Air laut semakin besar. Air sungai sudah lama penuh. Tebing sudah tiada. Rumput tidak kelihatan. Pucuk nipah masih separuh kelihatan. Pokok kelapa menjadi rendah. Jalan sudah tenggelam. Bunyi hujan menakutkan. Bunyi air mengalir kedengaran di atas dan di bawah. Malam semakin pekat. Pak Latip cuba mengalih peti sejuk yang besar. Dia minta tolong anak dan isterinya tetapi tidak dapat dialih kerana muatannya penuh. Dia bimbang jika air semakin naik; peti sejuk itu akan mati. Matinya peti sejuk yang menyimpan banyak isi itu akan menyusahkan.

Akhirnya tingkat bawah ditenggelami air. Peti sejuk yang sarat muatan ditelan air. Pak Latip mengalah lantas mengajak anak dan isterinya meredah banjir menuju ke tangga. Di sekitarnya botol minyak masak separuh berisi, besen, baldi, periuk, botol-botol kicap, tong sampah dan isinya yang sudah bebas berpusing-pusing oleh ombak kecil hasil gerak tiga beranak.

Di atas anak tangga keempat dia berdiri sebentar menunggu isterinya yang masih di kaki tangga yang tenggelam. Air dari seluar pendek paras paha bercucuran di atas anak tangga lalu jatuh berdetik ke lantai air. Isterinya pula berpaut di tangga, lalu naik. Air daripada basahan kain dan baju kurungnya bercucuran jatuh. Kemudian dituruti oleh anaknya. Mereka menunggu penyelamat di tingkat atas. ‘Nyawa lebih penting daripada peti sejuk dan isinya,’ bisik hati Pak Latif pasrah namun penuh bimbang.

2

“Tuan-tuan dinasihatkan supaya tidak balik dan menjengah rumah. Diminta bersabar dahulu hingga banjir benar-benar surut. Keadaan masih berbahaya.” Wajah Ketua Kampung dalam bayangan Pak Latif dan beberapa orang jirannya yang sedang bergerak meredah banjir yang mula menyusut. Mereka segan dengan Ketua Kampung sebab itu curi-curi keluar dari pusat pemindahan banjir. Meskipun rumah masih digenangi air dan belum dibenarkan pulang, namun hati mereka ini amat ingin melihat rumah yang ditinggalkan. Lebih-lebih lagi Pak Latif yang kebingungan akan sesuatu yang ditinggalkan. Makin lama dia di pusat pemindahan itu semakin kacau fikirannya. Oleh itu, sanggup dia membetis meredah banjir yang sudah di paras buah betis sambil disirami gerimis.

“Hoi! Apa yang bau busuk sangat ni? Mahu muntah dibuatnya.” Teriakan itu amat menakutkan Pak Latif. Apa lagi suara itu datangnya daripada Isa. Terbayang sesuatu yang amat menakutkan dalam benaknya. Dia pun terkejut Isa ada di belakang. Dia memang ada terhidu tetapi diam. Jiran-jirannya pun ada mencium bau itu tetapi diam juga. Mungkin kepercayaan nenek moyang masih menjadi pegangan. Jika tercium bau, jangan ditegur. Itu menjadi perkiraan dalam mata fikir Pak Latif. Namun, bercampur-campur fikirnya tentang diam itu. ‘Adakah jiran-jirannya sudah menduga tentang bau itu dan diam kerana menjaga hatinya?’

Lebih menakutkan dia tentang bisingnya Isa. Suara Isa itu seolah-olah guruh yang menakutkan. ‘Kenapa dia berteriak tentang bau itu walaupun dia di belakang sekali tetapi tetap didengar olehnya yang jauh di hadapan? Isa ini macam sengaja, dah tahukah dia?’

“Adalah binatang yang mati tu, waktu banjir kita sibuk selamat diri.” Respons Pak Bujang telah mengejutkan Pak Latif daripada lamunan. Dia melihat ke belakang, Isa tidak kelihatan. Isa sudah ke simpang rumahnya. Pak Bujang berpayung sambil tangan kirinya menutup hidung dengan kain di bahu. Dia terus meredah banjir ketika Pak Latif di simpang rumahnya. Di luar pintu, Pak Latif melihat kerugian; lapan beg simen bertimpa dua baris sudah menjadi batu, kelihatan separuh ditenggelami air. Tangannya menyentuh beg simen itu. “Habislah, belum sempat diguna," dengus hatinya setelah pasti semua simen itu pernah tenggelam. Kayu dan papan terapung di sekeliling rumahnya bersama sampah dan sisa-sisa kebun. Kelihatan juga tempayan-tempayan baring dalam hamparan banjir.

Pak Latif menolak daun pintu seperti menolak pintu air di sawah. Dia masuk ke dalam rumah yang ditinggalkan beberapa hari lalu. Rumah itu seperti kapal bocor. Air bergenang separuh betis berwarna keruh . Dia melihat sofa dan kerusi yang ditenggelami air. Almari dan set televisyen bergoyang-goyang pintunya oleh asakan air yang bergerak. Tin-tin kosong dan bekas plastik berlaga di air. Botol air dan botol minyak masak bergerak-gerak ditolak arus air kesan gerak kakinya. Langsir basah di jendela hampir tertanggal dari relnya.

Kehadiran bau

Tidak tahan dia dengan bau busuk yang amat kuat menusuk hidung, bagaikan ada binatang besar yang mati dalam rumahnya. Kehadiran bau itu yang menakutkan dia sejak banjir datang. Kehadiran bau itu sering mendatangkan gusar dalam mata fikirnya ketika di pusat pemindahan mangsa banjir. Bau itu bercampur-campur bau air kotor dan barang basah yang meloyakan. Dia melalui lantai jubin yang licin, berkelodak dan meredah air banjir menuju ke dapur sambil memerhati perabot yang rebah dan bergoyang.

Peti sejuk besar tumbang, terhalang oleh meja makan dan pintunya terbuka. Bau busuk macam bau bangkai amat kuat menusuk. Dia terpaksa menutup rapat hidung dengan tuala yang ada di bahu. Dari pintu peti sejuk yang ternganga itu dilihatnya ke arah bawah pada bahagian lantai berair keruh dan bercampur hitam itu ada ulat-ulat yang masih hidup, bergerak-gerak cergas di atas timbunan plastik yang berisi ulat. Sekali-sekali ulat itu dihanyutkan oleh air kemudian melekat semula pada makanannya.

Dengan kudrat yang ada dia mendirikan peti sejuk. Sungguh meloyakan. Daging busuk lembik yang berbaki dalam peti itu berulat dan jatuh ketika peti itu didirikan. Berbungkus- bungkus besar yang berisi ulat sudah pecah di lantai. Plastik membungkus bahan itu sudah koyak. Keluar sebahagian kaki yang berulat. Keluar sebahagian telinga berulat. Keluar sebahagian kepala dan mata berulat. Itulah isi-isi bungkusan plastik besar yang terjatuh dari pintu peti sejuk. Dari situlah bau yang amat busuk dan meloyakan. Dia tidak tertahan lagi lalu muntah di hadapan pintu yang ternganga, menambah rupa jijik di lantai berair.

Dia menuju ke peti sejuk beku pula. Diangkatnya penutup peti segi empat itu. Bau amat busuk dan tajam hingga menusuk ke anak tekak. Sempat dia melihat kepala lembu yang masih bertanduk berulat. Tidak tertahan nafasnya lantas ditutup semula. Dia muntah lagi. Dalam benaknya membayangkan segala-gala isi peti itu seperti ekor, kaki dan tulang lembu sudah dimakan ulat.

‘Bagaimana nak aku buang dan tutup lagi?’ bisik hatinya. Nak aku tanam, tanah masih berair. Memang pusing kepala Pak Latif. Banjir telah membuka segala yang tersembunyi. Agihan korban yang disumbat dalam peti itu, baunya telah terlepas keluar. Telah diberitahu oleh angin akan bau agihan korban yang terkandas itu kepada semua yang menghidu. Bau busuk itu akan menjadi berita hangat dan ramuan sedap untuk membawang di pusat pemindahan mangsa banjir nanti. Sepanjang-panjang tali, tidak sepanjang mulut manusia, fikirnya. Malah lebih panjang dari tali hujan yang belum putus. Itu jangkaan Pak Latif ketika badannya semakin lemah di sisi peti sejuk beku. Dadanya terasa sendat dan nafasnya semakin sukar. Dia rebah di sisi peti sejuk dan di atas timbunan plastik berisi daging busuk yang berulat.

3

Orang yang mendengar kisah Pak Latif ini bertanya kenapa dia pengsan, rebah lalu dipapah oleh Isa dan jirannya ke balai raya? Orang akan bercerita tentang kisah dahulu untuk menjawab. Orang akan ingat semula tentang kedatangan empat buah lori besar di pekarangan masjid. Orang ramai menyaksikan 10 ekor lembu diturunkan dari lori-lori itu. Empat ekor lembu disumbangkan oleh wakil rakyat. Enam ekor lembu pula daripada duit peserta dan penderma korban yang dibeli oleh Pak Latif. Lembu-lembu itu dibawa oleh beberapa orang kampung lalu diikat di belakang masjid. Ramai orang kampung datang membantu dan melihat lembu-lembu korban itu.

Sepuluh ekor

“Ini satu sejarah, kita dapat sepuluh ekor lembu korban. Paling banyak pun sebelum ini tiga ekor.” Puji Pak Imam sambil memegang bahu Pak Latif.

“Kita berusaha melunaskan hajat orang Pak Imam. Jika orang kampung sebelah boleh buat lima ekor. Kita boleh buat lebih. Jika AJK sebelum ini mampu buat tiga, saya akan cuba buat lebih banyak,” sahut Pak Latif selaku pengerusi masjid yang baharu.

“Apa yang lebih penting ialah niat peserta dan orang yang sedekah untuk ibadat korban ini dapat dibantu. Daging sewajarnya diagih mengikut bahagian-bahagian seperti kehendak agama, kerana Allah semata-mata. Jasa Pak Latif untuk tujuan ini amatlah besar. Dapat melunaskan hajat orang berhajat adalah perkara yang mulia. ” Pak Imam memberi peringatan dalam lipatan pujian.

4

Ada juga yang masih ingat kisah di warung Hasim. Di situ Pak Latif bangga oleh pujian penduduk kampung kerana telah berjaya mengadakan aktiviti korban yang paling besar dalam sejarah kampung.

“Hasim, kira semua, saya bayar.” Pak Latif menunjuk beberapa buah meja pelanggan. Kata-katanya menarik minat yang mendengar.

“Pak Latif memang hebat. Terima kasih banyak,” puji Lebai Asan. Pelanggan yang lain angkat tangan dan ucapkan terima kasih. Setelah menyerahkan wang bayaran dengan baki dihalalkan sahaja, Pak Latif beredar dengan senyum lebar; bahagia, lalu pergi dibawa oleh motosikal baharu. Ketika menunggang dia terbayang mesej yang diterima daripada Leong sebentar tadi. ‘Wang sudah dimasukkan melalui sistem perbankan online.’ Dia yakin Leong boleh simpan rahsia. Banyak daging segar telah dihantar ke kedainya. Tentu wang diterima adalah lumayan.

“Kau lewat, kalau tak, tentu kena belanja oleh Pak Latif,” tegur Hasim ketika Isa nak duduk.

“Kalau Pak Latif tak belanja lagi elok,” sinis bunyi jawapan Isa. Lebai Asan hairan. Dia dapat rasa akan rasa tidak suka Isa kepada Pak Latif. ‘Orang baik macam Pak Latif pun, ada orang tak suka,’ desis hatinya.

‘Baguslah aku selamat daripada termakan wang Pak Latif,’ hati Isa berkata-kata ketika mengambil cawan kopi disorong oleh Hasim. Dia terbayang akan kisah Pak Latif yang didewa-dewakan oleh orang kampung.

“Ya, tak ada lagi. Semua rumah kita dah agih daging korban. Memang lembu korban banyak, tetapi kita agihkan kembali kepada tuan punya korban,” Pak Latif menjawab setelah didesak oleh Isa yang tidak puas hati. Isa melepaskan geram sambil menunjukkan tulang bersalut sedikit daging dalam plastik. Isa tidak setuju agihan yang tidak betul. 10 ekor lembu yang diberi oleh wakil rakyat dan peserta korban hanya dinikmati oleh sebahagian orang.

“Mana pergi 40 kaki lembu misalnya? Mana pergi 10 kepala lembu? Yang orang miskin dapat tulang yang banyak, daging sedikit.” Geram menggasak dinding hati Isa menyebabkan mulutnya terus melukai Pak Latif.

“Bukan dia ikut korban, kenapa pula sibuk pasal agihan? Peserta-peserta pun tak kisah macam dia.” Kata-kata daripada pendukung kuat Pak Latif sempat singgah di cuping telinga Isa. Hari itu hanya Isa dipandang hina oleh orang-orang Pak latif. Isa tidak bersyukur. Isa asyik tidak puas hati. Isa tidak mengenang budi orang seperti Pak latif yang mengumpul peserta korban. Orang-orang Pak Latif rasa agihan sudah cukup kerana mereka mendapat bahagian yang lebih daripada cukup.

5

Dalam separuh pulih, Pak Latif dapat melihat wajah Isa, Pak Bujang dan orang-orang kampung di sekelilingnya. Hatinya amat berat. Amat berat juga kelopak matanya. Kalau ikutkan hati, dia mahu pengsan lama-lama. Dia tidak mampu untuk berhadapan dengan semua orang. Apa lagi ketika semua mangsa banjir masih berkumpul di balai raya. Di luar, bendera-bendera kebangsaan berkibar megah di sekitar balai raya kerana hujan sudah teduh.