“Hai tak balik lagi, suami mana?“ Rakan niaga depan khemahku mula bertanya. Barang jualannya sudah separuh naik ke lori. Aku hanya terkebil-kebil.Sekejap-sekejap mataku berlari ke arah jalan masuk ke pasar, mengharap van berwarna putih mendarat naik ke lapang sasar tapak jualan.Tetapi hanya debu kering mengerewang naik ke udara ditiup angin panas mengibarkan panji kesabaranku yang kian garing.

“Tunggu bos. Bos balik rumah kejap,” jawabku menyakinkan diri sendiri. Aku seperti tidak pasti dengan jawapanku. Sudahlah pagi tadi, ditinggalnya aku semata-mata hendak temankan pak cik Rauf menghantar kereta ke bengkel. Nasib baik tidak lama. Nasib baik pelanggan tidak berapa ramai semasa peninggalannya. Nasib baik aku ini, bolehlah dikategorikan cekap juga melayan kehendak pelanggan. Nasib baik, tidak ada pelanggan yang menjengkelkan. Semuanya masih bernasib baik.

“Bila kita tolong orang, nanti orang akan tolong kita.” Jawapan yang cukup menginsafkan dari bibir nipis suamiku. Sering sangat suamiku meninggalkan kerja-kerjanya apabila pak cik Rauf telefon. Kadang-kadang alasannya cuma mahu menemankan orang tua itu membeli barang dapur. Bukannya lelaki berusia 87 tahun itu tidak ada anak menantu tetapi suami aku juga yang dia berkenan untuk dijadikan penemannya. Agaknya sudah takdir. Begitu aku mententeramkan diriku sendiri.

“Hati-hati kak. Nak kami tunggu tak sampai suami akak datang?” Wanita berkulit putih itu mengambil giliran bertanya selepas suaminya. Nampak betul mereka ambil berat. Takkanlah aku hendak korbankan masa mereka semata-mata untuk sama-sama menunggu suamiku. Dahlah isterinya itu sedang berbadan dua. Buatnya, suamiku terlajak lambat macam mana.

“Tak payah! Apa nak ditakutkan. Bukannya malam,” aku cuba mencipta gelak. Dalam hati sebenarnya ada tangisan yang panjang melilit serpih duka yang terpaksa aku khatamkan sendiri.

Hari ini, suamiku..., dua kali buat hal. Sudahlah perut aku ini asyik meragam sejak pagi. Kadang-kadang rasa macam hendak menjerit atau berlari keliling khemah pun ada, biar tanggal segala tekanan yang melekat.Nasib baik aku masih waras. Masih dapat berfikir dengan sempurna. Buatnya, tiba-tiba aku ikutkan kata hati, tak pasal-pasal orang ingat aku ini sudah gila, buang tabiat. Mesti menjadi tajuk utama akhbar tempatan. Tiba-tiba aku tergelak pahit.

Aku hanya melihat seorang demi seorang lalu di hadapan khemahku. Semuanya bertanya benda yang sama. “Kenapa belum balik lagi?” Jauh di sudut hati, ada gundah gelana sedang bercengkerama.

“Baik... baik... kak!” giliran Erma menyakatku sebaik lorinya berlalu meninggalkan tapak pasar yang kami tumpangi bersama. Mereka suami isteri meneleng melihatku dari atas lori.

“Alah... tak da sapa nak colek.” Aku membalasnya sambil mengangkat sebelah tangan ala-ala berani menghadapi cabaran.

“Tu yang dalam beg tu. Ramai yang nak.” Sakat suami Erma buat aku tersentak. Alamak! Aku meraba beg sandangku sambil membayangkan sesuatu. Cis! Rasa seram sejuk pula memikirkannya. Tiba-tiba keberanian yang baru hendak berkembang kuncup terus.

Suasana jadi sangat hening.Kenderaan makin kurang. Aku mula meratib resah. Mata melilau memandang kiri kanan. Terasa diriku ini seperti sudah menjadi janda. Janda yang ditinggalkan di Gurun Sahara. Rasa terbiar dan tersisih. Rasa pilu yang asing. Tiba-tiba sebuah kereta Kancil berhenti betul-betul bersebelahan khemahku. Lelaki Cina itu memandangku dari dalam keretanya. Ya Allah! selamatkanlah hambaMu ini. Doaku perlahan. Dia menuju ke arahku. Aku sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Aku menelan ludahku yang payau.

“Apasai belum balik. You punya suami mana?” Mata sepetnya seperti mencari kelibat suamiku.“Bahaya ooo, solang-solang.” Matanya memandang sekeliling. Kesunyian sedang menziarahiku. Macamlah aku seronok sangat kena tinggal seorang begitu. Kalau diberi pilihan aku pun tak ingin keseorangan begitu.

“Kejap lagi dia datanglah.” Balasku. Takkanlah nak aku cerita bagaimana suamiku terpaksa balik rumah sebab nak jual bunga. Ada orang nak beli bunga di rumah. Ibu mertuaku tadi tiba-tiba telefon ada orang mahu beli bunga dalam jumlah yang banyak, terpaksalah suamiku bergegas pulang meninggalkan aku. Tak kan semua itu hendak aku ceritakan.

“Saya kenal awak punya suami ooo. Kawan lama. Dia dulu jual sayur kan?” Aku angguk. Dia siap sebut nombor plat lori niaga suamiku lagi. Dia siap puji yang suamiku pandai berniaga. Sebelum ini, memang suami aku menjual sayur dan ikan. Akibat kerenah pelanggan yang menyakitkan hati, satu keputusan drastik telah diambil. Manalah boleh tahan kalau ada pelanggan yang sangat berbakat menambah hutang. Bukan seorang tetapi ramai pula ‘berkrompomi’ tu. Sebelum berhutang mereka cukup pandai mereka ayat power. Macam-macam janji manis ditaburkan tetapi semua itu cuma satu sandiwara yang sangat licik. Kadang-kadang kebaikan kita selalu disalah guna dan diambil kesempatan. Hatiku merasa sedikit lega apabila mengetahui lelaki di depanku orang baik, malah mengenali suamiku. Setidak-tidaknya tidak perlulah aku bazirkan ilmu persilatan yang memang tak wujud pun dalam kamus hidupku. Alamak! Manalah suamiku ini.

“Yelah betul.” Aku angguk. Mataku masih mencari sinar di ufuk jalan. Hampa. Hanya fatamorgana melintasi pandang. Lelaki Cina itu akhirnya menghilangkan diri ke dalam pasar.

Aku sendiri tidak pasti apa yang aku rasa. Kesunyian atau kesedihan. Masakan aku cemburu dengan lelaki tua yang sangat memerlukan pertolongan itu. Takkan aku perlu merasa terkilan dengan setiap teguran suamiku selama ini. Takkan aku hendak berkecil hati ditinggalkan seperti itu. Bukannya selalu, ini baru pertama kali. Pertama kali dalam sejarah hidupku. Aku cuba mengingatkan diriku sendiri. Bagaimana agaknya kalau aku di tempat Siti Hajar yang ditinggalkan suaminya, Ibrahim di padang pasir yang kontang bersama anaknya yang masih kecil lagi. Tiada sebarang tumbuh-tumbuhan hatta setitis air pun. Aku cuma ditinggalkan beberapa jam dengan bekalan makanan dan air. Aku mencapai air teh o yang ku sangkut di tiang khemah. Air yang sudah tawar itu ku sedut perlahan seperti menyedut kesedaran yang menjalar ke seluruh jiwaku.

“Bek!Bek!” lamunanku tersentak. Beberapa ekor kambing merayau ke sana sini. Aku berdiri bersiap siaga untuk sebarang kejadian. Lima ekor kambing sedang meragut tidak jauh dari khemahku. Matahari sudah semakin pijar menggigit bayang-bayang khemahku. Kelibat suamiku seperti ghaib ditelan bahang mentari.

Aku mendepakan tangan menghalau kambing-kambing itu daripada meratah pokok-pokok yang ada di khemahku. Puas jugalah aku berlari ke sana dan ke mari. Banyak tenaga yang terpaksa aku habiskan. Harap-harap cairlah selulit yang sudah bersaka sekian lama ini. Nasib baik datang dua remaja India bermotor menolong menghalau kambing-kambing tersebut. Mungkin juga mereka adalah tuan kambing-kambing itu. Nasib baik tiada pokok yang cedera.Ya Allah cepatlah kau pulangkan suamiku semula. Aku sudah terlalu insaf didera seperti ini.

Sebuah van meluncur masuk ke selekoh pasar dan berhenti betul-betul di belakang khemahku. Aku merasa sungguh lega. Sebaik menoleh suamiku tersenyum panjang. Mungkin dia merasa sudah berjaya menderaku.

“Dari tadi senyum kenapa?” soalku sebaik meloloskan diri di tempat duduk sebelah pemandu. Pokok-pokok bunga dan pokok –buahan bertindan sesama sendiri.“Pak cik Rauf, jadi nak pinjamkan duitnya,” Dia bersuara sebaik pintu van aku tarik kuat.

“Nak buat apa?” soalku bingung. Sebelah tangan mengusap peluh yang laju merayap ke muka.

“La… nak beli lori la, tengok barang-barang kita dah tak muat,” serentak kami menoleh ke belakang melihat pokok-pokok bunga berhimpitan. Aku lihat ada pokok yang terkulai dan patah.

“Tak payahlah kita main lari-lari lagi dengan JPJ,” Lelaki yang mementingkan ketepatan dan keunggulan itu tersenyum lebar. Aku melepaskan pandang melihat gelagat sekawan kambing yang bebas meragut di sekitar pasar. Hari ini banyak benda yang aku belajar.