Tentunya itu Ron, singkatan untuk Ronald. Kepalanya sudah kebotakan walaupun tepi kepalanya masih ditumbuhi rambut perang. Dari ingatan sutnya sejak lama dulu, raut muka jejaka yang baru menjengah itu sebiji Ron. Kekal dalam minda Hadi kenakalannya yang warna warni. Dia memandang dunia dengan mata dan emosi penuh ceria tanpa batasan dalam minda, terbetik kata-kata dalaman Hadi.

Ron ialah anak seorang jurutera PWD atau Public Works Department yang tinggal di sebuah banglo kerajaan di perumahan kerajaan Teluk Sisek. Semua pegawai-pegawai British tinggal di situ, sejarak tiga batu dari pusat bandar di mana terletaknya pejabat-pejabat kerajaan. Dalam begitu ramai tuan-tuan British hanya bapa Ron saja yang Hadi cam kerana dia pernah berbasikal berkunjung ke rumah Ron dengan Ron duduk di palang basikal.

Suatu petang bapa Ron tiba di sekolah agak lambat. Dia dapati Ron sudah tiada. Kemudiannya apabila pulang ke rumah didapati Ron sudah bergurau-gurau dengan Hadi di halaman depan rumahnya. Lazimnya bapa Ron tidak tunjuk marah ketika ada orang lain di sekitar walaupun dia hendak marah.

Bapa Ron yang dipanggil Mr. Joe lantas mengemaskan beg golf dalam but kereta Austin di garaj di bawah pohon angsana. Agakan Hadi bahawa Mr. Joe terlambat menjemput Ron di sekolah sebab dia mengambil masa sedikit bermain golf, tidak meleset. Jika bapanya bimbang, tidak begitu halnya dengan Ron. Dalam sekelip mata Ron akan mengambil sebiji bola dari stor sekolah, ditendang-tendang di padang.

Guru sukan dan guru besar buat tidak mengerti saja. Sikap begitu datangnya daripada rasa hormat kepada tuan-tuan orang putih di Kuantan yang kebanyakan menjadi DO, OCPD, DFO (District Forest Officer) Ketua Kastam dan Ketua PWD atau Jabatan Kerja Raya, dan banyak lagi. .

Terdapat dua orang lagi anak orang putih di Abdullah School itu. Seorang perempuan, Stephanie, dari Essex, England di Form Two. Seorang lagi, Allen, dari Cardiff, Wales, di Form Three. Ron memberitahu Hadi, kekurangan anak orang putih belajar di sekolah-sekolah lokal sebab mereka disekolahkan di tempat-tempat asal di England, Wales, Scotland, Ireland Utara, Guernsey dan Jersey. Mereka tinggal di hostel, di rumah datuk nenek atau sanak saudara. Pegawai-pegawai orang putih berjumpa anak mereka dua tahun sekali ketika bercuti panjang di UK selama dua bulan setiap dua tahun. Namun anak-anak mereka itu bila ada kesempatan berkunjung mereka di Malaya sewaktu sekolah bercuti panjang.

Bapa Ron anak nelayan di kampung Mousehole dalam kounti Cornwall, di hujung barat daya England, menghadapi Teluk Mount di Land’s End. Nama Mousehole dan Land’s End itu kelakar bunyinya dan luar biasa. Mousehole tidak syak lagi bererti ‘lubang tikus’, sedangkan Land’s End ‘hujung bumi’. Ron sama-sama naik geli hati. Gelak usik-usik rakan sedarjah Melayu, Cina dan India terhadap nama kampungnya itu tidak terkawal, dan Ron tidak ada pilihan melainkan buat-buat selamba sesama seronok.

“Aku jarang tengok tikus di situ,kecuali seekor dua yang menyusup lubang longkang,” kata Ron dalam tergelak. “Nenek aku kata Land’s End itu ‘akhirat’. Jadi keluarga aku sudah balik dari akhirat. Kita dah tahu apa tu syurga!”

Kata-kata gurau kebodoh-bodohan dari Ron itu hanya untuk suka-suka sekejap, tidak diperam dalam hati.

Kehidupan di Kuantan kalau tidak bermesra dengan sungai dan laut tentunya sesuatu yang tidak kena. Laut di depan dan sungai luas dihimpit tebing bandar. Di seberang sungai terdapat pangkalan penambang. Suatu Ahad mereka naik penambang ke Tanjung Lumpur di muka kuala. Di kampung nelayan itu, Ron mendapat perhatian orang kampung sebab tidak pernah anak orang putih merayau di kampung.

Apabila dipanggil ‘Johnny’, Ron lekas membalas, “Ya, saya Johnny.” Dia tahu lidah Melayu mudah menyebutnya. Filem-filem Tarzan yang diminati meluas, lakonan Johnny Weissmuller, sering ditayang di sinema dan padang-padang kampung. Dari situ nama Johnny pelakon Tarzan selalu bermain pada bibir. Melekatlah orang putih dipanggil ‘Johnny’ selain ‘tuan’.

Di tepi pantai Ron mengejar ketam angin yang bijak berlari menyelamatkan diri , menukar arah kanan kiri depan belakang, hingga akhirnya menyelinap masuk lubang. Aman!

Di hujung minggu lain, mereka berbasikal ke Tanjung Api, betul-betul di seberang Tanjung Lumpur. Di situ pohon-pohon casuarina tumbuh rapat-rapat dan tinggi-tinggi, sedangkan pohon-pohon renek memenuhi ruang antara pohon. Mereka tahu di situ bertumpu pasangan-pasangan yang bercumbu, tidak kira kulit putih atau Cina, India dan Melayu sekalipun.

Kekerapan menonton filem-filem romantik lakunan Ava Gardner, Jane Russel, Rita Hayworth, Vivien Leigh dan Betty Grable bersama Clark Gable, Robert Taylor, Gary Cooper, Gregory Peck dan Robert Mitchum mencetuskan fantasi pada diri Ron tentang apa yang dibuat oleh pasangan-pasangan di sebalik pohon-pohon renek itu. Ron pun dirayapi rasa romantik.

“Hadi, kau tahu satu hari aku intai melalui lubang kunci. Emak dan bapak aku mandi bertelanjang dalam bilik mandi,” kata Ron.

“Habis tu?” tanya Hadi.

“Mereka buat seks sambil berdiri. Ho, ho, ha, ha!”

Hadi ketawa bagai hendak terkencing!

Dalam Hadi menunggu Ron di lapangan terbang itu, episod bilik mandi itu seperti kilat menjelangi memori Hadi, membuatkannya terbahak ketawa bersendirian. Memori manis itu kerap diceritai Hadi sejak dulu, bagaikan tidak puas-puas. Meskipun mereka pada tahun 1987 itu sudah berusia 45 tahun, namun cerita 33 tahun sebelumnya bagaikan kelmarin.

Di Bristol pada tahun 1976, dalam usia 34, mereka bukan saja menyorot balik kehidupan di Kuantan pada usia 12 tetapi Ron mempunyai satu episod menarik yang berlaku di alam dewasa.

“Selepas lulus sarjana muda dari University Bristol, aku masuk bekerja dengan perkapalan Blue Funnel. Orang Kuantan panggil Kapal Haji Serombong Biru. Kau tahu aku ada darah pelaut dan membesar tepi laut. Di Kuantan dulu kita asyik bermain tepi laut,” Ron buka cerita. “Dalam dua tahun, selepas ulang alik antara Liverpool, Portsmouth, Southampton , Brighton dan Calais, aku naik pangkat jadi penolong kapten untuk ulang alik Hongkong, Manila, Singapura, Colombo , Aden dan Southampton, pelabuhan pemula kapal Titanic yang tragis itu.”

“Selepas lima tahun, aku naik jemu dan jelak. Aku cabut lari dari Hong Kong ke Manila. Terus tinggal di Pulau Lubang, kampung nelayan. Ia lebih cantik daripada Beserah dan Tanjung Lumpur di Kuantan. Aku ada duit, boleh hidup bertahun-tahun. Aku jatuh hati dengan Julia, anak pelaut, lalu aku kahwin dengannya. Tinggallah aku di tepi pantai, bersantai dan melahu, hidup malas-malas tidak buat kerja langsung. Aku pun jadi jelak dan jemu. Ya Tuhan, aku dah tak tahan-tahan lagi’.

“Satu petang aku dengan seorang budak kampung mengayuh sampan ke kapal yang berlabuh. Mereka jemput aku naik dan aku pun naik kapal itu. Aku kata aku seorang pelaut berpengalaman yang sudah pencen. Ho ho, brandy whisky pun bertunggang bukan kepalang. Seronok semula cara hidup lama begitu. Tak berapa lama kemudian aku tak sedar apa-apa, entah di mana. Yang pasti budak kampung teman aku itu sudah tidak ada bersama aku di kapal.”

Ternganga Hadi mendengar cerita Ron. “Apa jadi pada kau?”

“Bila aku sedar, aku tahu aku mabuk nak mampus. Kepalaku pening bukan main. Aku bertanya di mana aku?”

Dalam perjalanan ke Hong Kong, jawab seorang kelasi berbangsa Filipina.

Aku bertanya di mana pergi mereka yang bersama aku tadi.

Singgah di Manila, ada urusan bisnes penting, jawabnya.

“Kepala aku sakit sangat. Bukan saja aku mabuk tak sedar diri, aku tahu aku dipukul di kepala hingga pengsan,” kata Ron. “Aku pandang laut bergelombang dan burung-burung camar berterbangan. Tiba-tiba mereka yang dikatakan singgah di Manila itu datang. Jelas sekali aku dibohongi.”

“Balas membalas kata-kata marah dan maki hamun berlaku antara mereka berempat dengan aku, tetapi aku terlalu lemah untuk berentap. Selepas sekian lama, aku jadi sejuk. Kemudian kami jadi mesra. Itu memang cara pelaut. Kapten pun tawarkan aku bekerja di kapal itu. Sudah kekurangan staf kulit putih, katanya. Gaji besar. Bila aku berkeras menolak tawaran itu, kapten itu mengancam akan pecahkan rahsia aku, kononnya aku dulu bolos daripada kontrak dengan Blue Funnel. Aku juga dituduh mencuri beribu-ribu dolar kepunyaan kompeni. Aku pasti kena penjara lama, ancam mereka. Aku terbayang prospek yang amat haru, rumit dan getir biarpun tidak berasas. Sebab kepenatan aku pun tertidur tetapi bukan sebelum aku mendengar kata-kata bahawa aku diberikan masa untuk berfikir .”

“Jadi akhirnya kau bersetuju, ya?” tanya Hadi.

“Betullah. Aku bukan orang tawanan. Cara, lingo dan budaya pelaut memang cocok dengan aku. Dipendekkan cerita, aku diambil sebagai eksekutif. Itu lebih baik daripada kehidupan tak habis-habis bersantai, tak buat kerja apa-apa, mandi laut setiap hari, lakukan seks tak terbatas dengan perempuan-perempuan Pulau Lubang itu. Aku pun naik seronok dengan cara yang dipaksakan ke atas aku itu, ” tambah Ron. “Aku tak lupa isteri aku. Tapi aku tak mahu balik kepada kehidupan lama.”

“Kau tinggalkannya begitu saja?” tanya Hadi.

“Begini. Aku cabut lagi sekali lagi di Port Said di utara Terusan Suez selepas tiga tahun bekerja semula dengan perkapalan baharu itu. Aku naik bot, bas, trak, kereta api, unta pun. Seminggu kemudian aku tiba di Beirut, Lubnan.”

“Mana mungkin…” sampuk Hadi keheranan.

“Ada wang semua mungkin,” jawab Ron, tergelak sinis.

“Isteri di Lubang?”

“Ya, ya, ya. Aku balik ke Lubang. Ramai pelancong Amerika dan Sepanyol di situ. Kedua-duanya bekas kolonialis Filipina. Jepun pun ramai. Jepun tertarik ke sana sebab askar Jepun terakhir sejak Perang dulu, Hiroo Onoda, menyerah diri di situ pada 1974. Aku menyamar, pakai janggut, kaca mata hitam, kepala aku cukur tengah. Ketuk sana, tarik sini, akhirnya aku tahu isteri aku dah kahwin lain. Aku disangka sudah mati menurut cakap budak kampung yang pergi dengan aku ke kapal dulu.”

“Menyesal?”

“Apa nak disesalkan. Ia akhir satu kehidupan jelak,” kata Ron. “Dipendekkan cerita, dalam seminggu aku sudah berada semula di Mousehole, sebelum terbang ke London dan Beirut.”

Cuitan pada bahunya membuatkan Hadi berpaling, lantas dipeluk erat-erat oleh Ron. Hadi membalas pelukan yang sesama erat. Spontan saja yang seorang melaung nama yang seorang lagi, penuh ceria.

“Ini isteriku Hala,” Ron memperkenalkan. “Hala orang Beirut.”

Oh, cantiknya. itu sebabnya dia ada iras orang putih, berambut perang pula, kata hati Hadi.

Ketika memandu Ron dan Hala ke hotel Hyatt di Teluk Cempedak, Ron mengecami banglo yang pernah keluarganya tinggal berdekad-dekad dulu. Apabila Hadi memberitahunya bahawa dia MP Kuantan. Ron terperanjat penuh gerang. Tahniah mendalam diucapkan.

Sambil menghayati pemandangan kiri kanan serta kelab golf tempat bapanya bermain dulu, tercetus dalam hati masing-masing pasti banyak kisah yang hendak dikisahkan. Ron tiba-tiba mencelah. Jelas sekali topik celahannya sudah lama berada dalam kepalanya. “Aku nak buat agensi perkapalan,” kata Ron. “Tidak susahkan?”

“Tidak!” sampuk Hadi.

“Aku boleh berulang ke Port Klang dan Singapura. Kita boleh kerap kunjung mengunjung. Aku tak boleh hidup jauh dari laut.”