"Hah, dah datang!"

Abahcepat-cepat memilih sebiji pisang emas yang ranum. Pisang itu pasti akan diletakkan di tempat merbah selalu bertenggek, yakni di ranting bebuas, pokok ulam Emak. 

Merbah kunyit mengibar sayapnya dan menayangkan dadanya yang kuning menyala. Mendada saja ia, seolah-olah tahu sedang diperhatikan.

Benar, ia burung yang begitu mempesonakan. Namun, awas, burung ini dilindungi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.Sebab itulah Abahtidak pernah cuba menangkap. Merbah kunyit dibiarkan lepas bebas dan menikmati buah-buahan yang Abah sediakan.

Mata saya mengitari halaman rumah Abah. Ada bermacam-macam pokok ditanam. Emak dan Abah memang rajin berbudi kepada tanah.

Cekur manis berbunga merah, memang sedap dibuat masak lemak ditaruk bilis. Rimbun pandan jika ditanak dengan beras, harum nasinya. Pohon betik jika berbuah, sebelum ranum, enak digulaikan dengan udang. Daun bebuas, dimakan begitu sahaja jadi ulaman. Begitu juga dengan ulam raja yang enak dimakan mentah. Ada lagi; pokok kunyit, gajus, pelam, nenas, kucai, lidah buaya, jambu batu, mengkudu, sireh cina dan bermacam lagi, di sekeliling rumah Abah.

Saya selalu membayangkan suasana kedesaan ini berada di rumah saya, nun di Selatan. Jika hendak menumbuk sambal, petik saja cabai burung di tepi jendela. Ulamannya pegaga yang tumbuh melata. Berasnya ditanak dengan pandan supaya lebih selera. Manisannya, buah belimbing yang dipotong serong. Emm…sedapnya!

“Mama!”

Lamunan saya terputus. Hud dan Hadif berlarian laju ke riba.

Oh, sungguh jauh rindu saya berterbangan pulang ke desa!

“Ya sayang, kenapa?”

“Mama janji nak video call dengan tok wan kan? Petang macam ni mesti tok wan ada, tengah ambil angin di luar rumah. Jomlah, mama!”

“Okay, ambilkan telefon bimbit mama di atas almari, Hadif!”

Cepat-cepat anak saya berlari ke dalam bilik. Pantas punat video call melalui aplikasi whatsapp ditekan. Tidak lama menunggu, tampang Abah muncul di skrin telefon bimbit.

“Assalamualaikum Abah! Sedang buat apa tu?”

“Tidak buat apa pun Nida, Abah ambil angin saja, sambil-sambil tengok pokok-pokok Emak kamu!”

Telefon Abah halakan ke arah pokok-pokok yang tumbuh sudah agak meliar.  Saya nampak jambu batu sudah tinggal ranting, pokok betik tinggal tunggulnya sahaja, pokok gajus menguning daunnya, pandan tumbuh merimbun tidak terkawal.

Air mata yang bertakung di tubir kelopak, saya kesat sembunyi-sembunyi.

Ah, sejak Emak pergi enam bulan yang lalu, Abah sudah tidak betah berlamaan menjaga pokok. Banyak termenung, banyak bersedih di beranda hadapan rumah. Pokok-pokok yang diladeni Abah dan arwah Emak nampaknya turut terkena tempias kesedihan atas sebuah kehilangan!

“Bila Abah nak datang dan tinggal di rumah Nida? Cucu-cucu Abah sudah tidak sabar.” Saya menyeloroti tampang Abah. Kumis putih merayapi wajahnya yang kian renta.  Uban di kepala sudah putih seluruhnya. Mujurlah ada aplikasi video call ini, sekurang-kurangnya rindu saya tidak membusung tinggi.

Tapi, rindu pada Emak? Ah! Air mata yang luruh satu-satu di pipi, saya seka dengan kura tangan.

“Belum masanya lagi, nak. Abah tak betah berlama di sana kalau tidak ada ulam-ulaman seperti di rumah kita ni.”

            Saya diam.

Hud dan Hadif menyambung sembang dengan Abah. Pandangan mata saya menembusi jendela rumah semi D yang dihuni saya anak-beranak. Rumput plastik khas yang mahal harganya melata di tanah sepuluh kaki yang ada.

Rumah ini telah lama saya dan suami beli. Sudah sepuluh tahun seperti usia anak-anak. Dek kerana sibuk dengan kerjaya, kami sepakat untuk “menanam” sahaja rumput palsu di ruang lapang rumah ini walau pun mahal harganya.

Saya ke meja belajar dan menekan punat “on” komputer.  Pantas laman web Google dibuka, saya menggunakan agen pencarian untuk mencari kedai lanskap berhampiran.

Jumpa!

“Hud dan Hadif, jom ikut mama!”

***

            Disember musim tengkujuh yang selalu membuatkan hati saya basah dengan kenangan.  Angin timurnya selalu membawa dan mengelus-elus ingatan pulang ke desa, berpusar-pusar tentang masakan enak air tangan Emak, gelak tawa kami meladeni karenah Hud dan kembarnya Hadif, nasi lemak kuning yang sedap, gulai umbut pisang dan bermacam-macam lagi.

            Ah! Kerinduan ini saya selalu tumpahkan pada huruf-huruf yang ‘dilarik’ pada skrin telefon menggunakan aplikasi Wattpad. Ya, saya suri, ibu dan penggemar kata-kata, menyelinap antara kesibukan kerja dan rumahtangga, dengan memanipulasikan teknologi untuk menulis!

            Jendela luas terbuka. Hud dan Hadif bersama-sama menyiram pokok di luar.

            “Abah, cuti sekolah sudah bermula, tapi Nida sibuk. Perniagaan atas talian yang baru Nida mulakan semakin meningkat permintaannya.  Bertambah-tambah pula dengan undangan majlis penulisan. Bolehkah Abah datang ke Nilai? Nanti Abang Matt ambil Abah di lapangan terbang. Tiket Nida sudah belikan, nanti Abah minta tolong tauke cybercafé ya? Macam biasa, Nida sudah emelkan tiket ke akaun Gmail Abah,” suara saya memecah kesenyapan ruang. Suara Hud dan Hadif kadangkala menyelinap masuk.

            “Baiklah Nida, Abah sudah dapatkan tiket tu… Tapi, Abah pergi tidak lama. Nanti tertunggu-tunggu Emak kau menanti Abah datang ke kuburan!” Terbatuk-batuk Abah meneruskan percakapan. Mimik wajahnya menahan rasa perit, seolah-olah kahak di rongga peparunya likat dan degil menyumbat.

            Oh, Abah! Hampir setahun sudah berlalu, tidak bererti kerinduan kami sirna pada Emak, malah tidak pernah surut. Degil Abah barangkali kerana terlalu sayang, tapi kasih kami yang masih hidup kepada Abah?

            Sampai seharian saya melayan perasaan, terkenang-kenangkan Abah sambil membiarkan rintik hujan di luar membias wajah.  Saya kerling telefon bimbit. Jam menunjukkan angka lima. 

Sudah lewat rupanya!

Cepat-cepat sayabergegas ke dapur.

Bahan-bahan mentah di dalam peti sejuk, pantas saya keluarkan. Ada ikan nyok-nyok putih, ada kerisik dan ada rempah giling yang saya beli dalam talian.  “Cukup”, bisik saya dalam hati. Mujur ada aplikasi YouTube, video arwah Emak sedang memasak gulai ikan nyok-nyok telah saya muatnaik di laman sesawang. Biar abadi pahala Emak kerana manfaatnya. Malam ini kami sekeluarga akan menikmati masakan kampung kesukaan Emak.          

Saya mengintai melalui jendela dapur.  Di luar rumah, tegap berdiri ‘vertical garden’ atau laman menegak yang telah saya usahakan berbulan-bulan. Ada bermacam-macam pokok herba yang saya tanam dengan bantuan Hud dan Hadif.  Cekur, bebuas, ulam raja, kunyit, belalai gajah, dan pelbagai lagi. Rindu tersalur kepada taman menegak itu. Segar daunnya, sesegar kenangan di desa tercinta.

            Menanam secara menegak ini saya korek ilmunya melalui persidangan dalam talian anjuran MARDI.  Banyak manfaatnya termasuklah mampu mengurangkan fenomena pulau haba bandar atau ‘urban heat island’.  Teknologi ini sudah lama dilaksanakan di negara-negara maju seperti Britain, Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman.  Tanamannya mestilah jenis pohon yang tidak terlalu besar (tumbuhan renek), tahan pukulan angin, tidak memerlukan banyak air dan yang bagusnya -- akan membantu dalam penyerapan karbon dioksida serta debu.

Tanpa disangka-sangka, akiviti menanam pokok di sekeliling rumah ini telah menarik minat rakan-rakan dan jiran setaman pula. Sudah ada yang meminta membeli anak pokok, ada juga merayu hendak membeli benih setelah datang berziarah. Ada juga yang teringin setelah melihat hantaran yang saya tulis di blog peribadi. Akhirnya, saya bangunkan laman web khas; Ranah Desa, yang memuatkan jualan pelbagai jenis benih pokok.

Syukur, sambutan yang diperolehi membuatkan saya tidak cukup tangan!

Tetapi, sebagaimana pun meriah rumah yang saya huni ini, masakan sama dengan desa tercinta. Apatah lagi tanpa Abah. Abah yang keseorangan.  Makan pakai Abah, entahkan cukup atau tidak. Sakit sihat Abah tiada sesiapa pun menemani.

Mujurlah Abah bijak juga menggunakan aplikasi ICT.  Kadangkala, Abah membeli sahaja makanan menerusi aplikasi Grab Eat yang baru beroperasi di Kedah. Selalu juga Abah mengemaskini blog peribadi yang memuatkan catatan liku-liku penulisannya.

Pada masa senggang, jika Abah tidak ada majlis ilmu di Masjid Sultanah Bahiyah, Abah akan menyunting video arwah Emak cantik-cantik.  Selalunya tentang pokok yang ditanam mereka dan hobi memasak Emak.  Abah pandai, dimuatnaik video itu di YouTube. Sekali lagi, semoga pahala terus-terusan mengalir kepada arwah Emak, seperti aliran sungai yang tekal arusnya. 

Ah! Kenangan memang seperti tren, laju meninggalkan penumpang di stesen. Semuanya, harap-haraplahabadi, kerana kenangan bersama arwah Emak yang sangat kami sayangi.

“Mama! Mama! Tengok siapa yang datang ni!” Terdengar jeritan Hud dari ruang hadapan rumah.

“Eh, Abah! Bukankah Abah mahu datang minggu depan?” Saya menggagau mencari tudung di bilik, mau ke luar rumah bertemu Abah.

“Iya, Nida. Tapi Abah tengok kau macam tidak cukup tangan menguruskan Ranah Desa.  Abah pun sebenarnya teringat-ingat hendak melihat laman menegak istimewa itu. Sudah Abah tengok tadi, banyak lagi yang boleh ditanam. Nanti Abah buatkan video juga, bagi memastikan pelanggan kian tertarik!  Jika perlu, kita boleh buat siaran langsung menggunakan Facebook atau Instagram juga.”

“Hah, betul ni Abah? Nida bermimpi ke ni?” Mata saya dikejip-kejip, gentar kalau-kalau semuanya hanya sementara.

“Ya, Nida. Abah fikir, kenangan masih banyak lagi boleh diciptakan. Kenangan bersama Emak kau sudah tertutup bukunya.  Biarlah Abah di sini, membina kenangan bersama-sama dengan anak cucu pula!”

Air mata saya menitik, satu-satu jatuh ke lantai, Abah mampiri saya dan mengusap pipi saya dengan tangannya yang kesat.  Kasar terasa kulit tuanya, tanda kegigihan meladeni usia.

Oh, Abah!

“Sedapnya bau, Nida masak apa?”

“Nida masak masakan kegemaran arwah Emak, masakan kegemaran Abah juga. Jom, Abah!”

Berselera Abah menjamah. Penat dan lapar agaknya setelah enam jam menaiki bas. Sedang kami asyik menjamu selera, tiba-tiba terdengar “suara” yang telah jarang kami dengari.

“Eeek oooooouuuk! Eeeek ooooooouuuuuk!”  Merbah kunyit terbang melayah, hinggap di atas pucuk bebuas yang ditanam saya di sebelah laman menegak!

“Wah, nampaknya bukan Abah seorang sahaja yang berhijrah. Ada juga yang mengekori Abah!” Malam itu rumah kami di Selatan meriah dengan canda tawa dan kenangan indah.

Benar, rumah yang saya impi-impikan, rupa-rupanya adalah kerinduan saya pada kampung halaman.  Syukurlah, akhirnya saya dapat berumahkan kenangan di desa hati Abah, dengan bantuan teknologi yang kian pesat membangun!