Menerusi karya-karya fiksyen spekulatif, keberanian penulis muda bereksperimen dalam HSKU seakan cuba mencipta horizon sastera mereka yang tersendiri, sebebas mungkin bagi menghasilkan karya yang luar biasa, lari daripada aliran realisme yang telah mencetus dan mendominasi bentuk awal era sastera moden, lebih seabad lalu.

Mohd. Hanafi Ibrahim melalui tulisannya “Kecenderungan Penulis Muda Dalam Cereka” yang diterbitkan dalam buku Idealisme Penulis Muda yang diselenggarakan oleh Mohammad Saleeh Rahamad dan Luqman Hakim, cuba menganalisis tiga novel yang digunakan sebagai korpus iaitu Bukan Legasi Lalang, karya Sri Rahayu Mohd Yusop (2001), 1515 oleh Faisal Tehrani (2003) dan Versi Aria karya Mohd. Arif Mohamad.

Bukan Legasi Lalang dan 1515 berlatarbelakangkan sejarah selepas keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka manakala Versi Aria memanfaatkan sejarah perjuangan Datuk Lela menentang penjajah, untuk membangkitkan ideologi patriotisme era kini.

Bukan Legasi Lalang memenangi Pertandingan Novel Remaja HSKU 2000 yang mengambil latar masa 100 tahun selepas pertarungan klasik antara Jebat-Tuah.

“Pengarang secara langkau depan menjadikan peristiwa itu suatu peluasan peristiwa dan watak masa lalu ke dalam lingkungan milieu masyarakat masa depan.

“Apabila nasab watak hero legenda Melayu itu dikembangkan selepas 100 tahun kemudian, pengarang melakukan dialogik sejarah untuk menghindari bencana tragis bangsa itu berulang bagi mempertahankan nilai kewiraan, patriotisme dan kebenaran dalam tamadun bangsa” (Mohd. Hanafi Ibrahim 2005: 66).

Novel 1515 yang memenangi HSKU 2002 pula dihasilkan melalui ‘rekonstruksi’ sejarah Melaka pada abad ke-16 iaitu sejarah kejatuhan Melaka di tangan Portugis.

Menurut Mohd. Hanafi lagi, sejarah gelap empayar Melaka itu telah ‘didekonstruksikan’ semula mengikut acuan sejarawan Adi Famiyun dengan menampilkan ciri-ciri kewiraan Nyemah Mulia, tokoh perang Melaka yang dikatakan digelapkan oleh sejarah.

Perincian watak dan perwatakannya yang heroik itu menggunakan acuan sejarah yang direkonstruksi secara bebas dengan pentafsiran baharu dan kaedah jungkir balik.

“Seluruh peristiwa telah dirombak, menjadi fragmen dalam satu prisma sejarah. Peristiwa sejarah 600 tahun lalu dibawa merentasi lohong waktu masa lalu, kini dan masa hadapan.

“Latar zaman yang berbeza itu telah diletakkan dalam satu ayunan ‘trait’ budaya, sehingga sejarah dalam teks sastera memberi makna yang besar kepada peradaban bangsa terutama dari segi kewiraan, patriotik dan pegangan nilai agama untuk memperteguh keperibadian” (Mohd. Hanafi Ibrahim 2005: 68).

Menurut Laporan Panel Hakim Kategori Cerpen Remaja dan Novel Remaja HSKU 2002, kebebasan imaginasi dan kreativiti yang terpapar dalam 1515 bertolak daripada satu pernyataan yang ideologis.

“Semangat patriotisme jelas menunjangi teks ini. Dengan semangat itulah hakikat sejarah mengatasi fakta sejarah. Hakikat sejarah yang diungkapkan secara imaginatif mengesampingkan kebenaran sejarah.

“Kekalahan Melaka seperti diungkapkan sejarah dirombak melalui iedologi kemelayuannya dengan mencipta naratif baharu. Nyemah Mulya dibangkitkan semula untuk menawan Portugal pada tahun 1515 dan kuasa Melayu kekal di situ sehingga 1580” (Laporan Panel HSKU 2002: xxvii).

Walaupun realiti fiksyen ini tidak selari dengan realiti sejarah, kewujudannya membawa sesuatu yang lebih penting daripada kebenaran sejarah. Sememangnya dalam teks sastera, kebenaran hakiki (dalam konteks ini ideologi tengan kuasa Melayu) lebih penting daripada kebenaran fakta, sepertimana yang ditegaskan oleh Aristotle tentang hakikat sastera.

Mengikut jalur teori Aristotle, ‘sastera lebih penting daripada sejarah kerana sastera mengungkapkan kebenaran sejagat manakala sejarah hanya mengungkapkan setempat dan pada waktu yang tertentu sahaja’.

Perkembangan fiksyen spekulatif mutakhir turut mendapat perhatian Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan yang berpendapat fiksyen spekulatif bukanlah bentuk naratif baharu.

Semasa diwawancara bersama editor Tunas Cipta, Abdul Ghani Abu dan Siti Nooroisa Abd Khlil terbitan Ogos 2012, Anwar menjelaskan, senario ini bukan fenomena yang ganjil di negara ini.

Jelasnya, mungkin kebanyakan penulis remaja cenderung kepada cereka spekulatif, tetapi tidak semua.

“Fiksyen spekulatif merupakan penzahiran penerokaan dunia cereka sebebas-bebasnya bagi mengoptimumkan kesan ke atas emosi dan intelektual khalayaknya,” jelasnya.

Beliau tidak ragu-ragu dengan kemampuan dan sumbangan dua penulis muda iaitu S.M. Zakir dan Faisal Tehrani yang berada dalam kelas yang tersendiri dalam fiksyen spekulatif kerana karya mereka tidak semata-mata membaurkan fantasi dan sejarah tetapi lebih daripada itu.

“Membaca cerpen dan novel mereka, kita akan mendapat kesan kehalusan serta kepintaran mereka membaurkan elemen yang membentuk cereka spekulatif dengan begitu bersahaja, kemas dan yang lebih penting ialah merangsang emosi serta mencabar intelektual kita.

“Mungkin mereka tidak setuju dikelompokkan ke dalam golongan penulis yang menghasilkan cereka spekulatif kerana mereka mungkin ingin dibebaskan daripada istilah ini dan lebih cenderung kepada istilah yang lain,” katanya.

Biar apa pun, trend dunia sastera menjadi pegangan penulis jelas kewibawaan Utusan Melayu dalam memartabatkan dunia kesusasteraan nasional itu sendiri begitu konsisten dalam usianya yang sudah melewati 80 tahun. Tidak keterlaluan, aspirasi ini juga sesuai dengan harapan penganjuran Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) iaitu melahirkan karya ‘garda depan’ (avant-garde).