Seusia sebegitu, saya mencari-cari perwatakan kanak-kanak persis sahabat sebaya yang lain dalam diri saya. Tatkala resah tidak ketemuinya, semilir angin seolah berhembus di bahagian telinga. Saya terasa seperti ada suara mengajak bermain di laman sejarah. Sejarah sebegitu jujur menghantar saya ke kampung Durian Sebatang lalu menumbuhkan pesona. Dan akhirnya saya benar-benar jatuh cinta pada sejarah. Tentang perasaan yang sukar digambarkan begitu menjadikan saya sudah tidak mempedulikan permainan video yang dicipta kapitalis Barat. Ketika itu saya masih bersekolah dan kisah-kisah tentang Pasir Salak selalu saya temui dan tekuni di perpustakaan. Artikel jurnal berjudul Pembunuhan J.W.W. Birch: Satu Kajian Tentang Pembunuhnya berkali-kali saya selak, membaca kembali tentang peristiwa sejarah Pasir Salak serta memasuki ke alam itu untuk merasai kehangatannya. Perbincangan tentang figura sebenar yang membunuh J.W.W Birch menjadi intipati artikel jurnal ini. Oh, saya masih kelaparan, menagih kajian-kajian seperti ini, membaca keintelektualan para sarjana dalam mengisi kelompangan kajian lampau.

Lama-lama saya memendam mengimpikan merasai sendiri kebenaran semilir angin di tebing Sungai Perak dan mencium harum tanah Pasir Salak. Usai sahaja pengajian dalam pengkhususan Sejarah Tempatan, saya tidak pernah berhenti berharap dalam setiap temu duga yang saya hadiri. Sehinggalah Tuhan kabulkan pengucapan yang saya kirimkan selepas solat, lalu melorongkan saya menjejak tanah Pasir Salak. Saya menerima tawaran sebagai seorang Pencatat Sejarah di Pasir Salak dan memilih untuk menginap di sebuah kampung. Kalau boleh saya mahu menyerap roh-roh sejarah yang ada. Angin yang begitu ramah menyambut saya ke sebuah perkampungan yang dikelilingi pohon-pohon tegap meninggi yang terletak di wilayah Pasir Salak, wilayah yang turut membentengi Sungai Perak.

“Benarkah J.W.W Birch hidup semula?” saya menyoal penuh minat. Sebagai Pencatat Sejarah, saya tidak mahu mencicirkan segala yang terpenting untuk tatapan legasi seterusnya. Sejak perubahan kuasa pemerintahan beberapa bulan yang lalu, saya perlu akui setiap hari saya tidak terlepas daripada mencatat segalanya tentang sejarah. Sejarah sedang diraikan!

***

James Wheeler Woodford Birch hadir bersama keangkuhan yang turut tergantung di hujung misainya yang melentik. Tanah Pasir Salak dijejaknya pada Januari 1874 selepas Perjanjian Pangkor ditemeterai dengan segala muslihat yang tersimpan dalam kocek. Petang itu, angin menderu melingkar-lingkar di kampung Durian Sebatang. Sesekali arus Sungai Perak berkocak-kocak.

***

Namanya Birch. Jason Watson Woodfood Birch. Kehadirannya sebagai pelabur asing yang begitu berminat menambahkan rangkaian kedai kopinya di negara ini. Dia akan membuka sebuah rumah kopi yang bercitra moden demi kesejahteraan penduduk setempat- Rumah Kopi Birch.

Rumah kopi hipster milik Birch menggantikan warung kopi tempatan yang sekian lama merakam gelagat penikmat tegar kopi tempatan. Ada cahaya kemegahan yang memancar-mancar di setiap sudut rumah kopinya tanpa satu pun bercahaya malap. Pandangan saya terberhenti ketika berlanggar dengan pandangan Birch ketika ralit memandu pandangan dari sudut ke sudut. Birch menguntum senyum sambil memintal-mintal hujung misainya yang melentik.

“Maaf, rumah kopi saya sudah mahu ditutup. Waktu urus niaga sudah tamat.”

“Oh, tidak mengapa, saya sekadar mahu melihat rumah kopi yang menggantikan warung kopi milik bangsa saya.”

***

Kehadiran Residen J.W.W Birch sebagai raksasa rakus yang menggigit istiadat orang Melayu dan mengunyah kesantunan berbahasa begitu dibenci pembesar-pembesar negeri Perak.

“Tuanku Sultan perlu menurunkan tanda tangan pada warkah pengesahan penyerahan kuasa ini sebagai persetujuan tuanku melantik orang Inggeris dalam segala hal memungut cukai.”

“Jika beta tidak mahu juga, apakah yang akan dilakukan oleh orang-orang Inggeris?”

“Jika tuanku berkeras hati juga, usah tuanku bermimpi untuk menjadi sultan negeri ini lagi!”

***

Rumah Kopi Birch yang selalu memanggil-manggil untuk disinggahi betul-betul terletak di persimpangan jalan, berdekatan jalan masuk ke kampung kami. Minuman kopi asli dari luar negara dan kopi campuran yang beraneka benar-benar mengujakan para pelanggan yang menyinggah. Setiap kali mencicip, terasa seperti sedang asyik dilamun cinta. Aroma kopi yang pekat mengepung deria hidu-tak tertahan. Kerenyahan memikirkan perihal masalah dilupakan tanpa sengaja. Begitu sekali kenikmatan yang diajari Birch kepada penikmat-penikmat kopi di rumah kopinya. Dan mereka pun berhalusinasi dengan dunia rekaan seberapa lama sehingga tidak sedar mereka membayar puluhan ringgit untuk secawan kopi.

“Sebegitu mahal kopi di rumah kopi tuan, tidak setara dengan hanya secawan kopi.”

“Saudara harus tahu, biji-biji kopi ini ialah biji-biji kopi yang terpilih dan dibawa nun jauh dari luar negara. Terlalu banyak cukai yang dikenakan dan ekonomi menyabitkan saudara dan penikmat kopi lain sebagai penerima implikasi. Jika saudara merasakan harganya mahal, salahkan ekonomi dan bukannya Rumah Kopi Birch!

***

“Beta kira, kita harus menakutkan manusia durjana, Birch dengan bermain hantu!”

“Bagaimana jika Bandar Baru diserang dan Birch dibunuh ketika itu?” Dato’ Sagor cuba berpandangan.

“Birch terlalu melampau. Kita racunkan sahaja orang Inggeris yang tiada malu ini,” Laksamana mengemukakan idea.

“Birch sepatutnya ditikam sahaja. Biar darahnya menjadi amaran kepada orang Inggeris yang lain bahawa tanah ini jangan sesuka hati diperbuat mereka,” Maharaja Lela menyuara rasa.

***

“Saya sebagai Pencatat Sejarah begitu terluka melihat fenomena anak bangsa yang keterpaksaan membayar cukai berlebihan di Rumah Kopi Birch.”

“Saya tidak fikir Rumah Kopi Birch memudaratkan. Biarkan sahaja Rumah Kopi Birch mengalukan-alaukan kehadiran orang ramai ke kampung kita.”

“Bukan begitu, penghulu. Kita sebenarnya tidak mahu sejarah berulang kembali dan kita menanggung rasa kesal yang tiada sudah.”

“Perlukah kita menekuni sejarah Pasir Salak semula untuk membunuh Birch zaman milenium ini seperti yang dilakukan Maharaja Lela?” soal penghulu yang memohon pandangan.

Bagi saya, menekuni sejarah adalah adat kebijaksanaan yang harus dijulang tetapi mengulanginya harus ditimbang-tara dengan kewarasan yang tak terhalang. Oh ya, wahai penghulu budiman, sebenarnya bukan Maharaja Lela yang membunuh Birch dalam catatan sejarah Pasir Salak.”

“Wah, sebegitu falsafah saudara Pencatat Sejarah, sebagaimana pula cadangan saudara untuk membunuh muslihat si Birch yang benar-benar menimbulkan amarah saudara Pencatat Sejarah?”

“Kita bangunkan kembali warung kopi tempatan dengan inovasi dan pengurusan yang lebih cemerlang daripada tangan-tangan anak watan.”

“Seperti kopi ginseng dan tongkat ali?”

“O...itu terlalu biasa, penghulu.”

“Wahai saudara Pencatat Sejarah, membadai burung atas langit, merendah diharap jangan.”

“Penghulu, dalam konteks ini, maruah jati diri kita bukan sekadar harus melangit, tetapi perlu menerobos ruang angkasa. Sampai bila kita hendak membaca sejarah tentang bangsa kita ditindas di tanah sendiri. Sebegitu sahajakah kemampuan bangsa kita, menyerah dan mengalah tanpa sudah. Kita perlu mencipta sejarah peradaban bangsa yang muluk-muluk!”

“Kamu hanya seorang Pencatat Sejarah yang dihantar oleh kerajaan untuk berkhidmat di kampung ini. Kamu juga hanya menumpang di sini. Sebegitu sekali kamu berfikir seolah-olah mahu mendahului saya sebagai penghulu di kawasan ini. Negara kita sudah mencapai kemerdekaan dan tiada apa lagi yang perlu dikhuatirkan. Persoalan tentang bangsa siapa ditindas adalah hal yang sangat merapu untuk dihujahkan pada abad kini.”

“Penghulu perlu menyelidik sendiri, cukai yang dikenakan di Rumah Kopi Birch terlalu melampau.”

“Biasalah, nama pun rumah kopi hipster. Sekurang-kurangnya Rumah Kopi Birch membawa warna baharu dalam wilayah Pasir Salak ini.”

“Penghulu tidak boleh melihat perkara ini dengan pandangan yang enteng.”
 Suasana menjadi tegang biarpun tiada lagi suara bertemu suara di ruang tamu rumah penghulu. Terasa ada sebilangan jarum mencucuk-cucuk hati saya ketika itu. Saya cuba memperihalkan yang benar-benar sahaja, kerana sejarah mampu sahaja berulang. Ketika hanya diam yang mengisi ruang, ada suara memanggil-manggil penghulu di luar rumahnya.

“Penghulu, perniagaan Rumah Kopi Birch kita tidak dikunjungi orang lagi. Kita kerugian dan sekarang saya mahu menuntut bahagian saya yang belum penghulu lunaskan. Saya sudah mendahulukan wang saya untuk mempersiapkan Rumah Kopi Birch dengan sebegitu indah.”

Penghulu masih tidak bersuara tetapi matanya berjegil lama. Pandangannya betul-betul menghala tepat bola mata Birch. Saya dan beberapa orang penduduk kampung yang asalnya mahu berbincang tentang Rumah Kopi Birch yang tidak wajar tumbuh di tanah Pasir Salak terus meluru ke halaman rumah, seraya menggeleng-gelengkan kepala kami. Patutlah bahasa penghulu seperti tidak gramatis dengan segala macam yang cuba kami pertahankan.

***

Mayat Birch ditemukan di Sungai Perak sejauh 182.9 meter dari tempat beliau dipercayai dibunuh. Mengikut cerita-cerita yang merayap di dalam kampung, Birch direjam lembing oleh Pandak Indut, Kulup Ali, Ngah Jabor dan Panjang Bur ketika sedang mandi. Seketika selepas itu, Tuhan masih meminjamkan nyawa kepada Birch sebelum Se Tuah menikam dengan lembing dan Seputum menetaknya.

***

Akhirnya, Rumah Kopi Birch yang mengganggu-gugat jati diri rakyat marhaen menemui penghujung riwayat. Tiada sebarang rasa megah menumpangkan rumah kopi hipster di penjuru tanah leluhur. Yang lebih menggalaukan ialah pengertian kemerdekaan dalam jiwa anak-anak tanah kelahiran. Kebimbangan tetap menular biarpun secara lahiriahnya, kemerdekaan itu masih diwarisi.

Penghulu didapati bersalah dalam merencana muslihat membebankan pengunjung Rumah Kopi Birch dengan nilai cukai yang tidak berpadanan. Selain itu, kopi yang disajikan yang sememangnya bukan biji kopi tempatan mengkhayalkan sehingga penikmat kopi di Rumah Kopi Birch terasa seperti di awang-awangan sehingga sanggup membayar secawan kopi dengan harga yang tidak munasabah sebelum mereka benar-benar menyedarinya. Penghulu juga menggunakan kuasa penghulunya dengan menyediakan tapak untuk mendirikan Rumah Kopi Birch sedangkan tapak tersebut merupakan tanah milik penduduk kampung. Ketidaktelusan penghulu dalam menjalankan amanah memaksa penduduk mengadakan pilihan raya kampung untuk memilih penghulu yang baharu. Penduduk kampung meraikan demokrasi dengan memilih penghulu yang baharu melalui pemilihan majoriti dengan menyisih yang lama tanpa ragu-ragu.

Ketika ini, penduduk kampung digalakkan menanam kopi dan juga tanaman ulam-ulaman tempatan yang berkhasiat. Penghulu yang baru sahaja dijulang sudah berjanji mahu membantu menggandakan pendapatan penduduk kampung tanpa meminggirkan sosiobudaya tempatan. Penyelidikan dan inovasi yang berterusan akan dilakukan dengan perkhidmatan kepakaran tempatan juga. Dalam bayangan, kami sudah membayangkan kemegahan mengeluarkan produk sendiri dan kesergaman Rumah Kopi Ulaman Tempatan.

Ya, saya masih di sini sebagai Pencatat Sejarah yang masih belum puas menikmati suasana sejarah di Pasir Salak. Udara segar di sini kembali dapat dihirup dan dihembus bebas tanpa sekatan. Birch telah berpergian jauh dari sini. Dan kisah-cerita tentang kehidupannya yang tidak ingin kami ketahui. Bayang-bayang Birch juga diharamkan untuk bergentayangan di sini.

Penghulu yang telah disisihkan melalui kemakmuran demokrasi diberikan pengajaran berguna agar menyedari kekhilafannya. Penghulu telah dikirim ke fragmen masa lampau untuk mempelajari sejarah tempatan. Begitulah sejarah yang mengajarkan dan akan terus lestari melangkau zaman. Semilir angin Pasir Salak berhembus-hembus mengitar wilayah Pasir Salak, sesekali membelai lembut pipi saya. Terasa nyaman.

Akhirnya, Rumah Kopi Birch yang mengganggu-gugat jati diri rakyat marhaen menemui penghujung riwayat. Tiada sebarang rasa megah menumpangkan rumah kopi hipster di penjuru tanah leluhur.