Nafas dihela panjang. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan sambil memejamkan mata mengharapkan ketenangan hadir memujuk diri. Farhan beralih duduk. Dia menghampiri meja tulis kecil di pojok bilik. Tangannya deras menarik laci meja itu. Dibelek-belek dan dicapai sekeping sampul coklat yang sedikit ronyok. Sampul itu dibuka dan beberapa keping not dikeluarkan. Farhan mengira wang yang ada. Jumlahnya RM700. Itulah wang yang dapat disimpan olehnya sejak mula bekerja sebagai seorang kerani pentadbiran di sebuah syarikat di kawasan tempat tinggalnya kira-kira empat bulan yang lalu.

 

Wang itulah yang akan digunakan olehnya untuk perbelanjaan semasa majlis konvokesyennya pada bulan hadapan. Farhan sedaya upaya berjimat untuk memastikan wang simpanannya cukup bagi membolehkan emak dan ayah ikut hadir ke universitinya di utara tanah air nanti. Gajinya kecil sahaja, tetapi cukup untuk diberikan kepada emak dan ayah untuk membeli keperluan dapur. Tambahan lagi, dialah satu-satunya anak emak dan ayah, anak tunggal. Kalau tidak Farhan, siapa lagi yang mahu membantu kedua-dua emak dan ayahnya. Lagipun, kadar gaji untuk lepasan universiti yang belum ada pengalaman kerja tentunya tidak tinggi.

Farhan menyimpan semula wang tersebut. Dia benar-benar buntu. Badannya direbahkan ke atas katil. Fikirannya menerawang ke seluruh pelosok bilik. Dia sudah tidak tahu cara untuk mendapatkan wang dalam masa yang begitu suntuk. Gaji seterusnya juga masih lambat. Penghujung bulan hadapan barulah akan diterima. Kehadiran Pak Jabir yang datang memungut sewa rumah semalam masih diingatinya. Walaupun Pak Jabir tidak memaksa, tetapi jelas terdengar ketegasan dalam nada suaranya apabila bercakap dengan emak.

“Aku minta maaf Jabir. Bulan ini pun aku tak mampu bayar lagi. Abang Lan tak dapat turun ke laut. Kau pun tahu kan, sekarang musim tengkujuh. Bahaya. Ikan pun tak banyak yang dapat ditangkap,” nada suara emak sayu. Jelas tampak perasaan malu yang emak cuba sorokkan.

“Aku faham Tijah. Tak apalah kalau macam tu. Cuma aku nak ingatkan, bulan ni dah masuk tiga bulan kau tak bayar sewa rumah,” jawab Pak Jabir bernada tegas. Walaupun Pak Jabir selalu membantu orang kampung di sini, tetapi Farhan tetap menghormati ketegasan dan tidak pernah mengambil kesempatan atas kebaikan Pak Jabir.

“Terima kasih, Jabir. Aku janji nanti aku akan bayar apabila kami dah dapat duit,” emak menabur janji biarpun dia sendiri tidak mampu mengotakan janji tersebut dalam masa terdekat. Sudah beberapa kali bayaran sewa rumah tertangguh sebelum ini. Namun, ayah tetap berusaha keras untuk melangsaikanya juga walaupun terpaksa turun ke laut untuk menangkap ikan setiap hari tanpa rehat. Kerja ayah sebagai nelayan, ada ikan ada hasilnya. Kalau tidak, berlaparlah mereka sekeluarga.

Farhan hanya mencuri dengar sahaja dari dalam bilik. Dia tahu, emak dan ayah tidak ada sumber pendapatan yang banyak pada musim tengkujuh begini. Beruntung sahaja Pak Jabir tidak pernah menghalau mereka sekeluarga dari situ. Pak Jabir benar-benar berhati mulia. Tetapi mereka sekeluarga sedar dan sentiasa cuba sedaya upaya untuk tidak berhutang. Cuma ada kalanya, mereka terpaksa juga berserah pada takdir dan akur dengan ketentuan-Nya.

“Ayah belum balik?” Farhan sengaja memulakan bicara. Emak sedang bersila sambil melipat pakaian yang sudah kering.

“Ayah tolong Pak Cik Rahman di restoran dia. Kerja basuh pinggan dan ambil pesanan. Dapatlah upah sikit. Nak turun ke laut pun tak boleh, dah dua tiga hari asyik hujan saja,” ujar emak sekadar menjawab pertanyaan Farhan. Farhan terkelu mendengar jawapan emak. Dadanya seperti dihempap rasa pilu mengenangkan ayah yang tidak pernah jemu melawan takdir kemiskinan demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Farhan membungkam seketika. Dia ralit memerhati tingkah emak. Walaupun berat untuk diucapkan, Farhan perlu berani. Bukan niatnya untuk mengenepikan emak dan ayah pada hari konvokesyennya nanti, tetapi dia sudah memikirkan jalan terbaik yang boleh dilakukan. Perlu ada pengorbanan dalam hidup ini. Farhan menghulurkan sampul coklat kepada emak.

“Emak, ambillah ni. Buat bayar sewa rumah. Nanti apa pula kata Pak Jabir kalau kita lambat bayar lagi,” emak mengangkat muka. Sampul coklat dan tampang wajah Farhan dipandang silih berganti. Jeda seketika. Tubir mata emak bergenangan.

“Tak perlulah Farhan. Ini duit simpanan kamu untuk konvokesyen nanti. Kamu kata banyak nak guna duit. Yuran, tiket bas, penginapan. Ayah dengan emak boleh cari duit lain,” emak cuba menolak dengan lembut. Emak tahu, Farhan lebih memerlukan duit itu untuk majlis berprestijnya nanti. Lagipun, perbelanjaan untuk menghadiri majlis konvokesyen bukannya sedikit. Banyak kos yang perlu dilaburkan dari awal sehinggalah majlisnya selesai.

“Tak apa emak. Duit perbelanjaan untuk majlis konvokesyen Farhan nanti, Farhan akan minta gaji pendahuluan daripada majikan Farhan. Insya-Allah cukup. Emak guna sahaja duit ni. Cuma Farhan nak minta maaf. Farhan tak mampu nak bawa emak dan ayah ikut sekali ke sana nanti. Farhan betul-betul minta maaf emak. Farhan tahu emak dan ayah mesti nak tengok Farhan di atas pentas nanti. Farhan tak mampu nak tunaikan impian tu,” suara Farhan serak menahan sebak. Farhan merenung lantai, tangannya digenggam kemas menahan kekecewaan dirinya. Dia benar-benar berharap agar emak dan ayah akan bersama-sama dirinya semasa meraikan kejayaannya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Utara Malaysia.

Emak tidak bersuara. Kura tangannya menyapu air mata yang mula mengalir. Dia tidak mahu Farhan juga bersedih, sebaliknya yakin dengan keputusan yang dibuat. Emak merangkul kepala Farhan, diusap lembut ubun-ubunnya berkali-kali. Akhirnya, emak mencium ubun-ubun kepala Farhan sambil menitipkan doa panjang yang tidak terdengar dek Farhan. Doa kudus seorang ibu yang pasti dimakbulkan dengan izin Allah.

Suasana di Terminal Sentral Kuantan begitu hingar-bingar. Manusia ke hulu dan ke hilir dengan pelbagai tujuan. Ada penjual tiket bas yang menjerit-jerit memanggil penumpang bas, ada yang mengheret bagasi besar, malah ada anak-anak kecil yang menangis dalam pelukan ayah dan ibu yang mungkin akan berpisah dan berjauhan.

Farhan sudah berada di sekitar bas yang akan membawanya ke negeri jelapang padi. Hanya satu beg sandang dan satu beg pakaian kecil dibawanya. Dia terpaksa ke sana lebih awal beberapa hari bagi menyelesaikan urusan-urusan sebelum majlis konvokesyennya berlangsung nanti. Walaupun hatinya masih berat dengan pilihan yang dibuat, dia cekal dan yakin dengan Allah.

“Doakan perjalanan Farhan selamat, emak ayah. Doakan juga urusan konvokesyen nanti berjalan lancar. Kejayaan Farhan ini, tentunya atas sebab doa serta restu emak dan ayah,” ujar Farhan sebelum menaiki bas yang akan memulakan perjalanan sekejap lagi. Emak dan ayah hanya mengangguk, tersenyum dan meredai perjalanan anak mereka itu.

“Ini kad undangan untuk masuk ke dalam dewan majlis. Walaupun emak dan ayah tak pergi, Farhan bagi juga. Farhan akan membayangkan emak dan ayah ada dalam dewan tu nanti,” Farhan cuba bercanda. Gelak kecil emak dan ayah setidak-tidaknya mengurangkan sayu yang merusuh dalam jiwanya.

Setelah bersalaman dan berpelukan, Farhan terus menaiki bas dan mengambil tempat duduknya yang terletak betul-betul di tepi tingkap bas. Dapatlah Farhan melihat emak dan ayah seraya melambai-lambai kepada mereka sebaik sahaja bas memulakan perjalanan. Farhan terus mengukir senyum, biarpun rasa pilu membasahi tubuhnya seperti hujan lebat yang mengiringi perjalanannya pada malam itu.

Sudah begitu lama Farhan tidak menjejakkan kaki ke bumi tempatnya menuntut ilmu sejak menamatkan pengajian hampir setahun yang lalu. Langit cerah pada hari itu begitu mengalu-alukan kehadiran insan-insan dari seluruh negara untuk meraikan majlis berprestij di universiti itu.

Farhan sudah bersiap sebaik sahaja selesai menunaikan solat subuh tadi. Kemeja putih dikenakan dengan seluar hitam, dipadankan pula dengan tali leher dan kot membuatkan dirinya kelihatan begitu segak. Rambutnya disisir kemas dan diletakkan gel supaya kelihatan basah dan rapi. Farhan turut menyarungkan jubah, kalung dan topi yang merupakan pakaian rasmi untuk majlis konvokesyennya. Nafasnya menjadi laju, berdebar-debar menantikan hari yang penuh bersejarah. Hari yang menjadi saksi kepada kejayaannya setelah berpenat lelah menuntut ilmu hampir empat tahun.

Perarakan masuk ke dalam Dewan Muadzam Shah diiringi dengan paluan caklempong yang begitu mendamaikan. Rentak dan muzik yang dimainkan memaparkan betapa majlis tersebut penuh dengan adat istiadat serta protokol yang perlu dipatuhi bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar.

Farhan mengatur langkah dengan penuh yakin sebaik sahaja namanya dipanggil. Senyuman termanis diukir semasa dia mengambil skrol ijazahnya. Wajah emak dan ayah sentiasa ada dalam paparan ingatannya sepanjang majlis itu berlangsung. Doanya tidak putus-putus supaya kegembiraannya pada hari itu akan turut dirasai oleh emak dan ayah. Skrol yang dipegang ditenung sedalam-dalamnya.

‘Hadiah ini buat emak dan ayah,’ getus hati Farhan sendiri. Satu persatu nama mahasiswa lain terus disebut sehingga habis. Penutup kepada majlis konvokesyen itu ialah nyanyian lagu rasmi universiti iaitu “Biru Warna”. Sebuah nyanyian penuh semangat yang cukup menyentuh perasaan oleh semua mahasiswa yang akhirnya bergelar graduan Universiti Utara Malaysia.

Kemeriahan di kawasan luar dewan cukup dirasai. Ahli keluarga, kawan-kawan dan para pensyarah memenuhi setiap ruang yang ada, Farhan hanya berdiri di hadapan dewan memerhatikan suasana yang akan diingatinya sampai bila-bila. Betapa sayunya hati Farhan melihat teman-temannya yang diraikan ahli keluarga, bergambar dalam ria, mendapat sejambak bunga segar dan mendapat hadiah yang banyak. Farhan memaksa senyum dalam rasa kelat yang amat. Dia seorang diri, tiada sesiapa yang datang meraikannya. Dia hanya memegang skrol tanpa hadiah bunga walaupun sekuntum dua. Tentunya kalau emak dan ayah ada, mereka akan berbangga seperti ibu bapa orang lain juga.

Matanya terus melilau, menumpang kegembiraan sesiapa sahaja yang ada di situ. Cukuplah baginya melihat kegembiraan orang lain sementara menanti masa untuk dia pulang dan kongsikan kegembiraannya bersama-sama emak dan ayah di kampung.

Pandangan mata Farhan tiba-tiba kaku di suatu arah. Dia cuba merenung tajam untuk memastikan apa yang dilihatnya itu. Nafasnya kencang. Tangannya menjadi sejuk tidak semena-mena. Rasa sebak memberat dalam dada. Tubir matanya bergenang. Dia seperti hendak menjerit semahu-mahunya. Dari jauh dia melihat kelibat seorang lelaki tua melambai-lambai ke arahnya. Kelibat seorang wanita tua pula memeluk sejambak bunga yang entah apa jenisnya. Farhan amat kenal dua tubuh itu. Tubuh yang penuh dengan parut kehidupan dan luka pengorbanan. Tubuh yang menjadi penyebab dirinya untuk ke syurga.

Senyuman dan langkah mereka membuatkan air mata Farhan tumpah dan mengalir laju tidak tertahan. Terharu dia melihat kesusahan dan kepayahan emak dan ayah datang ke majlis konvokesyennya walaupun tanpa pengetahuannya. Dia benar-benar tidak percaya dengan semua itu. Farhan terus berlari mendapatkan mereka. Raut wajah mereka tergambar kegembiraan yang sukar diterjemahkan. Dipeluk kedua-duanya erat. Dikucup pipi mereka berkali-kali. Teresak-esak Farhan dalam dakapan kasih sayang emak dan ayah.

“Tahniah, Farhan! Emak dan ayah bangga melihat kamu di atas pentas tadi,” emak menghulurkan sejambak bunga ros merah yang begitu indah gubahannya. Farhan masih ditelan rasa tidak percaya. Terima kasih emak, ayah.