HSKU bukan baharu. Sudah 32 edisi direntasinya, bermula 1986 dengan jaya. HSKU sudah merentasi semua liku-liku yang dialami semua bentuk pemberian hadiah karya kesusasteraan di tanah air. Dilihat dari sudut usia kedewasaan ini, HSKU tampaknya ingin terus bertahan. Ini tentunya didukung idealisme Kumpulan Utusan sendiri yang terpanggil memberikan makna dan nilai yang besar kepada kesusasteraan bangsa.

HSKU telah banyak berjasa. Pertama, mengangkat banyak hasil penulisan pengarang kita ke tahap yang lebih cemerlang. Karya yang baik; dalam pelbagai genre, novel, cerpen, puisi dan rencana sastera diberikan pengiktirafan. Ada yang dijadikan teks dalam kurikulum persekolahan. Karya yang sudah dinilai rapi itu setuntasnya berada di tengah masyarakat kerana kita perlu melestarikan warisan ini.

Kedua, meletakkan kedudukan pengarang tanah air. Banyak pengarang lahir, muncul dan menjadi ternama melalui wadah HSKU ini. SN Shahnon Ahmad (Allahyarham), SN Zurinah Hassan sekadar contoh masih diingat karya-karya mereka yang memenangi HSKU suatu ketika dahulu. Zahari Affandi dan Azizi Abdullah, contoh yang lain.

Dengan yang demikian, HSKU perlu terus ada dalam menyemarakkan kesusasteraan kita. Penilaian pada tahun ini (karya tahun 2017) masih memikul idealisme ini. Panel difahamkan terus tekun menelaah karya yang diserahkan kepada Sekretariat HSKU. Mudah-mudahan, majlis yang dijangka Februari 2019 akan berlangsung dengan meriah dan sempurna.

HSKU sebagaimana lazimnya meneruskan penilaian berdasarkan kriteria dan skop penilaian yang khas. Seperti yang disebutkan di atas, setiap karya yang terbit dalam media Kumpulan Utusan akan dinilai. Ada kategori baharu sebenarnya, iaitu Kategori Cerpen Media Baharu yang baru sahaja diperkenalkan pada edisi HSKU 2016 lalu. Kategori ini khusus untuk karya yang memuatkan idea media baharu dalam cerpen yang dihasilkan. Karya corak ini relatif baharu, iaitu kesan penggunaan pelbagai media yang sangat erat dengan kehidupan masa kini seperti Facebook, Instagram, WhatsApp termasuk penggunaan pelbagai gajet dan media canggih yang meninggalkan impak kepada kehidupan.

Agak menarik sumbangan karya jenis ini kepada khalayak. Memang ada yang cuba menggembleng idea untuk menghasilkannya. Namun, sayang sedikit kerana kebanyakan penulis lebih cenderung menyebut atau menyenarai gajet-gajet yang ada tanpa memperlihatkan apa-apa signifikan penggunaan gajet untuk tujuan yang lebih membanggakan. Karya yang dicari panel adalah karya yang memperlihatkan perkaitan media ini dalam segala jurus kehidupan. Sesebuah cerpen yang beberapa kali menyebut Facebook dan membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima sudah tentu belum cukup untuk dilihat sebagai cerpen media baharu!

Demikian, kategori Rencana dan Kajian Sastera. Ada di sana sini kekurangannya. Dari segi jumlah, rencana dalam media Kumpulan Utusan memberangsangkan, ada pertambahan penulis dan ini membanggakan. Namun kebanyakan penulisan yang dikategorikan sebagai rencana masih berlegar-legar dalam isu yang serupa.

Masih banyak kedapatan karya yang berkisar tentang peristiwa. Ia lebih berupa sorotan kegiatan-kegiatan tertentu, seumpama acara deklamasi puisi, yang sudah dikira terlalu kerap ditulis orang, sudah klise. Rencana yang bersifat pandangan-pandangan baharu seputar perkembangan kesusasteraan tampaknya semakin sukar dicari atau diperoleh. Dalam hal ini, panel berpendapat sedikit sukar untuk mengangkat karya yang lebih membawa faedah kepada khalayak pembaca khasnya dari segi membantu memperluas kegiatan penulisan yang meninggalkan impak diskusi dan perdebatan yang mendalam.

Kategori Novel Remaja merupakan satu-satunya kategori yang memerlukan penulis mengajukan manuskrip kepada Sekretariat HSKU. Ertinya, manuskrip merupakan karya baharu, belum pernah terbit dan diajukan untuk tujuan penilaian oleh barisan panel. Membanggakan, HSKU dari setahun ke setahun menerima jumlah penyertaan yang kian meningkat, tidak pernah surut. Demikian tahun ini, panel khabarnya menerima sejumlah 36 buah manuskrip untuk dinilai.

Lebih membanggakan, apabila pengarang yang pernah menyertai HSKU mengulang hantar manuskrip untuk dinilai. Pengarang yang pernah memenangi HSKU juga berulang kali memenangi hadiah yang ditawarkan. Jauh lebih membanggakan, skop idea karya novel remaja yang diajukan memperlihatkan peningkatan subjek cerita dari semasa ke semasa. Penulis tampaknya tidak pernah kering dalam soal menggeledah idea untuk diketengahkan. Sesungguhnya manuskrip yang diterima pada tahun penilaian 2017 ini khabarnya masih sangat mengujakan!

Apakah hadiah kali ini berulang lagi kepada karya Husna Nazri, Maskiah Masrom dan Zainal Rashid Ahmad? Karya Zain Idris Al-Tobiari juga kuat, bagaimana Fahd Razy atau sahaja S. M. Zakir. Raihani Mohd. Said selalu memenangi HSKU. Apakah karya mereka masih mampu bertahan? Bagaimana pula Siti Jasmina Ibrahim, Hafizah Iszahanid, Azman Ismail, Saifulizan Yahya yang pernah dinobatkan selaku pemenang sebelum ini? Dalam Kategori Novel Remaja, tentulah ditunggu-tunggu sama ada Sri Rahayu Mohd. Yusop terus menyertai. Husna Nazri yang beberapa kali memenangi hadiah utama, apakah ada karya terbaharunya. Demikian Salina Ibrahim yang pada penilaian HSKU 2016 melalui novel Khilaf terus berada di puncak atau muncul beberapa nama lain yang tidak disangka-sangkakan sebelum ini?

Demikian, senario umum HSKU dari dahulu sehingga kini. Telah 60 buah antologi cerpen, sajak, kajian dan rencana sastera serta cerpen remaja terbit, 88 buah novel remaja dihasilkan dan telah menjengah pembaca, HSKU sesungguhnya memberikan satu makna yang besar kepada dunia kesusasteraan kita. Lantaran ia dilihat terus relevan, lalu HSKU wajar dipertahankan!