Alangkah bagusnya jika dia tidak mempersiakan setiap saat dengan mengirim rindu kepada Maha Pencipta. Sebelum tangannya sempat menekan suis lampu di meja solek, pandangannya di sapa cahaya benderang di luar rumah melalui jendela.Dia berasa amat curiga dengan cahaya tersebut.“Cahaya apakah itu yang bergerak di belakang rumahku?Setahu aku, tiada tiang lampu atau sumber cahaya yang terang sebegitu di belakang rumah.Adakah tahi bintang?”

            Haji Hussin memjenguk menerusi jendela di biliknya.Alangkah terkejutnya dia apabila dapat melihat dengan jelas beberapa gugusan cahaya dari langit turun perlahan-lahan dan menghampiri rumah keluarga encik Abdul Aziz.Dia tidak pasti cahaya apakah itu.Sukar untuk dia terjemahkan. Setelah beberapa ketika, cahaya itu semakin samar dan lesap. Setelah usai menunaikan ibadah sunat pada dua pertiga malam itu, Haji Hussin sekali lagi dapat melihat cahaya benderang itu. Dia amati benar-benar cahaya itu. Kali ini gugusan cahaya itu seolah-olah bergerak keluar dari rumah encik Abdul Aziz dan kembali ke langit.Setelah itu, sirna begitu sahaja.Haji Hussin hanya tidur-tidur ayam menantikan azan Subuh berkumandang, mindanya sedang berperang.

            Keesokkan harinya, belum sempat matahari rembang, sudah kecoh satu kampung dengan cerita terbaharu.Cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut itu pantas benar tersebar.

            “Anak perempuan encik Abdul Aziz tengah separuh gila di rumahnya. Mana tidaknya, bayi di dalam kandungannya yang sudah berusia tujuh bulan tiba-tiba hilang ketika dia tidur!

            “Biar betul Zainab?Mustahil bayi dalam kandungan boleh hilang.”

            “Memang kalau difikirkan, susah untuk diterima akal, tetapi aku sendiri sudah pergi tengok. Perut dia yang selama ini boyot mengandung tujuh bulan sudah kempis.Doktor yang selalu periksa dia pun ada datang tadi. Doktor rasa pelik sebab selama tujuh bulan memeriksa kandungan Ana, memang boleh nampak  bayi apabila guna mesin pengimbas.”

            “Kasihan Ana, dia terpaksa lalui semua ni. Anak pertama pula tu.”

            “Ana menangis tidak henti di pangkuan Rokiah.Ana ada cerita dekat Rokiah, semalam dia memang bermimpi seorang wanita berpakaian serba putih datang mengambil anak dalam kandungannya.Katanya, sedikitpun tidak terasa sakit. Bangun sahaja dari tidur, terasa perutnya sudah kempis.”

            “Zainab, aku rasa orang bunian la yang ambil anak Ana tu. Cerita anak hilang dalam kandungan ni bukannya sesuatu yang baru dalam masyarakat kita. Memang susah kita nak percaya, tetapi apabila berlaku kepada orang kampung kita sendiri, kita hanya mampu menyatakan simpati. Berat mata memandang, berat lagi yang Ana rasakan sekarang.”

            Rumah Encik Abdul Aziz menjadi tumpuan orang kampung, sanak-saudara, pihak media dan entah siapa-siapa yang langsung tidak dikenali semata-mata ingin mengetahui perihal yang berlaku kepada Ana.Ana benar-benar tertekan dengan kunjungan orang ramai yang mendesak untuk mengetahui kisah kehilangan anak dalam kandungannya yang dilarikan orang bunian.Demi menjaga emosi dan kesihatan Ana, encik Abdul Aziz meminta mereka yang berkunjung ke rumahnya bersurai serta-merta.

            Malam itu, encik Abdul Aziz bertandang ke teratak Haji Hussin.Encik Abdul Aziz meluahkan segala yang terbuku di hatinya terhadap Haji Hussin.Encik Abdul Aziz sekeluarga memang dalam keadaan yang tertekan.Haji Hussin memahaminya, tambahan pula perkara yang berlaku sukar untuk diterima akal fikiran.

            “Bersabarlah wahai saudaraku.Setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya.Hanya Allah sahaja yang tahu.Mengadulah kepada-Nya, mohon kekuatan dan ketabahan atas segala yang berlaku. Dia Maha Mengetahui.” Haji Hussin menasihati encik Abdul Aziz sebelum dia beransur pulang.

DUA

Puan Zaima setia menanti kepulangan Aira sejak petang lagi.Puan Zaima bersangka baik terhadap anaknya memandangkan Aira masih belum pulang biarpun matahari sudah tenggelam di ufuk barat.Mungkin anaknya singgah di rumah kawannya selepas kelas tambahan di sekolah untuk mengadakan perbincangan mengenai tugasan sekolah, dia berfikir sebegitu.Suaminya pula sudah bersedia di meja makan.“Abang makanlah dahulu, nanti saya makan bersama Aira.”Riezman tahu, hati isterinya ada sekelumit gelisah.

            Hati ibu bapa mana yang tidak gundah apabila anak dara tunggal mereka masih belum pulang.Jika sebelumnya si ibu masih boleh bersangka baik lagi, tetapi setelah tengah malam belum berada di depan mata, macam-macam andaian yang datang ke kotak fikirannya. Satu persatu kebarangkalian yang buruk menerjah mindanya.Hatinya gelisah. “Abang, kita kena buat laporan polis ni. Sudah pukul satu pagi, tetapi Aira tidak juga balik ke rumah.Telefon pun tidak diangkatnya. Saya risau bang.” “Kita ikhtiar dengan cara lain dahulu, lagipun belum 24 jam lagi kalau kita hendak buat laporan pada polis.”

            Keesokkan harinya, bayang Aira masih belum kelihatan.Ibu bapanya membuat laporan polis di balai polis yang berhampiran.Puas ibu dan abahnya bertanya pada rakan-rakan Aira.Masing-masing tidak tahu ke mana Aira menghilang.Seingat puan Zaimah, hubungan mereka sekeluarga amatlah baik.Dia tidak syak, Aira terguris hati dengan mereka. Kalau Aira diculik, apa pula motifnya? Sedangkan, ibu dan abahnya tidak pula mempunyai musuh, tambahan pula mereka bukanlah ahli perniagaan dan bukanlah dalam kalangan orang berada.

            Setelah tiga hari laporan polis dilakukan, hati ibu bapa Aira semakin tidak tenteram.Ibu Aira asyik bermimpi yang bukan-bukan.Naluri keibuannya kuat menyatakan, Aira masih selamat.Ibu Aira tidak pernah berhenti berdoa.Ibu bapa Aira telah ke syarikat penerbitan akhbar harian untuk membuat iklan atas kehilangan anak tunggal mereka. Mungkin cara ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak polis, malah mereka amat berharap agar ada masyarakat yang perihatin dan segera menghubungi polis atau mereka jika terserempak dengan Aira.

            Penyiaran iklan dan sedikit laporan berita mengenai kehilangan Aira di akhbar mendapat maklum balas dari masyarakat dari segenap ceruk di negara ini.Memang benar, rakyat kita sangat perihatin.Dalam banyak pangilan telefon yang diterima, tiada satu pun yang memberi petanda tentang keadaan dan lokasi Aira berada.Kebanyakannya meluahkan rasa simpati mereka.Paling teruk, ada yang tidak mempedulikan perasaan puan Zaima dan encik Riezman apabila memarahi mereka dengan menuduh bahawa mereka tidak tahu menjaga anak.

            Satu khidmat pesanan ringkas menyinggah pada ketika mereka masih mengharap.

Jika kau mahu anak kau selamat, masukkan wang tunai sebanyak RM 20, 000 ke dalam akaun anak kau sebelum pukul 5.00 petang esok. Kalau tidak, jangan mimpi kau akan jumpa dengan Aira lagi!

            Polis bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menjejaki pengirim khidmat pesanan ringkas itu.Mungkin ada petanda yang boleh membawa kepada pertemuan Aira. Malam itu, ibu bapa Aira memang tidak dapat melelapkan mata, berdebar-debar menantikan keesokan harinya.Beberapa orang pegawai polis ditugaskan mengawasi rumah mereka.

            Hasil siasatan yang dilakukan, pihak polis berjaya menjejaki lokasi pengirim khidmat pesanan ringkas.Sebelum pukul 5.00 petang, pihak polis telah berjaya menjejakinya. Pada tengah hari itu, beberapa orang anggota polis ditugaskan ke sana.Sesuatu yang amat menghairankan adalah, Aira tidak diapa-apakan, malah kelihatan gembira bersama seorang pemuda dalam lingkungan usia 20-an. Polis mengesyaki kes ini bukan kes penculikan sebaliknya bermotifkan sesuatu. Suspek dikenalpasti dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

            Pada malam itu juga, Aira dikembalikan kepada ibu bapanya.Dalam linangan air mata yang syahdu, mereka berpelukan sekeluarga.

            “Aira, kasih sayang ibu dan abah lebih bernilai daripada RM 20, 000 tu sayang. Berjanjilah, jangan tinggalkan  ibu dan abah lagi ya, sayang.” Satu kucupan mesra singgah di ubun-ubun Aira.

            “Ibu, abah…maafkan Aira.”

TIGA

Potongan harga sempena musim perayaan di pusat membeli-belah merupakan nikmat buat mereka yang gemar membeli-belah.Puan Zaharah mengambil peluang untuk pergi memebeli-belah bersama anak bongsunya pada hujung minggu.Anak bongsunya baru sahaja berumur empat tahun.Dek kerana sikapnya yang terlalu aktif, puan Zaharah tidak mahu meninggalkan anak bongsunya itu kepada abang-abangnya serta jiran tetangga.

            Puan Zaharah menjadi rambang mata apakala melihat potongan harga yang ditawarkan pada bahagian kain dan perhiasan diri.Murah-murah belaka. Dia terfikir untuk mendapatkan beberapa helai kain untuk dibuat pakaian pada hari raya akan datang. Jenuh juga untuk membuat pilihan.Bukan sahaja murah, malah cantik-cantik semuanya.

            Setelah puas membuat pilihan, puan Zaharah membuat pembayaran di kaunter pembayaran.Memang berbalaoi dengan harga yang ditawarkan.Ketika membuka langkah menuju ke tempat letak kereta, puan Zaharah baru perasan bahawa dia tertinggal sesuatu.

            “Anak aku….anak aku kena culik!”

            Jeritan puan Zaharah didengari pengawal keselamatan yang kebetulan menjaga kawasan tempat letak kereta, lalu menghampirinya.

            “Puan, kenapakah? Boleh saya bantu?”

            “Encik, anak saya diculik!”

            “Di mana?”

            “Di dalam pusat membeli-belah.”

            “Puan, puan tunggu di sini sebentar.Saya ke dalam pusat membeli-belah untuk mendapatkan bantuan.Kita juga akan melihat kamera litar tetutup yang terdapat dalam pasaraya.”

            Beberapa minit kemudian, pegawai keselamatan itu datang bersama anak bongsunya.Puan Zaharah mula mengesat air matanya.

            “Encik, siapakah penculik anak saya?Sudahkah dibawa ke balai polis?”

            “Puan, bersabar.Anak puan tidak diculik pun.Sebenarnya anak puan menyorok dicelah-celah kain, tidak jauh daripada tempat puan membeli kain tadi.”

            “Oh, begitukah.”

            Sejak hari itu, puan Zaharah lebih berwaspada mengawasi anak-anaknya.

EMPAT

Sebaik sahaja menerima tugasan dalam kuliah Dr. Andrew, saya sudah merangka untuk mengetengahkan kisah-kisah yang berlaku di negara saya sendiri di hadapan pensyarah dan sahabat-sahabat sekuliah.Dr. Andrew memberikan tugasan kepada setiap mahasiswa untuk membentangkan kisah masyarakat yang menjadi tular di laman sosial terutamanya Facebookuntuk dikongsikan di dalam kuliah yang akan datang. Saya fikir berkongsi gelagat sosial dari negara sendiri akan memberikan warna dalam sesi perkongsian dan perbincangan dalam kuliah nanti memandangkan sahabat-sahabat sekuliah saya yang berasal dari ceruk dunia yang berbeza dan pastinya membuktikan bahawa jati diri saya masih utuh biarpun sedang menuntut ilmu di luar negara dalam jurusan antropologi.