Adakah kerana semakin banyak acara berskala kecil dan sederhana di seluruh negara, lalu membuat karyawan dan aktivis yang berkaitan, penat dan bosan?

Di tengah-tengah krisis ini, seorang penulis veteran terkenal pada tahun lalu, mencadangkan penganjuran Hari Sasterawan Malaysia pula.

Menerusi artikelnya, Hari Sasterawan Malaysia yang disiarkan dalam akhbar ini, penulis tersebut mengesyorkan agar Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) merancang penganjuran satu pertemuan atau perhimpunan khas secara besar-besaran yang katanya boleh sahaja diberi nama Hari Sasterawan Malaysia, atau lain-lain yang lebih hebat daripada Hari Sastera.

Tambahnya, program sastera besar-besaran itu akan dapat mempertemu dan menjalinkan silaturahim semua lapisan individu yang pernah terlibat dalam bidang persuratan, sasterawan, novelis, cerpenis, penyair, penulis skrip drama, penulis akademik, penulis agama, penulis politik, wartawan, editor, wakil penerbit, kartunis dan lain-lain.

Menurutnya lagi, program sedemikian sesuai diadakan selama tiga hari agar banyak kegiatan bermanfaat untuk para penulis setiap bidang dapat dilaksanakan.

Mana-mana penulis, katanya, layak diberi peluang membuka laman penjualan buku atau untuk pameran selain bertukar-tukar karya.

Dengan demikian, tambahnya, penulis sendiri boleh menurunkan tanda tangan dan autograf sebagai tanda kenang-kenangan kepada pembeli sambil berkenalan.

Dari mula hingga yang terakhir, Hari Sastera memang dijalankan secara serius. Walau bagaimanapun, penulis tersebut mencadangkan sebaliknya.

Baginya, acara besar itu wajar dijalankan secara santai, tidak terlalu rasmi, tetapi masih bermanfaat kepada semua penulis. Maksudnya, tiada dinding yang memisahkan semua penulis dan bidang penulisan.

Selama ini, menjadi lumrah pelbagai program sastera berskala kecil dan besar diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh para pemakalah undangan.

Dalam cadangan sebaliknya, penulis itu meminta hanya beberapa sesi forum untuk membuka ruang dan peluang kepada penulis sebagai pengisian.

Forum tersebut, katanya, boleh diberikan khusus kepada para editor akhbar dan majalah, serta wakil-wakil badan penerbitan yang amat berkaitan dengan penyiaran karya.

Meraikan

Demi sambutan hangat untuk Hari Sasterawan Malaysia, dia berharap penganjur dapat mengatur kaedah promosi yang berkesan.

Biarpun kaedah perhubungan hari ini semakin canggih dan laman sosial kian meluas, dia berharap penganjur menggunakan kaedah mengundang penyertaan menerusi surat rasmi yang disusuli panggilan telefon.

Baginya, surat rasmi lebih menyentuh perasaan. Dia juga berharap kerajaan dapat mengiktiraf Hari Sasterawan Malaysia sebagai hari cuti am.

Katanya, tidak mustahil kerajaan boleh memberi pengiktirafan sedemikian seperti yang diberikan kepada 1 Mei setiap tahun sebagai Hari Pekerja. Dia berharap pihak yang paling relevan seperti Gapena dapat memohon dan membuat ‘desakan’ itu.

Saya tertarik dengan cadangan itu meskipun telah lama diutarakan. Pertamanya tentulah kerana cadangan penulis itu, Nawawee Mohammad masih belum mendapat sambutan sama ada setuju atau sebaliknya walaupun selepas beberapa lama berlalu.

Diharap kerajaan berminat melayan atau memenuhi impian Nawawee itu? Meskipun nasib yang menimpa Hari Sastera dan Hari Puisi Nasional bagaikan telah memberi jawapan, kita tidak mahu keadaan sedemikian.

Kita berharap kerajaan sangat berminat, cuma belum menemui waktu yang sesuai untuk menyatakan persetujuan.

Benarkah sistem pendidikan negara kita tidak mementingkan seni sastera budaya – bukan subjek exam oriented sehingga kesannya boleh sama-sama kita lihat sekarang. Pelbagai anugerah menghargai bakat di negara kita lebih banyak serta lumayan 
untuk bidang hiburan dan penggiatnya.

Jumlah hadiah untuk juara program realiti televisyen lebih besar daripada hadiah untuk penulis semua peringkat, malah Sasterawan Negara juga!

Jika mengikut cadangan Nawawee, Hari Sasterawan Malaysia bakal menjadi acara 
yang bukan calang-calang/sembarangan.

Memang ada pemimpin kerajaan yang meminati sastera budaya, malah turut berkarya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir misalnya sudah lapan tahun menyokong dengan kuat penganjuran Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) Pangkor. Memang beliau anak kelahiran dan ADUN Pangkor. Namun demikian, jika tiada minat mendalam, tidak akan ada Pulara Pangkor 1 hingga 8 setakat ini.

Adakah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia akan peduli? Nampak remeh, tetapi barangkali ada benarnya mereka yang mempersoalkan perkataan pelancongan mendahului kebudayaan pada nama kementerian itu.

Kata mereka, itu sahaja sudah menunjukkan kedudukan kebudayaan dalam negara kita. Tambah mereka, kegiatan dan produk kebudayaan hanya dijadikan komoditi untuk memajukan industri pelancongan, bukan diangkat dengan ikhlas tanpa mengharapkan keuntungan.Diharap perkara negatif itu tidak benar/tidak wujud.

Ada juga yang bertanya mengapa tiada liputan siaran langsung majlis Anugerah Sastera Negara (ASN) yang menobatkan Sasterawan Negara (SN) menerusi televisyen. Mungkin Kementerian Komunikasi dan Multimedia ada jawapan yang konkrit.

Memang terasa aneh kerana negara kita sudah ada 13 SN! Jika majlis sebesar ASN pun terpinggir, apatah lagi acara lain yang lebih kecil. Apakah SN itu tidak penting dan bukan tokoh besar negara, sebagaimana tokoh sukan, 
guru, agama, hiburan, dan lain-lain?

Sementelah Malaysia sudah terlalu banyak hari cuti umum, mahu ditambah dengan Hari Sasterawan Malaysia pula.

Bersediakah rakyat Malaysia untuk menghadapi/melayani satu lagi hari cuti? Namun demikian, saya fikir cuti untuk meraikan Hari Sasterawan Malaysia bukan cuti yang sia-sia!