Ikmal benar-benar dilanda ombak gelisah. Resah dan serba salah dibuatnya. Kiri kanan kepalanya terasa berdenyut-denyut. Bagai digigit penyengat hitam yang banyak bersarang di pokok dokong di kiri tanah dusun itu. Memanglah kata-kata abangnya itu begitu mudah disusun. Kemudian, begitu mudah pula meluncur laju, keluar melalui kedua-dua bibirnya. Namun, tidak begitu baginya.

Bagi Ikmal, tanah dusun itu terlalu banyak jasanya. Jasa kepada datuknya. Jasa kepada arwah ayahnya. Dan paling berjasa kepada dirinya sendiri. Tanah dusun itulah yang mengajarnya memahami erti kehidupan. Terutamanya erti kehidupan sebagai seorang petani yang tidak jemu-jemu menabur budi kepada tanah. Ikmal sedar betapa remaja sekarang sudah terlalu asing dengan amalan berbudi kepada tanah ini. Walaupun ayah, datuk, nenek atau moyang mereka adalah seorang yang sangat berbudi kepada tanah dan mempunyai hubungan yang sangat erat dengan tanah, sejak turun temurun. Lebih menyedihkan lagi, apabila kedengaran suara-suara sumbang daripada masyarakat sekeliling yang mempertikai, malah tidak kurang pula yang memperlekehkan jika terdapat anak muda atau remaja yang sanggup bergelumang dengan tanah ini. Namun, Ikmal tidak pernah mempedulikannya!

Ikmal sedar betapa banyak dan berharganya ‘ilmu petani’ yang dapat dipelajarinya daripada tanah dusun itu. Dia mengenali pelbagai nama tumbuh-tumbuhan, bukan sahaja tumbuh-tumbuhan yang ditanam, malah tumbuh-tumbuhan hutan yang selama ini terlalu asing bagi remaja sepertinya. Dia juga sudah mampu menguruskan kerja-kerja menyemai, menanam, membaja dan meracun. Di samping mengesan musuh-musuh dan penyakit yang sering menyerang pokok tanaman, selain menilai tahap kesihatan pokok. Malah, dia sudah mampu menilai kualiti hasil pokok-pokok tanaman.Walaupun bidang pengajiannya di universiti, terlalu jauh daripada bidang pertanian yang diminatinya ini.

Lebih membanggakan lagi, Ikmal sudah tidak kekok lagi berbicara, atau berhujah tentang dunia petani dan pokok-pokok tanaman ini dengan ‘rakan-rakannya’ yang jauh lebih dewasa sama ada dari segi usia atau pengalaman menguruskan kerja-kerja berkaitan pertanian. Malah ada pula, rakan-rakan dewasanya itu yang tidak pernah berasa rendah diri atau malu untuk meminta pandangan, panduan atau nasihat daripada Ikmal tentang ‘ilmu pertanian’ ini. Semua ilmu itu dipelajari dari ‘sekolah dusun’ ayahnya itu. Ditambah lagi dengan minat dan kegemarannya mencari pelbagai maklumat tambahan lain yang boleh didapati daripada laman-laman web di Internet.

“Tanah dusun ini bukan sekadar dusun biasa, malah sudah menjadi dusun cinta ayah dan keluarga kita.”

Walaupun Ikmal hanya membisu tatkala dia mendengar ayah menuturkan kata-kata itu, namun di sudut hatinya dia dapat menyelami hati, jiwa dan perasaan ayah. Perasaan cinta dan sayangnya ayah kepada tanah dusunnya itu. Dusun yang diusahakan dengan titik peluh ayah dan datuk yang bukan sedikit tumpah ke tanah sebelum berjaya memperolehnya. Malah, terlalu banyak ranjau yang terpaksa ditempuhi ayah dan datuk, sebelum tanah dusun itu diberikan geran hak milik kekal oleh pihak berkuasa. Begitulah cerita ayah yang sering didengari oleh Ikmal. Bagaikan ayahnya mahukan tanah dusun itu terus kekal menjadi milik keluarganya sampai bila-bila.

Pernah ayah bercerita betapa asalnya tanah ini adalah hutan rimba. Dihuni oleh pelbagai hidupan liar seperti babi hutan, ular, harimau, gajah dan pelbagai hidupan liar yang berbisa serta menakutkan. Tidak ada sesiapa pun yang berani untuk menerokanya, walaupun diberikan secara percuma. Apatah jika dikenakan bayaran untuk mengusahakan tanah yang terletak di kaki Banjaran Nakawan dan bersempadan dengan negara jiran itu. Kata ayah, beberapa orang rakan datuk telah menolak pelawaannya untuk bersama-sama meneroka tanah tersebut kerana tidak sanggup menghadapi risiko dibaham binatang buas. Namun, datuk tetap bertekad. Biarlah seribu halangan pun, dia tetap juga akan meneroka dan mengusahakan tanah ini. Tanah ini sangat sesuai untuk dijadikan tanah dusun. Selain kedudukannya yang sangat strategik kerana jaraknya begitu hampir dengan kawasan air terjun. Malah, laluan asal ke tanah itu juga sudah tersedia, walaupun sekadar laluan atau lorong untuk pejalan kaki.

“Tapi… ayah terlalu cintakan tanah dusun ini.” Ikmal cuba meluahkan isi hatinya, sebaik sahaja Ihsan memberitahu keputusannya untuk menjual tanah dusun ayah itu tanpa berunding dengannya terlebih dahulu.

“Yalah, semasa ayah masih ada. Tentulah ayah sayangkan hartanya. Sekarang, ayah dah tak ada. Kau sanggup mengusahakannya seorang diri. Bukan mudah mengendalikan tanah dusun yang jauh dari rumah kediaman macam tu. Lainlah kalau kita menetap di situ. Lagipun, pada masa sekarang hasil tanah dusun sudah tidak berbaloi dengan modal dan tenaga yang kita keluarkan. Nak makan durian, cempedak, rambutan atau buah-buahan tempatan lain, belikan saja di pasar sehari atau pasar malam. Buat apa nak menghabiskan masa dan tenaga untuk mengusahakan dusun sendiri, kalau lebih banyak ruginya daripada untung? “ Ihsan terus berhujah, membuatkan fikiran Ikmal menjadi keliru.

Mata Ikmal kembali melerek ke arah deretan pokok-pokok yang terdapat di tanah dusun pusaka ayahnya itu. Durian, manggis, cempedak, dokong, rambutan, petai, jering dan pelbagai tanaman lagi menyarati penglihatannya. Perlahan-lahan dia menghala pula matanya ke arah ‘kebun sayur’ yang terletak tidak jauh dari situ. Terdapat pelbagai pokok ulam-ulaman dan sayur-sayuran. Segar-bugar hidupnya di situ.

Ikmal faham benar dengan sikap ayahnya yang tidak pernah jemu-jemu, menanam dan menjaga segala tanaman di dusunnya. Menjadikan pokok-pokoknya itu sentiasa subur dan segar. Ulam-ulaman dan sayur-sayuran itulah ramuan menu hidangan ayah saban hari, setelah ayah berpeluh-peluh dan berpenat-lelah membersih dusun, menyiram tanaman, menyembur racun serangga atau menabur baja. Emak tidak perlu lagi memikirkan menu kegemaran ayah. Ikan haruan kering bakar bikinan ayah sendiri, sayur manis rebung madu dicampur bayam segar, ulam raja dan sambal belacan sudah mencukupi. Dihidangkan pula dengan nasi yang masih berasap. Menu ringkas begitu ternyata sudah mampu untuk memecahkan selera ayah. Memberikan ayah cukup tenaga dan kesihatan bagi membolehkannya terus mengusahakan dusunnya tanpa sebarang gangguan kesihatan.

Lenguh duduk di atas tangga pondok setinggi kira-kira lima kaki itu, Ikmal bangun. Dia berjalan mengelilingi pondok beratap nipah dan berdinding papan itu. Namun, matanya masih tidak beralih daripada pokok-pokok tanaman di dusun ayah. Pandangannya beredar dari satu pokok ke satu pokok yang lain. Seolah-olah dia sedang menghitung pokok-pokok yang hidup subur di atas tanah yang sentiasa dijaga sempurna oleh ayah. Ayah sememangnya mengambil berat tentang hal-hal kebersihan dusunnya yang seluas kira-kira lima ekar itu.

“Kita berdusun ini, bukan untuk mendapatkan hasilnya saja. Malah, kita memerlukan keindahan pemandangan, ketenangan jiwa, kenyamanan dan kesegaran udaranya. Semua ini akan menambahkan rasa cinta kita kepada tanah dusun.”

Ikmal mengangguk, mendengar kata-kata ayah itu. Sememangnya begitulah sikap ayah yang terasa sukar untuk dilupainya. Ayah seorang yang rajin, tekun dan kuat bekerja. Mementingkan kebersihan dan ayah juga amat menitikberatkan keindahan pemandangan di dusunnya. Pokok-pokok ditanamnya mengikut barisan yang tertentu. Memudahkan dia melihat ke semua arah dalam dusunnya dengan cepat. Malah, semua pokok yang ditanam ayah di dusunnya itu akan dilabelkannya dengan mencatat nama pokok dan tarikhnya ditanam.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdenting. Ikmal faham benar dengan bunyi dentingan seperti itu. Dia segera mencapainya dan segera menekan butang untuk membaca mesej daripada Ihsan yang tercatat pada skrinnya.

“Assalamualaikum! Kita akan bersama-sama menjaga dusun pusaka ini.”

Ikmal terkedu. Namun, ada riak gembira pada wajahnya.