Ini kerana sastera tergolong sebagai karya seni yang menjadi tanda aras tinggi atau rendahnya sesuatu tamadun. Pada zaman ini sastera juga adalah wadah menyuburkan modal insan untuk mengemudi teknologi dan menyedarkan manusia tentang keberadaan nilai-nilai manusianya.

Sastera Melayu sebenarnya muram, terpinggir dan tidak bermaya. Ia berlegar dalam kelompok yang kecil, penerbitan karya sastera juga kecil kerana ruang legarnya kecil. Pemimpin dan masyarakat pada umumnya tidak berasa kehilangan apabila sastera Melayu semakin kecil dan terpinggir.

Mengapa Kumpulan Utusan mengambil inisiatif menganjurkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) sejak 1985 dan bukannya hadiah lain yang memercikkan kemilau dunia selebriti yang menjadi ikutan masyarakat? Mengapa memilih sastera yang terpinggir dan lesu ini? Di sinilah bezanya antara membangunkan masyarakat dan menyuntik pil.

Dalam fenomena di mana kebendaan menjadi sosialnya, jangan samakan HSKU dengan pertandingan lain yang menjanjikan hadiah beratus ribu ringgit. Ini kerana untuk melahirkan seorang Sasterawan Negara tidak sama dengan memilih pelawak untuk diberikan ganjaran yang berlipat ganda nilainya.

HSKU adalah keprihatinan besar terhadap kesusasteraan. Rumah pusaka bangsa ini mempunyai pertalian yang unik dengan gerakan massa yang berteraskan sastera pada zaman penjajah. Walaupun acara penganugerahan ini kecil tetapi Utusan Melayu percaya ia boleh menyumbang kepada gelombang kesedaran terhadap peri pentingnya kesusasteraan kepada masyarakat.

Kelangsungan HSKU menjangkau tahun ke-34 membuktikan usaha merakyatkan sastera terus relevan pada semua zaman. Selagi manusia mahu nilai kemanusiaan dijadikan penanda arasnya, selagi itulah sastera memainkan peranannya. Perjuangan sasterawan dan wartawan menuntut kemerdekaan jauh lebih awal daripada lahirnya pergerakan politik bernama UMNO pada 1946. Sastera adalah wadah perjuangannya.

Utusan Melayu diperbadankan di Singapura pada tahun 1938 dan menerbitkan akhbar pertama pada 29 Mei 1939. Detik itu bermulakan perjuangan menggunakan kewartawanan dan kesusasteraan bagi meniup semangat kebangsaan. Keberadaan Utusan Melayu di barisan depan perjuangan kebangsaan itu juga yang menggerakkan pergerakan massa hingga terbentuknya Kongres Melayu.

Pengarang pertama Utusan Melayu, Rahim Kajai yang bukan sahaja wartawan malah sasterawan. Beliau mendapat jolokan Bapa Cerpen Melayu kerana ketajaman tulisannya sebagai wartawan sama hebatnya dengan ketajaman menulis cerpen. Kajai telah menyediakan landasan yang diikuti oleh wartawan lainnya yang berpayung di bawah Utusan Melayu.

Memetik buku Wajah; Biografi Penulis Melayu, daripada 100 orang penulis dalam senarai awal penulis Malaysia, 33 orang datangnya daripada Utusan. Antara mereka adalah wartawan yang mengembangkan jalur penulisan dalam kesusasteraan untuk meniupkan kesedaran kebangsaan.

Nama-nama seperti Keris Mas, Usman Awang , A. Samad Said, A Samad Ismail, Jymy Asmara, Ahmad Boestamam, Salmah Mohsin, Zaharah Nawawi, AS Amin, Abu Zaki Fadhil, Adi Mas, Alias Ali, Mohamad Dahlan Hj Masud (Hamdam), Harun Hassan, Ilias Zaidi, Ahmad Lufti, Khatijah Hashim, A. Shukor Harun, A.R. Kamaluddin, Atondra, Awam Il Sarkam, Hamzah Hussein, Ibrahim Omar, Baharuddin CD, Ali Hj Ahmad (Nora) dan Zahari Affandi, Johan Jaaffar adalah antara wartawan-sasterawan yang dimiliki oleh Utusan Melayu.

Maka tentulah tepat sekali apabila Utusan Melayu memperkenalkan HSKU pada 1985 kerana di organisasi inilah lubuk perjuangan kesusasteraan. Sejak 1985 kecuali tahun lalu, HSKU tidak pernah hilang daripada kalendar. Sepanjang penganjurannya HSKU mendapat sokongan yang cukup kuat dalam kalangan sasterawan, yang baharu atau sudah mencipta nama.

Begitu juga sokongan daripada pihak korporat misalnya Public Bank, Exxon-Mobil, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan beberapa lagi untuk menaja HSKU yang tidak berkonsep kemilau. Ini suatu perkembangan yang baik terutama untuk program yang tidak berkonsep popular.

Penerbitan yang paling dominan dalam HSKU adalah Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman (Jawi). Selepas Utusan Zaman dihentikan, Mingguan Malaysia menjadi satu-satunya ruang kepada penulis cerpen dan puisi. Penyiaran karya dalam Utusan Malaysia tidak pernah dibayangi oleh faktor-faktor di luar karya misalnya kedudukan dan pangkat individu.

Layanan untuk mendapat ruang penyiaran tidak ada bezanya antara seorang Sasterawan Negara dengan penulis baharu tetapi mempunyai kekuatan yang luar biasa dalam karyanya. Tetapi maksud ‘baharu’ itu bukanlah baru belajar menulis. Cerpen dan puisi Mingguan Malaysia mempunyai tanda aras tersendiri.

Mingguan Malaysia bukan tempat penulis yang baru mencuba-cuba. Tetapi ruang untuk penulis yang sudah terbina arah pemikirannya sekalipun usianya masih muda. Untuk mencuba-cuba dengan menggunakan nama pena yang entah apa-apa, Mingguan Malaysia bukan tempatnya. Bunyinya agak angkuh tetapi inilah hakikatnya. Dan seharusnya inilah tanda aras Mingguan Malaysia.

PENULIS adalah bekas Pengerusi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU).