“Marina sudah ada teman baru. Saya rasa tak selesa,” sambung Alwi.

“Cari saja perempuan lain, Alwi. Masih ramai yang belum berpunya di luar sana,” jawab Husna sambil meneruskan eksperimen.

“Tak boleh Husna, saya terlalu sayangkan dia,” jawab Alwi masih tidak berpuas hati.

“Dia tak pernah kenal awak, Alwi. Awak hanya bertepuk sebelah tangan. Kalau awak tak berani nak tegur dia, dia tak akan tahu siapa awak sampai bila-bila,” jawab Husna sambil menggelengkan kepala.

“Inilah sebabnya saya lakukan semua eksperimen ini, Husna. Ini semua untuk Marina!”

Alwi tidak mahu mengalah.

“Apa kaitan eksperimen yang kita buat ini dengan Marina? Saya tak faham,” Husna sedikit keliru.

“Masa lampau tersimpan dalam otak kiri dan masa depan tersimpan dalam otak kanan.

“Kita dah berjaya buktikan semua itu dalam eksperimen. Saya mahu awak jadikan saya bahan 
ujikaji untuk eksperimen seterusnya. Saya mahu lihat bagaimana hubungan saya dengan Marina jika saya mula bercakap dengannya esok,” Alwi mendesak.

“Alwi, ini cuma eksperimen. Jangan campur adukkan kehidupan realiti awak dengan kerja-kerja di makmal. Kajian ini masih di tahap permulaan. Masih belum sesuai digunakan oleh sesiapa,” jawab Husna tidak bersetuju.

“Saya harus tahu semuanya sebelum saya mula bercakap dengan Marina.”

“Alwi, hiduplah seperti seorang manusia biasa. Berikan masa untuk diri awak dan Marina untuk mengenali hati masing-masing.

Jika sesuai bersama, teruskan. Jika tidak berjaya, teruskan kehidupan dengan orang lain,” Husna cuba memujuk.

“Saya perlu tahu Husna, saya mahu lakukannya sekarang,” Alwi terus sahaja mengambil dan memakai radas seumpama topi keledar yang mereka gunakan untuk kajian otak kiri dan otak kanan yang mereka lakukan sejak hampir dua tahun lepas. Dia memasang beberapa suis di panel kawalan dan terus duduk di kerusi yang disediakan. Husna hanya terkedu. Alwi adalah antara seorang ahli penyelidik yang terbaik di dunia dalam bidang kajian otak, tetapi ada kalanya Husna sendiri tidak pernah faham dengan perangai Alwi yang tidak sabar.

Gelombang otak Alwi sudah semakin menurun. Husna memeriksa panel kawalan untuk memastikan semua bacaan biologi tubuh Alwi adalah terkawal.

Alwi sudah masuk ke gelombang otak delta. Menurut kajian beberapa pakar otak, gelombang delta membolehkan minda seseorang meninggalkan tubuh fizikal mereka dan bergerak merentas ruang dan masa tanpa sebarang halangan yang selalu ada dalam dunia nyata.

Ini bermaksud, Alwi boleh bergerak ke masa lampau atau masa depan dan berada di mana-mana lokasi alam semesta yang dia mahu dalam dimensi yang diselaraskan oleh sejenis peranti.

Alwi mengambil satu peranti di dalam koceknya. Peranti itu boleh menyelaraskan tenaga kosmik di sekitarnya untuk sampai ke destinasi dan waktu yang dikehendaki. Niatnya mahu menemui Marina sepuluh tahun dari waktu sekarang. Setelah diselaras, Alwi menutup mata dan menekan butang utama peranti itu.

Sebaik sahaja Alwi membuka matanya semula, dia sudah berada di makmalnya semula sepuluh tahun akan datang. Kelihatan Husna sedang memantau panel kawalan.

“Alwi, rehat dulu untuk hari ini dan esok. Kita adakan ujikaji semula selepas 24 jam,”pesan Husna ketika dia menanggalkan peralatan di kepala Alwi. Peralatan di kepalanya kini sudah agak kecil dan lebih mudah untuk ditanggalkan. Mungkin selepas sepuluh tahun, mereka berjaya mengubahsuai alat tersebut menjadi lebih baik.

“Terima kasih Husna,” jawab Alwi. Agak banyak juga yang berubah di makmal itu.

Beberapa peralatan telah bertukar baru. Nampaknya mereka telah mendapat dana yang lebih banyak untuk kajian.

Alwi terpaksa melupakan semua peralatan yang ada di makmal itu. Dia cuma ada 24 jam sahaja untuk mengetahui apa yang berlaku kepada Marina. Sepantas kilat, Alwi keluar dari makmal untuk mencari Marina


****

“Alwi!” jerit Marina ketika Alwi baru sahaja keluar dari makmal.

“Kenapa awak nampak terkejut? Tak ingat..., saya kata saya akan jumpa awak di makmal pagi tadi?” Tanya Marina sebaik sahaja dia menghampiri Alwi.

“Entahlah Marina, mungkin ujikaji tadi tidak berjalan lancar. Mungkin ada banyak lagi yang saya dah lupa. Saya akan minta Husna muat naik semula beberapa memori yang telah hilang nanti,” jawab Alwi. Marina tersenyum.

“Saya tak faham kenapa awak masih mahu teruskan eksperimen ini. Ada banyak kerja lain yang awak boleh buat. Semakin lama awak luangkan masa di makmal ini, semakin banyak yang awak lupa. Awak masih ingat pertama kali kita bertemu dan janji-janji awak? Awak tak tunaikan semua janji-janji awak selepas kita kahwin,” Marina mula merajuk

“Kita dah kahwin?” Alwi terkejut tetapi ketawa sedikit.

“Alwi, awak tak ingat kita dah kahwin?” Marina semakin berang.

“Minta maaf Marina, saya tak berniat nak lukakan hati awak. Cuma eksperimen ini mungkin telah mengganggu memori saya,” jawab Alwi. Jauh di sudut hatinya dia gembira kerana berjaya mengahwini Marina yang menjadi pujaan hatinya selama ini.

“Kita dah tidak tinggal sebumbung selama dua tahun. Saya mahu bercerai. Ini dokumen dari peguam, awak hanya perlu tandatangan. Saya uruskan semua pembayaran,” jawab Marina sambil menghulurkan sebuah sampul surat
“Bercerai? Awak tak bahagia bersama saya? Saya sentiasa cintakan awak selama ini, bagaimana semua ini boleh berlaku?” Hati Alwi membengkak.

“Mungkin kita dua manusia yang terlalu berbeza. Saya tidak pernah faham dengan kerja awak. Sanggup bersusah payah mencari dana untuk meneruskan kajian. Saya mungkin akan lebih gembira jika awak kerja dalam bidang yang lain macam orang lain, kumpul duit, beli rumah yang lebih besar,” Marina mula mengalirkan air mata.

“Kajian ini adalah hidup saya, Marina. Bayangkan jika kita boleh merentas masa dan lihat apa yang berlaku di masa hadapan, kita boleh komersialkan teknologi ini,” jawab Alwi.

“Sepuluh tahun dahulu awak cakap benda yang sama. Tapi sampai sekarang saya tak nampak sebarang kemajuan. Awak masih memandu kereta yang sama, awak juga masih tinggal di rumah flat yang sama. Apa gunanya kerja keras kalau awak tak dapat hidup dengan lebih selesa?” Marina semakin marah. Alwi terkedu.

“Tandatangan dan hantar dokumen ini kepada saya esok,” desak Marina walaupun Alwi tidak mahu mengambilnya. Marina menarik tangan Alwi dan meletakkan dokumen itu ke atas tangannya sambil berlalu pergi.

Alwi terkaku seketika. Jelas sekali hubungannya dengan Marina terputus di tengah jalan.

Dia sudah mendapat jawapan yang dicarinya. Alwi berjalan kembali ke makmal.

****

“Alwi, bangun!” Husna cuba mengejutkan Alwi. Bacaan biologi Alwi di panel kawalan menunjukkan kadar denyutan jantung yang lebih laju dari biasa. Suhu badan Alwi juga naik secara mendadak. Husna membuat keputusan untuk menghentikan eksperimen itu atas sebab-sebab keselamatan.

“Husna!” Alwi terjaga sambil menyebut namanya. Dada Alwi berombak kencang.

“Alwi, tarik nafas dengan tenang. Saya terpaksa panggil awak kembali. Bacaan biologi awak tidak normal,” jawab Husna. Dia masih memantau panel kawalan. Alwi bangun dan menanggalkan radas yang ada di kepalanya.

“Apa yang berlaku?”Tanya Husna sambil memeriksa rentak jantung Alwi menggunakan stetoskop.

“Saya tak berjaya pergi ke masa hadapan. Saya mengalami mimpi buruk, itu sahaja.”

Alwi tidak mahu berkongsi pengalamannya dengan Husna.

“Awak perlu balik berehat. Jika awak benar-benar sukakan Marina, nyatakan sahaja perasaan awak kepadanya. Mana tahu awak mungkin boleh berjaya. Walau apapun yang awak lihat tadi, mungkin hanya ilusi. Jangan percaya sepenuhnya. Mungkin juga hanya mimpi,” Husna memberi semangat.

Alwi terus bergerak meninggalkan makmal itu. Pengalaman malam itu membuatkan perasaan Alwi terhadap Marina berbelah bahagi. Ada benarnya kata orang tua-tua, jika kita tahu apa yang berlaku pada masa hadapan, kita tidak akan hidup dengan sepenuhnya pada waktu ini.