Galeri pertama seumpamanya itu kini sudah siap dalam 80 peratus dan dijadual dibuka Februari depan.

Menurut Pengerusi Galeri Tok Janggut, Mustaffa Hassan, galeri itu dilengkapi tiga ruang pameran iaitu ruangan pertunjukan barangan artifak, mini teater dengan tayangan skrin serta gambar-gambar bersejarah.

Galeri itu dibuka bertujuan mendedahkan sejarah sebenar serta paling sahih mengenai Tok Janggut berikutan terlalu banyak versi berbeza mengenai beliau sebelum ini.

"Sebagai langkah yang betul pihak kami telah bekerjasama dengan banyak pihak untuk mengumpulkan kisah hidup Tok Janggut yang sebenar.

"Kami turut berkerjasama dengan Muzium Negeri Kelantan dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mereka memberi sokongan sepenuhnya terhadap usaha kami ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mustaffa yang juga Guru Besar SK Padang Pohon Tanjung berkata, sejarah Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Hassan Panglima Mat Munas itu berjaya digali lebih mendalam berikutan pusara beliau terletak di Kampung Pasir Pekan iaitu kira-kira satu kilometer dari sekolah.

“Apabila siap, galeri Tok Janggut bakal menjadi satu lagi daya tarikan pengunjung terdiri daripada semua golongan dan pelancong asing.

"Pembinaan galeri ini diusahakan oleh penduduk kampung sendiri secara berperingkat melalui kutipan dana lebih RM100,000 dan kami masih memerlukan lebih banyak modal untuk menyiapkannya," ujarnya.

Katanya, orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui Bank Islam ke akaun 03036010161679 di atas nama Galeri Tok Janggut.