KETIKA nasib kesusasteraan Melayu terpinggir dalam sistem pendidikan negara atau menjadi isu dalam kancah keegoan bidang sains tulen berbanding bidang sains sosial dalam dunia akademia menara gading, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) masih dilihat unggul dalam medan kesusasteraan tanah air. HSKU yang menjangkau usia lebih tiga dekad itu, malah dianggap antara anugerah kesusasteraan berprestij negara telah meletakkan namanya sebaris dengan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Penganjuran yang berterusan sejak 1985 itu secara langsung turut berjaya melahirkan ratusan penulis serta dapat mewarnakan pemikiran baharu dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Malaysia.

Salah satu fungsi HSKU adalah sebagai pengiktirafan kepada karya sastera. Justeru, secara sedarnya bermakna HSKU selama ini berjaya menjadi pendorong kepada pengarang dan karyawan agar dapat menghasilkan karya bermutu tinggi serta dapat menyerlahkan keunggulan akal budi dalam mencerminkan pemikiran bangsa. Adalah benar bahawa, anugerah atau hadiah bukan segala-galanya bagi seseorang pengarang namun pengiktirafan ini tetap menjadi lambang terhadap penghargaan karya yang baik, indah dan bermutu tinggi hingga mampu menarik perhatian khalayak sekali gus dapat meninggalkan kesan mendalam kepada minda pembaca. Karya yang baik itu juga seterusnya mampu menyeberang sempadan budaya atau batas negara. Novel Salina karya A. Samad Said, Penyeberang Sempadan karya Anwar Ridhwan misalnya lahir daripada sebuah sayembara dan kini berjaya menjadi karya yang mula mendapat pengiktirafan dunia. Begitulah harapan murni HSKU iaitu ingin menjadikan karya terbaik itu bukan sekadar diiktiraf tetapi turut dikenali oleh masyarakat dunia.

Kelahiran HSKU dalam persada kesusasteraan tanah air secara sedar atau tidak sebenarnya telah membuka ruang kepada pengarang untuk bereksperimen juga menjadi kayu ukur kepada takah kekuatan teks pengarang mapan. Percambahan dan pertembungan idea pengarang dalam karya yang diterbitan oleh Utusan Melayu ini mampu memperlihatkan sejauh mana seriusnya proses penciptaan. Hal ini membuktikan pengarang bukan sahaja berjaya menzahirkan persaingan sihat yang akhirnya dapat menetaskan mutu karya yang baik, tetapi lebih jauh daripada itu ialah menjadi jurubicara masyarakat dan zamannya yang sedang berhadapan dengan tekanan hidup. Walaupun pandangan atau pemikiran pengarang sangat berbeza ketika mengetengahkan pemikiran itu tetapi perbezaan ideologi, teori, wawasan, hasrat, perjuangan, tahap pendidikan dan genre itu akhirnya akan menemukan kesatuan hasrat iaitu ingin menjadikan HSKU benar-benar berada pada paksi tersendiri.

Kehadiran HSKU tidak wajar dilihat sebagai bonus atau pemberi rezeki durian runtuh kepada pengarang tetapi kewujudan HSKU lebih penting dalam usaha memancarkan wajah keunggulan teks dalam cita-cita melahirkan karya ‘garda depan’ (avant-garde). Anugerah tetap anugerah tetapi tidak maknanya anugerah sekiranya semua karya yang dinilai oleh panel HSKU itu sekadar menerbitkan karya tanpa berpijak kepada kualiti, nilai dan keindahan teks.

Seperti yang dimaklumi, HSKU adalah sayembara yang menilai karya puisi, cerpen, novel remaja dan esei kritikan. Tentunya dalam usia lebih tiga dekad itu, tahap pemikiran menjadi keutamaan dalam ukuran kematangan proses kreatif dan mutu karya yang sering dikaitkan sebagai produk kreatif seseorang pengarang. Jika hal ini diambil kira, maka HSKU telah berjaya memainkan sumbangannya ke arah penghasilan karya yang bermutu. Maknanya, penerbitan Utusan bukan sahaja telah menambah jumlah penerbitan teks sastera sebaliknya lebih daripada itu ialah usaha melahirkan karya berkualiti untuk dihidangkan kepada pembaca waima peminat sastera tanah air. Demikian juga dalam usaha melahirkan pengarang pelapis yang kian mengecil jumlahnya.

Dalam konteks HSKU ini, karya sedemikian telah dapat merealisasikan aspirasi negara ke arah pembentukan bangsa yang berjiwa besar. Inilah jasa Utusan Melayu kepada dunia kesusasteraan tanah air.

Dalam pada itu usaha murni HSKU ini telah menemukan satu rumusan iaitu puisi, cerpen, novel dan esei kritikan yang diterima mengandaikan pengarang Malaysia masih selesa dengan tema dan persoalan yang berjungkir balik atau dekat dengan persekitaran. Panel mendapati, percubaan pengarang mencari pembaharuan dan kekuatan yang lebih besar dalam menghasilkan karya tidaklah serancak yang diharapkan. Pengarang seakan-akan sangat selesa dengan teknik yang lumrah, mendatar dan ada yang terlalu didaktif, kurang menimbulkan kesan polemik, kurang menghidupkan budaya mengkritik hingga teks yang dihasilkan itu berada dalam ruang lingkup tidak boleh melepasi tahap superego nilai teks atau kurang subur dalam konteks proses berkreativiti.

Meskipun kenyataan ini terpaksa ditelan dengan rasa penuh kesedaran muhasabah tetapi ada beberapa persoalan yang timbul. Persoalan tersebut, adakah para penulis kita masih belum benar-benar menguasai teknik penulisan? Adakah mereka terdiri daripada golongan penulis muda yang baru menceburi bidang penulisan, yang masih meneroka dan mencuba bentuk pengucapan seni? Atau adakah mereka sebenanya sudah lama bergiat tetapi kurang memberi perhatian untuk meningkatkan mutu penulisan mereka? Bolehkah kelemahan penguasaan teknik menulis itu menjadi cerminan tamadun kepengarangan itu sendiri? Persoalan-persoalan ini perlu dirungkai atau perlu dijawab dalam tulisan lain serta terbuka untuk ditanggapi oleh sesiapa sahaja.

Pengiktirafan HSKU kepada pengarang Malaysia pada hakikatnya adalah untuk menjadikan para penulis sebagai jurubicara dan pembentuk masyarakatnya. Albert Camus, misalnya, menganggap seniman atau penulis sebagai `saksi dan suara bagi mereka yang tidak dapat berbicara. Justeru, apa yang harus dijelmakan oleh pengarang sastera adalah melahirkan sentuhan yang besar dalam menyelesaikan masalah baharu yang muncul dalam kehidupan serba mencabar. Jika kesusasteraan benar-benar memenuhi peranan ini, tentunya pengarang dapat menyelesaikan kekeliruan yang ditimbulkan oleh sejarah, masalah kehidupan yang alami dan kelahiran semula falsafah.Yang pasti, jika HSKU sudah bersedia menjadi wahana pengiktirafan maka sudah sampai masanya pengarang Malaysia menghasilkan karya sastera yang dapat mencerminkan realiti hidup dan jiwa masyarakat Malaysia baharu. Tentunya dalam konteks ini HSKU akan terus melahirkan karya yang dapat meningkatkan pencapaian mutu dan ajak budi kehidupan pengarang itu sendiri.