“Jadi, benarlah berita yang saya dengar tu?”

Nasrun mengangguk.

Sanisah memandang wajah lelaki di depannya dengan perasaan hampa. Hatinya penuh dengan rasa kesal. Meskipun dia telah mendengar banyak khabar angin daripada beberapa kenalannya, namun pengakuan yang keluar sendiri dari mulut Nasrun, benar-benar telah mengecewakannya.

“Kenapa Encik Nas tak berbincang dulu dengan saya? Kenapa saya kena dengar berita ini daripada orang lain? Selalu macam ni! Saya jadi orang terakhir yang tahu!” Kata Sanisah, meluahkan rasa tidak puas hatinya.

“Saya fikir, tak perlu!”

“Mengapa? Bukankah saya yang uruskan restoran itu sejak lima tahun lalu? Untung atau rugi, saya yang selalu bertanggungjawab!”

“Saya tahu. Saya juga mengaku, Nisah adalah tulang belakang restoran itu. Tapi, pemiliknya adalah arwah isteri saya. Jadi, saya berhak memutuskan apa yang saya mahu buat ke atas restoran itu!”

“Okey,” Sanisah menganggukkan kepalanya. “Saya tahu, restoran itu milik Aida. Saya juga tahu, meskipun kami berkawan baiknya, saya masih pekerjanya. Tapi Encik Nas tak sepatutnya menjual restoran itu tanpa pengetahuan saya. Sekurang-kurangnya, maklumkan pada saya terlebih dulu. Sebagai pengurus, saya yang sepatutnya tahu lebih awal, bukannya melalui mulut orang lain! Susah sangat ke untuk memberitahu saya? Kalau Encik Nas tak ada masa nak pergi ke rumah saya, Encik Nas boleh hubungi saya melalui telefon, whatApps, SMS!”

“Sekali lagi, saya minta maaf,” balas Nasrun. “Ketika berbincang dengan Zulkifli dulu, tidak pula saya terfikir hal ini. Lagipun, saya tak tahu yang tindakan saya ni meninggalkan kesan besar pada Nisah.”

“Jangan minta maaf lagi. Berapa banyak maaf yang saya berikan pun, ia tak akan dapat mengubah keadaan,” kata Sanisah sambil bangun.

“Nak ke mana?”

“Balik!”

Nasrun turut bangun. “Tunggu dulu. Kenapa tergesa-gesa? Awak baru saja datang!”

“Apa guna saya duduk lama? Encik Nas bukannya akan membatalkan jualan restoran tu!” Nasrun ketawa. “Saya tahu Nisah marah pada saya. Tapi, saya sudah minta maaf kan?”

Sanisah merenung lelaki itu agak lama. “Jangan minta maaf ketika saya sedang marah,” katanya lalu bergerak ke pintu.

Nasrun mengekorinya. “Sanisah!”

“Tak payahlah Encik Nas iring saya hingga ke pintu!”

Nasrun bergegas menghalang Sanisah ketika wanita mahu melangkah keluar dari pintu.

“Jika Nisah nak jawatan itu semula, saya boleh beritahu Zulkifli. Dia pernah beritahu, dia ingin kekalkan beberapa orang pekerja lama,” beritahunya dengan suara lembut, berharap kata-katanya dapat menyejukkan hati wanita itu.

“Tengoklah dulu. Saya tak boleh nak kata apa-apa lagi. Pengurusan baharu mungkin tak sama dengan yang lama.”

“Nisah nak balik begitu saja? Tak mahu dengar penjelasan saya?,” Tanya Nasrun mengekori wanita itu.

Sanisah berhenti lalu berpaling mendepani lelaki itu. “Penjelasan apa?”

“Sebab sebenar kenapa saya nak jual restoran itu!”

“Jadi, apa sebabnya?”

“Saya nak balik ke Kuala Terengganu. Saya dan anak-anak ingin terus menetap di sana.”

Sanisah tersentak. “Kenapa tiba-tiba saja ambil keputusan ni?”

“Bukan tiba-tiba. Sebenarnya sudah lama saya nak balik, tapi selalu tertangguh kerana sibuk dengan kerja. Aida pula enggan menetap di sana kerana restorannya di sini sangat berjaya,” jawab Nasrun. “Sekarang Aida dah tiada. Mak saya pula mendesak saya mengambil alih pasar mini yang arwah ayah usahakan dulu.”

“Ya, saya faham,” balas Sanisah, mengangguk. “Kalau itulah sebabnya, memang tak ada apa yang boleh saya katakan lagi.”

Nasrun mengeluarkan sampul surat warna putih dari poket seluarnya lalu menghulurkan kepada Sanisah. “Ambillah! Ikhlas daripada saya.”

Mata Sanisah menatap sampul surat itu dengan rasa curiga. “Apa isinya?”

“Sedikit wang.”

“Untuk saya?”

Nasrun angguk.

“Saya tak perlukannya,” balas Sanisah, menggeleng.

“Saya tahu, wang tidak menjadi masalah buat Nisah,” balas Nasrun. “Tapi, boleh tak Nisah

anggap wang itu sebagai saguhati kerana saya telah menyebabkan Nisah hilang kerja?”

Merasa keliru, Sanisah merenung Nasrun. “Bukankah tadi Encik Nas kata yang encik akan berbincang dengan Encik Zulkifli tentang jawatan saya itu?”

“Ah, saya lupa!” Kata Nasrun, menepuk dahinya. “Beginilah, selepas berbincang dengan

Zulkifli, saya akan hubungi Nisah. Mungkin ada berita baik nanti. Tunggu ya?”

Sanisah mengukir senyum nipis. “Berita baik atau buruk, saya akan terima. Saya tak boleh terlalu mengharap kan?”

Nasrun terkedu. “Jangan kata begitu. Saya akan rasa bersalah!”

“Maaflah, saya terpengaruh dengan rasa marah tadi.” balas Sanisah. “Saya tak patut menuduh Encik Nasrun. Lagipun, saya ke sini bukannya nak bertengkar tapi untuk mendapat kepastian. Saya tak suka mendengar khabar yang dibawa oleh angin,” sambung Sanisah, lalu meminta diri.

“Sanisah!”

Sanisah berpaling. “Ada apa lagi?”

Nasrun menghulur sampul putih di tangannya. “Ini!”

Sanisah menggeleng.

“Ambillah. Jika arwah Aida masih ada, dia juga akan beri,” pujuk Nasrun.

Sanisah mengambil sampul surat itu dengan hati yang berat. “Terima kasih. Saya balik dulu.”

Sepanjang perjalanan pulang, rasa sedih, hampa dan kecewa mengisi hampir seluruh ruang dalam hatinya. Tidak pernah dia membayangkan kematian Aida, akan menyebabkan restoran itu bertukar pemilik dan dia mungkin kehilangan kerja.

Apa yang akan dilakukannya selepas ini? Duduk di rumah, buat kerja di dapur? Mengait dan menonton drama Korea kegemarannya? Dia memang suka menonton drama, tapi jika setiap hari duduk di depan TV sambil mengait, dia pasti akan mati kebosanan!

Setelah seminggu menunggu, pemilik baharu restoran Aida itu akhirnya menyampaikan khabar duka untuknya. Jawatan lamanya itu sudah ada calonnya. Meskipun layak, dia bukan pilihan utama.

Ring…..ring………….

“Hello! Assalamualaikum!”

“Waalaikumussalam, Encik Nasrun.”

“Sanisah, dah dapat kerja?”

“Belum.”

“Nak kerja dengan saya? Saya nak buka sebuah restoran di Kuala Terengganu. Nisah uruskan restoran tu sebab saya akan sibuk dengan pasar raya keluarga saya.”

Sanisah merenung telefon bimbitnya sambil berfikir. Tawaran menarik, detik hatinya. Menguruskan restoran lelaki yang telah dikenali bertahun-tahun adalah satu kesempatan yang baik. Tapi sanggupkah dia meninggalkan abahnya sendirian? Selama ini mereka tidak pernah berpisah. Selepas kahwin pun mereka masih tinggal serumah, sebab arwah suaminya yang bekerja sebagai polis selalu keluar bertugas tanpa mengira masa. Bila anak tunggalnya mendapat tawaran memasuki Intitut Pendidikan Guru di selatan tanah air, abahlah yang menemani kesunyiannya.

“Nak terima tawaran tu?” Tanya Salman setelah diberitahu.

“Nisah belum buat keputusan.”

“Bukankah Nisah suka kerja macam tu?”

“Memang suka, abah. Tapi banyak perkara yang sedang Nisah fikir.”

“Misalnya?”

“Abah akan tinggal sendirian. Dan Aiman, bila sesekali balik bila bercuti, Nisah tak dapat jumpa dia.”

“Nisah!”

“Ya?”

“Ada masa lapang sekarang?”

Sanisah mengangguk.

“Tolong ambil kunci kereta abah di atas almari buku tu.”

“Abah nak ke mana?” Tanya Sanisah ketika menghulur kunci kereta.

Salman tidak menjawab. Dia cuma menggeleng kepala. “Abah dah tak boleh bawa kereta. Nisahlah yang pandu. Nanti Abah tunjukkan arahnya,” katanya sayu sambil memandang pada kaki kirinya yang sudah tiada di bahagian bawah lutut.

“Oh, maaf, abah! Nisah lupa lagi!”

Selepas 20 minit, mereka berada di hadapan sebuah bangunan kedai dua tingkat.

“Kedai itulah,” beritahu Salman.

“Kedai siapa?”

“Milik Nisah. Nisahlah yang akan uruskannya nanti. Jadikan ia sebuah kedai makan yang digemari ramai dan terbaik!”

Sanisah terkedu. Dia memandang ke kiri. “Betulkah?”

Salman menggangguk. “Hadiah daripada abah! Jangan ke mana-mana lagi. Teruslah berada di sisi abah.”

Sanisah menanggalkan tadi pinggang kelendar dan memeluk lelaki yang duduk di sebelah kirinya. Air matanya bertitisan. “Terima kasih, abah!”

“Sama-sama,” jawab Salman, menepuk-nepuk bahu anaknya. “Berusahalah. Jangan hampakan harapan abah.”

Sanisah mengangguk.