‘Suraya, tunangmu ini telah dibuang kerja. Masih sudikah engkau berkahwin dengan saya ini?’ Apakah perlu saya mengkhabarkan kepada dia begitu? Saya menimbang logik akal dan dapat membayangkan Suraya, tunang saya yang bekerja sebagai salah seorang setiausaha dalam sektor kerajaan pastinya menjerit, menghamun dan menghentam saya dengan kata-kata negatif serta kesat.

“Celaka, engkau ini Rosli!”

“Tidak berguna betul!”

“Sampai bilakah kita akan jadi begini?”

“Sudahlah engkau dibuang kerja.”

“Bagaimanakah dengan perkahwinan kita nanti?”

“Sudah tidak ada duitlah kamu ini nanti?”

“Pekerjaan lain apa yang akan engkau buat nanti selepas diberhentikan kerja ini?”

Mungkin di dalam hati kecil Suraya, itulah yang Suraya akan katakan. Namun, sesiapa yang mengenali Suraya, pasti berkata Suraya bukan begitu orangnya. Suraya tidak bersikap negatif. Suraya tidak akan berkata seperti itu.

Suraya dari luar, sebenarnya dilihat sentiasa berperwatakan manis dan lemah lembut. Senyuman indah sentiasa terukir di bibir mungil miliknya. Layak diumpamakan seperti bidadari yang turun dari syurga ke dunia ini.

Saya tahu, dia sentiasa sabar dengan kerenah saya selama kami ini berkenalan. Jika tidak, mana mungkin dia sudi mengikat tali pertunangan dengan saya dan kami ini bakal berkahwin dalam tempoh enam bulan lagi. Ya, enam bulan lagi.

Ah, bagaimanakah saya mahu menyampaikan khabar perit ini kepada Suraya? Apakah reaksinya? Bersedihkah Suraya nanti? Marahkah Suraya kepada saya? Dicelakakan saya inikah di dalam hatinya?

Sebenarnya bukan Suraya yang lebih saya risaukan tetapi bakal ibu mentua saya. Ibu Suraya.

Saya dan Suraya telah lama berjanji temu sejak kami habis persekolahan menengah lagi. Suraya yang pandai, telah berjaya menyambung pelajaran ke peringkat diploma seterusnya hingga ke peringkat ijazah dan saya pula terus bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya selepas tamat persekolahan sebelum saya bertukar ke bahagian pengiraan stok di pasar raya yang sama.

Saya tidak pandai dan bijak seperti Suraya. Saya sebenarnya teramat beruntung kerana berjaya memikat hati Suraya. Suraya memilih saya kerana mengatakan saya ini baik dan tulus orangnya. Dia percaya akan saya. Tidak pernah sekalipun dia melihat saya marah dan apabila bertutur, penuh hemah dan berbudi.

Itu yang Suraya katakan kepada saya. Dia tidak suka lelaki yang bersuara tinggi dan bercakap kasar. Ayah Suraya dahulu begitulah sikapnya sebelum berpisah dengan ibu Suraya.

Pernah Suraya menceritakan, ayah akan memukul ibunya dan membaling segala pinggan mangkuk sekiranya dia terlalu marah. Habis perabot dan barangan yang ada di rumah mereka hancur dikerjakan oleh ayahnya. Kes ibu dan ayahnya pernah menjadi kes di mahkamah. Ayahnya dipenjarakan atas kes dera yang dilakukan. Kini, setelah keluar dari penjara, ayah Suraya telah berkahwin lain dan ibu Suraya pula masih menjanda dan menjaga Suraya, satu-satunya anak tunggal milik dia.

Ibu Suraya seorang wanita yang lembut sama seperti Suraya namun ada sedikit ketegasan. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Sikap Suraya salin tak tumpah seperti ibunya. Ibu Suraya telah menjaga Suraya seorang diri sejak Suraya kecil lagi. Jualan nasi lemak dan kuih-muih, yang membantu dan menyara kehidupan mereka dua beranak. Sederhana namun segala-galanya mencukupi. Tidak pernah ibu Suraya mengharapkan yang lebih dan begitu juga dengan Suraya. Mereka cukup bersyukur dengan segala-gala yang telah mereka miliki.

Cuma baru-baru ini, ibu Suraya dilihat seperti kurang sabar. Menggesa saya dan Suraya agar lekas berkahwin.

“Cepatkanlah perkahwinan kamu. Janganlah ditangguhkan lagi. Sudah lama benar kamu berdua berkenalan dan bertunang. Lagi cepat kamu berdua berkahwin, lagi senang hati emak ini. Tidaklah emak risau.” Itu yang dituturkan ibu Suraya kepada Suraya sebelum Suraya menyampaikan kepada saya.

Perkahwinan kami yang sepatutnya lagi enam bulan, disuruh disegerakan menjadi tiga bulan pula. Saya tersepit. Antara tempoh perkahwinan yang diminta untuk dipercepatkan dan saki-baki duit yang masih belum mencukupi untuk majlis perkahwinan nanti, itulah perihal yang menyukarkan hidup saya kini.

Mengapakah saya dibuang kerja? Begini kisahnya. Pagi tadi, sedang saya mengira stok, tepat pukul 11 pagi, saya ditegur oleh ketua unit saya yang dipanggil Encik Ayob.

“Rosli, mari ke sini. Ada benda yang mahu saya cakap dengan kamu.” Muka ketua unit saya pada ketika itu terlihat tegang. Saya menuruti dia masuk ke dalam bilik kerjanya.

Seusai sahaja saya masuk, saya melihat Encik Ayob menghempaskan fail yang dipegang olehnya ke meja. Saya terkejut. Kedua-dua bahu saya juga terenjat.

“Kamu tahu apa salah kamu?” Encik Ayob meninggikan suaranya. Mata dia mencerlung ke arah saya. Saya terdiam. Sungguh saya tidak tahu apa kesalahan yang telah saya lakukan sehingga Encik Ayob marah sedemikian.

“Ada saksi yang nampak kamu telah mencuri stok yang ada. Walaupun di tempat yang kamu kerja, kamera litarnya rosak, tetapi ada saksinya.”

Saya terkejut. Sungguh saya tidak buat apa yang dituduhkan terhadap saya. “Saya tidak buat, Encik Ayob. Encik Ayob sendiri kenal saya ini bagaimana orangnya. Saya tidak akan melakukan perkara itu. Saya ini jujur orangnya. Lagipun sudah lama saya bekerja di sini. Tidak akanlah saya ini mencuri stok.” Saya cuba mempertahankan diri. Saya juga cuba berlembut dan berfikiran rasional.

Namun, perkara buruk yang saya harapkan untuk tidak berlaku akhirnya terjadi. Setelah pelbagai jawapan dan alasan yang saya berikan kepada Encik Ayob, akhirnya saya dibuang kerja begitu sahaja. Sungguh, bersusah payah saya mempertahankan diri ini. Buat apa saya mahu mencuri stok? Rezeki yang saya ada semuanya mencukupi untuk saya. Saya benar-benar tidak faham mengapa Encik Ayob begitu kuat dan yakin dengan saksi yang menuduh saya itu. Saya juga geram.

Namun, tidaklah saya meluahkan rasa marah ini kepada Encik Ayob. Marah saya ini masih terkawal tetapi ia mungkin akan meledak bila-bila masa sahaja jika saya tidak mengawalnya. Mungkin saya akan mengeruhkan lagi keadaan saya yang dituduh ini sekiranya saya melepaskan amarah.

Ah, siapalah yang telah mengambil kesempatan ke atas saya ini? Senang-senang sahaja saya ini dituduh sedemikian rupa. Apa salah saya kepada dia? Apa yang dia tidak puas hati dengan saya? Kejahatan apa yang telah saya lakukan kepada dia? Segala persoalan ini berlegar-legar dalam kepala saya sehinggalah saya keluar dari pasar raya tempat kerja saya dan menunggu di perhentian bas ini.

Telinga saya berdengung. Sungguh saya ingin benar marah. Ah, saya perlu menenangkan diri! Saya menarik dan menghela nafas secara perlahan-lahan dan berkali-kali. Kepala saya digaru. Telinga saya digosok. Saya berharap dengan cara ini, marah saya akan mereda dan tidak meledak.

Sungguh, saya menganggap pembuangan saya ini sebagai sesuatu yang sangat tidak adil! Buktinya juga kurang kukuh kerana saya dituduh begitu sahaja. Ketua unit saya sepatutnya melakukan siasatan yang lebih mendalam. Bukannya membuang saya daripada kerja begitu sahaja. Ya, Malaysia masih maju dan aman namun masih ada saki-baki rakyatnya yang berfikiran cetek dan tidak maju.

“Hei, hei, hei! Ada gergasi dalam telinga aku ini! Lihat! Lihat!” Seorang lelaki berpakaian compang-camping menghampiri tempat perhentian bas yang sedang saya duduk, mengganggu orang awam di sekelilingnya. Saya melihat lelaki itu dengan pandangan simpati. Ah, sekurang-kurangnya saya masih waras lagi. Saya patut bersyukur.

“Hei, tengoklah telinga aku ini! Ada gergasi dalam telinga aku ini!” Lelaki kurang waras itu mendekati seorang gadis muda. Terjerit kecil gadis muda itu. Cuba menjarak, menjauhi daripada lelaki itu. Sempat juga dia menekup hidung dan mulutnya. Tidak mahu menghidu bau busuk dan tengik yang keluar dari badan lelaki kurang waras itu.

“Sinilah! Tengok telinga aku ini! Ada gergasi! Gergasi! Wuargh!!!” Lelaki itu menyergah orang lain pula kemudian dia tertawa sendirian. Berdekah-dekah kuatnya.

“Sinilah... tengok... ada gergasi dalam telinga aku ini. Sakit. Sakit...” Tiba-tiba perwatakannya berubah. Dia kini menangis. Terseranduk kakinya lalu terjelepok di sisi saya tanpa sengaja. Saya terpinga-pinga. Segan juga rasanya kerana tidak tahu mahu melakukan apa-apa.

“Tengoklah... tengok...” Rayu lelaki itu kepada saya. Saya menahan nafas saya sendiri. Saya juga tidak tahan akan bau yang kurang enak daripada tubuhnya namun tidaklah saya menekup hidup dan mulut seperti gadis muda tadi. Saya cuba menjaga hati lelaki kurang waras itu walaupun saya tahu, dia sendiri tidak kisah dan tidak hirau dengan apa yang orang sekeliling bersikap terhadapnya.

Perlahan-lahan saya mengukir senyuman walaupun hati saya sendiri sedang perit memikirkan masalah-masalah saya sendiri. Saya menepuk belakang badannya perlahan.

“Sini... sini... gergasi itu dalam sini.” Dia menunjuk telinga kanannya. Bercucuran air matanya seperti sakit amat dan perit yang dirasai olehnya. Saya menganggap ada sesuatu yang masuk ke dalam telinga kanannya. Saya pun menurunkan kepalanya ke paha saya. Menekup telinga kirinya dengan tangan kanan saya. Untuk beberapa detik, lelaki itu tercungap-cungap nafasnya. Cuba meronta, melepaskan diri daripada saya. Saya menekan belakang badannya kuat. Cuba membantu dia sebenarnya.

Pergelutan kami itu disaksikan oleh orang ramai. Saya mendengar ada suara desas-desus seperti mengutuk saya, mencaci saya. Mereka menganggap seperti saya mahu memukul lelaki tidak waras itu.

“Lepaskan dia.”

“Engkau buat apa ini?”

“Eh, berhentilah!”

Tapi tidak ada seorang pun yang mahu mendekati kami. Hanya soksek-soksek suara sahaja yang keluar, mengutuk saya seadanya.

Beberapa detik kemudiannya, lelaki tidak waras itu pun berjaya melepaskan diri daripada saya. Dia berdiri, tercengang di hadapan saya.

“Hilang,” ujarnya sepatah.

“Hilang... hilang..,” ujarnya banyak kali pula.

Saya tersenyum. Kini saya yakin pasti ada serangga yang masuk ke dalam telinga dia sebenarnya dan serangga itu telah keluar, mungkin semut kecil. Saya menganggap itu yang berlaku kerana waktu saya kecil dahulu pun saya pernah mengalami situasi yang sama. Bapa sayalah yang membantu mengeluarkan semut kecil itu seperti yang saya lakukan kepada lelaki tidak waras itu tadi.

“Hilang... hilang...” Lelaki kurang waras itu mengucap dan menyanyikan perkataan ‘hilang’ itu berulang kali. Dia menari-nari di hadapan saya.

‘Ah, itu sahaja sudah membahagiakan dia!’ Bisik saya di dalam hati. Saya menoleh sekeliling. Melihat orang awam ada yang tertawa melihat telatah lelaki kurang waras itu. Ada juga yang menggeleng.

Tiba-tiba telefon bimbit saya berdering. Saya mengangkatnya ke telinga untuk dijawab panggilan.

“Hei, datang ke pasar raya sekarang. Encik Ayob sudah tahu perkara sebenar. Engkau tidak bersalah. Ada orang lain yang mencuri stok dan bukannya engkau,” ujar rakan sekerja saya daripada panggilan sana.

“Benar? Syukur pada Tuhan,” ucap saya dari sebelah sini. Lalu panggilan pun dimatikan. Saya tersenyum. Lebar.

Oh, Tuhan! Saya tarik balik kata-kata saya tadi. Malaysia masih maju dan aman serta rakyatnya berfikiran bijak dan pandai. Tidak cetek pemikiran mereka. Saya yakin keadilan masih ada di segenap seluruh negara ini.

Saya juga tidak perlu hirau dan rasa bermasalah untuk memikirkan kehilangan punca rezeki saya tadi. Saya juga boleh beritahu kepada tunang saya, “Suraya, akan saya usahakan secepat mungkin untuk berkahwin denganmu,” dan kepada bakal ibu mentua saya pula akan saya katakan, “Jangan risau, mak cik. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memperisterikan Suraya dan akan saya jaga Suraya sebaik-baiknya dan mungkin lebih baik daripada yang pernah mak cik lakukan untuk menjaga Suraya.”

Selagi rezeki dan jodoh saya dengan Suraya masih ada, dengan izin Tuhan. Pastinya menjadi. Sesungguh saya berdoa akan itu.