1

2010

Seseorang telah datang dari arah Bukit Qasiyun lalu meluru masuk ke dalam kota Damsyik. Setelah tiba di kafe shisha bergaya Perancis di tepi Kota Umayyad – lelaki itu berteriak: “Rameses Agung akan kembali. Dia sudah bosan tidur selama 3,223 tahun di Lembah Raja. Firaun Agung rindukan isterinya Nefetari, serta puluhan gundiknya.”

Damsyik pada tahun itu – pada bulan Jun yang berbahang – debu melayang pada paras buku lali. Ketika lelaki itu muncul di depan meja sekumpulan pelancong Eropah yang sedang menikmati asap perisa pisang; jeritan suaranya yang kuat, membuatkan pelanggan dan orang ramai yang berkisar di sepanjang laluan bazar di luar Kota Umayyad – memandang aneh padanya.

“Selain perompak yang menjarah kuburnya,” laung lelaki itu: “Rameses Agung juga marah – kerana, dunia hari ini telah melahirkan raja yang lebih zalim berbanding dirinya!”

Antara tembok batu di pintu kanan Kota Lama, dengan laluan bazar yang sibuk – terdapat laman batu-bata – dan sekumpulan kanak-kanak sedang bermain bola di situ. Di sisi tangga, antara pedestrian Kota Lama ke pesiar kaki – dalam riuh-rendah kanak-kanak berebutan menendang bola – kelihatan seorang budak lelaki menjaja air tin. Dia ternganga mendengar teriakan lelaki itu .

“Rameses Agung,” kata lelaki itu lagi: “Akan kembali ke sini. Dia akan buktikan, dalam dunia Arab – sejak era jahiliah hingga kiamat – dialah pemimpin paling jahat, dan bapa bagi segala penghuni neraka!”

Budak penjual air segera mencelah – wajahnya jelas penuh rasa kecewa: “Pulanglah bapa… ibu akan berikan ubat.”

2

“Ayahku,” kata budak penjual air itu: “Adalah perantara jelmaan Rameses Agung. Sejak firaun itu bosan mendiami kuburnya yang dijarah orang setiap tahun, dia kerap mendatangi ayahku. Firaun musuh Nabi Musa itu, sangat rindukan 156 anaknya. Dia tercari-cari – 96 anak lelaki dan 60 anak perempuannya.”

Tiap yang mendengar kisah itu ternganga. Kami duduk di kerusi sambil menghadap kawa panas. Kami nampak terhibur, walaupun keliru dengan kisah-kisah aneh mengenai jelmaan firaun yang diceritakan budak itu. Matanya nampak berkemilau dan penuh cahaya. Malah, sangat bertenaga ketika bercerita mengenai hubungan ayahnya itu dengan Rameses Agung.

“Rameses Agung marah,” katanya budak itu lagi: “Dia raja paling jahat dan dilaknat Allah kerana mahu membunuh Nabi Musa. Jadi, mana mungkin pada zaman ini, ada orang lain digelar mahafiraun. Sedangkan kejahatan mereka, tidak sampai ke tahap mahu membunuh seorang Nabi?”

“Apa sakit ayahmu?” Kami bertanya.

Setelah menghirup sedikit kopi panas – budak itu menjawab: “Dia sihat saja selama ini. Cuma kebelakangan ini, ayahku jadi tidak keruan kerana sering diganggu Rameses Agung!”

Kami hampir ketawa – tetapi budak itu bingkas berkata: “Setelah tiga ribu tahun terkurung di piramid – Rameses Agung sering diganggu mimpi. Dia masih trauma dengan kejadian dirinya ditenggelami ombak besar di Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa.”

“Apa lagi yang pernah diceritakan ayahmu?” Tanya kami.

“Rameses Agung amat kecewa. Setelah gagal membunuh Nabi Musa – jiwanya yang penuh dendam itu, mahu menumpahkan darah ke bumi Damsyik, apabila dia kembali nanti!”

“Kenapa Damsyik?” Kami bertanya: “Bukankah, sepatutnya Rameses itu muncul di Kaherah, kerana kerajaannya dulu di Mesir?”

Budak itu menjawab pantas: “Sebab di Kaherah, tidak ada tubuh yang boleh dia masuki. Tidak ada manusia sekejam firaun di Mesir sekarang!”

Pada malam bulan Jun itu – di bawah langit yang dipenuhi bintang mengerdip – pada tahun 2010 itu – kami ternganga mendengar cerita mengenai Remeses Agung. Kami terkedu apabila mendapat tahu, firaun hebat itu pernah memerintah Mesir Kuno selama 67 tahun. Malah, telah menang perang dan berjaya menakluk Hiiti, Palestin, Libya. Malah, bumi Syria juga.

“Dia mahu kembali ke Damsyik,” kata budak itu: “Dia pernah menakluk Syria, tetapi tidak sempat menjejakkan kaki ke negara ini!”

3

2010

Malam itu, ketika minum-minum di warung kecil di puncak Bukit Qasiyun, sambil menatap lampu-lampu gemerlapan kota Damsyik – kami bertiga termenung memikirkan soal Rameses Agung .

“Memang sah dia jelmaan syaitan,” kata kawan kami: “Pasti hayatnya berpusing-pusing dari zaman ke zaman.”

“Mana mungkin!” Tukas seorang lagi kawan: “Dia sudah mati. Sudah 3,223 tahun mumianya dikurung di piramid….”

“Kamu ini,” kata kawan yang lain: “Bukankah dia memiliki semangat syaitan. Dia yang bernafsu untuk membunuh Nabi Musa. Tentulah selagi jiwa syaitan itu ada… Rameses Agung takkan pernah mati!”

Kami termenung sebentar – dan kawan kami berkata: “Ya.. lagi pun Rameses Agung bermaksud Tuhan Yang Hidup Semula!”

Kini… kami bertiga benar-benar termenung.

4

Lelaki bernama Bashar Assad itu, telah menghantar sepucuk surat kepada budak penjual air. Notanya ringkas: Aku perlukan sepuluh nyawa untuk sarapan, seratus nyawa untuk makan siang dan seribu nyawa lagi untuk makan malam.

Sebalik usai membaca surat - budak itu berkata: “Keluargaku kini huru-hara. Bapaku diganggu firaun. Sekarang, aku pula diganggu Bashar!”

Jadi malam itu, sebaik saja pulang daripada berniaga air minuman di tepi Kota Umayyad – setelah masuk ke dalam rumah – budak itu segera bertanya: “Wahai bapaku… pernahkah firaun meminta nyawa untuk dijadikan makanan?”

Bapanya yang duduk di kerusi goyang, di dalam bilik gelap yang pintunya terlindung di sebalik kain langsir tebal – hanya menjawab: “Ya anakku. Firaun Rameses Agung nampaknya sangat kelaparan.”

“Ooo…,” kata budak itu: “Nasib mereka sama. Rameses Agung juga seperti Bashar Assad – mereka berdua sedang kelaparan!”

5

Mac 2011

Ketika kekacauan bulan Januari mula mencetuskan huru-hara pemberontakan rakyat di jalanan yang menjadikan Tunisia, Algeria dan Mesir bermandi darah – budak penjual air muncul di kafe shisha, lalu duduk di kerusi – berdepan dengan kami bertiga.

“Kata bapaku,” kata budak itu: “Firaun akan datang ke Damsyik pada bila-bila masa. Dia nampak sangat berselera dengan peluang untuk melakukan pembunuhan ramai-ramai di negara kita.”

Kawan kami menyampuk: “Ya… di jalanan orang sudah mula memprotes. Kita akan alami kekacauan Revolusi Cedar, sama macam Tunis, Algiers dan Kaherah.”

“Tapi dengar sini,” kata budak itu dengan tangannya menuding jari ke arah kami: “Apabila tiba di Damsyik – kata ayahku – Rameses akan segera mengunjungi Presiden Bashar Assad.”

“Ayahmu masih sakitkah?” Tanya kami.

Budak itu terus naik angin dan menjadi berang: “Hei! Ayahku tidak sakit, dia adalah utusan firaun Rameses yang sah!”

Kami terdiam.

Melihatkan kami semua terkedu – budak itu meneruskan cakapnya: “Aku juga menerima sepucuk surat dari Bashar.”

Mata kami membuntang lagi – tetapi tidak berani bersuara.

“Kata Bashar,” kata budak itu: “Mulai April hingga tahun-tahun seterusnya nanti, perutnya akan sentiasa kenyang. Beribu-ribu nyawa akan jadi makanan. Dia boleh menikmati seberapa banyak nyawa ketika bersarapan, makan siang dan makan malam!”

Kami hanya mendengar – di jalanan, di luar tembok Kota Umayyad terdengar bunyi dentam-dentum tembakan. Di udara, helikopter dan pesawat terbang dengan bunyi yang amat bingit. Suara orang merusuh di jalanan terus melaungkan-laungkan nama Bashar; terdengar kuat. Gema-gema jeritannya memantul pada dinding tembok Kota Umayyad, lalu menyusup masuk ke lorong-lorong bazar.

6

Disember 2011

“Firaun sudah muncul di Damsyik,” kata lelaki itu: “Dia menuju ke Istana Bashar Assad. Tak lama lagi, Rameses akan memerintah Syria.”

Kami tidak lagi berada di kafe shisha ketika Revolusi Cedar sudah memuncak dan berubah menjadi perang keganasan. Jadi, kisah Remeses muncul di Istana Bashar – hanya diketahui setelah budak itu berkongsi rakaman kenyataan ayahnya di Instagram. Kami bertiga – sejak rusuhan jalanan bertukar jadi perang bersenjata antara tentera Bashar dan penyokong revolusi – sentiasa saja hidup dalam ketakutan.

Kami hanya duduk di rumah; di pinggir Bukit Qasiyun yang deretan kedai dan kafe di puncak bukitnya sudah pun musnah dibom.

“Rameses akan bertemu Bashar,” kata lelaki itu lagi: “Dua jiwa dalam satu jasad akan bangkit menjadikan Syria sehebat empayar The Great Ancestor.”

“Kau tahu apa erti The Great Ancestor?” Tanya budak itu, ketika dia muncul di rumah kami pada satu larut malam – beberapa hari sebelum penghujung tahun.

Kami menggelengkan kepala.

Budak itu memandang terus pada kami sambil menyedut nafas panjang: “Ini bererti, zaman kegemilangan Remeses Agung akan berulang. Pasti akan ada, pembunuhan demi pembunuhan yang besar. Syria akan jadi seperti zaman Nabi Musa. Rameses Agung dan Bashar akan saling bersama; membunuh dan memusnahkan penentangnya di Syria.”

Kami terkedu. Di luar dentuman bom bergema-gema tanpa henti. Disusuri bunyi desingan tanda roket sedang jatuh di perkampungan di luar kota Damsyik. Itu perkara yang sudah berbulan-bulan terjadi – dan kami sudah mulai lali dengan keadaan ini.

7

Jan 2018

Menjelang tujuh tahun sejak bulan Mac 2011 – kami terus terperangkap di lereng Bukit Qasiyun. Kami bertiga – tidak pernah ke mana-mana selain duduk di pondok buruk yang dibina daripada sisa-sisa runtuhan perang. Hanya kami bertiga – seluruh lereng yang dulunya dipenuhi rumah-rumah manusia serta deretan kedai-kedai, kini hanya ditimbuni longgokan batu-bata yang bersepai dan bertaburan. Sesekali – pada malam hari, ketika tiada bunyi dentuman meriam atau deruman roket – kami akan naik ke puncak bukit; melihat lembah Damsyik yang kelam dan suram.

Kami tidak memiliki apa-apa. Kami hidup sebagai pelarian di bumi kelahiran sendiri. Musim panas seluruh kawasan ini jadi berdebu. Kala datang musim sejuk – kami duduk di dalam terowong tepi kaki bukit dan menutup pintunya dengan kanvas tebal yang sudah koyak-rabak.

“Sudah lama budak itu tidak ke mari,” kata kawan kami.

Ketika itu, kelaparan dan cuaca dingin pada hujung tahun, merebak hingga ke bulan Januari. Kebuluran berpanjangan menyebabkan tubuh kami jadi kurus kering,

“Kita akan mati juga nanti,” kata kawan kami: “Cuma belum pasti bila.”

“Ya… kita semua akan mati!” Kami teringat akan kata-kata budak penjual air itu – ketika dia muncul kali terakhir, pada satu hari entah berapa bulan yang lalu.

“Sudah ratusan ribu rakyat yang mati,” kata budak itu: “Malah, berjuta-juta yang lain, telah melarikan diri.”

Kami mendengarkan saja – serta melihat pada tubuh budak itu yang sudah kurus melidi. Tubuhnya yang meleper, kelihatan seperti papan yang dibalut kain kafan.

“Kata ayahku,” kata budak itu: “Firaun sudah tidak lagi mengunjunginya.”

Kami hanya mendengarkan.

“Ayahku pun sudah berbulan-bulan tidak pulang sejak ibuku mati dibom,” kata budak itu.

“Ayahmu ke mana?” Kami bertanya.

“Dia keluar rumah,” jawab budak itu: “Katanya mahu ke Istana Bashar. Dia mahu bertemu Rameses dan menyatakan kemarahannya.”

“Kemarahan apa?” Kami bertanya.

Budak itu menghela nafas panjang dan tidak lama kemudian menjawab: “Dia marah kerana Firaun membiarkan Bashar berkuasa sendirian. Kata ayahku, Rameses Agung yang sepatutnya berkuasa. Dia lebih bijak dan bertimbang rasa berbanding Bashar.”

Kami mendengar saja; rasa lapar yang menjerit-jerit dalam perut, serta bunyi desingan roket membelah udara terasa nyaring – tanda bom sedang dihalakan ke lereng Bukit Qasirun. Tidak lama kemudian, bertubi-tubi bunyi deruman letupan bergema – menyebabkan dinding dan terowong terasa bergegar-gegar. Kami hanya mampu duduk bersandar. Kami tetap berselimut kerana angin musim sejuk terasa sangat menyengat.

Kami tidak lagi berasa takut. Malah, ketika itu – kami teringat akan kata-kata budak penjual air itu.

“Ayahku,” kata budak itu: “Akan memaki firaun kalau ditemuinya!”

“Kenapa?” Tanya kawan kami dengan nada sangat terperanjat.

“Ayahku marah,” jawab budak itu: “Kerana Rameses Agung yang jahat itu membiarkan saja Bashar menjadi lebih kejam berbanding kejahatannya sendiri.”

Kami terdiam. Segera berbaring ketika terasa bunyi letupan bergema tidak jauh dari pintu terowong. Lantai tanah terasa bergegar kuat sekali dan bunyi letupan hampir memecahkan gegendang telinga. Kami berbaring di tanah dan segera berdoa.

“Moga cepatlah kami mati….”

Selang-seli dentuman bom hanya berhenti selepas tengah malam. Setelah berjam-jam sekitar kawasan Bukit Qasiyun bergegar-gegar. Setelah reda – kami segera bangun lalu melepaskan balutan selimut. Waktu itu, kami tersedar – budak itu sudah tiada. Barangkali dia juga telah bergegas pergi dan mencari Bashar.

“Budak itu pasti menyusul langkah ayahnya,” kata kawan kami: “Dia sendiri kelihatan sangat lapar. Dia akan pergi ke Istana Bashar untuk bersarapan, makan siang dan makan malam. Di sana, Bashar pasti menyambutnya dengan menghidangkan banyak nyawa!”