wahida dan Fadhil bertemu semula di laman sosial Facebook beberapa bulan lalu.

“Fadhil, dia ada hajat sedikit. Dia minta makcik jumpa orang tua Wahida. Tapi, nak tanyalah izin tuan empunya diri dahulu.”Che Nah meluahkan hasrat.

Wahida malu-malu sambil suara hatinya dengan kuat mengatakan, ya.