Sejak era ruangan sastera dikendalikan Wahid Kasran, Siti Rohayah Attan, Ahmad Abdul Hamid sampai ke era Ku Seman Ku Hussein, karya-karya kritik politik dan sosial adalah keutamaan saya. Ada kalanya, linggo kreatifnya sangat keras dan nada sindiran pula sangat sarkastik. Namun, MM tetap menyiarkannya tanpa suntingan.

Saya tegar menyindir dan menempelak kerajaan melalui cerpen Ronggeng Merdeka (1998), Kristal Makrifat, Selebriti & Geng 10 (2003), Alkisah Buraq si Kecil (2004), Alkisah Ular, Ular & Ular (2005), Orang Laut Selatan (2013) Naik Ke Langit Tak Reti Balik ke Bumi (2015) dan Broker Melayu Terakhir: Manderam Omi Relekun (2016).

Semua cerpen ini sangat sarkastik tetapi MM memilih untuk menyiarkannya. Malah, menerima Hadiah Utama ketegori Cerpen Umum Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU).

Sebagai penulis, saya sentiasa seorang pencamuk politik apabila berfikir soal masyarakat. Setiap kali berlaku pemberontakan perasaan terhadap politik dan amukan fikiran yang kritis terhadap kerajaan, ruangan cerpen MM menjadi pilihan utama. Saya tekun menulis dan menulis sepanjang hari dan mengirimkan segera karya-karya protes saya.

Kepuasan sebagai penulis tentunya meluap ketika melihat tersiarnya karya dengan muatan suara kritikan melalui cereka. Malah, disiarkan pula 100 peratus tanpa diedit tajuk mahu pun isinya. Itu kebanggaan dan rasa hormat saya terhadap MM. Satu perasaan manifestasi seorang penulis apabila editor menghormati suara dalam karyanya.

Sebagai penulis - ketika berkarya, ia satu proses merealisasikan mimpi. Sekali pun mimpi kreatif itu penuh dengan kemarahan dan rasa jenuh untuk menentang sesuatu. Itu resmi penulis ketika menyiapkan karya.

Lalu dimanakah pula realitinya?

Tentulah setelah melihat karya terpampang pada hari Ahad dan protesnya dikongsi bersama pembaca. Hampir 30 tahun menulis, saya sama seperti hari pertama berkarya - sangat teruja dan separuh melompat apabila karya disiarkan.

MM pernah menjadi suara kerajaan selama lima dekad. Saya pula kalau menulis cerpen, kerajaanlah yang selalu menjadi musuh untuk ditegur. Sebagai penulis non partisan - ideologi saya sangat personal. Saya mahu tidur lena pada malam hari dengan melangsaikan perasaan diri sebagai seorang rakyat. Perasaan yang memberontak dalam minda dan jiwa ketika menulis.

Sekali pun menerima 18 HSKU sejak 1992 hingga 2016, hadiah tidak pernah menjadikan saya gembira. Selama 12 tahun terpilih, saya hadir hanya tiga kali sahaja ke majlis HSKU. Tidak ada sebab yang khusus, kecuali sikap takut sekiranya budaya keraian terhadap kejayaan akan menjadikan saya mudah cuai dan lupa diri.

Cinta utama saya hanya menulis. Ruangan cerpen MM antara pilihan utama tiap kali mengirim karya. Saya obses untuk berkongsi suara karya. Bukan mengejar hadiah atau honorarium.

Sebahagian besar keperibadian saya sebagai penulis dibentuk oleh komitmen menulis dan mengirim cerpen secara konsisten dan kekal vokal dalam tema karya. Saya menyasarkan 10 cerpen tersiar setiap tahun. Sejujurnya, saya cuba kekal konsisten dengan tiga atau empat karya setahun di MM.

Namun, yang lebih bermakna ialah rasa bangga terhadap sikap MM yang menghormati prinsip sastera saya sebagai penulis. Sikap MM yang berani menyiarkan karya saya tanpa suntingan adalah sesuatu yang tidak boleh dibeli atau dibayar dengan wang.

Saya tidak menulis antara 1994 hingga 1997 kerana menjadi wartawan MM. Kemudian terhenti lagi pada 2005 hingga 2009 kerana sering mengembara ke luar negara sebagai wartawan filem dokumentari.

Namun, selama tempoh menulis, saya menikmati kepuasan kerana MM menghargai karya-karya saya. Tidak mudah untuk melihat sebuah cerpen dengan suara kritikan yang keras terhadap kepimpinan negara disiarkan pada hari minggu. Ketika sirkulasi akhbar MM melebihi 300 ribu edaran pada waktu itu.

Cerpen Pamor Beras Selerak, Alkisah Raja Ruan, Broker Melayu Terakhir dan siri-siri cerpen bertemakan al kisah atau segala jenis tajuk hantu - adalah satira yang disimbolkan kepada pemimpin dan kerajaan.

MM menerima kritik seni dalam cerpen saya, walaupun dilabel sebagai akhbar suara rasmi kerajaan waktu itu. Namun, ruangan sastera punya autonomi sendiri; mengekalkan iltizam sastera yang terbina sejak era ‘seni untuk masyarakat’.

Nilai sastera tulen MM tidak terikat dengan status politik atau kepartian akhbar itu. Saya pula kekal menulis cerpen kritik politik kerana sedar MM memiliki legasi sejarah yang panjang sebagai media suara kesasterawanan Melayu. Ruangan sasteranya dikekalkan sebagai zon kreatif untuk penulis bebas bersuara.

Saya tidak mungkin menghasilkan kumpulan cerpen pertama al Kisah (Nusa Buku 2012) yang dipenuhi cerpen-cerpen kritik politik dan sindiran sosial kalau tanpa sokongan MM. Lebih separuh daripada 30 cerpen dalam antologi itu tersiar di MM.

Orang melabel MM dengan segala macam kata-kata. Saya sebagai penulis pula melabel MM sebagai ruang bebas untuk berkarya dan menyampaikan protes kesusasteraan terhadap pemimpin dan kerajaan.

Memandangkan MM dikatakan akhbar Umno, maka saya memilih akhbar ini untuk mengkritik Umno pada waktu itu. Ia relatif dan relevan untuk komunikasi penulis dan pemimpin Umno. Walaupun sasaran utama tentulah pembaca MM.

Selama saya menulis, dan kekal konsisten mengkritik kerajaan, ada kala editor menghubungi saya - meminta saya mengkritik isu yang sedang hangat pada waktu-waktu tertentu. Itu tanda suara sastera MM kekal sebagai ruangan untuk penulis diberikan peranan untuk mengkritik isu-isu yang ada kepentingan awam.

Setelah bercuti menulis selama empat tahun, mulai 2010, saya kembali konsisten menulis. MM kekal jadi pilihan kerana dunia saya sebagai penulis cerpen bermula di situ sejak tersiar cerpen Perkahwinan pada 1992.

Dari karya picisan yang separa gelap dengan aksi meraba teman wanita di pawagam, akhirnya, sampailah ke cerpen Tatkala Idi Amin Kembali ke Afrika (2018), saya dewasa dalam karya bersama ruangan cerpen MM. Sejak 2010 hingga sekarang sekitar 25 karya saya disiarkan. Ia sangat membina keyakinan diri untuk terus menulis.

Malah, tempoh lapan tahun mutakhir ini, MM membantu pengembaraan kreatif saya untuk meninggalkan tema kritik politik dan sosial tempatan dan menuju ke tema-tema kritik politik isu politik sejagat. Saya memilih untuk fokus baharu pada tema politik dunia sebagai senjata menulis.

Sejak 1998, pada usia 31 tahun, saya menemukan fokus menulis sekitar kritik politik. Cerpen-cerpen saya cenderung dengan nuansa menyerang perlakuan nafsu-nafsi dalam sikap dan dasar politik yang merugikan rakyat. Atau, mencela watak-watak politik yang menjadi parasit bangsa.

Alhamdulilah. Saya berkembang dengan baik bersama ruang yang disediakan MM. Selain karya-karya tersiar, MM mendidik saya untuk terus kekal tajam mengkritik. Siaran satu demi satu karya adalah ‘bahasa senyap’ bahawa MM menghargai karya jenis begitu.

Saya juga membaiki gaya menulis. Kritik politik tidak boleh murahan dan polos. Ia mencemar keindahan dan nilai seni dalam cerpen. Justeru, untuk lebih gengsi, kritik politik yang keras akan lebih menarik dicerna bersama elemen humor dan satira. Atau berkonsep realisme magis yang serba simbolik tapi sangat fungsional.

Ini penting kerana editor juga mahukan cerpen tidak sekadar tajam isinya tetapi mesti berseni nilainya. Malah, tahun ke tahun, selain kritik politik setempat, saya mula merayau secara serius dalam ruangan cerpen MM dengan menulis fiksyen bertemakan isu-isu global.

Pada 2017 dan 2018, MM terus menyokong perubahan naratif dalam tema karya saya. Cerpen-cerpen berdasarkan pengalaman sebagai wartawan ketika bertugas di Palestin, Israel, Ethiopia dan Syria diberikan ruang.

Begitu juga tema-tema yang mengkritik dasar luar Amerika Syarikat, Korea Utara dan Arab Saudi serta sikap pelobi idealisme sejagat yang sengaja memusuhi Islam dalam merealisasikan agenda mereka.

Sejak dua tahun lalu, saya makin dewasa. Pada usia 50an saya mahu menjadikan MM sebagai wadah suara kesusasteraan dengan tema-tema yang sepadan dengan usia tua saya.

HSKU kekal sebagai satu simbol luar biasa dalam sastera Malaysia. Namun, saya tidak menulis kerana HSKU, tetapi kerana menghormati hubungan sentimental selama hampir 30 tahun dengan MM. Lebih 70 cerpen saya tersiar di akhbar keramat ini sejak tiga dekad lalu. Selain politik, saya juga menulis cerpen bertema remaja terutama di Majalah Wanita.

Dua cerpen saya ‘Cinta Ahmad Mutawakil’ (2002) dan ‘Segala Yang Tercinta Ada di Sana’ (2004) yang tersiar di MM menerima Hadiah Utama Cerpen Remaja HSKU dan terpilih sebagai teks Komsas Bahasa Melayu.

Selain politik, saya tekun menulis di MM dalam merakamkan kisah-kisah dunia masa kecil. Dunia kehidupan budak desa yang miskin dan mundur. Saya mahu MM berkongsi dengan pembaca momen-momen masa lalu yang makin lupus dari realiti hari ini.

Sastera wajar menjadi sinema kata-kata yang merakamkan geo sosial orang Melayu sebagai bangsa yang mundur selepas dua dekad merdeka sebelum bertukar maju sebagai bangsa yang paling aktif bermain Facebook dan bergengsi di Instagram.

Memori masa lalu yang menghasilkan Saerah Kekasih Ramadan, Cerita Akhir Tahun, Estet & Kuaters Batu 13 dan Ikran Tahyatul Akhir. Antara cerpen yang mengisar kembali dunia period desa orang Melayu. Kisah dunia kampung dan budak kecil yang membesar dalam kemiskinan.

Semua cerpen ini turut menerima HSKU bagi kategori remaja. Saya terus menulis dan menulis. Selama 28 tahun, dan dua dekad yang aktif, secara purata, tiga cerpen tersiar setiap tahun di MM.

Namun, jumlah karya dan deretan hadiah bukan impian saya. Sebagai penulis, MM adalah peluncur suara politik dan kritik sosial yang tidak akan pernah padam. Ia terus menyala kerana ruangan sastera MM mempunyai ikatan sejarah yang panjang dengan suara kritis sastera Melayu sejak era sebelum merdeka.

MM wajar kekal sebagai zon autonomi yang bebas bagi ruang sastera. Sekali gus tempat pemulis menzahirkan suara protes terhadap politik dan krisis sosial. Penulis perlu dibenarkan meneruskan perjuangan kesusasterawan yang berbenih sejak penubuhan Utusan Melayu lapan dekad lalu.

Menerima HSKU sebanyak 18 kali bukan motif saya. HSKU ialah motif MM dalam menghargai suara sastera. Kebetulan suara sastera saya ialah kritik politik yang keras dan MM meraikannya. Saya menghargai MM kerana ruangan sastera akhbar keramat ini menyediakan tempat bagi kesinambungan kesusasteraan tulen!

Bukankah sastera itu cerminan jiwa bangsa. Bukankah sastera itu cerminan untuk ahli politik melihat perangai politik mereka. Politik ialah tayar yang selalu gelong, dan sasterawan tulen tidak akan takut untuk membetulkannya.

Hubungan samada dingin atau hangat antara penulis dan kerajaan - adalah hubungan intim yang menzuriatkan kebaikan untuk negara bangsa.

Sastera dan politik barangkali tidak mungkin sehaluan. Namun, itulah jalan untuk kita semua saling menjaga negara. HSKU dan MM sudah berperanan sejak sekian lama untuk jaminan itu. Maka pastikan, jaminan itu tidak dibeli atau dijual sesiapa.

Selamat berjuang MM. Ingatlah, HSKU akan datang dan pergi. Namun, suara sastera MM harus kekal demi mewarisi perjuangan tinggalan Pak Sako, Usman Awang, A Samad Ismail dan A Samad Said yang melegasikan darah Utusan sebagai darah kata-kata untuk penulis berjuang melalui senjata sastera.