“Dato’, Assalamualaikum.”

“Wa’alaikum salam ...”

Kedengaran suara yang asing sekali. Eh, ini bukan Dato'!

Suara Dato' lemak-lemak. Terbayang-bayang kalau Dato' berkaraoke. Kalau dia menarik bait-bait lirik Angin Malam. Kalau tak dipandang muka, sekadar mendengar suara, tentu sahaja orang menyangka yang melantunkan lagu itu ialah Broery Marantika. Tidak, itulah dia Dato' Hussin – pelabur hartanah terulung. Juga, pemaju bumiputera nombor wahid!

“Encik Shamsul ya? Dari Prosperity Property ...”

“Ya, betul. Siapa di sana? Dato' Hussin di mana?”

“Akmal, saya anaknya. Yang duduk di Australia.”

“Baik...” Saya termangu-mangu. “Tapi, Dato' di mana?”

“Dato' sudah pergi!”

“Pergi ke mana pula?”

“Meninggal, awal pagi tadi!”

Ah, aku hampir terpelanting!

Puing-puing kenangan bersama lelaki separa baya itu pun bergulung-gulung datang, bak ombak petang. Meskipun antara aku dan Dato' tidaklah setara – iyalah, dia merak kayangan, sedangkan aku pipit melukut di rimba – tetapi lelaki itu sangat merendah diri, dan mudah mesra. Kami jadi rakan perniagaan yang kamceng!

Entah berapa banyak tanah rimba yang Dato' minta aku carikan. Dibelinya, disimpannya. Kemudian, di kala rimba raya tadi sudah siap menjadi kota batu, dibangunkan tanah itu menjadi rumah-rumah kotak merpati. Itulah modus operandi kekayaannya. Dan itulah tali yang menyambung persahabatan antara merak gagah dan pipit kerdil.

Dan pagi ini, belumpun sempat burung keluar sarang, cacing keluar lubang, Akmal – namanya ada melintas sekali dua di bibir bicara Dato' Hussin – bawa berita halilintar, Dato' Hussin telah kembali kepada Tuhan-Nya!

“A ... Akmal, aa .. apa yang boleh saya bantu?”

Kekejutan membawa kegagapan. Bicaraku menjadi terbata-bata. Tiba-tiba. Sebetulnya, seluruh jasadku masih terpetir dek berita maha dahsyat.

“Encik Shamsul, tolong saya carikan tanah.”

“Tanah apa?”

Aku jadi bingung. Sangat!

Apa gila agaknya anak Dato' Hussin yang seorang ini. Tatkala ayahandanya baru terkejang di perbaringan kematian, diragut nyawanya oleh Izrail, dia masih haloba ingin membeli tanah lagi. Apa punya anak ini!

“Benar Encik Shamsul, saya telefon ni, nak cari tanah ...”

Aku tarik nafas. Meski jiwa berbalut geram, tetap sahaja tenang menjawab. “Berapa ekar? Projek high rise juga? Mahu yang freehold atau leasehold? Atau cukup dengan Rezab Melayu sahaja?”

Teringat zaman berdagang dengan Dato’!

Puncak Alam masih tempat jin tertendang. Dato’ adalah antara beberapa orang terawal yang menyambar tanah-tanah di sana. Masa itu, harga satu ekar tanah tak sampai pun seratus ribu. Sekali beli, berpuluh ekar. Akulah tukang mencarikan tanah untuk Dato’. Pegawai-pegawai di pejabat SUK dan pejabat tanah semua kenal aku – itu runner Dato’ Hussin!

Masa itu, mana ada jalan raya dua lorong seperti sekarang – Persiaran Mokhtar Dahari, dan sikit waktu lagi akan naik taraf sebagai Damansara – Shah Alam Highway. Cahaya SPK, Kayangan Heights, Alam Budiman, itu semua ... jangan bermimpi! Masa itu, kalau dari Shah Alam ke Batu Arang, orang pun berfikir sepuluh kali. Apatah lagi, kalau malam hari. Kerja gila!

“Encik Shamsul ...”

“Ya, ya ...”

“Saya hanya mahu carikan tanah kubur buat Papa!”

Oh Tuhan!

Akar fikirku tersasar jauh. Aku sangkakan budak Akmal ini ingin mencari tanah berekar-ekar. Seperti bapanya. Rupanya hanyalah sekeping tanah kubur!

“Bukan yang saiz berekar-ekar, Encik Shamsul. Cukup sekadar muat keranda. Lebih sedikit dari tujuh kaki kali tiga kaki saja ...” Pinta Akmal. Suaranya jelas terlantun pasrah.

“Tanah kubur di Ampang itu sudah penuhkah? Tak adakah setakat kubur Dato’?” Tukas aku. Terkebil-kebil, terfikir-fikir.

“Kata Pak Saad driver, Papa bukan anak kariah Ampang. Tidak dibenarkan ...”

“Sudah tanyakan kubur Perdana Height?”

“Perdana Height khusus untuk Tan Sri saja.”

“Apa?! Biar benar.”

“Betul, Encik Shamsul! Kata mereka, tanah perkuburan Perdana Height untuk Tan Sri dan Puan Sri. Uphill Height pula untuk golongan Tun dan Toh Puan ...”

“Habis tu, bagaimana dengan kubur untuk Dato’ atau rakyat marhaen? Di mana nak dicampak mayat mereka?” Sebal aku. Undang-undang rimba mana yang digunakan ini? Aku sangka, hidup di dunia saja yang punya darjat kasta. Rupanya tanah kubur pun sekarang ini sudah berpangkat-pangkat. Jahanam!

“Kata mereka, pandai-pandai cari sendiri! Tolong saya, Encik Shamsul. Saya bukannya orang sini. Hidup saya lamanya di Melbourne. Di sini serba-serbinya tak tahu. Tiada kenalan. Hanya Encik Shamsul yang boleh saya harapkan sekarang. Bantu saya, Encik Shamsul.

“Lagipun Encik Shamsul broker tanah yang terhandal di Kuala Lumpur ini. Saya bukan mahu tanah berekar-ekar pun. Cukuplah habuan susuk jasadnya Papa. Ini fardu kifayah, Encik Shamsul. Kalau tak dikebumikan jenazah Papa, sekampung kita menanggung dosanya.”

Ya, memang aku broker tanah terhebat di Kuala Lumpur ini. Sebut sahaja Shamsul, empunya agensi hartanah Prosperity Property ... semua orang angkat topi. Aku jagoan terbilang. Jual beli hartanah, itu makanan harian. Tanah kecil dan tanah besar. Tanah hilir dan tanah hulu. Tanah rimba, dan tanah kota. Semuanya aku tibai belaka!

Tetapi ... itu semua kes jual-beli tanah pembangunan. Kes membeli tanah kubur, belum pernah terjadi. Pening, pening!

“Apa susah, simpan sahajalah di Puncak Alam. Dato’ ada banyak tanah di sana. Saya yang uruskan pembeliannya dulu. Bukan setakat untuk sebuah kubur, beribu-ribu kubur pun boleh muat.”

“Encik Shamsul mungkin dah terlepas pandang. Tanah Puncak Alam tu sudah ada perjanjian joint venture dengan Mercu Development. Projek bandar baharu, Shah Alam Kedua. Jadi tanah di sana sudah ada kaveat.”

Aku tergaru-garu kepala yang tak gatal!

“Cyberjaya ada 30 ekar.”

“Dah jual semuanya kepada universiti UK.”

“Eh, iyakah? Nilai 3?”

“Zaman meleset 2008, Papa sudah cagar dengan bank. Langsung tergadai.”

Pantas Akmal menjawabnya. Nampaknya, meskipun dia duduk berjauhan dari ayahnya, dia tahu serba-serbi tentang pusaka Dato’ Hussin. Baru aku teringat, Dato’ Hussin ada bercerita dahulu, anak sulungnya menjalankan perniagaan pembinaan hotel dan resort mewah di Australia. Padanlah dia tahu serba-serbi!

Aku usulkan lagi. “Jalan Stonor, sebelah kedutaan Jepun.”

“Encik Shamsul, tanah empat ekar tu dah lama dijual. Syarikat GreenEco sedang naikkan kondo 40 tingkat pun. Tahun depan serah kunci.”

“Tanah-tanah sawit di Negeri Sembilan dan Pahang. Kota Tinggi pun ada. Kalau nak lebih besar, Kundasang, Sabah. Seribu ekar lebih.”

“Tak boleh! Tak boleh! Wasiat Dato’ sebelum dia tutup mata, jenazahnya biarlah dikebumikan di Lembah Klang. Katanya, senang anak cucu nak menjenguk.”

Aku mati akal!

Mana lagi, mana lagi?

Aku terdiam.

Saat itu, sesal pun datang bertimpa-timpa.

Pernah beberapa kali juga, meskipun dalam gelak berjenaka aku usulkan agar Dato’ Hussin belikan sekeping dua tanah, wakaf sebagai tanah kubur, Dato!

“Aku masih muda lagi, Shamsul. Nantilah aku beli tanah kubur. Sekarang masa untuk kita buat duit. Apabila duit sudah banyak, kita boleh buat kubur orang kaya macam Nirvana,” balas Dato’, ketawa pecah perut. Entah di mana lucunya, pelik aku!

Di waktu yang lain, Dato’ pernah dapat tawaran untuk membeli tanah di Kampung Abdullah Hukum. Aku usulkan lagi – jadikan tanah kubur, Dato’!

“Dato’, di sini kawasan orang Melayu susah-susah. Apa kata, Dato’ wakafkan sahaja tanah ini untuk dibuat tanah kubur. Buat kebajikan. Sekarang, tanah makin sedikit. Orang berduit macam Dato’, berlumba-lumba buat rumah besar, konon nak hidup lama di dunia. Dia tak ingat, entah berapa kali malaikat maut melawatnya setiap hari.”

Tunak dipandangnya aku. Merah merona tampangnya. “Shamsul, sia-sia kau berkawan dengan hartawan Dato’ Hussin. Tidur sebantal, makan sepinggan dengan aku. Aku sangkakan broker tanah sebijak kau pandai menilik masa depan, rupanya sangkaan aku meleset. Tak boleh pakai!” Ditepuknya bahu aku. Meskipun kata-kata Dato’ sekadar seloroh, aku tetap terasa hati.

Dalam senyum sinis, jutawan itu sambung bicara. “Kawasan ini, Shamsul, sedikit hari lagi akan dibangunkan gedung perniagaan terbesar di Malaysia. Kawasan ini akan dihubungkan dengan laluan kereta api bawah tanah, atas tanah dan atas kepala. Akan ada kereta api laju, kereta api kurang laju, dan kereta api perlahan. Orang timur, orang utara, orang selatan, semuanya akan bercantum di sini. Tanah kita ini akan jadi pisang panas, Shamsul. Wang besar, Shamsul, wang besar. Kita akan jadi multi millionaire, Shamsul. Waktu itu, bukan lagi kubur. Bapa kepada tanah kubur pun kita boleh beli, Shamsul.”

Itu cerita hujung 90-an. Zaman itu, jangankan bermimpi kereta api atas kepala, projek komuter Port Klang – Batu Caves dan Seremban – Tanjung Malim, pun baru beberapa tahun sahaja bermula. Mid Valley pula, waktu itu belum terlintas di pucuk akal orang-orang berniaga.

Tak ada orang menyangka di atas tanah Kampung Abdullah Hukum ini kelak akan berceracak bangunan-bangunan penongkat langit Tuhan. Kampung Abdullah Hukum kala itu, adalah kampung becak, rumah setinggan, tiduran para gelandangan dan terbina dengan imej kawasan hitam. Senang cerita, Kampung Abdullah Hukum itu betul-betul kampung, sesuai dengan namanya.

Ah, cerita lama. Sesal yang tak memberi erti.

Alangkah, alangkah, alangkah bagusnya jika aku betul-betul serius mendesak Dato’ waktu itu. Dato’ Hussin, walaupun hatinya keras, cakap bicaranya jarang yang boleh dibangkang, tetapi, kalau dipujuk baik-baik, mulus-mulus, boleh dibawa berbincang juga orangnya.

“Macam mana, Encik Shamsul? Kita kesuntukan masa. Wartawan sedang menunggu di luar Prince Court. Mereka nak tahu ke mana nak ke mana nak dibawanya jenazah Papa. Encik Shamsul mesti tolong saya. Encik Shamsul broker tanah yang hebat. Mesti Encik Shamsul punya jaringan orang besar-besar yang boleh membantu.

“Juga, Encik Shamsul banyak kenal dengan orang yang banyak tanah. Kawan-kawan Papa juga dulunya. Yang sama-sama bermain golf hujung minggu, atau sama-sama meneguk kopi Amerika. Mungkin boleh ditanyakan kepada mereka. Bukan tanah besar pun yang dipinta, Encik Shamsul. Cukup sekadar sebuah lubang kubur. Kalau susah-susah sangat, saya beli sahaja. Yang pentingnya, ada tempat buat disemadikan jasad Papa. Yang penting, mesti di tengah kota, seperti wasiat Papa. Tolong, Encik Shamsul!”

Hati aku menjadi luluh mendengar rayuan Akmal.

Anak mana yang tak gulana apabila jasad itu masih terkujur. Entah bumi manakah yang sudi menerima tubuh ayahanda kecintaan. Benarlah orang kata, sekaya mana pun hidup kita, kelak mati, kepada bumi kita dikembalikan. Maka itu, sebaik-baik manusia, sekaya-kaya manusia, biarlah ketika hayat masih dikandung badan lagi, hidup biar menunduk, hidup biar merendah diri. Hidup biar beringat. Telah Allah ciptakan anak Adam itu daripada tanah, dan kelak dia kembali kepada tanah jua. Maka, ingat-ingatlah!

Meskipun, antara aku dan Dato’ Hussin bukanlah siapa-siapa. Kami hanyalah rakan berniaga cuma. Tetapi, bila sudah terjadi seperti sekarang, aku turut menumpang hiba. Saat itu, terbayang-bayang, bagaimanalah kiranya yang terkujur tak bernyawa itu adalah aku. Yang mencari tanah untuk dibumikan itu adalah anak-anak aku. Oh Tuhan, apalah kiranya nasib aku waktu itu?

“Akmal, seingat saya Dato’ ada sekeping tanah di Kampung Tunku. Belum diapa-apakannya.”

Tak tunggu lama, anaknya bingkas membalas. “Saya tahu, saya tahu. Dua ekar setengah, bukan? Tak jauh dari sekolah. Betul-betul bersebelahan dengan Masjid Orang Kaya.”

“Ya. Ya. Apa kata kalau dikebumikan di sana.”

“Tetapi ...”

“Jangan ditapi-tapi lagi, Akmal.”

“Jujurnya, saya sedang berkira-kira untuk mendirikan banglo di situ. Mungkin dalam setahun dua lagi, saya akan pulang ke Malaysia. Sudah tak betah berlama-lama merantau di tanah orang. Cadangnya nanti di situlah saya nak buat rumah buat berteduh. Masjid pula sebelah rumah.”

Aku diam. Seketika. “Saya mahu berikan nasihat yang terakhir. Kalau mahu dengar, silakan. Kalau tak mahu, terpulanglah. Kamu boleh mencari orang lain.”

Kali ini bernada lebih tegas. Sudah tiada tolak ansur.

“Ya, Encik Shamsul. Silakan.”

“Akmal, saya pemain hartanah. Dan saya tahu benar berapa harganya tanah di Kampung Tunku itu. Berjuta ringgit nilainya. Memang tanah di sana menjadi rebutan ramai orang. Tetapi, Akmal, dengar pesan saya baik-baik! Manakan sama nilaian tanah di dunia kalau nak dibandingkan dengan nilai tanah buat menuju akhirat. Sekaki tanah dijual kepada manusia, mungkin harganya ratusan ringgit. Tetapi, kalau tanah sekaki itu diserahkan buat agama Tuhan, balasan syurga Tuhan itu tentu tak ternilai.

“Cadangan saya, apalah kiranya kalau tanah Kampung Tunku itu kamu wakafkan untuk dijadikan tanah kuburan. Niatkan wakaf itu di atas nama papamu. Tentu pahala mengalir buatnya, sampai bila-bila. Dan, di sana jugalah rumah persemadian papamu. Biar dia tenang-tenang sahaja, sampai hari kebangkitan.”

  • Cerpen yang disiarkan adalah rekaan semata-mata. Setiap watak, tempat dan masa tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau meninggal dunia. Sekiranya ada persamaan itu hanyalah kebetulan.