Sebanyak satu karya cerpen dan puisi terbaik akan dipilih pada setiap bulan. Pemenang cerpen terbaik akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000 tajaan SS Pharma SB, manakala pemenang puisi terbaik menerima RM500 tajaan Ganoe Worldwide Sdn. Bhd.

Untuk syarat-syarat penyertaan dan alamat e-mel untuk penghantaran cerpen dan puisi itu, sila rujuk ruangan Cerpen dan Puisi yang disiarkan akhbar ini pada setiap Sabtu.

Pertandingan cerpen dan puisi bermula Oktober 2017 itu adalah musim kedua yang mana musim pertama telah berlangsung pada Julai 2016 hingga Julai 2017.

Pertandingan musim ke­dua akan berakhir pada Oktober 2018.

Pemenang cerpen yang pertama bagi musim kedua adalah Siti Hajar Abu Bakar dari Melaka. Beliau ketika ditemui berkata, tidak me­nyangka cerpennya bertajuk Zuriat Yang Dibenci terbitan 14 Oktober 2017 dipilih sebagai pemenang bulan Oktober.

Bercerita mengenai karya yang dihasilkannya itu, kata­nya, beliau pada mulanya mahu membuat pengakhiran cerita yang berbeza, namun apabila difikirkan semula, babak akhir yang asal mungkin menjadi suatu perkara yang klise dan akan membosankan pembaca.

Justeru, katanya, setelah mendapat ilham, beliau menukar babak akhir sebelum menghantar karya tersebut ke akhbar Utusan Malaysia Sabtu.

“Alhamdulillah, karya saya mendapat tempat di hati juri dan ini amat menggembirakan saya,” ujarnya sambil memberi­tahu babak akhir penulisan tersebut dilakukan seperti itu supaya pembaca benar-benar merasakan keperitan serta seksaan yang dihadapi oleh mang­sa apabila ayahnya sekadar menyayangi kakaknya sahaja sejak kecil lagi.

Siti Hajar berharap orang ramai akan menggunakan peluang ini untuk menghantar karya masing-masing bagi menambah bahan bacaan kepada pembaca dan dalam masa yang sama memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sementara itu, pemenang puisi bagi bulan Oktober 2017, Abdullah AR atau nama penuhnya Abdullah Abdul Rahman tidak menyangka puisinya bertajuk Hanya Sekejab yang disiarkan pada 14 Oktober 2017 memenangi pertandingan tersebut.

Menurutnya, puisi itu lahir atas rasa sedih selepas kehilangan tiga saudara dalam tempoh satu minggu.

Beliau yang pernah memenangi Anugerah Sastera Negeri Sembilan pada 2003 dan 2005 dalam kategori puisi eceran bersyukur dan berharap akan dapat terus menyumbang dalam karya kreatif tanah air.

“Saya juga berharap akhbar ini dapat membantu menerbitkan karya-karya yang saya usahakan sekarang ini,” katanya yang memberitahu pihak Utusan Malaysia pernah memberi sijil penghargaan sebagai Ahli Meja Lembaga Editorial kepadanya pada tahun 2013.