Hendak masuk ke pejabat dan berehat di surau, masih awal sangat. Hendak duduk di tempat parkir ini, bosan pula apabila lihat ada seorang lelaki sedang merokok di atas motosikal, tidak jauh darinya.

Bulan puasa, lelaki itu hisap rokok selamba saja. Tapi, bila Bahar tengok raut wajahnya, ada iras Cina. Mungkinkah dia berbangsa Cina? Kalau ya, tidak ada masalah. Tapi Bahar lebih yakin lelaki berusia hujung 20-an itu berbangsa Melayu.

Melihat lelaki berkenaan terus juga merokok, Bahar cuba menyapanya dengan melemparkan senyuman. Namun lelaki yang wajah seperti Cina itu langsung tidak mengendahkannya. Dia hanya memandang Bahar dengan hujung mata.

Dalam hati Bahar berkata, sombong betul lelaki ini. Sudahlah tidak hormatkan dia yang berpuasa, orang tegur pun buat tidak endah. Lima minit Bahar duduk di atas motosikal, beberapa kali dia memandang dan tersenyum, namun lelaki itu tetap buat tidak peduli.

Lelaki itu terus merokok. Pelik Bahar, biasanya orang bukan Melayu/Islam di negara ini akan berasa malu dan serba salah kalau makan atau merokok di hadapan kawan-kawan Islam yang berpuasa. Tapi tidak lelaki ini. Dia macam tiada perasaan.

Selepas lima minit di tempat parkir motosikal belakang bangunan tersebut, Bahar ambil barang-barang dan berjalan ke pintu masuk, kemudian naik pejabatnya di tingkat tiga. Syarikat itu menduduki tiga tingkat bangunan berkenaan dan menempatkan kira-kira 100 orang pekerja.

Sebenarnya Bahar baru beberapa hari berpindah ke syarikat tersebut. Sebelum itu dia bekerja di anak syarikatnya di Melaka. Oleh kerana ketika itu bulan Ramadan, dia bertolak dari rumahnya di Kelebang, selepas subuh. Sementara menunggu pejabat dibuka, dia tidur di surau dahulu. Sementelahan dia belum kenal sangat dengan kakitangan syarikat berkenaan.

BUKAN DIA

Esoknya ketika sedang berbual dengan seorang kerani, Bahar terpaku melihat seseorang. Ya, dia lihat lelaki Cina itu. Rupa-rupanya lelaki berkenaan juga bekerja di syarikat tersebut!

Lantas Bahar ceritakan kepada kerani itu apa yang dilihatnya semalam. Mendengar cerita Bahar, kerani tersebut terperanjat. Katanya, lelaki berkenaan bukannya Cina, tetapi Melayu. Wajahnya iras Cina kerana ibunya berketurunan Cina.

“Nama dia Eddy. Tapi setahu akak, dia tak merokok.”

Selain itu, kata kerani tersebut, Eddy seorang yang baik, sopan dan suka menegur kakitangan lain. Dia datang kerja pun dengan kereta, bukan dengan motosikal.

“Awak ceritalah pada pekerja-pekerja lain, semua orang akan cakap hal yang sama. Eddy memang tak merokok.”

Ah, pelik ni. Kalau bukan Eddy, siapa pula yang Bahar lihat di tempat parkir motosikal di belakang bangunan tersebut, semalam? Bahar yakin dia tidak salah orang sebab dia ingat sangat bentuk muka, gaya rambut, cermin mata serta tahi lalat di pipi kanan lelaki itu. Tak mungkin dia tersilap.

Apabila Bahar ceritakan hal itu, kerani tersebut hanya ketawa. Katanya, janganlah pelik sebab kejadian seumpama itu sudah biasa berlaku di situ. Ada kakitangan yang melihat sahabatnya di tingkat lima, tetapi apabila turun di tingkat tiga, dilihat kawan tadi sedang tekun bekerja.

Kadangkala mereka terserempak `makhluk’ yang serupa dengan kakitangan lain di tandas, pantri serta lif. Biasanya berlaku pada waktu pagi, lewat petang atau malam ketika ada pekerja yang pulang lewat.

Kerani itu berpesan kepada Bahar, lain kali kalau nampak kakitangan syarikat itu yang diam saja apabila ditegur, biarkan. Jangan tegur lagi kerana itu bukan manusia, tetapi makhluk dari alam lain. Sudah ramai yang terkena.

“Kata orang bangunan ni dulu hutan, ada makhluk asal yang tak mahu tinggalkan tempat ini. Ada juga yang kaitkan dengan kejadian beberapa orang pekerja mati semasa membina bangunan ni dulu,” kata kerani tersebut.

Siapa Bahar? Dia adalah kawan saya dan bekerja di Melaka.

Selepas itu adakah Bahar mengalami kejadian serupa? Cerita Bahar kepada saya, ada, tapi dia tidak endahkan sangat sebab kejadian seumpama itu bukan lagi hal yang pelik dalam kalangan pekerja-pekerja syarikat hartanah berkenaan. (Faris Akmal Ahmad, Muzium Seni Bina Malaysia, Bandar Hilir, Melaka)

GELISAH

Rupa-rupanya ruangan ini turut dibaca oleh sahabat-sahabat kita di Singapura. Salah seorang daripadanya ialah Anisah, yang tinggal di Bedok North Road. Anisah berusia 27 tahun dan bekerja di Changi Airport sebagai Control Room Assistant(CRA).

Kata Anisah, kisah yang ingin dikongsinya ini bukanlah berlaku di pejabat tetapi berlaku ketika dia di bangku sekolah. Waktu itu Anisah berusia 12 tahun dan baru pulang dari sekolah di Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, Geylang. Habis sekolah pukul 6 petang dan dia sampai rumah pukul 7 malam.

“Apabila sampai di kolong blok rumah, saya melihat di dalam lif ada seorang perempuan yang saya tidak kenali. Wajahnya pucat. Usianya dalam lingkungan 20-an, kurus, tinggi sekitar 1.5 meter dan memakai baju kurung putih berbunga-bunga serta selendang seperti orang dulu-dulu dengan nampak rambut sedikit di dahi.

“Tanpa berfikir panjang, saya menaiki lif bersama perempuan itu. Pada masa itu, lif di rumah saya hanya ada butang nombor 1, 7 dan 11. Saya pula tinggal di tingkat 12. Jadi saya perlu naik tingkat 11 dahulu dan kemudian menaiki tangga untuk ke tingkat 12.

“Apabila saya menaiki lif bersama perempuan itu, saya dapat rasakan yang lif bergerak agak sedikit lama berbanding hari-hari sebelumnya. Pergerakannya terasa lambat.

“Perempuan yang menaiki lif bersama saya itu pula seperti gelisah namun tidak bersuara. Hanya wajahnya sahaja yang kelihatan pucat lesi seperti tiada darah yang mengalir di mukanya.

“Semasa lif bergerak naik, saya perhatikan perempuan itu sentiasa resah, seperti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Dia seolah-olah tidak sabar mahu keluar dari lif. Saya hanya perhati saja, tapi tidak berani menegurnya.

“Sekejap dia memandang saya, sekejap memandang bawah dan sekejap pandang ke hadapan. Saya cuba mengingat kalau-kalau saya kenal perempuan ini, tapi ternyata tidak. Saya tidak pernah melihatnya sepanjang tinggal di blok ini.

“Apabila lif sudah sampai di tingkat 11, tanpa menghiraukan perempuan itu, saya terus berlari ke tingkat 12 dan membuka pintu serta pagar rumah dalam keadaan tergesa-gesa sehingga membuat kedua-dua orang tua saya menjadi hairan dengan kelakuan pelik saya itu.

“Saya hanya memberitahu mereka yang tidak ada apa-apa yang berlaku pada saya dan merahsiakan apa yang dilalui sebentar tadi. Malam itu fikiran saya sering saja teringatkan perempuan berwajah pucat itu. Siapa dia? Dia sakitkah? Kenapa dia sentiasa gelisah? Saya tertanya-tanya.

“Pada keesokannya, sebelum pergi ke sekolah, saya membaca surat khabar Berita Harian dan terbaca satu artikel di ruangan takziah. Berita di dalam artikel itu benar-benar memeranjatkan saya kerana memaparkan gambar perempuan yang menaiki lif bersama saya semalam dan menyatakan bahawa perempuan itu sudah meninggal dunia bulan lalu.

“Bagaimanapun artikel itu tidak menyatakan sebarang maklumat mengenai punca kematiannya. Hanya ada tarikh dan sedikit ucapan di ruangan kematian itu.

“Kalau dia sudah mati sebulan lalu, jadi siapakah sebenarnya perempuan yang menaiki lif bersama saya semalam? Saya juga tidak tahu apa sebenarnya yang perempuan itu cuba sampaikan kepada saya.”