Apa dijeruk dengan belimbing?

Gerangan mudik muara;

apa ditengok di balik dinding?

Tun Hasan Temenggong anak Bendahara.

Sudah menjadi lumrah alam, tidak semua kecantikan membawa kebaikan, kecantikanlah juga membawa bencana kepada empunya diri malahan keluarganya, justeru lebih dahsyat lagi membawa kepada keruntuhan sebuah empayar.

 

“Telah bulatkah tekad tuan hamba mahu memperisteri Tun Fatimah kepada Tun Ali?” Tanya Raja di Baruh, ketika berkunjung ke rumah Tun Mutahir. Pandangan Raja di Baruh terpaku pada keindahan dan keayuan Tun Fatimah, ketika Tun Fatimah menghulurkan tepak sirih kepadanya sementara menunggu jamuan tengah hari itu.

Tun Mutahir mengangguk tanpa sebarang keraguan. Umpama paku terlekat di dinding, tiada yang dapat mengubahnya kecuali kuasa Yang Maha Esa jua.

“ Aku ini sebagai saudara tua, hanya memberi nasihat kepada kamu, berilah peluang kepada baginda sultan melihat-lihat Tun Fatimah ini, mana tahu berkenan di hati baginda yang kini kesunyian setelah kematian permaisuri.” Tun Mutahir seperti tidak mendengar nasihat bapa saudara kepada sultan itu. Dalam hatinya telah tetap terpateri, biarlah enggang terbang bersama-sama enggang, pipit bersama-sama pipit.

Soal jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Apa yang perlu sebagai manusia kita merancang dan menguruskan keperluan jika kata sudah diikat, janji sudah dimeterai,majlis perkahwinan telah diatur. Hanya menunggu harinya sahaja berlangsung. Baginda sultan tidak dilupakan sama sekali dijemput ke majlis. Ketika berlangsungnya upacara suap-suapan kedua mempelai itulah terdetik di hati baginda sultan.

“Jahatnya Pak Mutahir ini, demikian baik paras anaknya,tiada ditunjukkannya kepada kita.” Baginda sultan berkata dalam hatinya. Dendamnya sukar terpadam. Baginda tidak lalu santap sehingga terbawa-bawa di istana.

“Sudah kenyang beta melihat kelakuan dalam majlis ini” baginda sultan bertitah tanpa memandang kepada tuan rumah, walaupun Tun Mutahir cuba menjemput baginda menjamah jamuan terhidang.

Hari berganti hari, bulan terus berpurnama. Tun Hasan Temenggong anak Tun Mutahir pula tidak mempunyai hubungan yang baik dengan saudagar Mendeliar. Beberapa peristiwa menyebabkan Mendeliar selaku syahbandar kerajaan Melaka ketika itu membuat hubungan mereka menjadi tegang. Tambahan pula ada kisah anak-anak buah Tun Hasan Temenggong yang memakan rasuah daripada para pekedai yang berjualan membina anjungan jualan sehingga melebihi had sepatutnya. Raja Mendeliar pula berbalah dengan Nina Sura Dewana penghulu segala saudagar dalam negeri Melaka. Mereka berbalah tentang urusan perniagaan dan mahu merebut perhatian daripada Bendahara Tun Mutahir. Datang pula fikiran busuk dalam hati Nina Sura Dewana. Rupa-rupanya kekayaan yang dimiliki seseorang juga menjadi kayanya kebencian orang lain kepada mereka.

“ Adapun bahawa Raja Mendeliar itu orang kaya, kalau dia memberi suap kepada Datuk Bendahara, nescaya alah aku.” Pada malam itu juga Nina Sura Dewana bergegas ke rumah Tun Mutahir. Bulan gelap membawa angin panas bertiup di hadapan pintu besar masuk ke mahligai Bendahara Tun Mutahir. Suasana sedemikian membuatkan Nina Sura Dewana seperti cacing kepanasan menunggu pengawal pintu masuk memberitahu Tun Mutahir akan kedatangannya. Rupa-rupanya angin panas itulah yang bakal membakar suasana aman kehidupan seluruh jajahan Melaka.

“ Apa hajat tuan hamba ke mari di tengah-tengah malam ini Nina Sura Dewana? Tak bolehkah tuan tunggu hari siang sahaja.”

Tun Mutahir menjeling namun sebagai menghormati tetamu Bendahara Tun Mutahir tetap menyorongkan tepak sirih adat Melayu sejak berzaman. Lambang budi bahasa, lambang kesudian tuan rumah menerima tetamu.

“ Tiada yang penting, hanya membawa emas barang sekati sebagai buat membeli sirih pinang” Niat di hati Nina tidak dapat dibaca oleh Datuk Bendahara yang jujur. Tun Mutahir bukan sebarangan orang, jika tidak, masakan sultan berkenan menerimanya sebagai penghulu segala pentadbiran dalam negeri Melaka yang gah dan masyhur di seluruh pelosok alam ketika itu.

“Baiklah, jika tuan hamba memberi hamba, hamba ambil” Tun Mutahir Bendahara negeri Melaka menerima tanpa sebarang syak wasangka.

Segala perbuatan Bendahara pada malam itu diintai oleh Si Kitul. Si Kitul ada berhutang dengan Raja Mendeliar. Sekati emas. Timbul keinginan jahat di hati Si Kitul dengan harapan Raja Mendeliar yang memang sedang bermusuh dengan Bendahara agar memberikannya sesuatu jika dia membawa berita keburukan Datuk Bendahara.

“ Malam tadi, Nina Sura Dewana datang menghadap Datuk Bendahara, persembahkan emas sepuluh kati hendak menyuruh bunuh tuan hamba.” Daripada sekati emas kini menjadi sepuluh kati emas. Manakan tidak angin panas hanya menunggu detik paling sesuai untuk mencetuskan api kemarahan yang membawa bencana. Si Kitul mempunyai rencana yang amat licik menahan lukah di pergentingan. Menjadi batu api agar dirinya terlepas daripada hutang yang ditanggungnya.

“ Mereka berdua bersubahat mahu mengerjakan tuan hamba.”Si Kitul menunggu sahaja reaksi Raja Mendeliar.

Raja Mendeliar yang naik merah padam mukanya kesan tiupan api hasutan dengan segera mengoyakkan surat hutang Si Kitul kepadanya. Bertaburan cebisan surat hutang si Kitul beterbangan ditiup angin malam itu. Dalam hati si Kitul berbunga dan kembang umpama bunga kembang pagi yang sungguh indah. Si Kitul bergembira, menari bertandak di atas tangisan dan kesakitan orang yang difitnahkannya.

Raja Mendeliar pula kini menambah dalam luka akibat rasuah oleh Nina Sura Dewana terhadap Datuk Bendahara setelah termakan hasutan dan fitnah Si Kitul. Giliran dia pula memberi rasuah kepada Laksamana Khoja Hasan orang harapan baginda sultan. “ Inilah ada sedikit emas sebahara, dan beberapa pakaian indah molek, dengan ini hamba menyampaikan kepada tuan hamba wahai orang kepercayaan sultan. “ Raja Mendeliar mula mencucuk jarum sembah derhakanya.

“Hamba mendapat tahu, Datuk Bendahara telah menempah cerek emas dan kasut emas, hajatnya ingin menjadi raja dalam negeri Melaka ini. Mahu merampas takhta Paduka Yang Dipertuan.”

Laksamana Khoja Hasan gelap mata melihat harta terlalu banyak. Sebahara emas, jika dia berkhidmat di bawah baginda sultan, sehingga bongkok tiga pun dia tidak akan melihat sinarnya, apatah lagi memilikinya. Laksamana Khoja Hasan turut menjadi hilang kewarasannya. Akal budinya telah disamun harta dunia. Benarlah kata orang bijak pandai,” Hai emas, engkau bukan Tuhan, tetapi yang kehendak hati, berlakulah oleh keranamu.” Segala berita yang ditokok tambah bermula Nina sura Dewana dan si Kitul, bersambung-sambung jumlah suapan dan bertambah juga fitnah berserta dendam kini mula membakar api kemarahan baginda sultan. Apatah lagi baginda sultan pula sememangnya sangat berdukacita atas perlakuan bendahara Tun Mutahir yang pada pandangan baginda sultan telah menyembunyikan Tun Fatimah daripada pengetahuan baginda. Bahana umpan kecantikan wanita bersatu dengan tiupan angin panas rasuah demi rasuah ditambah bahan pembakarnya percikan api fitnah, kini baginda sultan Mahmud tidak dapat lagi menahan api kemarahan. Terbakarlah segala jiwa dan perasaan dukacita baginda yang telah lama terkumpul meledak pada wajah dan titah baginda. Merah padam wajah murka tanpa bersiasat lagi , tanpa bertangguh lagi bertitahlah sultan yang sudah lama berdendam berahikan seorang wanita. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal pula, sudah lama baginda sultan mencari-cari sebab yang sesuai mahu mendapatkan Tun Fatimah.

“Apa, berani sungguh Datuk Bendahara mahu menjatuhkan beta!” Baginda sultan memandang ke arah luar istana yang hanya nampak warna kemerahan api murka menjulang-julang walaupun istana sultan ketika itu laksana hijau saujana mata memandang.

“Indera Segara, Tun Sura Diraja, jalankan titah beta, pisahkan nyawa daripada jasad Tun Mutahir yang berani berkasad derhaka kepada kerajaan negeri Melaka di bawah takluk beta. Apakah negeri Melaka ini tidak cukup masyhurnya di bawah pentadbiran dan pemerintahan beta?” Datuk Bendahara dengan keluarganya sekali akan dilenyapkan daripada bumi Melaka ini sebelum dia sempat menjejakkan kaki di hujung istana ini.

Tiada apa yang dapat menahan titah perintah sultan. Mereka berdua tertakluk kepada taat setia kepada sultan. Tugas sebagai biduanda perlu segera dilaksanakan. Setibanya di perkarangan rumah Bendahara, Tun Hasan Temenggong telah bersiap sedia dengan senjata bersama-sama segala orang-orangnya. Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah . Tun Hasan Temenggong berdarah pahlawan mahu menentang Indera Segara dan Tun Sura Diraja yang menjunjung titah baginda sultan. Hati anakanda manakah yanag dapat menahan amarah, jika ayahanda bijaksana, taat setia kepada sultan baginda, tiba tiba dititah dibunuh pula. Hulu kerisnya digenggam kemas tanpa terlepas.

“ Hai Hasan, hendak membinasakan nama orang tua-tua kitakah? Kerana adat Melayu tiada pernah derhaka” Bendahara Tun Mutahir tabah menerima takdir, memandang tepat ke wajah Hasan.

“Tidak ayahanda, biar putih tulang jangan berputih mata. Bagi anakanda, ayahanda nyata tidak bersalah dalam hal ini. Bahana menolak hajat baginda dan bahana rasuah bermaharajalela, ayahanda yang tidak bersalah menjadi mangsa.” Tun Hasan Temenggong sudah melompat ke tanah mahu menikam Tun Indera Segara.

“ Hasan!” belum pernah setinggi itu nada suara Bendahara Tun Mutahir mahu menghalang tindakan anakanda baginda.

“ Barang siapa daripada kamu melawan, hamba dakwa dunia akhirat,” begitu teguhnya pendirian Bendahara Tun Mutahir yang sangat setia kepada tuannya. Walaupun difitnah dituduh mahu merampas takhta raja tanpa bukti yang jelas, sebagai anak Melayu bendahara pantang derhaka.

“ Jika begitu, mari kita buang semua harta dan emas berpeti dalam rumah ini ayahanda, “ Tun Hasan Temenggong masih tidak mahu mengalah.

“Wahai anakanda Tun Hasan Temenggong, sia-sia kamu bergelar anak bendahara berwajah kacak, jika budi pekertimu tidak ubah sama seperti mereka di luar sana. Biarlah baginda sultan mengambil emas berpeti kita. Apalah ertinya, sesudah kematian kita akan semua kekayaan itu. Biarlah baginda sultan tahu, adakah benar kita ini sedang bersiap mahu menawan takhta baginda. Biarlah emas itu menjadi kata-kata yang menginsafkan baginda. Biarlah rasuah demi rasuah yang disuburkan oleh beberapa hamba rakyat di negeri Melaka ini musnah dengan keikhlasan kita menerima hukuman baginda sultan.” Bendahara Tun Mutahir menyejukkan hati anakandanya.

“Mari kita mengambil air sembahyang.” Bendahara Tun Mutahir, Seri Nara DiRaja, Tun Hasan Temenggong dan Tun Ali besan, anak dan menantu sekali gus mereka akan dihukum bunuh.

“ Barang yang telah berlaku pada hukum Allah, hamba redalah” Keempat-empat mereka telah pasrah. Hanya Tun Fatimah meratap. Meraung, terlalu sedih akan nasib yang menimpa keluarganya. Hanya Allah sahaja yang tahu akan penderitaan yang ditanggungnya. Darah merah panas hangat, terpancut daripada dada jasad mulia tubuh Datuk Bendahara membasahi wajah Tun Indera Segara, menconteng ke wajah baginda juga adanya.

“ Allah hu Akbar!”

Setelah sudah empat beranak itu ditanamkan, maka baginda sultan pun menyuruh segala harta pusaka Bendahara Tun Mutahir di bawa masuk ke istana. Alangkah terkejutnya, menyesalnya baginda apabila mendapati tiadalah cerek emas seperti yang didengar daripada Raje Mendeliar. Bayangan kasut emas seperti yang diberitahu oleh rangkaian penerima rasuah dan tukang fitnah terbesar pada zaman itu Si Kitul, Raja Mendeliar dan Laksamana Khoja Hasan juga tiada kelihatan. Walau air mata darah sekalipun baginda titiskan, tiada dapatlah menukar ganti nyawa Bendahara Tun Mutahir berempat. Apalah yang lebih malang kini permaisuri baginda, Tun Fatimah sentiasa hidup tanpa senyuman, walaupun di kiri kanan raja perempuan besar itu emas permata semata-mata.

Akibat sakit hati dan kesedihan, Tun Fatimah sengaja menggugurkan kandungan anaknya bersama-sama baginda sultan. Belum pernah ada wanita yang sanggup menggugurkan anak kandungannya sendiri kerana kasih sayang seorang wanita terhadap anaknya selama-lama ini tiada pernah berbelah bahagi. Namun begitu bahana peristiwa malang yang menimpa Tun Fatimah, telah menyebabkannya hilang deria kasih sayang yang paling agung dalam dunia kasih sayang itu. Anak kandungannya digugurkan tanpa belas lagi.

“ Mengapakah apabila adinda hamil, maka dibuangkan? Tidak sukakah adinda dengan keturunan beta?” Sultan Mahmud yang sedia bersedih atas tindakan terburunya, bertanya kepada Tun Fatimah.

“ Wahai tuanku junjungan alam, apalah ertinya keturunan, harta pusaka bertimbun jika hatiku resah mengenang kedua cahaya mataku telah dibunuh tanpa usul periksa. Telah menjadi arwah di alam sana. Betapa adinda disalut emas, dipakai permata, disuap segala halwa, tiadalah sama dengan nyawa keluarga adinda yang hilang bahana tingkah durjana.”

Wajah Kitul durjana menjentik-jentik pedih perasaan baginda. Rupa wajah Raja Mendeliar menjadi wajah paling hodoh dalam benak baginda. Menari-nari dalam ingatan mengejek-ejek kelakuan baginda. Walaupun telah dititah bunuh dan dibuang segala tapak rumah mereka, tiadalah dapat meruntuh tembok kesalahan yang telah baginda lakukan.

“ Apa lagi yang dapat beta lakukan, semuanya telah terjadi. Beta sungguh-sungguh menyesal.”

“Sudahlah tuanku, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada bergunanya.”

Tun Fatimah merenung ke luar jendela istana dengan pandangan matanya yang kini telah kering tanpa berair.

“Ingatlah benar-benar tuanku, bahawa bahaya rasuah itu tersangat besar, merosak semua perjalanan pentadbiran sesebuah negeri sehebat Melaka, justeru lebih parah lagi membunuh nyawa tidak berdosa dan menggelapkan sinar emas dalam istana dan melenyapkan cahaya jiwa dalam hati adinda tuanku.”