Tetapi masih memerlukan warga yang mempunyai jati diri atau semangat patriotisme yang kukuh dan teguh. Manakala sifat taat setia pula menjadi pelengkap mengikat erat keyakinan diri seperti yang termaktub dalam lima prinsip Rukun Negara.

Namun, masihkah kita mempunyai jati diri dan semangat patriotisme? Semakin menebal dipupuk baja atau semakin nipis terhakis? Akur atau sebaliknya, setiap warganegara bernaung di bawah panji Jalur Gemilang adalah dituntut memikul tanggungjawab dan amanah besar ini.

Bersama memberikan jaminan bahawa Malaysia Baharu bersih daripada gejala rasuah dan menyekat impian penjajah. Jati diri mengikut definisi Kamus Dewan (Edisi Keempat) iaitu sifat atau ciri yang unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama, dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya.

Ia juga merupakan identiti ke arah pembinaan negara Malaysia lebih berteraskan kekuatan – bangsa dan semangat patriotik yang utuh. Melalui disiplin sains sosial, konsep jati diri merangkumi identiti sosial, identiti budaya dan etnik, yang menerangkan pengenalan diri seseorang itu bersabit dengan kedudukan sosialnya, tradisi budayanya atau pun keanggotaannya dalam mana-mana kumpulan etnik (Norazit Selat, 1996:54).

“Tidak Melayu hilang di dunia” merupakan kata-kata keramat tokoh pahlawan Melayu terbilang, iaitu Laksamana Hang Tuah yang amat berkait rapat dengan kewujudan jati diri Melayu.

Bagaimanapun, pada zaman moden ini, perkara jati diri Melayu semakin menjadi isu dan bualan hangat dalam kalangan awam dan masyarakat berpendidikan tinggi. Perlu dinyatakan kekuatan orang Melayu berkaitan jati diri berasaskan tiga komponen penting iaitu bahasa, agama dan budaya (Wan Abdul Kadir, 2002:14).

Oleh itu, para pejuang terdiri daripada nasionalis Melayu berusaha gigih mahu mengekalkan ketiga-tiga komponen tersebut, memandangkan masyarakat masa kini sedang berdepan dengan ancaman kemodenan, liberalisasi dan pelbagai perubahan drastik.

Perjuangan berhubung dengan bahasa kebangsaan, agama Islam dan budaya kebangsaan menjadi tumpuan utama para nasionalis, intelektual budayawan, dan sasterawan. Bagaimanapun, hanya jati diri dalam puisi berkaitan jati diri bangsa dan bahasa akan disentuh.

Setelah ditelusuri karya Sasterawan Negara Usman Awang ternyata puisi berjudul ‘Melayu” memperlihatkan keistimewaannya. Puisi ini amat intim dan berkait rapat dengan jati diri dalam bangsa Melayu, khususnya paradigma ‘kemelayuan’nya.

Terhasilnya puisi ini berakibat daripada kesedaran penyair untuk mencetuskan rasa keinsafan dalam diri khalayak khususnya bangsa peribumi yang dilihat semakin tidak mempedulikan jati diri mereka yang digelar bangsa Melayu.

Usman Awang melakarkan bagaimana seseorang Melayu itu masih mampu untuk melihatkan nilai-nilai dirinya yang negatif digabungkan bersama-sama dengan nilai-nilai dirinya yang positif seperti petikan berikut:

Stanza 1 berkaitan dengan nilai negatif: Melayu itu orang yang bijaksana / nakalnya bersulam jenaka / Budi bahasanya tidak terkira / Kurang ajarnya tetap santun / Jika menipu pun masih bersopan / Bila mengampu bijak beralas tangan (Usman 1999:229).

Stanza 2 berkaitan dengan nilai positif: Melayu itu kaya falsafahnya / Kias kata bidal pusaka / Akar budi bersulamkan daya / Gedung akal laut bicara (Usman 1999:229-230).

Manakala jati diri dalam bahasa Melayu, berkaitan dengan ciri-ciri kebudayaan dan merupakan lambang tamadun sesuatu bangsa. ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ merupakan ungkapan jelas tentang pentingnya bahasa sebagai lambang bangsa Melayu.

Bahasa Melayu telah terserlah kehebatannya sejak ratusan tahun dahulu apabila menjadi bahasa perhubungan di Nusantara, Asia Selatan dan Asia Tengah selain Indo-China. Maka, jika bangsa Melayu mahu mempertahankan jati diri mereka dan kelihatan hebat di mata dunia, mereka perlu mendalami tradisi yang menjadi kehebatan Melayu dari segi bahasa, sastera dan budayanya.

Terdapat sebuah puisi awal yang memperkatakan tentang persoalan bahasa, iaitu puisi ‘Bahasa dan Bangsa’ (24 Ogos 1942) ditulis oleh Muhammad Hassan Abd Wahab. Puisi ini menyampaikan mesej tentang semangat kesedaran bangsa Melayu mencintai bahasanya, seiring dengan perjuangan menegakkan kedaulatan bangsa dan tanah air seperti petikan ini:

Bahasa boleh melemahkan pedang / menewaskan musuh yang masih gadang / bahasa pula bukan kepalang / patutlah kita menaruh pandang / Oh bahasa, kamulah senjata /

kepada kamu aku bercinta / dengan kamu aku meronta / buat menjaga bangsa dan nusa. (Bahasa dan Bunga, 1942).

Puisi pada pemerintahan zaman Jepun memperlihatkan jati dirinya yang tersendiri dilanjutkan hingga ke tahun-tahun 1950-an. Kemunculan ASAS 50 tidak lain hanyalah untuk mengukuhkan dan memperluaskan kesedaran yang disuarakan oleh Muhammad Hassan Abd Wahab pada zaman Jepun.

Kemudian muncul puisi ‘Bahasa Bunda’ oleh Usman Awang (Utusan Zaman, 12 Dis 1954) seperti petikan ini: Ada ketika marah menyala / memercik api semangat bangsa / meletus gemuruh menjadi alat perjuangan merdeka.

Petikan tersebut menyatakan betapa pentingnya Bahasa Melayu sebagai alat perjuangan penyair, khususnya dalam menuntut kemerdekaan tanah air pada waktu itu. Sehubungan itu, puisi-puisi yang bernada protes dan membangkitkan kemarahan serta penuh beremosi berhubung dengan isu bahasa ini banyak terdapat dalam antologi Teluk Gong (1967), Keranda 152 (1967) dan Kebangkitan (1969).

Kemuncak perjuangan mempertahankan Bahasa Melayu apabila berlakunya perarakan bantahan para pejuang Bahasa Melayu terutama penulis dari Dewan Bahasa dan Pustaka yang mencapai kemuncaknya pada 03 Mac 1967 di Balai Budaya, DBP.Demonstrasi yang lebih mirip kearah perarakan merupakan simbolik kepada kematian Bahasa Melayu. Ini berkaitan dengan kerajaan Malaysia pada waktu itu tidak menepati janji untuk menjadi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.

Semangat juang

Puisi berjudul ‘Keranda 152’ dan ‘Malam di Balai Budaya’ tulisan Usman Awang amat berkait rapat dengan demonstrasi tersebut. Tetapi, puisi ‘Malam di Balai Budaya’ dianggap lebih memancarkan berapi semangat juangnya:

Malam itu di Balai Budaya / Api dan Air Mata / Malam itu di Balai Budaya / Seorang guru tua berbicara / ‘Berarak ke Parlimen, aku di muka’ / Malam itu di Balai Budaya / Seorang peguam muda berkata / ‘Bakar Perlembagaan 152’… / Para pelajar berikrar / ‘Dada kami sedia dibakar’ / Malam itu juga / Parlimen jadi pertanda / Memenggal leher BAHASA.

Selain itu, penyair SN Datuk Zurinah Hassan turut mengungkapkan perasaan dan pemikirannya tentang persoalan bahasa Melayu melalui kumpulan puisi beliau berjudul ‘Salasilah’ (DBP 2005) yang memuatkan tiga buah puisi khas iaitu ‘Seorang Penyair Selepas 39 Tahun Merdeka’, ‘Ana Maria’ dan ‘Seorang Tua Bernama Bahasa’.

Dalam konteks ini, bahasa Melayu dianalogikan sebagai ‘seorang tua’ yang semakin hari semakin tidak berdaya dan semakin tidak dipedulikan oleh generasi muda.

Sementara itu, Prof. Dr Awang Sariyan seorang ahli bahasa, sarjana sastera dan penyair yang secara konsisten memperjuangkan bahasa Melayu, turut menyumbang melalui kumpulan puisi beliau iaitu ‘Mencari Makna Diri’ (DBP 2012).

Puisi berjudul ‘Mitos Bahasa’ secara jelas memperlihatkan sejarah bahasa Melayu yang wujud sebagai bahasa peradaban dan ketamadunan Melayu sejak zaman pra-Islam. Manakala sebuah puisi beliau berjudul ‘Bahasa Sendi Tamadun Bangsa’ telah digubah menjadi lagu puisi:

Kita merdeka dan berdaulat / Sama jati diri dan citra / Biar berlainan akar / Bersatu kita semua…/ Bahasa Sendi Tamadun Bangsa / Sastera Bicara Budaya / Mari Teguhkan sumpah / Mari daulatkan bahasa.

Manakala antologi puisi ‘Cakar Nanar’ (Numera 2016) diusahakan oleh SN Datuk Ahmad Khamal Abdullah, telah menghimpunkan 133 puisi berupa suara protes penyair menentang PPSMI dan DLP dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Antologi ini memberikan peluang kepada para penyair meluahkan rasa marah dan terkilan dengan simboliknya ‘mencakar’ wajah mereka yang dianggap pengkhianat bahasa. Selain itu, antologi puisi ‘Nyala Api dalam Dada’ (ITBM-PENA 2014) di selenggarakan oleh Datuk Baha Zain dan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad turut menghimpunkan 163 puisi berupa protes para penyair berkaitan bahasa Melayu yang berkekalan dianaktirikan dan diperkosa kedaulatannya sejak negara mencapai kemerdekaan. Kemarahan para penyair meluap-luap dan bagai ‘bernyalanya api di dalam ruang dada’.

Paling mutakhir, antologi ‘Bianglala Melukis Syurga’ (PENA 2017) diselenggarakan oleh Dr Mohamad Saleeh dan Rozlan Mohamed Noor. Antologi ini amat intim dengan situasi kemerdekaan yang dicapai oleh bangsa Malaysia.

Suara-suara penyair bercampur-baur antara pro dan kontra mentafsir makna ‘merdeka’ yang sebenar disambut dan ‘kemerdekaan’ yang dinikmati oleh rakyat di seluruh negara sejak berpuluh tahun lalu. Persoalan dan isu jati diri bahasa dan bangsa juga mendapat perhatian istimewa ramai para penyair mapan seperti Datuk A. Aziz Deraman melalui kumpulan puisi ‘Gelora Nurani’ (2015). Beliau menyentuh perkaitan intim antara budi, bahasa dan jati diri merdeka melalui puisi ‘Budi Kepada Bahasa’. Siti Zaleha M.Hashim pula menyuarakan kecintaannya terhadap bahasa melalui puisi ‘Api Bahasa’ dan ‘Kitab Bahasa Yang Terbuka’ melalui antologi puisi berjudul ‘Kapal Kertas dan Lautan Api (2012).

Penyair Islamik Dr Shamsudin Osman turut berkongsi pemikiran menyuarakan isu bahasa Melayu melalui kumpulan puisi, ‘Taman Insaniah’ (2015) iaitu puisi ‘Serumpun Bahasa Segugus Doa’ dan ‘Sekuntum Bahasa di Taman Cinta’.

Kemudian Datuk Wanrazuhar menyuarakan kemarahan dan kekesalan kerana bahasa Melayu tidak mendapat pembelaan sewajarnya sebagai bahasa ilmu melalui kumpulan puisi ‘Kukejar Kata’ (2016) iaitu puisi berjudul ‘Oh Bahasaku’.

Abizai pula melalui kumpulan puisi ‘Sinar Benar’ (2015) menyuarakan keprihatinan terhadap bahasa Melayu yang dikhianati oleh bangsanya sendiri dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu melalui puisi-puisi ‘Bahasaku Menangis’ dan ‘Percakapan Tentang Bahasa’. Dan akhir sekali, Shapiai Mohd Ramly melalui kumpulan puisi ‘Keris Sebilah Itu’ (2008) turut mempersonifikasikan bahasa Melayu melalui puisi berjudul ‘Orang Tua Bahasa’.

Demikianlah, begitu banyak puisi bersifat patriotik berkaitan bahasa Melayu yang dihasilkan oleh para penyair lama dan baru, namun tulisan ini hanya dapat menyentuh sebahagian kecil sahaja daripadanya. Begitu juga diluahkan kebimbangan mereka terhadap nasib bahasa Melayu di negara ini, ia dilihat sentiasa menjadi mangsa situasi politik semasa yang menghimpit kedudukan Bahasa Kebangsaan.

Jelas kini, usaha-usaha pelbagai pihak cuba mengutamakan bahasa-bahasa lain selain Bahasa Kebangsaan akan menjadikan jati diri bangsa Melayu semakin berkurangan dan terancam. Oleh itu, perlu wujud inisiatif dan kesungguhan pihak pemerintah untuk bersama-sama menjamin jati diri Melayu akan terus dipupuk dan bahasa Kebangsaan akan kekal dimartabatkan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan negara.